Lompat ke kandungan

KAUM MUDA BERTANYA

Bagaimanakah Saya Boleh Membuat Ibu Bapa Yakin terhadap Saya?

Bagaimanakah Saya Boleh Membuat Ibu Bapa Yakin terhadap Saya?

 Apa yang perlu kamu ketahui

 Ibu bapa akan lebih yakin terhadap kamu jika kamu membuktikan diri kamu sebagai orang yang boleh dipercayai. Mematuhi peraturan ibu bapa sama seperti membayar hutang. Kamu berhutang kepada ibu bapa, dan cara pembayaran ialah melalui ketaatan kamu kepada mereka. Jika kamu selalu membuat ‘bayaran,’ kamu akan diberi lebih banyak ‘kredit’ (atau kebebasan) daripada mereka. Sebaliknya, jika kamu selalu tidak dapat dipercayai, janganlah hairan jika ibu bapa kamu tidak menawarkan ‘kemudahan kredit’ atau tidak memberi kebebasan kepada kamu.

 Masa diperlukan untuk membina keyakinan. Apabila kamu sentiasa menunjukkan bahawa kamu seorang yang bertanggungjawab, ibu bapa akan semakin yakin terhadap kamu dan memberi kamu lebih banyak kebebasan.

 KISAH BENAR: “Sebagai seorang remaja, walaupun saya sudah tahu kehendak ibu bapa, saya berpura-pura mentaati mereka, padahal secara senyap-senyap saya masih bertindak sesuka hati saya. Akibatnya, ibu bapa saya susah untuk mempercayai saya. Lama-kelamaan, saya mendapati bahawa helah sebegini tidak dapat membawa lebih banyak kebebasan. Jika kamu ingin orang lain mempercayai kamu, kamu mesti membuktikan bahawa kamu boleh dipercayai.”​—Craig.

 Apa yang dapat kamu lakukan

 Tetaplah jujur walaupun susah. Semua orang melakukan kesilapan, tetapi jika kamu berbohong (atau menyembunyikan sesetengah kebenaran), kamu akan menghancurkan keyakinan ibu bapa terhadap kamu. Sebaliknya, apabila kamu selalu jujur, ibu bapa akan mendapati bahawa kamu seorang yang matang dan rela mengakui kesilapan sendiri. Orang sebeginilah yang dapat dipercayai.

 “Kamu tidak semestinya akan kehilangan keyakinan orang lain akibat membuat kesilapan, tetapi kamu pasti akan kehilangan keyakinan orang lain jika kamu cuba menyembunyikan kesilapan.”​—Anna.

 Bible menyatakan, “Kami ingin melakukan segala sesuatu dengan jujur.”​—Ibrani 13:18.

  •   Fikirkan: Apabila ibu bapa tanya ke mana kamu pergi dan apa yang kamu buat, adakah kamu akan sentiasa jujur dengan mereka? Atau adakah kamu akan mengaburi sesetengah maklumat daripada mereka?

 Bertanggungjawab. Mematuhi semua peraturan di rumah. Melakukan kerja di rumah tanpa berlengah-lengah. Tepatilah masa. Siapkan kerja sekolah. Pulang pada waktu yang ditetapkan oleh ibu bapa.

 “Jika ibu bapa kamu membenarkan kamu keluar dengan kawan dan menetapkan waktu pulang pada jam 9:00 malam, tetapi kamu pulang pada jam 10:30 malam, janganlah mengharapkan ibu bapa kamu membenarkan kamu keluar dengan kawan lagi!”​—Ryan.

 Bible menyatakan, “Setiap orang harus memikul tanggungjawab masing-masing.”​—Galatia 6:5, nota kaki.

  •   Fikirkan: Adakah kamu sentiasa menepati masa? Adakah kamu berusaha melakukan tugasan kamu? Adakah kamu sentiasa mentaati peraturan, bahkan peraturan yang kamu tidak suka?

 Bersabarlah. Jika ibu bapa kamu hilang keyakinan terhadap kamu, bersabarlah kerana masa diperlukan untuk mendapatkan semula keyakinan mereka.

 “Saya rasa kecewa apabila ibu bapa tidak memberi saya lebih banyak tanggungjawab walaupun saya sudah mencapai umur tertentu. Saya tidak sedar bahawa umur seseorang tidak semestinya mencerminkan kematangan. Saya minta ibu bapa untuk memberi saya peluang supaya saya boleh membuktikan bahawa saya dapat dipercayai. Walaupun hal itu mengambil masa, akhirnya saya berjaya mendapat keyakinan mereka. Saya juga belajar bahawa perbuatan seseoranglah yang akan meningkatkan keyakinan orang lain terhadapnya, dan bukan umurnya.”​—Rachel.

 Bible berkata, “Dia harus membuktikannya menerusi kelakuan yang baik.”​—Yakobus 3:13

  •   Fikirkan: Apakah ‘kelakuan baik’ yang kamu boleh lakukan untuk ‘membuktikan diri,’ supaya dapat meningkatkan (atau mendapatkan semula) keyakinan ibu bapa terhadap kamu?

 TIP: Tetapkanlah matlamat, tidak kira dalam hal menepati masa, menyelesaikan tugas di rumah, pulang pada waktu yang ditetapkan, atau apa-apa sahaja. Beritahulah ibu bapa kamu tentang matlamat itu, dan tanyalah mereka apa yang harus kamu lakukan supaya mereka lebih yakin terhadap kamu. Kemudian berusahalah untuk mengikuti nasihat Bible yang berikut, “Menanggalkan keperibadian lama yang dibentuk menurut kelakuan kamu dahulu.” (Efesus 4:​22) Ibu bapa pasti akan lihat kemajuan kamu!