Lompat ke kandungan

KAUM MUDA BERTANYA

Bagaimanakah Saya Dapat Kurangkan Berat Badan?

Bagaimanakah Saya Dapat Kurangkan Berat Badan?

 Adakah saya betul-betul perlu kurangkan berat badan?

 Sesetengah remaja kata bahawa mereka ingin kurangkan berat badan. Namun . . .

  •   Ramai antara mereka sebenarnya lebih mementingkan penampilan berbanding kesihatan. Mereka mungkin sengaja tidak makan atau ambil pil pelangsing untuk kurangkan berat badan dengan cepat. Cara sebegini biasanya tidak berkesan dan bahkan bahaya.

     “Ada gadis yang sengaja tidak makan supaya dapat kurus dengan cepat. Akibatnya kesihatan mereka merosot dan perlu mengambil masa yang panjang untuk pulih.”—Hailey.

  •   Kebanyakan remaja yang risau tentang berat badan mereka sebenarnya tiada masalah berat badan. Berat badan mereka OK, tetapi mereka rasa gemuk apabila membandingkan diri dengan rakan sebaya atau dengan standard badan yang kurus yang digambarkan oleh media.

     “Semasa umur saya 13 tahun, saya sering bandingkan diri dengan kawan-kawan saya yang kurus seperti lidi. Saya fikir bahawa mereka akan lebih suka saya jika saya menjadi sama seperti mereka.”—Paola.

 Sebaliknya, terdapat juga remaja yang betul-betul perlu kurangkan berat badan. Menurut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia . . .

  •   Di seluruh dunia, terdapat 340 juta orang muda yang berumur antara 5 hingga 19 tahun mempunyai berat badan yang berlebihan.

  •   Pada tahun 1975, hanya 4 peratus antara mereka yang dalam lingkungan umur 5 hingga 19 tahun mempunyai berat badan yang berlebihan. Jumlah ini telah naik ke 18 peratus pada tahun 2016.

  •   Di kebanyakan negara, lebih ramai orang yang obes berbanding dengan orang yang terlalu ringan.

  •   Obesiti juga biasa berlaku di negara yang berpendapatan rendah, bahkan dalam keluarga yang sesetengah anggotanya kekurangan zat makanan.

 Apakah cara terbaik untuk kurangkan berat badan?

 Apakah cara yang akan kamu pilih?

  1.   Sengaja tidak makan.

  2.   Bersenam dan mengamalkan pemakanan yang seimbang.

  3.   Mengambil pil pelangsing.

 Jawapan yang betul: Cara ke-2: Bersenam dan mengamalkan pemakanan yang seimbang.

 Berat badan kamu mungkin cepat turun apabila kamu sengaja tidak makan atau menghindari makanan tertentu. Tetapi cara sebegitu tidak baik untuk kesihatan, dan kemungkinan besar berat badan kamu akan naik kembali apabila kamu berhenti berdiet.

 Sebaliknya, jika kamu bertekad untuk menjadi sihat, kamu akan rasa segar dan penampilan kamu pun lebih menarik. Dr. Michael Bradley menulis, “Untuk mencapai hasil yang paling selamat, sihat, dan kekal, anda perlu . . . mengubah gaya hidup dalam cara yang anda dapat kekalkan seumur hidup.” a Apakah maksudnya? Jika kamu perlu kurangkan berat badan, janganlah hanya berfikir tentang berdiet, tetapi berusahalah untuk mengubah gaya hidup.

 Cadangan yang praktikal

 Bible menasihati kita agar “bersikap sederhana dalam segala hal.” (1 Timotius 3:11) Hal ini termasuk tabiat pemakanan. Bible juga mengingatkan kita agar jangan makan berlebihan. (Amsal 23:20; Lukas 21:34) Ingatlah tentang prinsip-prinsip itu, dan cubalah cadangan berikut untuk mengamalkan gaya hidup yang lebih sihat:

  •   Ketahui apa maksudnya tabiat pemakanan yang sihat.

     Kamu tidak perlu bersikap keterlaluan, tetapi sedikit pengetahuan tentang nutrien pun dapat membantu kamu mengamalkan pemakanan yang seimbang. Inilah salah satu cara terbaik untuk mengekalkan berat badan yang sihat.

  •   Rajin bersenam.

     Fikirkan kegiatan seharian yang dapat membantu kamu untuk tetap aktif. Contohnya, daripada menaiki lif, kamu boleh menggunakan tangga. Kamu juga boleh kurangkan masa bermain video game untuk melakukan aktiviti sukan di luar rumah.

  •   Gantikan makanan ringan dengan makanan yang lebih sihat.

     Seorang remaja yang bernama Sophia berkata, “Saya cuba sediakan snek yang sihat seperti buah-buahan dan sayur-sayuran. Dengan itu, saya tidak akan tergoda untuk makan makanan yang tidak sihat apabila saya lapar.”

  •   Makan dengan perlahan-lahan.

     Sesetengah orang makan dengan begitu cepat sehingga mereka tidak sedar bahawa mereka sudah kenyang. Jadi makanlah dengan perlahan-lahan. Rehat dulu sebelum mengambil lebih banyak makanan. Kamu mungkin tidak begitu lapar seperti yang kamu jangkakan.

  •   Ketahui jumlah kalori dalam makanan kamu.

     Baca informasi nutrien untuk mengetahui jumlah kalori dalam makanan. Petunjuk: Minuman ringan yang manis, makanan segera, dan pencuci mulut biasanya mengandungi kalori yang tinggi dan boleh menyebabkan berat badan kamu meningkat.

  •   Bersikap seimbang.

     Sara yang berumur 16 tahun berkata, “Pernah seketika saya terlalu fikirkan jumlah kalori semasa makan. Apabila saya nampak makanan, saya nampak nombor kalori sahaja!” Janganlah terlalu mengira kalori. Kadangkala kamu masih boleh makan makanan yang sedap, walaupun kalorinya tinggi.

 Tip: Mintalah nasihat doktor tentang masalah berat badan kamu. Dia dapat mengambil kira keadaan kesihatan kamu secara keseluruhan dan membantu kamu mengamalkan gaya hidup yang sesuai untuk kamu.

a Dari buku When Things Get Crazy With Your Teen.