Lompat ke kandungan

KAUM MUDA BERTANYA

Apakah yang Dapat Saya Lakukan jika Saya Gagal dalam Peperiksaan?

Apakah yang Dapat Saya Lakukan jika Saya Gagal dalam Peperiksaan?

 “Dalam kelas saya, ada pelajar yang selalunya tidak membawa buku teks dan asyik mendengar muzik semasa guru sedang mengajar. Tidak hairanlah apabila mereka gagal dalam peperiksaan! Tetapi ada juga orang seperti saya, kami begitu berusaha dan giat belajar, akhirnya pun gagal dalam peperiksaan. Saya betul-betul tidak faham kenapa begitu. Sudah tentu saya rasa geram, setelah belajar sampai lewat malam sepanjang minggu dan masih gagal.”—Yolanda.

 Pernahkah kamu mempunyai perasaan yang sama seperti Yolanda? Tidak kira sama ada kamu selalu gagal dalam peperiksaan, atau sekali-sekala, sudah tentu hal itu membuat kamu rasa tawar hati.

 Sesetengah remaja yang sering gagal dalam peperiksaan mungkin berputus asa dan tidak lagi berusaha untuk memperbaik keputusan mereka. Ada juga yang mungkin berhenti sekolah. Sebenarnya, terdapat cara yang lebih baik untuk menangani masalah ini. Perhatikan enam perkara yang kamu boleh lakukan untuk memperoleh keputusan yang lebih baik.

 Apa yang dapat kamu lakukan

  •   Jangan ponteng sekolah. Jelas sekali, jika kamu selalu ponteng sekolah, prestasi kamu di sekolah pasti terjejas.

     “Di sekolah saya, budak-budak yang tidak ambil berat tentang markah mereka biasanya selalu ponteng sekolah, lalu menimbulkan banyak masalah bagi mereka sendiri.”—Matthew.

     Prinsip Bible: “Seseorang akan menuai apa yang ditanamnya.”—Galatia 6:7.

  •   Memberi perhatian semasa dalam kelas. Jangan hanya sekadar hadir ke sekolah sahaja, tetapi berusahalah untuk memanfaatkan setiap sesi dalam kelas juga. Ambillah nota. Cubalah untuk memahami kata-kata guru kamu. Tanyalah soalan dalam kelas jika kamu dibenarkan berbuat demikian.

     “Saya tanya banyak soalan semasa dalam kelas kerana saya mendapati bahawa guru akan menjelaskan suatu topik dengan lebih teliti jika dia sedar bahawa terdapat pelajar yang tidak memahaminya.”—Olivia.

     Prinsip Bible: “Perhatikanlah cara kamu mendengar.”—Lukas 8:18.

  •   Menghindari perbuatan menipu. Perbuatan menipu merupakan perbuatan yang tidak jujur. Terdapat banyak cara untuk menipu dalam sekolah. Salah satunya adalah dengan meniru hasil kerja orang lain. Amalan ini tidak jujur dan juga tidak membawa apa-apa manfaat untuk kamu.

     “Jika kamu tidak memahami sesuatu, janganlah meniru jawapan daripada pelajar lain. Perbuatan menipu tidak akan membantu kamu untuk menyelesaikan masalah sendiri. Kamu cuma belajar untuk bergantung pada orang lain sahaja.”—Jonathan.

     Prinsip Bible: “Tiap-tiap orang harus memeriksa kelakuannya sendiri, sama ada baik atau tidak. Jika baik, dia boleh berbangga dengan hal itu.”—Galatia 6:4, Alkitab Berita Baik.

  •   Mengutamakan kerja rumah. Jika boleh, siapkanlah kerja rumah kamu sebelum kamu melakukan aktiviti lain—terutamanya rekreasi. a Dengan menyiapkan kerja rumah terlebih dahulu, kamu dapat lebih menikmati masa lapang kamu!

     “Sejak saya mengutamakan kerja rumah, keputusan peperiksaan saya pun semakin baik. Selalunya bila saya pulang ke rumah, saya ingin tidur atau mendengar muzik. Tetapi saya berusaha untuk selesaikan kerja rumah dahulu, barulah saya relaks.”—Calvin.

     Prinsip Bible: “Mengenal pasti perkara-perkara yang lebih penting.”—Filipi 1:10.

  •   Minta bantuan. Janganlah segan menerima bantuan daripada orang lain. Mintalah nasihat daripada ibu bapa. Tanyalah guru cara untuk mendapat markah yang lebih baik. Jika kamu menerima tuisyen, kamu juga boleh dapatkan bantuan daripada guru tuisyen.

     “Bercakaplah dengan guru secara terus-terang. Mintalah bantuan agar kamu dapat memahami sesuatu topik dan memperbaik keputusan kamu. Guru kamu mungkin akan tertarik dengan azam kamu untuk lulus dalam peperiksaan, lalu ingin membantu kamu.”—David.

     Prinsip Bible: “Dengan adanya banyak penasihat, orang akan berjaya.”—Amsal 11:14.

  •   Mengambil setiap peluang untuk meningkatkan prestasi. Di sesetengah negara, terdapat soalan tambahan dalam peperiksaan yang membolehkan kamu untuk memperbaik keputusan. Kamu juga mungkin dapat melakukan projek tambahan secara sukarela untuk memperoleh lebih banyak markah. Jika kamu gagal peperiksaan, tanyalah jika kamu boleh mengambil semula peperiksaan tersebut.

    Usaha untuk memperoleh keputusan yang lebih baik sama seperti usaha untuk belajar bermain alat muzik. Kerja keras diperlukan, tetapi hasilnya memang berbaloi

     “Jika saya ingin memperbaik keputusan dalam sesuatu mata pelajaran, sayalah yang harus mengambil tindakan terlebih dahulu. Saya menanya guru sama ada terdapat projek tambahan yang boleh saya lakukan atau melakukan semula sesetengah tugasan untuk mendapat markah yang lebih baik.”—Mackenzie.

     Prinsip Bible: “Setiap kerja keras membawa kebaikan.”—Amsal 14:23.

a Lihatlah rencana “Kaum Muda Bertanya . . . Bagaimanakah Saya Dapat Menyiapkan Kerja Rumah Saya?” untuk mengetahui lebih banyak tip yang dapat membantu kamu meningkatkan kemahiran belajar.