Lompat ke kandungan

KAUM MUDA BERTANYA

Adakah Orang Ini Sesuai bagi Saya?

Adakah Orang Ini Sesuai bagi Saya?

 Sudahkah kamu menemui seseorang yang mungkin layak menjadi calon teman hidup kamu? Jika ya, bagaimanakah kamu dapat yakin bahawa dia sesuai bagi kamu?

 Jangan sekadar melihat sifat luarannya. Gadis yang paling cantik tidak semestinya dapat dipercayai dan jejaka yang paling kacak tidak semestinya bersih secara moral. Kamu perlu mencari seseorang yang serasi dengan kamu dan mempunyai matlamat hidup yang sama dengan kamu.​—Kejadian 2:18; Matius 19:​4-6.

Kenalinya dengan Lebih Mendalam

 Jika kamu tertarik kepada seseorang, perhatikanlah orang itu dengan teliti dan jangan dipengaruhi oleh perasaan kamu. Berhati-hatilah kerana kamu mungkin cenderung untuk melihat apa yang kamu inginkan sahaja. Jadi janganlah terburu-buru, dan kenalilah dirinya yang sebenar.

 Banyak orang yang berdating tidak mengenali teman mereka secara mendalam. Mereka cuma mencari persamaan antara mereka dengan teman mereka: “Kami suka muzik yang sama.” “Kami suka melakukan aktiviti yang sama.” “Kami sangat serasi!” Tetapi kamu perlu mengenalinya dengan lebih mendalam. Kamu perlu mengenali sikap sebenarnya. (1 Petrus 3:4; Efesus 3:16) Daripada bertumpu kepada persamaan kamu berdua, adalah lebih baik untuk memerhatikan apa yang berlaku sewaktu kamu tidak sependapat.

 Contohnya, fikirkanlah hal-hal berikut:

  •   Bagaimanakah dia menangani masalah? Adakah dia berkeras mahu keinginannya dituruti dengan melampiaskan kemarahan atau menggunakan “kata-kata hinaan”? (Galatia 5:​19, 20; Kolose 3:8) Adakah dia bersikap munasabah dan sudi berubah untuk menjaga kedamaian apabila hal itu tidak bercanggah dengan prinsip Bible?​—Yakobus 3:17.

  •   Adakah dia suka mengawal kamu, tidak mahu kamu berkawan dengan orang lain, atau kuat cemburu? Adakah dia mahu kamu melaporkan setiap gerak-geri kamu kepadanya? Nicole berkata, “Saya tahu tentang pasangan yang bergaduh kerana satu pihak tidak tahan apabila teman wanita atau lelakinya tidak melaporkan apa yang dilakukannya pada setiap masa. Ini tanda yang buruk.”​—1 Korintus 13:4.

  •   Bagaimanakah orang lain memandangnya? Kamu patut bercakap dengan orang yang telah lama mengenalinya, seperti saudara saudari yang matang di sidang. Dengan demikian, kamu akan mengetahui reputasinya.​—Kisah 16:​1, 2.