Lompat ke kandungan

KAUM MUDA BERTANYA

Mengapakah Saya Harus Minta Maaf?

Mengapakah Saya Harus Minta Maaf?

 Apakah yang akan kamu lakukan dalam situasi berikut?

  1.   Guru memarahi kamu di depan kawan-kawan kamu kerana kamu bermain semasa di kelas.

     Patutkah kamu meminta maaf kepada guru kamu walaupun kamu rasa tindakannya melampau?

  2.   Seorang kawan mendapat tahu bahawa kamu mengatakan sesuatu yang negatif tentangnya.

     Patutkah kamu meminta maaf kepada kawan kamu walaupun kamu rasa apa yang kamu katakan itu benar?

  3.   Kamu hilang sabar dan melawan cakap bapa kamu.

     Patutkah kamu meminta maaf kepada bapa kamu walaupun kamu rasa dia yang buat kamu marah?

 Jawapan kepada tiga soalan itu adalah ya. Mengapakah kamu patut meminta maaf walaupun kamu rasa kamu tidak bersalah?

 Mengapakah kamu patut minta maaf?

  •   Kamu menunjukkan kamu matang. Apabila kamu bertanggungjawab atas perbuatan dan kata-kata kamu, kamu sedang memupuk sifat-sifat yang diperlukan dalam kehidupan.

     “Jika kamu pupuk kerendahan hati dan kesabaran, kamu akan sudi minta maaf dan rela dengar pandangan orang lain.”—Rachel.

  •   Kamu dapat berdamai dengan orang lain. Seseorang yang sudi meminta maaf menunjukkan bahawa mereka mementingkan kedamaian. Bagi mereka, siapa betul atau salah tidak penting.

     “Walaupun bukan salah kamu, kamu tidak rugi apa-apa jika kamu minta maaf. Dan mana tahu, tindakan itu dapat pulihkan hubungan kamu dengan orang itu.”—Miriam.

  •   Kamu akan rasa tenang. Perasaan bersalah setelah melukakan hati orang lain adalah seperti beban yang berat. Setelah meminta maaf, beban itu akan diangkat dari bahu kamu dan kamu akan rasa lega. a

     “Kadangkala saya cakap kasar dengan ibu bapa saya. Walaupun saya rasa bersalah kerana layan mereka begitu, saya masih rasa susah untuk minta maaf. Tapi lepas minta maaf, hubungan kami jadi baik semula dan itu buat saya rasa lega.”—Nia.

    Perasaan menyesal seperti beban yang berat. Setelah minta maaf, kamu tidak lagi perlu mengangkat beban itu

 Adakah senang untuk meminta maaf? Tidak! Seorang gadis bernama Dena perlu berulang-kali meminta maaf kepada ibunya kerana sikapnya yang kasar. Dia berkata, “Tidak senang untuk minta maaf. Saya rasa seperti ada sesuatu tersangkut di kerongkong sehingga susah bersuara.”

 Cara minta maaf

  •   Jika dapat, minta maaf secara bersemuka. Jika kamu berjumpa dengan orang itu, dia dapat lihat bahawa kamu ikhlas dan rasa kesal. Tapi jika kamu minta maaf melalui mesej, dia mungkin susah percaya dan tidak dapat rasa keikhlasan kamu walaupun kamu guna emoji muka sedih.

     Tip: Kamu boleh menelefon atau menulis surat kepada orang itu jika kamu tidak dapat jumpanya. Tidak kira apa pun cara yang kamu gunakan, pilihlah kata-kata kamu dengan bijak.

     Prinsip Bible: “Orang baik berfikir secara mendalam sebelum menjawab.”—Amsal 15:28.

  •   Minta maaf dengan segera. Jika masalah itu dibiarkan lebih lama, hal itu mungkin jadi lebih serius dan hubungan kamu berdua akan semakin renggang.

     Tip: Tetapkan satu matlamat, contohnya “Saya akan minta maaf hari ini.” Rancang bila kamu akan minta maaf dan lakukannya dengan segera.

     Prinsip Bible: “Cepatlah menyelesaikan masalah kamu berdua.”—Matius 5:25.

  •   Minta maaf dengan ikhlas. Jika kamu kata, “Maaf ya jika kamu rasa begitu,” itu tidak ikhlas. “Orang yang kamu sakiti itu akan lebih rela maafkan kamu jika kamu benar-benar akui kesilapan kamu,” kata seorang gadis bernama Janelle.

     Tip: Jangan tetapkan syarat. Jangan kata, “Saya akan minta maaf jika kamu minta maaf dulu.”

     Prinsip Bible: ‘Berusaha melakukan perkara yang membawa perdamaian.’—Roma 14:19.

a Jika kamu rosakkan barang orang lain, adalah baik jika kamu minta maaf dan membayar ganti rugi.