Berita Baik yang Disampaikan oleh Yohanes 6:1-71

  • 5,000 lelaki diberi makanan (1-15)

  • Yesus berjalan di atas air (16-21)

  • Yesus, “roti yang membawa hidup” (22-59)

  • Ramai tersandung kerana kata-kata Yesus (60-71)

6  Selepas itu, Yesus menyeberangi Tasik Galilea, yang juga disebut Tasik Tiberias.+  Ada ramai orang yang asyik mengikutnya,+ kerana mereka telah menyaksikan mukjizat-mukjizat yang dilakukannya untuk menyembuhkan orang sakit.+  Maka Yesus naik ke atas sebuah gunung dan duduk di situ bersama murid-muridnya.  Pada masa itu, Perayaan Paska+ orang Yahudi sudah dekat.  Semasa Yesus melihat ramai orang sedang datang kepadanya, dia berkata kepada Filipus, “Di manakah kita dapat membeli roti untuk mereka?”+  Sebenarnya Yesus berkata demikian untuk mengujinya, kerana Yesus tahu apa yang dia sendiri akan lakukan.  Filipus menjawab, “Biarpun kami membelanjakan 200 denari* untuk membeli roti, belum tentu setiap orang akan menerima secebis roti.”  Salah seorang murid Yesus, iaitu Andreas, saudara kandung Simon Petrus, berkata kepadanya,  “Ada seorang budak lelaki di sini yang mempunyai lima ketul roti barli dan dua ekor ikan kecil, tetapi mana mungkin cukup untuk begitu banyak orang?”+ 10  Yesus berkata, “Suruhlah mereka duduk.” Tempat itu ada banyak rumput, maka orang ramai pun duduk. Ada kira-kira 5,000 orang lelaki di situ.+ 11  Kemudian Yesus mengambil roti itu, mengucapkan syukur, lalu membahagikannya kepada mereka yang duduk di situ. Dia juga membahagikan ikan kecil itu, lalu mereka makan dengan sepuas-puasnya. 12  Apabila orang ramai sudah kenyang, dia berkata kepada murid-muridnya, “Kumpulkanlah baki roti supaya tiada apa-apa yang dibazirkan.” 13  Jadi, mereka mengumpulkan lebihan makanan daripada lima ketul roti barli yang dimakan oleh orang ramai. Baki makanan itu telah mengisi 12 buah bakul. 14  Ketika orang ramai melihat mukjizat yang dilakukannya, mereka berkata, “Sememangnya dialah Nabi yang dinubuatkan akan datang ke dunia.”+ 15  Yesus tahu bahawa mereka akan datang dan memaksanya menjadi raja mereka. Maka sekali lagi dia pergi+ ke gunung seorang diri.+ 16  Pada waktu senja, murid-muridnya turun ke tasik.+ 17  Mereka menaiki perahu dan menyeberangi tasik untuk pergi ke Kapernaum. Hari sudah gelap, tetapi Yesus masih belum datang kepada mereka.+ 18  Tambahan lagi, angin kencang bertiup dan air tasik mula bergelora.+ 19  Setelah mereka mendayung perahu kira-kira lima atau enam kilometer,* mereka nampak Yesus berjalan di atas air. Mereka menjadi takut apabila dia semakin menghampiri perahu mereka. 20  Tetapi dia berkata, “Ini aku. Janganlah takut!”+ 21  Barulah mereka sudi menyambutnya naik ke perahu. Seketika kemudian, perahu mereka tiba di tempat yang ditujui.+ 22  Keesokan harinya, orang ramai yang berada di seberang tasik mendapati bahawa satu-satunya perahu kecil yang berada di situ sudah tiada. Murid-murid Yesus telah menaiki perahu itu dan bertolak dari situ tanpa Yesus. 23  Pada masa yang sama, ada beberapa buah perahu kecil dari Tiberias yang tiba berhampiran tempat Tuan mengucapkan syukur dan membahagikan roti kepada orang ramai. 24  Memandangkan orang ramai tidak nampak Yesus ataupun murid-muridnya di situ, mereka menaiki perahu-perahu tersebut dan pergi ke Kapernaum untuk mencari Yesus. 25  Apabila mereka menjumpainya di seberang tasik, mereka bertanya kepadanya, “Rabbi,+ bilakah Rabbi sampai di sini?” 26  Yesus menjawab, “Sesungguhnya aku berkata kepada kamu: Kamu sedang mencari aku bukan kerana kamu sudah melihat mukjizat, tetapi kerana kamu kenyang selepas makan roti.+ 27  Janganlah kamu bekerja untuk makanan yang akan basi, tetapi bekerjalah untuk mendapat makanan yang kekal dan yang membawa kehidupan kekal.+ Anak Manusia akan memberi kamu makanan ini, kerana dia sudah mendapat perkenan* Tuhan Bapa.”+ 28  Maka mereka bertanya, “Bagaimanakah kami dapat melakukan kerja yang diperkenankan Tuhan?” 29  Yesus menjawab, “Kamu harus beriman kepada dia yang diutus oleh Tuhan. Demikianlah caranya kamu melakukan kerja yang diperkenankan Tuhan.”+ 30  Jadi mereka berkata kepadanya, “Kalau begitu, apakah mukjizat yang akan Guru lakukan+ di depan mata kami supaya kami percaya kepada Guru? Apakah yang akan Guru lakukan? 31  Nenek moyang kami makan manna di padang belantara,+ seperti yang tertulis, ‘Dia memberi mereka roti dari syurga* untuk dimakan.’”+ 32  Oleh itu, Yesus berkata kepada mereka, “Ketahuilah: Yang memberi kamu roti sebenar dari syurga bukanlah Musa, tetapi Bapaku, 33  kerana roti yang diberikan oleh Tuhan ialah dia yang turun dari syurga dan memberikan hidup kepada dunia.” 34  Maka mereka berkata kepadanya, “Tuan, berilah kami roti ini selalu.” 35  Yesus berkata kepada mereka, “Akulah roti yang membawa hidup sejati. Sesiapa yang datang kepadaku tidak akan lapar lagi, dan sesiapa yang beriman kepadaku tidak akan dahaga lagi.+ 36  Namun aku pernah mengatakan kepada kamu bahawa kamu masih tidak percaya walaupun kamu sudah melihat aku.+ 37  Semua yang diberikan oleh Bapa kepada aku akan datang kepadaku, dan aku sama sekali tidak akan mengusir orang yang datang kepadaku,+ 38  kerana aku turun dari syurga+ bukan untuk melakukan kehendakku, tetapi kehendak Dia yang mengutus aku.+ 39  Kehendak Dia yang mengutus aku adalah supaya aku tidak kehilangan seorang pun daripada semua yang diberikan-Nya kepadaku. Sebaliknya aku harus membangkitkan+ mereka semua pada hari yang terakhir, 40  kerana Tuhan menghendaki agar setiap orang yang melihat Anak dan beriman kepadanya diberi kehidupan kekal,+ dan aku akan membangkitkan+ orang sebegini pada hari yang terakhir.” 41  Oleh itu, orang Yahudi mula bersungut-sungut tentangnya kerana dia berkata, “Akulah roti yang turun dari syurga.”+ 42  Mereka berkata, “Bukankah dia ini Yesus anak Yusuf? Tidakkah kita mengenali ibu bapanya?+ Sekarang, mengapakah dia berkata, ‘Aku turun dari syurga’?” 43  Yesus menjawab, “Jangan lagi bersungut-sungut sesama sendiri. 44  Tiada seorang pun dapat datang kepadaku kecuali Bapa yang mengutus aku memimpinnya* kepadaku,+ dan aku akan membangkitkannya pada hari yang terakhir.+ 45  Dalam Ajaran Para Nabi ada tertulis, ‘Mereka semua akan diajar oleh Yehuwa.’*+ Setiap orang yang mendengarkan Bapa dan belajar daripada-Nya datang kepadaku. 46  Hal ini tidak bererti bahawa ada orang pernah melihat Bapa.+ Hanya dia yang datang daripada Tuhan pernah melihat Bapa.+ 47  Sesungguhnya aku berkata kepada kamu: Orang yang percaya akan hidup selama-lamanya.+ 48  “Akulah roti yang membawa hidup sejati.+ 49  Nenek moyang kamu makan manna di padang belantara, tetapi mereka mati.+ 50  Namun sesiapa yang memakan roti yang turun dari syurga tidak akan mati. 51  Akulah roti yang memberikan hidup, yang turun dari syurga. Jika sesiapa makan roti ini, dia akan hidup selama-lamanya. Sebenarnya, roti yang akan aku berikan ialah dagingku, supaya umat manusia menerima kehidupan.”+ 52  Maka orang Yahudi mula berdebat sesama sendiri. Mereka berkata, “Bagaimanakah orang ini boleh memberi kita dagingnya untuk dimakan?” 53  Maka Yesus berkata kepada mereka, “Ketahuilah: Jika kamu tidak makan daging Anak Manusia dan minum darahnya, kamu tidak memiliki nyawa dalam diri kamu.+ 54  Sesiapa yang makan dagingku dan minum darahku akan menerima kehidupan kekal. Aku akan membangkitkannya+ pada hari terakhir, 55  kerana dagingku ialah makanan sebenar, dan darahku ialah minuman sebenar. 56  Sesiapa yang makan dagingku dan minum darahku akan sentiasa bersatu dengan aku, dan aku bersatu dengannya.+ 57  Bapa yang hidup mengutus aku, dan aku hidup kerana Bapa. Begitu juga, sesiapa yang makan dagingku akan hidup kerana aku.+ 58  Inilah roti yang turun dari syurga, bukan apa yang dimakan oleh nenek moyang kamu. Mereka makan tetapi mereka masih mati. Namun, sesiapa yang makan roti ini akan hidup selama-lamanya.”+ 59  Demikianlah kata-kata Yesus semasa dia mengajar di dalam rumah ibadat* di Kapernaum. 60  Setelah mendengar kata-kata Yesus, ramai muridnya berkata, “Kata-katanya sungguh mengejutkan. Siapakah yang sanggup menerimanya?” 61  Yesus sedar bahawa murid-muridnya sedang bersungut-sungut tentang hal itu. Maka dia berkata, “Kalau hal ini pun membuat kamu tersandung, 62  apatah lagi jika kamu melihat Anak Manusia naik ke tempat asalnya.+ 63  Kuasa suci Tuhanlah yang memberikan hidup;+ usaha manusia tidak berguna sama sekali. Apa yang aku katakan kepada kamu berasal daripada kuasa suci Tuhan dan memberikan hidup.+ 64  Namun, ada beberapa orang antara kamu yang tidak percaya.” Dari mula lagi, Yesus sudah tahu siapa yang tidak percaya dan siapa yang akan mengkhianatinya.+ 65  Dia berkata lagi, “Itulah sebabnya aku berkata kepada kamu: Tiada sesiapa pun dapat datang kepadaku kecuali Bapa mengizinkannya berbuat demikian.”+ 66  Disebabkan hal itu, ramai muridnya kembali kepada hal-hal yang sudah ditinggalkan mereka+ dan tidak mengikutnya lagi. 67  Maka Yesus berkata kepada 12 orang rasulnya, “Adakah kamu akan pergi juga?” 68  Simon Petrus menjawab, “Tuan, kepada siapa lagi harus kami pergi?+ Kata-kata Tuan membawa kehidupan kekal.+ 69  Kami sudah percaya dan tahu bahawa Tuan ialah Hamba Suci Tuhan.”+ 70  Yesus berkata kepada mereka, “Bukankah aku yang memilih kamu 12 orang?+ Namun salah seorang daripada kamu ialah pemfitnah.”*+ 71  Sebenarnya dia sedang bercakap tentang Yudas anak Simon Iskariot. Walaupun orang ini ialah salah seorang daripada 12 orang rasul Yesus, dia akan mengkhianatinya.+

Nota Kaki

Harfiah, “kira-kira 25 atau 30 stadium.” Lihat Lampiran B14.
Harfiah, “meterai.”
Atau “langit.”
Harfiah, “menariknya.”
Atau mungkin, “di perhimpunan awam.”
Atau “iblis.”