Lompat ke kandungan

KAUM MUDA BERTANYA

Mengapa Perlu Berdamai dengan Adik-beradik?

Mengapa Perlu Berdamai dengan Adik-beradik?

 Kadangkala kawan kadangkala lawan

 Adik-beradik kamu kadangkala menjadi kawan kamu dan kadangkala menjadi lawan kamu. Kamu mengasihi mereka, dan mereka juga mengasihi kamu. Tetapi ada kalanya, kamu mungkin rasa susah untuk berdamai dengan mereka. “Adik lelaki saya selalu buat saya geram,” kata Helena yang berumur 18 tahun. “Dia tahu apa yang perlu dikatakan atau dilakukan untuk buat saya marah!”

 Adakah kamu selalu bergaduh dengan adik-beradik kamu? Sebenarnya, jika kamu belajar cara untuk berkomunikasi dengan baik, banyak masalah dapat diselesaikan. Contohnya:

  •   Dua orang adik-beradik lelaki yang berkongsi bilik mungkin bergaduh kerana berasa bahawa privasi mereka tidak dihormati. Penyelesaiannya? Belajarlah untuk mengalah dan hormatilah privasi satu sama lain. Terapkanlah prinsip di Lukas 6:​31.

  •   Dua orang adik-beradik perempuan mungkin “meminjam” baju satu sama lain tanpa meminta izin. Penyelesaiannya? Bincangkanlah hal itu dan tetapkanlah batasan yang munasabah. Terapkanlah prinsip di 2 Timotius 2:​24.

 Kadangkala, masalah yang timbul antara adik-beradik mungkin lebih serius dan mendatangkan akibat buruk. Perhatikan dua contoh daripada Bible:

  •   Miryam dan Harun telah menerima akibat buruk kerana mereka cemburu terhadap adik mereka, iaitu Musa. Bacalah kisah ini di Bilangan 12:​1-​15. Kemudian tanyalah diri kamu, “Apakah yang dapat membantu saya agar tidak berasa cemburu terhadap adik-beradik saya?”

  •   Kain telah membunuh adiknya, iaitu Habel, kerana dia berasa marah terhadapnya. Bacalah kisah ini di Kejadian 4:​1-​12. Kemudian tanyalah diri kamu, “Bagaimanakah saya dapat mengawal emosi sewaktu timbul masalah dengan adik-beradik saya?”

 Dua sebab untuk berdamai

 Walaupun kamu mungkin berasa susah untuk berdamai dengan adik-beradik kamu, usaha kamu tidak akan sia-sia. Perhatikan dua sebab berikut:

  1.   Menunjukkan kematangan kamu. “Dulu saya cepat naik marah dengan dua orang adik perempuan saya,” kata seorang pemuda yang bernama Alex. “Sekarang saya lebih tenang dan sabar terhadap mereka. Boleh dikatakan, saya lebih dewasa sekarang.”

     Bible menyatakan, “Orang yang bertenang itu bijak, tetapi orang yang cepat marah itu bodoh.”​—Amsal 14:29.

  2.   Latihan yang baik untuk masa depan. Jika kamu tidak dapat bersabar dengan kelemahan adik-beradik kamu sekarang, bagaimanakah kamu dapat bersabar dengan pasangan, rakan kerja, majikan, atau orang di sekeliling kamu pada masa depan?

     Kenyataan: Masa depan kamu bergantung kepada kebolehan kamu untuk berkomunikasi dan berunding dengan baik. Tempat terbaik untuk melatih kebolehan ini adalah dalam keluarga kamu.

     Bible menyatakan, “Selagi kamu dapat melakukannya, berusahalah sedaya upaya untuk berdamai dengan semua orang.”​—Roma 12:18.

 Inginkah kamu mendapatkan bantuan untuk menyelesaikan masalah dengan adik-beradik kamu? Bacalah bahagian “Pandangan remaja lain” dan lihat juga lembaran kerja yang bertajuk, “Cara Berdamai dengan Adik-beradik.”