Lompat ke kandungan

KAUM MUDA BERTANYA

Bagaimana Saya Dapat Mengatasi Kemurungan?

Bagaimana Saya Dapat Mengatasi Kemurungan?

 Apakah yang akan kamu lakukan?

 Fikirkan situasi berikut:

 Jennifer tidak lagi berasa gembira. Dia menangis setiap hari tanpa sebab. Dia tidak mahu bergaul dengan orang lain dan tidak mahu makan. Dia berasa susah untuk tidur dan menumpukan perhatian. Jennifer fikir, “Kenapa saya begini? Dapatkah saya jadi seperti dahulu?”

 Dahulu Mark ialah pelajar contoh. Tetapi sekarang dia tidak suka pergi sekolah, dan keputusannya merosot. Dia tidak lagi menikmati sukan yang digemarinya. Kawan-kawannya bingung. Ibu bapanya risau. Adakah ini hanya masalah sementara atau masalah yang lebih serius?

 Pernahkah kamu rasa seperti Jennifer atau Mark? Jika ya, apakah yang dapat kamu lakukan? Kamu mempunyai dua pilihan:

  1.   Cuba menghadapinya dengan cara sendiri

  2.   Berbincang dengan orang dewasa yang dapat dipercayai

 Pilihan A mungkin lebih senang dilakukan, terutamanya semasa kamu tidak ingin bercakap dengan sesiapa pun. Tetapi adakah ini pilihan yang bijak? Bible menyatakan, ‘Berdua lebih baik daripada seorang diri. Jika seorang jatuh, yang seorang lagi dapat menolongnya. Tetapi jika orang itu sendirian, lalu jatuh, malanglah dia kerana tiada sesiapa yang menolongnya.’​—Pengkhutbah 4:9, 10.

 Cuba fikirkan: Katakan kamu sesat di kawasan yang dipenuhi orang jahat. Tempat itu gelap, dan orang yang tidak dikenali berada di merata-rata. Apakah yang akan kamu lakukan? Kamu boleh cuba cari jalan keluar seorang diri. Tetapi tidakkah lebih bijak untuk meminta bantuan daripada orang yang dapat dipercayai?

 Kemurungan adalah seperti kawasan yang bahaya itu. Kita semua memang akan rasa sedih dari masa ke masa. Tetapi jika kemurungan itu berterusan, adalah lebih baik untuk meminta bantuan orang lain.

 PRINSIP BIBLE: “Orang yang menyingkirkan diri . . . membantah segala pendapat yang baik daripada orang lain.”​—Amsal 18:1.

 Pilihan B lebih baik kerana ibu bapa atau orang dewasa yang lain mungkin pernah mengalami emosi yang serupa, dan mereka dapat membantu kamu.

 Kamu mungkin berkata, “Ibu bapa saya tidak faham perasaan saya!” Tetapi, adakah kamu pasti? Walaupun apa yang dialami mereka mungkin berbeza daripada apa yang kamu alami, perasaan mereka mungkin sama dengan perasaan kamu. Mereka mungkin tahu cara untuk mengatasinya!

 PRINSIP BIBLE: ‘Hikmat dan pengertian ada pada orang tua.’​—Ayub 12:12, 13.

 Kesimpulannya: Jika kamu berbincang dengan ibu bapa atau orang dewasa yang dapat dipercayai, kemungkinan besar kamu boleh mendapat nasihat yang berguna.

Kemurungan adalah seperti kawasan yang bahaya. Untuk cari jalan keluar, dapatkanlah bantuan

 Adakah kamu memerlukan bantuan doktor?

 Jika kamu berasa murung setiap hari, kamu mungkin mengalami kemurungan klinikal (atau, serius) dan memerlukan bantuan doktor.

 Kemurungan klinikal yang dialami orang muda mungkin serupa dengan kesedihan yang biasanya dialami remaja. Namun perasaan murung ini sangat kuat dan berlanjutan untuk masa yang lebih lama. Maka, jika kamu berasa sebegini, beritahulah ibu bapa bahawa kamu memerlukan pemeriksaan doktor.

 PRINSIP BIBLE: “Orang yang memerlukan doktor bukannya orang yang sihat, tetapi orang yang sakit.”​—Matius 9:​12.

 Jika kamu didapati menghidap kemurungan klinikal, kamu tidak perlu berasa malu. Keadaan ini biasa dialami oleh orang muda, tetapi masalah ini dapat dirawat! Sahabat yang sejati tidak akan pandang rendah terhadap kamu.

 Tip: Tetaplah bersabar. Kamu memerlukan masa untuk sembuh daripada kemurungan. Ingatlah bahawa kamu tidak dapat lari daripada suka dan duka kehidupan. a

 Cadangan yang praktikal

 Tidak kira kamu perlu dapatkan rawatan perubatan atau tidak, ada beberapa perkara yang dapat kamu lakukan untuk melawan perasaan sedih. Contohnya, jika kamu selalu bersenam, jaga pemakanan, dan dapatkan tidur yang mencukupi, hal ini dapat membantu agar emosi kamu lebih stabil. (Pengkhutbah 4:6; 1 Timotius 4:8, nota kaki) Kamu juga boleh menyimpan diari untuk mencatatkan perasaan kamu, matlamat kamu, cabaran yang dihadapi, dan kejayaan yang diraih.

 Sama ada kamu menghidap kemurungan klinikal atau hanya mengalami situasi yang mencabar dalam kehidupan, ingatlah hal ini: Dengan menerima bantuan orang lain dan mengambil langkah untuk menghadapi masalah ini, kamu dapat mengatasi kemurungan.

 Ayat-ayat Bible yang dapat membantu

  •  ‘Yehuwa dekat kepada orang yang tawar hati; Dia menyelamatkan mereka yang putus asa.’​—Mazmur 34:19.

  •  ‘Serahkanlah kekhuatiranmu kepada Yehuwa, maka Dia akan membela kamu; Dia tidak akan membiarkan orang jujur dikalahkan.’​—Mazmur 55:23.

  •  ‘Akulah Yehuwa, Tuhan kamu; Aku menguatkan kamu dan berfirman, “Jangan takut, Aku akan menolong kamu.”’​—Yesaya 41:13.

  •  “Janganlah khuatir tentang hari esok.”​—Matius 6:​34.

  •  “Nyatakanlah permohonan kamu kepada Tuhan. . . . Dengan demikian kesejahteraan daripada Tuhan, yang jauh lebih unggul daripada apa yang dapat difahami oleh manusia, akan menjaga hati dan fikiran kamu.”​—Filipi 4:​6, 7.

a Jika kamu pernah fikir untuk bunuh diri, dapatkanlah bantuan daripada orang dewasa yang dapat dipercayai dengan segera. Untuk maklumat lanjut, sila lihat siri rencana yang bertajuk “Buat Apa Hidup?” dalam majalah Sedarlah! bulan April 2014 dalam bahasa Indonesia.