Lompat ke kandungan

KAUM MUDA BERTANYA

Bersahabat atau Berdating?​—Bahagian 1: Adakah Saya yang Salah Faham?

Bersahabat atau Berdating?​—Bahagian 1: Adakah Saya yang Salah Faham?

 Kamu sangat suka si dia, dan kamu yakin dia juga ada perasaan yang sama terhadap kamu. Kamu selalu bersama, selalu ber-SMS, dan sesetengah SMS yang kamu terima daripadanya memang romantik.

 Jadi, kamu ingin tahu status hubungan kamu dan memastikan bahawa kamu berdua memang mempunyai perasaan yang sama. Namun, si dia pula berkata, “Saya anggap kamu seperti kawan saja.”

 Apa perasaan kamu

 “Saya sangat marah terhadap dia dan diri sendiri! Setiap hari kami ber-SMS, dan dia benar-benar tunjukkan minat terhadap saya. Itulah sebabnya saya mula mempunyai perasaan terhadap dia.”​—Jasmine.

 “Saya dan seorang gadis menemani kawan kami yang sedang berdating. Kadang-kadang, saya rasa kami pun sedang berdating. Kami selalu berbual dan ber-SMS. Saya kecewa apabila dia beritahu bahawa dia hanya menganggap saya sebagai kawan biasa, dan selama ini dia sudah pun berpunya.”​—Richard.

 “Seorang budak lelaki sering menghantar SMS kepada saya. Ada kalanya kami berdua menghantar mesej yang romantik kepada satu sama lain. Tetapi apabila saya memberitahu dia perasaan saya, dia ketawa lalu berkata, ‘Saya belum bersedia berdating dengan siapa-siapa sekarang!’ Saya tidak henti-henti menangis.”​—Tamara.

 Kesimpulan: Jika kamu fikir bahawa kamu ada hubungan istimewa dengan seseorang tetapi kemudiannya mendapati bahawa kamu bertepuk sebelah tangan, sudah tentu kamu akan berasa marah, malu, atau dikhianati. Seorang pemuda yang bernama Steven berkata, “Saya sedih dan kecewa sekali sewaktu hal itu terjadi. Saya rasa susah untuk mempercayai orang lain.”

 Mengapa itu berlaku

 Melalui SMS dan media sosial, kamu senang memupuk perasaan terhadap seseorang yang sebenarnya tidak berminat terhadap kamu. Perhatikan pengalaman beberapa orang remaja.

 “Ada orang yang mungkin menghantar SMS kepada kamu hanya kerana dia berasa bosan. Tapi kamu mungkin fikir dia suka kamu. Jika dia menghantar SMS kepada kamu setiap hari, kamu mungkin anggap bahawa kamu teman istimewanya.”​—Jennifer.

 “Yang seorang mungkin ingin berdating, tapi yang seorang lagi hanya mahu cari teman untuk berbual supaya dia rasa bahawa dia ada ramai peminat.”​—James.

 “SMS ringkas seperti ‘selamat malam’ mungkin dianggap sebagai SMS yang romantik padahal SMS itu mungkin dihantar tanpa niat romantik atau perasaan istimewa.”​—Hailey.

 “Jika seseorang hantar SMS gambar senyum (emoji), hal itu boleh bermaksud dia sopan atau boleh bermaksud dia suka kamu. Tapi, kadang-kadang orang yang menerima SMS itu terus menyimpulkan bahawa kamu menyukainya.”​—Alicia.

 Kesimpulan: Janganlah salah sangka bahawa seseorang menyukai kamu hanya kerana dia mengambil berat tentang kamu.

 Hal itu memang tidak mudah, kerana Bible menyatakan, “Hati manusia tidak dapat difahami oleh sesiapa; hati manusia lebih licik daripada segala-galanya.” (Yeremia 17:9) Hatimu boleh menyebabkan kamu membina sebuah “mahligai cinta” yang akan hancur luluh apabila kamu sedar bahawa semua itu hanyalah khayalan.

 Apa yang dapat kamu lakukan

  •   Janganlah terbawa-bawa oleh perasaan. Cuba fikir sejenak tentang hubungan kamu berdua. Tanyalah diri, “Adakah saya mempunyai bukti yang jelas bahawa cara dia memperlakukan saya lebih istimewa daripada cara dia memperlakukan orang lain?” Janganlah biarkan emosi menguasai “daya pemikiran kamu.”​—Roma 12:1.

  •   Fikirlah baik-baik. Cuba fikir lagi, “Adakah saya mempunyai bukti yang menunjukkan bahawa dia sebenarnya tiada perasaan terhadap saya?” Janganlah menyangka bahawa kalau kamu suka seseorang, orang itu pun akan suka kepada kamu.

  •   Janganlah terburu-buru. Selagi dia belum menyatakan bahawa dia mahu berdating denganmu, janganlah terlalu berharap, kerana harapan yang tidak tercapai memedihkan hati.

  •   Bersikap jujur. Bible menyatakan bahawa ada “waktu untuk bertutur.” (Pengkhutbah 3:7) Jika kamu ingin mengetahui sama ada dia suka kamu atau tidak, tanyalah dia. Seorang gadis yang bernama Valerie berkata, “Jika dia berkata bahawa dia tidak suka kamu, itu lebih baik daripada menunggu lebih lama dan akhirnya berasa sakit hati apabila mengetahui bahawa selama ini dia memang tidak berminat denganmu.”

 Kesimpulan: Menurut Alkitab Versi Borneo, Amsal 4:​23 menyatakan, “Jagalah hatimu.” Jika kamu tertarik dengan seseorang, periksalah sama ada dia juga tertarik dengan kamu atau tidak. Jika kamu terbawa-bawa oleh perasaan sebelum mengetahui hal itu, kamu seperti menanam tumbuhan di atas batu.

 Jika kamu tahu bahawa orang itu memang menyukaimu, dan kamu sudah cukup dewasa dan bersedia untuk berdating, barulah kamu boleh memutuskan sama ada ingin meneruskan hubungan itu atau tidak. Ingatlah bahawa perkahwinan akan menjadi kukuh apabila suami dan isteri mempunyai matlamat rohani yang sama serta bersikap jujur kepada satu sama lain. (1 Korintus 7:​39) Sememangnya, persahabatan akrab yang dibentuk pada mulanya akan berterusan walaupun selepas berkahwin.​—Amsal 5:​18.