Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB DUA PULUH DUA

Dia Setia meskipun Menghadapi Cubaan

Dia Setia meskipun Menghadapi Cubaan

1, 2. Apakah yang diharapkan oleh Petrus sewaktu Yesus mengajar orang di Kapernaum? Namun apakah yang berlaku?

PETRUS dan Yesus berada di rumah ibadat di kota Kapernaum. Memandangkan ramai sahabat, sanak saudara, dan rakan sekerja Petrus tinggal di kota itu, dia berharap agar mereka memandang Yesus sebagai guru agung dan sudi menerima ajarannya. Tetapi apa yang diharapkannya itu tidak kesampaian.

2 Sebelum ini, banyak orang bersukacita kerana dapat belajar daripada Yesus, tetapi sekarang mereka tidak mahu mendengar ajarannya. Ada dalam kalangan mereka yang bahkan bersungut-sungut dan menolak mesejnya secara terang-terangan. Yang paling merisaukan Petrus ialah reaksi sebilangan pengikut Yesus. Mereka meninggalkan rumah ibadat dan tidak mahu mengikut Yesus lagi kerana mereka marah dan mengatakan bahawa kata-katanya sungguh mengejutkan.​—Baca Yohanes 6:60, 66.

3. Apakah yang akan kita pelajari dalam bab ini?

3 Waktu itu pasti mencabar bagi Petrus dan para rasul yang lain. Petrus tidak memahami kata-kata Yesus dengan sepenuhnya. Tetapi ramai orang mengambil bulat-bulat apa yang dikatakan oleh Yesus lalu tersinggung. Apakah yang akan dilakukan oleh Petrus? Ini bukanlah kali pertama dan kali terakhir kesetiaannya terhadap Yesus akan diuji. Maka marilah kita melihat bagaimana iman membantu Petrus untuk menghadapi cubaan sedemikian dengan setia.

Setia apabila Orang Lain Tidak Setia

4, 5. Bagaimanakah Yesus bercakap dan bertindak di luar jangkaan orang?

4 Petrus selalu terpegun dengan kata-kata dan tindakan Yesus kerana Yesus selalu bercakap dan bertindak di luar jangkaan orang. Contohnya, selepas Yesus memberi ribuan orang makanan secara mukjizat, mereka ingin menjadikannya raja. Tetapi Yesus mengejutkan mereka dengan meninggalkan tempat itu bersama pengikutnya. Sewaktu para pengikutnya mendayung perahu merentasi Tasik Galilea, Yesus mengejutkan mereka dengan berjalan di atas air, dan hal itu membantu Petrus mempelajari beberapa aspek yang penting tentang iman.

5 Pada waktu pagi, mereka mendapati bahawa orang ramai telah mengikut mereka ke seberang Tasik Galilea kerana mahu melihat Yesus menyediakan makanan secara mukjizat sekali lagi. Oleh itu, Yesus menegur mereka kerana mengutamakan hal-hal fizikal. (Yoh. 6:25-27) Apabila Yesus berada di rumah ibadat di Kapernaum, dia sekali lagi bertindak bertentangan dengan apa yang diharapkan oleh orang ramai dengan mengajarkan kebenaran penting yang susah diterima oleh mereka.

6. Apakah perumpamaan yang diberikan oleh Yesus, dan apakah reaksi para pendengarnya?

6 Yesus tidak mahu orang ramai mengikutnya semata-mata untuk mendapatkan makanan fizikal. Dia mahu mereka sedar bahawa mereka hanya dapat meraih kehidupan kekal jika mereka beriman kepadanya dan meniru teladannya. Oleh itu, Yesus memberikan sebuah perumpamaan. Dia menyamakan dirinya dengan manna, iaitu roti yang turun dari syurga pada zaman Musa. Tetapi ramai orang tidak bersetuju dengannya. Maka dia memberikan satu lagi perumpamaan dan mengatakan bahawa mereka harus makan dagingnya dan minum darahnya untuk memperoleh kehidupan. Setelah mendengarnya, mereka naik berang. Ada yang berkata, “Kata-katanya sungguh mengejutkan. Siapakah yang sanggup menerimanya?” Ramai murid Yesus juga tidak mengikutnya lagi. *​—Yoh. 6:48-60, 66.

7, 8. (a) Adakah Petrus memahami kata-kata Yesus? Jelaskan. (b) Bagaimanakah Petrus menjawab soalan yang ditanyakan oleh Yesus?

7 Apakah yang akan dilakukan oleh Petrus? Dia juga tidak memahami kata-kata Yesus. Dia tidak tahu bahawa Yesus mesti mati agar kehendak Tuhan terlaksana. Adakah Petrus juga akan meninggalkan Yesus seperti murid-murid yang lain?

8 Yesus melihat ke arah rasul-rasulnya lalu bertanya, “Adakah kamu akan pergi juga?” (Yoh. 6:67) Yesus bercakap kepada 12 orang rasulnya, namun seperti biasa Petruslah yang menjawab soalan Yesus. Petrus mungkin rasul yang tertua, dan dia jarang teragak-agak untuk meluahkan pendapatnya. Kali ini, dia mengucapkan kata-kata yang menyingkapkan ketulusannya. Dia berkata, “Tuan, kepada siapa lagi harus kami pergi? Kata-kata Tuan membawa kehidupan kekal.”​—Yoh. 6:68.

9. Bagaimanakah Petrus menunjukkan kesetiaannya kepada Yesus?

9 Tidakkah kata-kata Petrus menyentuh hati anda? Iman membantu Petrus untuk memupuk kesetiaan yang tidak berbelah bahagi. Petrus tahu bahawa Tuhan mengutus Yesus ke bumi sebagai Penyelamat manusia, dan ajaran Yesus dapat membawa penyelamatan. Meskipun Petrus tidak memahami kata-kata Yesus dengan sepenuhnya, dia sedar bahawa dia hanya dapat memperoleh perkenan Tuhan dan kehidupan kekal jika dia setia kepada Yesus.

Kita perlu menerima ajaran Yesus dengan setia meskipun hal itu bercanggah dengan pilihan dan keinginan kita

10. Bagaimanakah kita dapat meniru kesetiaan Petrus?

10 Dewasa ini, ramai orang mengatakan bahawa mereka mengasihi Yesus tetapi gagal untuk setia kepadanya. Seperti Petrus, kita membuktikan kesetiaan kepada Yesus dengan mengasihi ajarannya. Kita akan mencuba memahami ajarannya dan menerapkannya dalam kehidupan kita meskipun hal itu bercanggah dengan pilihan dan keinginan kita. Ya, kita hanya dapat meraih kehidupan sejati jika kita setia kepada Yesus.​Baca  Mazmur 97:10.

Setia meskipun Ditegur

11. Yesus membawa para pengikutnya ke mana? (Lihat juga nota kaki.)

11 Tidak lama selepas peristiwa itu, Yesus, para rasulnya, dan beberapa orang murid yang lain, pergi ke bahagian utara Tanah yang Dijanjikan. Dalam perjalanan, mereka mungkin dapat melihat puncak Gunung Hermon yang diliputi salji, kerana gunung itu kadangkala dapat dilihat bahkan dari Tasik Galilea. Tetapi seraya mereka berjalan merentasi desa-desa dekat Kaisarea Filipi, Gunung Hermon kelihatan semakin besar dan tinggi. * Berlatarkan pemandangan ini, Yesus menanyakan satu soalan yang penting kepada para pengikutnya.

12, 13. (a) Mengapakah Yesus bertanya tentang pandangan orang lain tentang dirinya? (b) Apakah yang dikatakan oleh Petrus yang menunjukkan bahawa dia mempunyai iman sejati?

12 Yesus ingin mengetahui kesimpulan yang telah dibuat oleh orang ramai tentang identitinya daripada apa yang dilihat dan didengar oleh mereka. Maka dia bertanya, “Menurut orang ramai, siapakah aku?” Daripada soalan itu, Petrus pasti dapat merasai kasih dan kebijaksanaan Yesus. Murid-murid Yesus menjawab soalannya dengan menyebutkan pandangan orang ramai. Tetapi Yesus ingin mengetahui jika para pengikutnya juga keliru tentang identitinya. Maka dia bertanya, “Bagaimana pula dengan kamu? Menurut kamu, siapakah aku?”​—Luk. 9:18-20.

13 Sekali lagi, Petruslah yang menjawab pertanyaan Yesus. Dia berkata, “Guru ialah Kristus, Anak kepada Tuhan yang hidup.” Kita dapat membayangkan kebanggaan yang dirasai oleh Yesus. Yesus mengingatkan Petrus bahawa Yehuwalah yang menyingkapkan kebenaran yang penting itu kepadanya. Ya, Yehuwa telah membantu Petrus memahami satu kebenaran yang unggul, iaitu identiti Mesias, atau Kristus, yang dijanjikan!​—Baca Matius 16:16, 17.

14. Apakah tanggungjawab yang diberikan oleh Yesus kepada Petrus?

14 Menurut nubuat Bible, batu yang akan dibuang oleh para pembina bangunan merujuk kepada Kristus. (Mzm. 118:22; Luk. 20:17) Yesus menyingkapkan bahawa Yehuwa akan mendirikan sebuah sidang di atas batu itu. Kemudian, Yesus memberi Petrus beberapa tanggungjawab yang penting di dalam sidang. Tetapi hal ini tidak bermaksud bahawa dia memberikan kedudukan yang utama kepada Petrus. Yesus memberi Petrus “kunci-kunci Kerajaan,” maka Petrus berpeluang membuka jalan bagi tiga kumpulan manusia untuk memasuki Kerajaan Tuhan. (Mat. 16:19) Mula-mula dia akan membuka jalan untuk orang Yahudi, kemudian untuk orang Samaria, dan seterusnya untuk orang daripada bangsa lain.

15. Mengapakah Petrus menegur Yesus, dan apakah yang dikatakannya?

15 Pada kemudian hari, Yesus menyatakan bahawa semakin banyak tanggungjawab yang diamanahkan kepada seseorang, semakin besar kewajipan yang dipikulnya. (Luk. 12:48) Yesus juga memberitahu murid-muridnya bahawa tidak lama lagi, dia akan menderita dan mati di Yerusalem. Petrus susah hati ketika mendengar hal-hal itu, maka Petrus membawa Yesus ke tepi dan mula menegurnya, “Tuan, janganlah cakap begitu. Perkara sebegini tidak akan sekali-kali menimpamu.”​—Mat. 16:21, 22.

16. Bagaimanakah Yesus membetulkan Petrus? Apakah yang dapat kita pelajari daripada kata-kata Yesus?

16 Petrus berniat baik, maka jawapan yang diberikan Yesus pasti mengejutkannya. Yesus berpaling daripada Petrus lalu memandang murid-murid lain, yang barangkali memikirkan hal yang sama dengan Petrus. Kemudian Yesus berkata, “Jauhkanlah dirimu daripadaku, Syaitan! Kamu ialah batu sandungan bagiku, kerana fikiranmu ialah fikiran manusia, bukan fikiran Tuhan.” (Mat. 16:23; Mrk. 8:32, 33) Apakah yang dapat kita pelajari daripada kata-kata Yesus? Sebagai manusia yang tidak sempurna, kita cenderung mengabaikan fikiran Tuhan. Jika kita berbuat demikian, biarpun kita berniat baik dan ingin membantu seseorang, kita mungkin diperalatkan oleh Syaitan untuk melakukan kehendaknya. Bagaimanakah Petrus menyambut teguran Yesus?

17. Apakah maksud kata-kata Yesus kepada Petrus?

17 Petrus tentu tahu bahawa Yesus tidak memanggilnya Syaitan dalam erti harfiah. Yesus hanya ingin membetulkan cara pemikiran Petrus yang salah, dan bukannya menolak Petrus. Ya, Petrus tidak sepatutnya menjadi batu sandungan kepada Yesus. Sebaliknya dia harus menyokong Yesus dengan setia.

Jika kita menerima teguran dengan rendah hati, kita dapat terus menghampiri Yesus dan Yehuwa

18. Bagaimanakah Petrus menunjukkan kesetiaannya sekali lagi? Bagaimanakah kita dapat meniru teladannya?

18 Adakah Petrus menjadi marah atau kecil hati dengan kata-kata Yesus? Tidak. Dia menerima teguran Yesus dengan rendah hati. Sekali lagi, Petrus menunjukkan bahawa dia setia kepada Yesus. Seperti Petrus, kita semua memerlukan teguran dari semasa ke semasa. Jika kita menerima teguran itu dengan rendah hati, kita akan dapat terus menghampiri Yesus dan Yehuwa.​—Baca Amsal 4:13.

Petrus tetap setia meskipun ditegur

Petrus Diberkati kerana Kesetiaannya

19. Apakah yang dikatakan oleh Yesus? Apakah andaian yang dibuat oleh Petrus?

19 Tidak lama kemudian, Yesus sekali lagi mengatakan sesuatu yang mengejutkan. Dia berkata, “Sesungguhnya aku memberitahu kamu bahawa beberapa orang yang berdiri di sini tidak akan mati selagi mereka tidak melihat Anak Manusia datang dalam Kerajaannya.” (Mat. 16:28) Petrus pasti ingin mengetahui apa yang dimaksudkan oleh Yesus. Namun demikian, Petrus menyangka bahawa dia tidak akan berpeluang melihat hal itu berlaku kerana dia baru sahaja ditegur oleh Yesus.

20, 21. (a) Gambarkan apa yang disaksikan oleh Petrus. (b) Bagaimanakah perbualan Yesus dengan dua orang lelaki itu membantu Petrus untuk membetulkan pandangannya?

20 Tetapi kira-kira seminggu kemudian, Yesus mengajak Yakobus, Yohanes, dan Petrus, untuk naik ke atas “sebuah gunung yang tinggi.” Mungkin mereka telah naik ke atas Gunung Hermon. Waktu itu mungkin waktu malam kerana mereka bertiga sangat mengantuk. Tetapi semasa Yesus mula berdoa, sesuatu yang menakjubkan telah berlaku.​—Mat. 17:1; Luk. 9:28, 29, 32.

21 Tiba-tiba Yesus berubah di hadapan mereka. Wajah dan pakaiannya menjadi putih bersinar-sinar. Kemudian dua orang lelaki muncul di situ, yang seorang seperti Musa dan yang seorang lagi seperti Elia. Mereka berbual-bual dengan Yesus tentang “pemergian Yesus yang akan berlaku di Yerusalem,” iaitu tentang kematian dan pembangkitannya. Pada waktu itu, Petrus pasti sedar bahawa Yesus mesti menderita dan mati!​—Luk. 9:30, 31.

22, 23. (a) Bagaimanakah Petrus menunjukkan semangatnya? (b) Apakah berkat lain yang diterima oleh Petrus, Yakobus, dan Yohanes?

22 Petrus berasa terdorong untuk mengambil bahagian dalam penglihatan yang luar biasa ini. Barangkali dia tidak mahu Musa dan Elia meninggalkan tempat itu. Maka Petrus berkata, “Guru, kami berasa sangat gembira kerana dapat berada di sini. Biarlah kami mendirikan tiga buah khemah: Satu untuk Guru, satu untuk Musa, dan satu untuk Elia.” Memandangkan ini satu penglihatan dan kedua-dua lelaki itu sudah lama meninggal, mereka memang tidak memerlukan khemah. Nampaknya Petrus begitu teruja sehingga dia langsung tidak memikirkan apa yang dikatakannya. Tidakkah anda tertarik dengan sikap Petrus yang bersemangat itu?​—Luk. 9:33.

Yakobus, Yohanes, dan Petrus berpeluang melihat penglihatan yang menakjubkan

23 Pada malam itu, Petrus, Yakobus, dan Yohanes menerima satu lagi berkat. Sekepul awan terbentuk dan mula meliputi mereka, lalu mereka mendengar suara Yehuwa. Yehuwa berfirman, “Inilah Anak-Ku yang Aku pilih. Dengarkanlah dia.” Kemudian, penglihatan itu berakhir dan mereka nampak Yesus sahaja.​—Luk. 9:34-36.

24. (a) Apakah manfaat yang diraih oleh Petrus daripada penglihatan itu? (b) Bagaimanakah kita dapat meraih manfaat yang sama seperti Petrus dewasa ini?

24 Penglihatan itu merupakan suatu kurniaan bagi Petrus dan bagi kita! Berpuluh-puluh tahun kemudian, Petrus menulis tentang penghormatan yang diberikan kepadanya pada malam itu. Dia mengatakan bahawa menerusi penglihatan itu, dia telah menyaksikan kemuliaan Yesus sebagai raja Kerajaan Tuhan. Penglihatan itu bukan sahaja membuktikan bahawa nubuat-nubuat Bible akan menjadi kenyataan, penglihatan itu bahkan juga menguatkan iman Petrus dan memberinya kekuatan untuk menghadapi ujian yang bakal menimpanya. (Baca 2 Petrus 1:16-19.) Kita dapat meraih manfaat yang sama seperti Petrus jika kita tetap setia kepada Yesus, meniru teladannya, menerima disiplinnya, dan terus mengikutnya dengan rendah hati.

^ per. 6 Sehari sebelum peristiwa ini, orang ramai memanggil Yesus nabi Tuhan. Tetapi sikap mereka berubah sama sekali apabila mendengar kata-kata Yesus di rumah ibadat. Sememangnya mereka langsung tidak setia kepadanya.​—Yoh. 6:14.

^ per. 11 Dari Tasik Galilea, mereka perlu mengadakan perjalanan sejauh 50 kilometer, bermula dari ketinggian sekitar 210 meter di bawah paras laut sehingga sekitar 350 meter di atas paras laut.