Lompat ke kandungan

KAUM MUDA BERTANYA

Mengapakah Kita Harus Menolak Pornografi?

Mengapakah Kita Harus Menolak Pornografi?

 Dapatkah kamu menolak pornografi?

 Jika kamu menggunakan Internet, lambat laun kamu akan ternampak pornografi atau gambar lucah. “Kamu tidak perlu mencari gambar lucah, gambar lucah yang akan mencari kamu,” kata Hayley yang berumur 17 tahun.

 Pornografi bahkan dapat menggoda orang yang bertekad untuk menghindarinya. “Saya bertekad untuk tidak melihat pornografi tetapi akhirnya saya tergoda juga,” kata Greg yang berumur 18 tahun. “Kamu tidak patut berkata bahawa kamu tidak mungkin akan tergoda.”

 Dewasa ini, pornografi terdapat di mana-mana sahaja. Lagipun, sexting semakin popular dan banyak remaja menyebarkan gambar lucah diri mereka sendiri.

 Kesimpulan: Cabaran yang kamu hadapi sekarang jauh lebih besar daripada cabaran yang dihadapi oleh ibu bapa atau datuk nenek kamu semasa mereka masih muda. Persoalannya ialah, “Dapatkah kamu menolak pornografi?”​—Mazmur 97:10.

 Ya, jika kamu mahu berbuat demikian. Tetapi kamu haruslah yakin sepenuhnya bahawa pornografi itu berbahaya. Marilah kita lihat beberapa mitos dan fakta tentang hal ini.

 Mitos dan fakta

 Mitos: Pornografi tidak berbahaya.

 Fakta: Sepertimana merokok akan merosakkan paru-paru kamu, melihat pornografi akan mengotori dan merosakkan pemikiran kamu. Tuhan menciptakan hubungan yang paling akrab dan berkekalan antara lelaki dan wanita. Tetapi, pornografi merendahkan hubungan itu. (Kejadian 2:​24) Lama-kelamaan, kamu bahkan tidak akan dapat membezakan apa yang baik daripada apa yang buruk. Sebagai contoh, beberapa pakar mengatakan bahawa lelaki yang biasa menonton pornografi cenderung mempunyai pandangan yang salah terhadap wanita dan memandang keganasan terhadap kaum wanita sebagai perkara yang biasa.

Bible menyatakan bahawa sesetengah orang “tidak lagi peduli tentang piawaian moral.” (Efesus 4:19) Hati nurani mereka sudah begitu tumpul sehingga mereka tidak lagi berasa bersalah semasa melakukan apa yang buruk.

 Mitos: Pornografi dapat mengajar kamu tentang seks.

 Fakta: Pornografi mengajar kamu untuk bersikap tamak. Pornografi membuat kamu memandang orang sebagai alat untuk memuaskan nafsu semata-mata. Satu kajian bahkan mendapati bahawa orang yang biasa menonton pornografi kemungkinan besar tidak akan merasai kepuasan seksual selepas berkahwin.

Bible menasihati orang Kristian untuk mengelakkan “perbuatan seks yang tidak bermoral, kenajisan, hawa nafsu yang tidak terkawal, keinginan yang jahat, dan ketamakan.” Pornografi menggalakkan seseorang untuk memupuk semua sikap buruk ini.​—Kolose 3:5.

 Mitos: Orang yang menolak pornografi berfikiran kolot.

 Fakta: Orang yang menolak pornografi mempunyai pandangan yang betul tentang seks. Mereka memandangnya sebagai kurniaan yang diberikan oleh Tuhan untuk menguatkan hubungan antara lelaki dengan wanita yang sudah berkahwin dan yang setia kepada satu sama lain. Orang yang memiliki pandangan sebegini lebih cenderung menikmati kepuasan seksual setelah berkahwin.

Bible sangat berterus terang semasa menyentuh tentang topik seks. Contohnya, para suami diberitahu, “Bersukacita dengan isteri yang kamu kahwini sejak muda . . . Semoga kamu sentiasa ditawan oleh cintanya.”​—Amsal 5:​18, 19.

 Cara untuk menolak pornografi

 Bagaimana pula jika kamu berasa bahawa kamu tidak dapat melawan godaan untuk melihat pornografi? Lembaran kerja Cara Menolak Pornografi dalam bahasa Indonesia dapat membantu kamu.

 Yakinlah bahawa kamu dapat menolak godaan pornografi. Biarpun kamu sudah terbiasa melihat pornografi, kamu dapat menyingkirkan tabiat buruk itu. Kamu dapat meraih banyak manfaat jika kamu menolak godaan untuk melihat pornografi.

 Perhatikan pengalaman Calvin, yang mengakui bahawa dia mempunyai tabiat melihat pornografi sekitar usia 13 tahun. “Saya tahu bahawa hal itu salah,” kata Calvin, “tetapi saya tidak dapat melawan godaan untuk melihatnya. Selepas melihat gambar lucah, saya akan berasa sangat bersalah. Akhirnya bapa saya mendapat tahu tentang perbuatan saya. Sebenarnya, pada waktu itu, saya berasa sangat lega! Saya tahu bahawa saya akan mendapat bantuan yang saya perlukan.”

 Kini, Calvin telah berjaya untuk menolak godaan melihat pornografi. Dia berkata, “Saya amat menyesal kerana telah melihat pornografi, dan sampai sekarang pun saya perlu menanggung akibat buruknya. Gambar-gambar yang tidak senonoh masih muncul dalam fikiran saya dari masa ke masa. Kadangkala, saya masih tergoda untuk melihat gambar lucah. Jika hal itu berlaku, saya akan berfikir tentang betapa bahagia, bersih, dan cerahnya masa depan saya jika saya terus mengikut haluan hidup yang ditetapkan oleh Yehuwa.”