Lompat ke kandungan

KAUM MUDA BERTANYA

Apa yang Dapat Bantu Saya semasa Berkabung?

Apa yang Dapat Bantu Saya semasa Berkabung?

 Adakah seorang kawan atau ahli keluarga meninggal baru-baru ini? Jika ya, rencana ini dapat bantu kamu hadapi perasaan sedih.

Dalam rencana ini

 Adakah saya terlampau berkabung?

 Untuk kebanyakan orang, perasaan sedih yang mereka rasai sangat kuat dan berlanjutan.

 “Saya selalu fikir tentang datuk saya. Walaupun datuk sudah meninggal dua tahun, saya masih menangis semasa bercakap tentangnya.”—Olivia.

 “Nenek saya selalu galakkan saya untuk capai matlamat saya, tapi dia meninggal sebelum lihat saya berbuat demikian. Saya rasa sedih setiap kali saya capai matlamat kerana dia tak dapat lihatnya.”—Alison.

 Apabila seseorang meninggal, kamu boleh alami emosi yang berbeza-beza. Contohnya:

 “Semasa pak cik meninggal, saya rasa terkejut untuk masa yang lama. Saya tak dapat percaya. Itulah kali pertama orang yang rapat dengan saya meninggal. Saya rasa seperti dilanggar oleh kereta api.”—Nadine.

 “Saya rasa marah semasa datuk meninggal kerana dia tak jaga kesihatannya walaupun kami menasihatinya untuk berbuat demikian.”—Carlos.

 “Antara ahli keluarga rapat, hanya saya dan kakak tak bersama datuk semasa dia meninggal. Selepas itu, saya rasa bersalah kerana saya tak dapat ucap selamat tinggal kepadanya.”—Adriana.

 “Sepasang suami isteri yang rapat dengan keluarga kami meninggal dalam kemalangan kereta. Kemudian, setiap kali seorang ahli keluarga keluar rumah, saya rasa takut dia akan mati juga.”—Jared.

 “Ketika nenek meninggal tiga tahun yang lepas, saya menyesal kerana tidak luangkan lebih banyak masa bersamanya.”—Julianna.

 Perasaan terkejut, marah, bersalah, takut, dan menyesal ialah emosi yang biasa dialami semasa berkabung. Jika kamu alami mana-mana perasaan itu, ingatlah bahawa lambat laun perasaan itu akan semakin berkurang. Sementara itu, apa yang dapat bantu kamu hadapinya?

 Cara menghadapi perasaan sedih

 Bercakap dengan kawan. Bible kata sahabat sejati “dapat diharapkan pada masa kesusahan.” (Amsal 17:17) Kamu dapat sokongan yang diperlukan semasa bercakap dengan seseorang tentang perasaan kamu.

 “Memang biasa untuk berkabung. Kadang-kadang, kamu boleh berkabung seorang diri, tapi kamu mungkin akan terus fikir keadaan tak akan bertambah baik macam awan yang gelap. Sebab itu, memang bagus bercakap dengan seseorang.”—Yvette.

 Ingat orang tersayang yang meninggal. Bible kata “orang yang baik menyimpan apa yang baik dalam hati.” (Lukas 6:45) Kamu boleh tulis kenangan manis atau buat album foto.

 “Saya tulis semua perkara yang kawan saya ajar saya sebelum dia meninggal. Dengan itu, contoh baiknya terus membantu saya. Apabila saya menulis semua itu, saya dibantu untuk menghadapi kehilangannya.”—Jeffrey.

 Jaga kesihatan kamu. Memang Bible juga setuju senaman ada manfaatnya. (1 Timotius 4:8) Pastikan kamu dapatkan khasiat, senaman, dan rehat yang secukupnya.

 “Semasa berkabung, kamu mungkin tak dapat fikir dengan baik. Jadi, kamu mesti pastikan kamu tetap sihat. Jangan abaikan pemakanan dan tidur yang diperlukan.”—Maria.

 Bantu orang lain. Bible kata, “Lebih berbahagia memberi daripada menerima.”—Kisah 20:35.

 “Cubalah buat sesuatu untuk orang lain, terutamanya bagi mereka yang juga kehilangan orang tersayang. Ini dapat ingatkan kamu bahawa orang lain juga menderita.”—Carlos.

 Luahkan isi hati kamu dalam doa. Bible kata Tuhan Yehuwa ialah “Pendengar doa.” (Mazmur 65:2) Ayat Bible yang lain juga kata Yehuwa “menyembuhkan orang yang hancur hati; Dia membalut luka mereka.”—Mazmur 147:3.

 “Mintalah Yehuwa untuk beri sokongan dan galakan yang kamu perlukan. Ada hari yang lebih susah dari hari lain, tapi Yehuwa selalu di samping kita.”—Jeanette.

 Pupuk pandangan yang munasabah. Ingatlah bahawa cara setiap orang berkabung adalah berbeza. Bible kata bahawa Yakub “tidak mahu dihiburkan” semasa dia fikir anak lelakinya meninggal. (Kejadian 37:35) Jadi, jangan rasa hairan jika kamu terus bersedih.

 “Banyak perkara ingatkan saya tentang nenek saudara saya walaupun dia telah meninggal 15 tahun yang lalu.”—Taylor.

 Bayangkan tulang kamu patah. Tentu itu sakit dan perlukan masa untuk sembuh. Sementara itu, doktor akan beri nasihat tentang apa yang dapat bantu tubuh kamu sembuh.

 Begitu juga untuk sembuh daripada “luka” yang dialami akibat kehilangan orang tersayang. Masa memang diperlukan untuk rasa sedih pilu semakin kurang. Jadi bersabarlah. Fikirkan cadangan-cadangan dalam rencana ini, dan lihat mana yang paling berguna bagi kamu.