Lompat ke kandungan

KAUM MUDA BERTANYA

Bagaimanakah Saya Dapat Menghadapi Perubahan semasa Akil Baligh?

Bagaimanakah Saya Dapat Menghadapi Perubahan semasa Akil Baligh?

 “Bagi remaja perempuan, masa akil baligh merupakan saat yang sangat teruk, menyakitkan, dan mengelirukan. Semuanya menjadi tidak kena!”​—Oksana.

 “Sekejap saya rasa gembira, tetapi kemudiannya saya rasa sedih pula. Saya tidak pasti jika itu sesuatu yang biasa terjadi bagi lelaki, tapi itulah yang saya alami.”​—Brian.

 Masa akil baligh diumpamakan seperti menaiki roller-coaster, kamu mungkin berasa teruja tetapi takut pada masa yang sama! Bagaimanakah kamu dapat menghadapi perubahan ini?

 Apakah itu akil baligh?

 Semasa akil baligh, kamu menghadapi perubahan secara fizikal dan emosi yang mempersiapkan kamu untuk melangkah ke alam dewasa. Pada masa itu, badan kamu akan mengalami perubahan fizikal dan perubahan hormon dengan cepat. Hal ini membantu kamu mencapai kematangan seksual dan mempersiapkan kamu untuk melahirkan anak.

 Hal ini tidak bermaksud kamu sudah bersedia untuk menjadi seorang ibu atau bapa. Akil baligh merupakan tanda bahawa kamu bukan lagi kanak-kanak. Kenyataan ini mungkin membuat kamu gembira dan pada masa yang sama sedih.

 Kuiz: Pada pendapat kamu, bilakah akil baligh bermula?

  •  8

  •  9

  •  10

  •  11

  •  12

  •  13

  •  14

  •  15

  •  16

 Jawapan: Semua usia di atas merupakan usia yang biasa untuk mengalami akil baligh.

 Maka kamu tidak perlu risau jika hal ini belum berlaku kepada kamu walaupun kamu sudah berusia pertengahan belasan tahun, atau kamu sudah mengalami akil baligh sebelum berumur 10 tahun. Masa akil baligh setiap orang berbeza dan hal itu di luar kawalan kamu.

Seperti menaiki roller-coaster, akil baligh boleh membuat kamu berasa teruja dan takut. Tapi kamu boleh belajar untuk menghadapi perubahan ini

 Perubahan fizikal

 Perubahan yang paling ketara semasa akil baligh mungkin ialah pertumbuhan fizikal yang cepat. Namun, tidak semua bahagian tubuh kamu akan mengalami pertumbuhan pada masa yang sama. Jadi janganlah hairan jika kamu sering terlanggar atau menjatuhkan sesuatu. Dengan berlalunya masa, semua pertumbuhan itu akan menjadi seimbang.

 Terdapat juga perubahan fizikal yang lain.

 Akil baligh bagi budak lelaki:

  •   Perkembangan organ seks

  •   Bulu tumbuh di ketiak, muka, dan bahagian kemaluan

  •   Suara berubah

  •   Mengalami ereksi secara tidak sengaja dan mimpi basah

 Akil baligh bagi budak perempuan:

  •   Payu dara membesar

  •   Bulu tumbuh di ketiak dan bahagian kemaluan

  •   Kitaran haid bermula

 Akil baligh bagi kedua-dua jantina:

  •   Bau badan yang disebabkan peluh dan bakteria yang bercampur.

     Tip: Kamu boleh mengurangkan bau badan dengan mandi secara kerap dan menggunakan deodoran atau bahan antipeluh.

  •   Jerawat yang disebabkan bakteria yang terperangkap dalam kelenjar minyak.

     Tip: Mencuci muka dengan kerap dan menggunakan pencuci muka dapat mengurangkan jerawat.

 Perubahan emosi

 Perubahan hormon bukan sahaja mempengaruhi pertumbuhan fizikal kamu, tetapi juga mempengaruhi emosi kamu. Kamu mungkin mengalami perubahan mood yang mendadak.

 “Hari ini kamu menangis, dan keesokan harinya kamu rasa seolah-olah tiada apa-apa berlaku. Sekejap kamu marah, dan tidak lama kemudian kamu tertekan sehingga mengurung diri di dalam bilik.”​—Oksana.

 Semasa mengalami akil baligh, ramai orang muda berasa sangat peka terhadap pandangan orang lain terhadap mereka, seolah-olah semua orang memperhatikan dan mengkritik mereka. Lebih teruk lagi, perubahan fizikal yang dialami menyebabkan mereka berasa kekok!

 “Semasa akil baligh, saya selalu membongkok dan pakai baju yang longgar. Perubahan fizikal yang saya alami menyebabkan saya rasa tidak selesa dan malu, biarpun saya tahu sebabnya saya mengalami perubahan ini.”​—Janice.

 Kemungkinan perubahan emosi yang paling besar ialah kamu mula tertarik dengan orang yang berlawanan jantina.

 “Dulu saya tidak suka budak lelaki. Tapi sekarang saya sedar ada antara mereka yang kacak dan saya rasa seronok juga untuk bercinta. Sebenarnya, itulah topik perbualan yang popular dalam kalangan kami.”​—Alexis.

 Semasa akil baligh, ada sesetengah kaum muda yang tertarik dengan orang yang sama jantina dengan mereka. Jika hal ini berlaku kepada kamu, janganlah terus membuat kesimpulan bahawa kamu ialah gay. Biasanya perasaan sedemikian akan hilang dengan berlalunya masa.

 “Oleh sebab saya selalu membandingkan diri dengan budak lelaki yang lain, saya mula tertarik dengan mereka. Namun perasaan itu tidak berkekalan. Beberapa tahun kemudian, saya pun mula berminat dengan perempuan.”​—Alan.

 Apa yang dapat kamu lakukan

  •    Cubalah berpandangan positif. Sebenarnya perubahan fizikal dan emosi semasa akil baligh itu penting. Kamu boleh memiliki perasaan yang sama seperti pemazmur Daud yang berkata kepada Tuhan, “Engkau menciptakan aku dengan baik dan luar biasa.”​—Mazmur 139:14.

  •    Elakkan membandingkan diri dengan orang lain dan janganlah terlalu berfokus pada penampilan kamu. Bible menyatakan, “Manusia melihat rupa tetapi [Tuhan] melihat hati.”​—1 Samuel 16:7.

  •    Dapatkan senaman dan rehat yang secukupnya. Dengan demikian kamu tidak akan berasa cepat marah, stres, dan sedih.

  •    Pupuklah pandangan yang seimbang. Tanyalah diri, “Adakah orang lain benar-benar selalu memerhatikan saya?” Jika orang memberikan komen tentang perubahan fizikal kamu, ikutlah nasihat Bible ini, “Jangan pedulikan segala kata orang.”​—Pengkhutbah 7:21.

  •    Belajarlah untuk mengawal nafsu seks kamu. Bible menyatakan, “Jauhkanlah diri kamu daripada perbuatan seks yang tidak bermoral! . . . Sesiapa yang mengamalkan perbuatan seks yang tidak bermoral berdosa terhadap tubuhnya sendiri.”​—1 Korintus 6:18.

  •    Bercakaplah dengan ibu bapa atau orang dewasa yang boleh dipercayai. Kamu mungkin berasa tidak selesa pada mulanya, namun usaha kamu pasti berbaloi kerana kamu akan mendapat bantuan yang diperlukan.​—Amsal 17:17.

 Kesimpulan: Masa akil baligh memang mencabar. Namun kamu dapat menggunakan kesempatan ini untuk bertumbuh bukan sahaja secara fizikal, tetapi juga secara mental, emosi, dan rohani.​—1 Samuel 2:26.