Lompat ke kandungan

KAUM MUDA BERTANYA

Apakah yang Perlu Saya Tahu tentang SMS?

Apakah yang Perlu Saya Tahu tentang SMS?
  • :-) Jika digunakan dengan bijak, SMS ialah cara berkomunikasi yang baik.

  • :-( Jika digunakan dengan cuai, SMS dapat menjejaskan persahabatan kamu dan reputasi kamu.

 Rencana ini akan menjelaskan apa yang perlu kamu ketahui tentang

 Juga dalam rencana ini:

 Siapa kamu SMS

 Bagi banyak remaja, SMS ialah cara berkomunikasi yang sangat penting. Kamu dapat berhubung dengan semua orang dalam senarai kenalan kamu, kecuali jika ibu bapa kamu tidak mengizinkannya.

 “Bapa saya tidak suka jika saya atau adik perempuan saya berbual dengan budak lelaki. Jika kami mahu berbual dengan orang yang berlawanan jantina, kami harus menggunakan telefon rumah di ruang tamu, dan mesti ada orang lain di situ.”​—Lenore.

 Apa yang perlu kamu ketahui: Jika kamu memberikan nombor kamu secara sembarangan kepada semua orang, kamu akan mengalami masalah.

 “Jika kamu tidak berhati-hati dan memberikan nombor kamu kepada semua orang, kamu pasti akan menerima SMS atau gambar yang tidak diingini.”​—Scott.

 “Jika kamu selalu SMS seseorang yang berlawanan jantina, kamu senang jatuh cinta dengan dia.”​—Steven.

 Bible menyatakan: “Orang bijak mengelakkan bahaya apabila melihatnya.” (Amsal 22:3) Dengan mengambil langkah-langkah pencegahan, kamu dapat mengelakkan banyak masalah.

 Kisah benar: “Saya berkawan dengan seorang budak lelaki, dan kami selalu hantar SMS kepada satu sama lain. Saya anggap dia sebagai kawan baik saja. Tetapi dia beritahu saya bahawa dia menyukai saya. Sekarang saya sedar bahawa saya tidak patut begitu rapat dengannya dan tidak patut selalu hantar SMS kepadanya.”​—Melinda.

 Fikirkan: Pada pendapat kamu, bagaimanakah persahabatan Melinda dengan budak lelaki itu setelah budak lelaki itu meluahkan perasaannya?

 Renungkan: Apakah yang sepatutnya dibuat oleh Melinda agar dia dan budak lelaki itu dapat menjadi kawan sahaja dan tidak lebih daripada itu?

 Apa yang kamu SMS

 Memang seronok untuk menghantar dan menerima SMS, tetapi kamu juga perlu ingat bahawa orang lain mungkin akan salah faham terhadap apa yang kamu tulis.

 Apa yang perlu kamu ketahui: Orang mungkin akan salah faham terhadap SMS kamu.

 “Apabila orang membaca SMS, mereka tidak dapat mengetahui emosi atau mendengar nada suara kamu biarpun kamu menggunakan emoji atau gambar. Hal ini dapat menimbulkan salah faham.”​—Briana.

 “Saya kenal gadis-gadis yang mendapat nama buruk dan dianggap sebagai perempuan yang suka bermain cinta kerana SMS yang mereka hantar kepada budak lelaki.”​—Laura.

 Bible menyatakan: “Orang baik berfikir dahulu sebelum menjawab.” (Amsal 15:​28, Alkitab Berita Baik) Maka kamu patut membaca SMS kamu sebelum kamu menghantarnya kepada orang lain!

 Bila kamu mengirim SMS

 Gunakanlah daya penilaian kamu semasa mengirim SMS, dan tetapkanlah peraturan untuk diri kamu sendiri.

 Apa yang perlu kamu ketahui: Jika kamu tidak menetapkan peraturan, orang lain akan menjauhi kamu kerana kamu biadab.

 “Saya sering lupa untuk bersikap sopan semasa saya bercakap dengan orang lain. Contohnya, semasa di meja makan, saya akan bercakap kepada orang, tetapi pada masa yang sama, saya akan mengirim SMS kepada orang yang lain.”​—Allison.

 “Memandu sambil menghantar SMS adalah amat berbahaya. Jika kamu tidak menumpukan perhatian semasa memandu, kamu mungkin akan mengalami kemalangan.”​—Anne.

 Bible menyatakan: “Ada waktu yang tertentu untuk segala sesuatu. . . . ada waktu untuk berdiam, dan ada waktu untuk bercakap.” (Pengkhutbah 3:1, 7) Prinsip ini juga boleh diterapkan dalam hal SMS!

 Tip mengirim SMS

Siapa kamu SMS

  •  ;-) Patuhilah peraturan ibu bapa kamu.​—Kolose 3:20.

  •  ;-) Janganlah berikan nombor kamu secara sembarangan kepada semua orang. Jika kamu pandai melindungi maklumat peribadi kamu, termasuk nombor telefon kamu, kamu sedang memupuk kemahiran yang penting yang dapat membantu kamu apabila kamu dewasa nanti.

  •  ;-) Janganlah menjadi terlalu rapat dengan seseorang dengan mengirim SMS yang berbaur romantik. Jika perasaan romantik bertumbuh, hal ini akan menyebabkan banyak masalah.

 “Ibu bapa saya mempercayai saya kerana saya selalu berhati-hati semasa menggunakan telefon bimbit. Mereka tahu bahawa saya tidak akan memberikan nombor saya secara sembarangan.”​—Briana.

Apa yang kamu SMS

  •  ;-) Sebelum kamu mula menaip SMS kamu, tanyalah diri, “Patutkah saya menghantar SMS kepada orang itu dalam situasi ini?” Mungkin adalah lebih baik untuk membuat panggilan telefon atau berjumpa dengan orang itu.

  •  ;-) Jika kamu tidak berani mengatakan sesuatu di depan seseorang, janganlah mengatakannya dalam SMS,” kata Sarah yang berusia 23 tahun.

 “Jika seseorang mengirim gambar yang tidak senonoh kepada kamu, beritahulah ibu bapa kamu. Tindakan sedemikian akan melindungi kamu dan membina kepercayaan ibu bapa kamu terhadap kamu.”​—Sirvan.

Bila kamu mengirim SMS

  •  ;-) Tetapkan masa penggunaan telefon bimbit. “Saya tidak menggunakan telefon bimbit pada waktu makan atau waktu belajar,” kata seorang gadis yang bernama Olivia. “Saya mematikan telefon semasa perjumpaan Kristian supaya saya tidak tergoda untuk melihatnya.”

  •  ;-) Bertimbang rasa. (Filipi 2:4) Jangan mengirim SMS sewaktu anda sedang bercakap dengan seseorang.

 “Saya menetapkan peraturan untuk diri sendiri, seperti tidak menghantar SMS kepada orang lain sewaktu saya bersama kawan-kawan saya. Saya juga tidak memberikan nombor telefon saya kepada orang yang tidak rapat dengan saya.”​—Janelly.