Lompat ke kandungan

KAUM MUDA BERTANYA

Adakah Perbuatan Homoseksual Salah?

Adakah Perbuatan Homoseksual Salah?

 “Sewaktu remaja, saya pernah tertarik kepada orang yang sama jantina dengan saya. Itu salah satu cabaran terbesar saya. Saya sangka perasaan itu akan berlalu. Tapi sampai sekarang, saya masih perlu bergelut dengan perasaan itu.”​—David, 23.

 David ialah seorang Kristian, dan dia ingin menyenangkan hati Tuhan. Dapatkah dia berbuat demikian jika dia tertarik kepada orang yang sama jantina dengannya? Apakah sebenarnya perasaan Tuhan tentang perbuatan homoseksual?

 Apakah pandangan Bible?

 Pandangan orang tentang hubungan homoseksual mungkin berbeza-beza, bergantung kepada kebudayaan atau zaman. Namun, orang Kristian tidak dipengaruhi oleh pandangan kebanyakan orang atau ‘diperdaya oleh pelbagai ajaran, sehingga terumbang-ambing seperti perahu yang ditiup angin ke sana sini.’ (Efesus 4:14) Sebaliknya, pandangan mereka tentang perbuatan homoseksual (dan tentang perbuatan-perbuatan yang lain) adalah berdasarkan Bible.

 Pandangan Bible tentang perbuatan homoseksual adalah jelas. Firman Tuhan menyatakan,

  •  “Jangan meniduri lelaki seperti meniduri perempuan.”​—Imamat 18:22, Alkitab Versi Borneo.

  •  “Oleh sebab mereka mahu menurut keinginan hati sendiri, . . . Tuhan menyerahkan mereka kepada nafsu seks yang tidak terkawal. Kaum wanita tidak menggunakan tubuh menurut cara yang semula jadi tetapi menurut cara yang tidak semula jadi.”​—Roma 1:24, 26.

  •  “Janganlah menipu diri sendiri. Orang yang melakukan perbuatan seks yang tidak bermoral, orang yang menyembah berhala, orang yang berzina, lelaki yang rela ditiduri lelaki lain, lelaki yang meniduri lelaki, orang yang mencuri, yang tamak, yang mabuk, yang suka mencaci, dan yang memeras ugut, tidak akan mewarisi Kerajaan Tuhan.”​—1 Korintus 6:9, 10.

 Sebenarnya, hukum Tuhan adalah untuk semua orang, tidak kira mereka mempunyai keinginan homoseksual atau tidak. Setiap orang harus mengawal diri jika dia tergoda untuk melakukan sesuatu yang tidak menyenangkan hati Tuhan.​—Kolose 3:5.

 Adakah itu bermaksud . . . ?

 Adakah itu bermaksud bahawa Bible menggalakkan kita untuk membenci kaum homoseksual?

 Tidak. Bible tidak menggalakkan kita untuk membenci sesiapa pun​—sama ada mereka homoseksual atau tidak. Sebaliknya, Bible mengajar kita untuk “berdamai dengan semua orang,” tidak kira apa gaya hidup mereka. (Ibrani 12:14) Maka kita tidak patut membuli, membenci, atau berbuat jahat terhadap kaum homoseksual.

 Adakah itu bermaksud bahawa orang Kristian patut menentang undang-undang yang membenarkan perkahwinan sejenis?

 Bible menunjukkan bahawa Tuhan telah menetapkan perkahwinan sebagai ikatan antara seorang lelaki dengan seorang perempuan. (Matius 19:4-6) Tetapi sama ada undang-undang membenarkan perkahwinan sejenis atau tidak, hal itu berkaitan dengan isu politik dan bukannya berkaitan dengan soal moral. Bible menyatakan bahawa orang Kristian harus tetap neutral dalam isu politik. (Yohanes 18:36) Maka mereka tidak akan menyokong atau menentang undang-undang kerajaan yang berkaitan dengan perkahwinan sejenis atau perbuatan homoseksual.

 Tetapi bagaimana pula jika . . . ?

 Tetapi bagaimana pula jika seseorang sedang mengamalkan perbuatan homoseksual? Dapatkah dia berubah?

 Ya. Itulah yang dilakukan oleh sesetengah orang pada abad pertama! Setelah menyatakan bahawa orang yang mengamalkan perbuatan homoseksual tidak akan mewarisi Kerajaan Tuhan, Bible juga menyatakan, “Demikianlah cara hidup sesetengah orang antara kamu dahulu.”​—1 Korintus 6:11.

 Adakah itu bermaksud bahawa orang yang berhenti mengamalkan perbuatan homoseksual tidak lagi memiliki kecenderungan itu? Tidak. Bible menyatakan, “Hendaklah kamu mengenakan keperibadian baru, yang diperbaharui melalui pengetahuan yang tepat.” (Kolose 3:10) Perubahan itu merupakan proses yang berterusan.

 Tetapi bagaimana pula jika seseorang yang ingin mengikut ajaran Tuhan masih memiliki keinginan homoseksual?

 Kita semua boleh memilih untuk tidak mengikut keinginan sedemikian. Bagaimana? Bible menyatakan, “Teruslah berjalan menurut bimbingan daya aktif Tuhan. Dengan demikian, kamu sama sekali tidak akan menurut keinginan yang berdosa.”​—Galatia 5:16.

 Perhatikan bahawa ayat itu tidak menyatakan bahawa seseorang tidak akan memiliki keinginan yang berdosa. Sebaliknya, jika orang itu mempelajari Bible secara tetap dan rajin berdoa, dia dapat melawan keinginan sebegitu.

 David, yang disebutkan tadi, sedar bahawa hal itu memang benar​—terutamanya setelah dia menceritakan masalahnya kepada ibu bapanya. Dia berkata, “Saya berasa sangat lega, dan jika saya menceritakan masalah saya lebih awal, saya pasti lebih menikmati masa remaja saya.”

 Ya, kita akan berasa lebih gembira jika kita mengikut ajaran Yehuwa. Kita yakin bahawa hukum Tuhan selalu ‘benar dan menggembirakan hati,’ dan “pahala tersedia untuk orang yang mentaatinya.”​—Mazmur 19:9, 12.