Lompat ke kandungan

KAUM MUDA BERTANYA

Bagaimanakah Bible Dapat Membantu Saya?​—Bahagian 1: Menerokai Bible Kamu

Bagaimanakah Bible Dapat Membantu Saya?​—Bahagian 1: Menerokai Bible Kamu

 “Saya pernah cuba membaca Bible, tetapi saya rasa seperti ditenggelaminya kerana Bible begitu tebal!”​—Briana, 15.

 Adakah kamu rasa sebegitu? Jika ya, rencana ini dapat membantu kamu!

 Mengapa membaca Bible?

 Adakah kamu rasa membaca Bible adalah sesuatu yang sangat membosankan? Jika ya, kami faham perasaan kamu. Kamu mungkin menganggap Bible sebagai buku yang beribu-ribu muka suratnya, yang berisi dengan banyak perkataan yang kecil, dan tidak disertai apa-apa gambar. Tidak hairanlah jika kamu rasa menonton televisyen atau video jauh lebih menarik daripada membaca Bible!

 Tetapi, cuba fikirkan tentang hal ini: Jika kamu menemui sebuah peti harta karun kuno yang besar, tidakkah kamu ingin sekali melihat apa kandungannya?

 Bible seperti peti harta karun ini. Bible mengandungi banyak permata dalam bentuk kata-kata hikmat yang dapat membantu kamu untuk . . .

  •   Membuat keputusan yang bijak

  •   Menjalin hubungan yang baik dengan ibu bapa

  •   Mendapat kawan sejati

  •   Menangani tekanan hidup

 Walaupun Bible ialah sebuah buku yang kuno, kandungannya masih berguna pada zaman kita. Hal ini kerana “segenap Ayat-Ayat Suci diilhami oleh Tuhan.” (2 Timotius 3:​16) Ya, nasihat dalam Bible berasal daripada Tuhan sendiri, yang merupakan Sumber terbaik.

Bible adalah seperti peti harta karun yang mengandungi banyak permata hikmat yang tidak ternilai harganya

 Apakah cara untuk membaca Bible?

 Satu cara ialah membacanya dari mula hingga akhir. Melalui cara ini, kamu dapat mengenali rangka kandungan seluruh Bible. Bagaimanakah kamu boleh melakukannya? Fikirkan dua contoh yang berikut:

  •    Kamu boleh membaca kesemua 66 buku Bible secara berurutan, dari Kejadian hingga Wahyu.

  •    Kamu boleh membaca Bible mengikut urutan waktu peristiwanya.

 Tip: Lampiran A7 dalam Kitab Suci Terjemahan Dunia Baharu mencatatkan peristiwa-peristiwa utama kehidupan Yesus di bumi mengikut urutan kronologi.

 Cara yang kedua untuk membaca Bible ialah dengan memilih sebuah kisah yang berkaitan dengan cabaran yang sedang kamu hadapi. Contohnya:

  •   Adakah kamu ingin mencari sahabat yang boleh dipercayai? Bacalah kisah tentang Yonatan dan Daud. (1 Samuel, bab 18-​20) Perhatikan apakah sifat-sifat Daud yang menyebabkan Yonatan tertarik untuk bersahabat dengannya.

  •   Adakah kamu ingin menguatkan tekad untuk menolak godaan? Bacalah kisah tentang Yusuf dan bagaimana dia menolak godaan. (Kejadian, bab 39) Perhatikan dari mana Yusuf mendapat kekuatan untuk menolak godaan.

  •   Adakah kamu ingin tahu bagaimana doa dapat membantu kamu? Bacalah kisah tentang Nehemia. (Nehemia, bab 2) Carilah bukti yang menunjukkan bahawa doa Nehemia memang berkesan.

 Tip: Semasa membaca Bible, pastikan suasana di sekeliling kamu sunyi supaya kamu dapat menumpukan perhatian.

 Cara yang ketiga untuk membaca Bible ialah dengan memilih sebuah kisah atau mazmur, membacanya, dan kemudian fikirkan bagaimana maklumat tersebut dapat membantu kamu. Selepas membaca, tanyalah diri soalan-soalan seperti:

  •    Mengapakah Yehuwa ingin mencatatkan hal ini dalam Bible?

  •    Apakah yang saya dapat belajar tentang sifat Yehuwa?

  •    Bagaimanakah saya boleh menerapkan maklumat ini dalam kehidupan saya?

 Tip: Tetapkanlah matlamat! Gunakan Jadual untuk Pembacaan Bible di jw.org dan tuliskan tarikh kamu ingin memulakan program pembacaan Bible.