Lompat ke kandungan

KAUM MUDA BERTANYA

Mengapa Perlu Jujur?

Mengapa Perlu Jujur?

 Mengapa ada yang tidak jujur

 Hari ini, kejujuran dipandang sebagai sesuatu yang merugikan. Ada yang berkata:

  •   “Jika saya tidak tipu ibu bapa saya, saya mungkin akan dihukum.”

  •   “Jika saya tidak meniru, saya akan gagal.”

  •   “Jika saya tidak mencuri, saya terpaksa kumpul duit.”

 Ada yang mengatakan: “Lagipun, apa masalahnya? Bukankah semua orang pun tidak jujur?”

 Jawapannya tidak. Ramai orang​—termasuk remaja​—percaya bahawa kejujuran memang mendatangkan manfaat. Bible menyatakan, “Seseorang akan menuai apa yang ditanamnya.”(Galatia 6:7) Dalam kata lain, setiap tindakan kita akan membawa kesan baik atau sebaliknya.

 Fikirkan beberapa kesan buruk akibat menipu.

“Saya tipu ibu tentang hubungan saya dengan seorang lelaki. Dia mempunyai bukti yang jelas bahawa saya tidak bercakap benar. Selepas berbohong untuk kali ketiga, ibu sangat kecewa. Saya tidak dibenarkan keluar dari rumah selama dua minggu, dan saya tidak boleh guna telefon bimbit atau menonton TV selama sebulan. Saya tidak akan menipu ibu bapa saya lagi!”​—Anita.

 Fikirkan: Mengapakah Anita memerlukan masa untuk mendapat kembali kepercayaan ibunya?

 Bible mengatakan: “Memandangkan kamu sudah membuang segala dusta, hendaklah kamu masing-masing bercakap benar kepada orang lain.”​—Efesus 4:25.

“Saya menipu ibu bapa saya dan saya sangka saya terlepas. Tetapi kemudian mereka minta saya ulang balik cerita saya. Namun saya tidak ingat butirannya lagi kerana sangat berbeza daripada kisah benar. Jika kamu bercakap benar awal-awal lagi, kamu tidak akan hadapi masalah itu!”​—Anthony.

 Fikirkan: Bagaimanakah Anthony dapat mengelakkan situasi yang memalukan ini?

 Bible mengatakan: “Yehuwa membenci orang yang berbohong, tetapi Dia menyukai orang yang setia.”​—Amsal 12:22.

“Saya ada seorang kawan yang suka menambah-nambah cerita. Dia membesar-besarkan cerita dan tidak bercakap benar. Dia memang kawan saya dan saya tidak mahu meragui kata-katanya. Tetapi memang susah untuk percaya dia.”​—Yvonne.

 Fikirkan: Bagaimanakah reputasi kawan Yvonne terjejas kerana membesar-besarkan cerita dan tidak bercakap benar?

 Bible mengatakan: “Kami ingin melakukan segala sesuatu dengan jujur.”​—Ibrani 13:18.

Asas yang retak boleh merosakkan bangunan. Dalam cara yang sama, ketidakjujuran boleh merosakkan reputasi

 Apa manfaat bersikap jujur

 Fikirkan beberapa manfaat jika kita bersikap jujur.

“Seorang wanita yang berjalan di depan saya telah tercicir dompetnya. Saya memberitahu dia dan mengembalikan duitnya. Dia sangat bersyukur. Dia kata, ‘Jujurnya kamu. Sekarang susah jumpa orang jujur.’ Memang gembira apabila orang nampak perbuatan baik kamu!”​—Vivian.

 Fikirkan: Mengapakah wanita itu hairan dengan kejujuran Vivian? Apakah manfaat yang diterima Vivian?

 Bible mengatakan: “Berbahagialah orang yang . . . sentiasa melakukan apa yang benar.”​—Mazmur 106:3.

“Keluarga kami bekerja sebagai tukang bersih. Semasa membersih pejabat, ada kalanya kami terjumpa duit syiling di atas lantai. Kami akan meletakkan duit itu di meja yang terdekat. Seorang pekerja hairan kerana kejujuran kami, dia kata ‘Inikan duit syiling saja?’ Tapi dia sangat mempercayai kami.”​—Julia.

 Fikirkan: Bagaimanakah reputasi Julia yang jujur dapat membantunya semasa dia perlu mencari kerja lain?

 Bible mengatakan: “Berusahalah sedaya upaya untuk mempersembahkan dirimu kepada Tuhan sebagai orang yang diperkenankan-Nya, sebagai pekerja yang tidak malu dengan pekerjaannya.”​—2 Timotius 2:​15.

“Saya terima gaji untuk kerja selama 80 jam sedangkan saya hanya kerja 64 jam saja. Memang gembira untuk menerima gaji yang begitu banyak tetapi saya tidak sanggup menyimpannya. Saya memberitahu pengurus akaun tentang kesilapan itu dan dia sangat berterima kasih. Saya kerja di syarikat yang besar tetapi bagi saya, menyimpan duit itu sama seperti mencuri.”​—Bethany.

 Fikirkan: Adakah mencuri daripada syarikat besar tidak seteruk mencuri daripada orang lain?

 Bible mengatakan: “Yehuwa membenci orang yang licik, tetapi Dia akrab dengan orang yang melakukan apa yang benar”​—Amsal 3:32.