Surat kepada Sidang di Roma 14:1-23

  • Jangan saling menghakimi (1-12)

  • Jangan membuat orang tersandung (13-18)

  • Berusaha membawa perdamaian dan perpaduan (19-23)

14  Sambutlah orang yang lemah imannya.+ Janganlah menghakimi orang yang mempunyai pandangan-pandangan yang berbeza.*  Ada orang yang percaya bahawa dia boleh makan apa-apa sahaja. Tetapi orang yang lemah imannya hanya makan sayur-sayuran.  Orang yang makan apa sahaja tidak patut memandang rendah pada orang yang hanya makan makanan tertentu, dan orang yang hanya makan makanan tertentu tidak patut menghakimi orang yang makan apa sahaja,+ kerana Tuhan sudah menerima dia.  Siapakah kamu sehingga kamu menghakimi hamba orang lain?+ Tuan kepada hamba itulah yang berhak untuk menentukan sama ada perbuatan hambanya betul atau salah.+ Memandangkan Yehuwa* menolong hamba itu, dia akan mendapat perkenan-Nya.  Ada orang yang berpendapat bahawa suatu hari tertentu lebih penting daripada hari yang lain,+ sedangkan orang lain berpendapat bahawa semua hari sama sahaja.+ Setiap orang harus yakin sepenuhnya akan keputusan masing-masing.  Orang yang mengutamakan hari-hari tertentu berbuat demikian untuk memuliakan Yehuwa.* Orang yang makan apa sahaja berbuat demikian untuk memuliakan Yehuwa* kerana dia mengucapkan syukur kepada Tuhan.+ Orang yang hanya makan makanan tertentu berbuat demikian untuk memuliakan Yehuwa* kerana dia juga mengucapkan syukur kepada Tuhan.+  Sebenarnya, tiada seorang pun dalam kalangan kita yang hidup semata-mata untuk diri sendiri,+ dan tiada orang yang mati semata-mata untuk diri sendiri.  Jika kita hidup, kita hidup untuk Yehuwa.*+ Jika kita mati, kita mati untuk Yehuwa.* Sama ada kita hidup atau mati, kita milik Yehuwa.*+  Kristus mati dan hidup semula supaya dia menjadi Tuan kepada orang mati dan orang hidup.+ 10  Oleh itu, mengapakah kamu menghakimi saudara kamu?+ Mengapakah kamu memandang rendah pada saudara kamu? Kita semua akan berdiri di hadapan tempat pengadilan Tuhan.+ 11  Ada tertulis, “Yehuwa* berfirman, ‘Sesungguhnya,+ setiap orang akan berlutut di hadapan-Ku, dan setiap orang akan mengaku di hadapan umum bahawa Akulah Tuhan.’”+ 12  Maka, kita bertanggungjawab kepada Tuhan atas perbuatan kita masing-masing.+ 13  Oleh itu, jangan lagi menghakimi satu sama lain.+ Sebaliknya bertekadlah untuk tidak meletakkan batu sandungan atau batu penghalang di hadapan saudara kita.+ 14  Sebagai pengikut Tuan Yesus, aku tahu dan yakin bahawa tidak ada apa-apa pun yang pada dasarnya najis.+ Namun jika seseorang menganggap sesuatu hal najis, maka najislah hal itu baginya. 15  Jika kamu menyinggung perasaan saudara kamu disebabkan oleh apa yang kamu makan, kamu tidak lagi bertindak berdasarkan kasih.+ Janganlah hancurkan imannya dengan apa yang kamu makan, kerana Kristus sudah mati baginya.+ 16  Maka, janganlah membiarkan perkara baik yang kamu lakukan itu dikatakan sebagai sesuatu yang buruk. 17  Hal ini demikian kerana makanan dan minuman tidak menentukan sama ada seseorang akan memasuki Kerajaan Tuhan atau tidak.+ Sebaliknya, dia mesti melakukan apa yang benar, berdamai dengan orang lain, dan bersukacita. Kuasa suci Tuhan akan membantu dia untuk melakukan semua itu. 18  Sesiapa yang mengabdikan dirinya kepada Kristus dengan cara demikian diperkenankan Tuhan dan menyenangkan hati orang lain. 19  Oleh itu, hendaklah kita berusaha untuk menguatkan satu sama lain+ dan melakukan perkara yang membawa perdamaian.+ 20  Jangan lagi meruntuhkan pekerjaan Tuhan semata-mata kerana makanan.+ Segala sesuatu sememangnya tidak najis, tetapi jika apa yang kita makan membuat orang lain tersandung, hal itu tidak baik.*+ 21  Lebih baik tidak makan daging, minum wain, atau melakukan apa sahaja yang akan menyebabkan saudara kamu tersandung.+ 22  Apa yang kamu percayai merupakan hal antara kamu dengan Tuhan. Berbahagialah orang yang tidak menyalahkan dirinya sendiri setelah dia melakukan apa yang dianggapnya benar. 23  Tetapi jika seseorang meragui apa yang telah dimakannya, dia sudah bersalah kerana perbuatannya itu tidak berdasarkan iman. Sesungguhnya, apa-apa perbuatan yang tidak berdasarkan iman ialah dosa.

Nota Kaki

Atau mungkin, “orang yang ragu-ragu dalam hatinya.”
Atau “hal itu memudaratkan.”