Lompat ke kandungan

KAUM MUDA BERTANYA

Adakah Ilmu Ghaib Berbahaya?

Adakah Ilmu Ghaib Berbahaya?

 Apakah pendapat kamu?

  •   Adakah zodiak, papan Ouija, atau orang yang mempunyai kuasa ghaib berbahaya?

  •   Adakah cerita tentang alam ghaib sekadar menggambarkan pergelutan antara kuasa yang baik dengan kuasa yang jahat? Atau adakah cerita-cerita itu berbahaya?

 Rencana ini akan membincangkan mengapa spiritisme kelihatan menarik tetapi sebenarnya berbahaya dan mengapa kamu harus berhati-hati.

 Mengapakah spiritisme kelihatan menarik?

 Industri hiburan selalu menghasilkan filem, rancangan TV, permainan video, dan buku yang bertemakan ilmu ghaib. Akibatnya, banyak orang muda berminat pada astrologi, roh-roh jahat, puntianak, dan ilmu sihir. Mengapa? Berikut merupakan beberapa sebabnya:

  •   Rasa ingin tahu: Untuk mengetahui sama ada alam ghaib betul-betul wujud

  •   Risau: Untuk mengetahui apa yang bakal berlaku

  •   Rindu: Untuk berkomunikasi dengan orang tersayang yang telah meninggal

 Hal-hal itu tidak semestinya salah. Contohnya, tidak salah untuk tertanya-tanya tentang masa depan, atau merindui orang tersayang yang telah meninggal. Tetapi kamu haruslah berhati-hati.

 Mengapakah kamu harus berhati-hati?

 Bible memberikan amaran yang keras tentang spiritisme:

 “Jangan mengamalkan ilmu ramal atau ilmu sihir. Jangan mencari petanda atau menjadi tukang sihir. Jangan mengenakan jampi kepada orang lain, dan jangan mencari bomoh atau meminta nasihat daripada tukang tilik. Jangan meminta petunjuk daripada orang mati. Yehuwa sangat membenci sesiapa yang melakukan perkara-perkara keji tersebut.”​—Ulangan 18:10-​12.

 Mengapakah Bible mengutuk spiritisme?

  •   Spiritisme berkait rapat dengan roh-roh jahat. Bible mengajar kita bahawa sebilangan malaikat telah memberontak melawan Tuhan dan menjadi musuh Tuhan. (Kejadian 6:2; Yudas 6) Malaikat-malaikat jahat ini, yang dipanggil roh-roh jahat, suka menyesatkan orang melalui bomoh, tukang tilik, ahli sihir, dan ahli nujum. Jika kita terlibat dalam amalan spiritisme, kita menunjukkan bahawa kita menyokong roh-roh jahat.

  •   Spiritisme membuat orang percaya bahawa manusia dapat meramalkan masa depan. Tetapi hanya Tuhan yang dapat berfirman, “Sejak permulaan, Aku telah bernubuat tentang hal yang akan berlaku. Sejak zaman dahulu, Aku telah menyatakan perkara yang belum terjadi.”​—Yesaya 46:10; Yakobus 4:13, 14.

  •   Spiritisme membuat orang percaya bahawa orang yang telah mati dapat berhubung dengan orang yang hidup. Tetapi Bible menyatakan, ‘Orang mati tidak tahu apa-apa pun. Di Kuburan, tidak ada pekerjaan, rancangan, pengetahuan, atau kebijaksanaan.’​—Pengkhutbah 9:​5, 10.

 Itulah sebabnya Saksi-Saksi Yehuwa menghindari semua amalan yang berkaitan dengan spiritisme. Mereka juga mengelakkan hiburan yang berkisarkan zombie, puntianak, dan hal-hal yang berkaitan dengan fenomena paranormal. “Saya tidak akan menonton apa-apa yang mengandungi unsur spiritisme,” kata seorang wanita muda yang bernama Maria. a

Sebagaimana seorang penjenayah mencuba menipu kamu, roh-roh jahat juga berpura-pura untuk menjadi orang kesayangan kamu yang telah meninggal

 Apa yang dapat kamu lakukan

  •   Bertekadlah untuk “memiliki hati nurani yang bersih di hadapan Tuhan” dengan menghindari amalan atau hiburan yang ada kaitan dengan ilmu ghaib.​—Kisah 24:16.

  •   Buanglah apa-apa yang ada kaitan dengan ilmu ghaib. Baca Kisah 19:19, 20, dan perhatikan teladan baik orang Kristian pada abad pertama.

 Ingatlah: Apabila kamu menjauhi amalan dan hiburan yang ada kaitan dengan ilmu ghaib, kamu sedang menunjukkan bahawa kamu menyokong Yehuwa, dan hal ini menggembirakan hati-Nya!​—Amsal 27:11.

a Hal ini tidak bermaksud bahawa semua cerita fantasi ada kaitan dengan spiritisme. Maka orang Kristian harus menggunakan hati nurani mereka yang dilatih oleh prinsip Bible untuk menghindari amalan atau hiburan yang mengandungi unsur spiritisme.​—2 Korintus 6:​17; Ibrani 5:​14.