Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB TUJUH BELAS

“Aku Hamba Perempuan Yehuwa!”

“Aku Hamba Perempuan Yehuwa!”

1, 2. (a) Apakah yang dikatakan oleh tetamu itu kepada Maria? (b) Apakah keputusan yang perlu dibuat oleh Maria?

MARIA memandang ke arah tetamu yang memasuki rumahnya. Maria tahu bahawa orang itu bukan dari Nasaret kerana Maria mengenali semua orang dari situ. Lelaki itu berkata kepada Maria, “Salam sejahtera, hai kamu yang sangat diperkenankan Tuhan. Yehuwa menyertaimu.”​—Baca Lukas 1:26-28.

2 Demikianlah Bible memperkenalkan Maria anak Heli kepada kita. Maria sudah bertunang dengan Yusuf, seorang tukang kayu yang miskin tetapi beriman kepada Tuhan. Maria berharap bahawa tidak lama lagi dia akan berkahwin dengan Yusuf dan membesarkan anak-anak bersamanya. Tetapi sekarang Maria perlu membuat keputusan yang akan mengubah hidupnya kerana tetamu itu datang untuk menyampaikan tugasan yang diamanahkan oleh Tuhan kepadanya.

3, 4. Jika kita mahu mengenali Maria, apakah yang harus kita lakukan?

3 Bible tidak mengandungi banyak maklumat tentang Maria. Kita tidak tahu apa-apa tentang paras rupanya, dan kita hanya tahu sedikit tentang latar belakang dan keperibadiannya. Walaupun begitu, kita dapat meraih banyak manfaat jika kita mengkaji kisahnya.

4 Jika kita mahu mengenali Maria, kita harus menyingkirkan idea-idea popular tentang Maria yang diajarkan oleh banyak agama. Kita juga tidak patut terpengaruh dengan pelbagai lukisan atau patung yang menggambarkan paras rupa Maria. Selain itu, kita akan mengetepikan ajaran atau dogma tentang Maria dan gelaran seperti “Bonda Tuhan” dan “Ratu Syurga.” Sebaliknya kita akan menumpukan perhatian kepada apa yang disingkapkan dalam Bible tentang dirinya. Dengan demikian, kita dapat mempelajari tentang imannya dan cara kita dapat meneladaninya.

Malaikat Tuhan Mengunjungi Maria

5. (a) Apakah yang dapat kita pelajari tentang Maria daripada reaksinya terhadap salam Gabriel? (b) Apakah yang dapat kita pelajari daripada teladan Maria?

5 Tetamu itu sebenarnya ialah malaikat Gabriel. Semasa dia memanggil Maria orang yang “sangat diperkenankan Tuhan,” Maria “berasa tidak tenteram” dan tertanya-tanya tentang maksud salam itu. (Luk. 1:29) Ya, Maria tidak sombong dan berfikir bahawa dialah orang yang dimaksudkan oleh malaikat itu. Teladan Maria mengajar kita bahawa kita harus bersikap rendah hati jika kita mahu mendapat perkenan Tuhan. Hal ini demikian kerana “Tuhan menentang orang yang angkuh, tetapi Dia menunjukkan kebaikan hati yang unggul kepada orang yang rendah hati.”​—Yak. 4:6.

Maria tidak menganggap bahawa dia sudah mendapat perkenan Tuhan

6. Apakah yang dikatakan oleh malaikat itu kepada Maria?

6 Malaikat itu memberitahu Maria bahawa dia akan menjadi ibu kepada Anak Tuhan. Sudah pasti hal itu merupakan satu penghormatan yang besar dan Maria memerlukan kerendahan hati untuk melaksanakan tanggungjawab itu dengan baik. Gabriel berkata, “Tuhan Yehuwa akan memberinya takhta Daud. Dia akan memerintah sebagai Raja keturunan Yakub untuk selama-lamanya, dan Kerajaannya tidak akan berkesudahan.” (Luk. 1:32, 33) Maria tentu tahu tentang janji antara Tuhan dengan Daud lebih daripada seribu tahun dahulu. Tuhan telah berjanji kepada Daud bahawa salah seorang keturunannya akan menjadi raja buat selama-lamanya. (2 Sam. 7:12, 13) Ya, Maria akan menjadi ibu kepada Mesias yang telah dinantikan oleh umat Tuhan selama berabad-abad.

Gabriel memberitahu Maria bahawa dia akan menjadi ibu Yesus

7. (a) Pertanyaan Maria menyingkapkan apa tentang dirinya? (b) Apakah yang dapat dipelajari oleh kaum muda daripada Maria?

7 Malaikat itu juga memberitahu Maria bahawa anaknya akan “digelar Anak Tuhan Yang Maha Tinggi.” Tetapi bagaimanakah seorang manusia dapat melahirkan Anak Tuhan? Lagipun Maria belum menjadi isteri Yusuf. Maka dia bertanya kepada malaikat itu dengan terus terang, “Bagaimanakah hal ini boleh berlaku? Aku masih dara.” (Luk. 1:34) Perhatikan bahawa Maria bercakap tentang keperawanannya tanpa berasa malu. Sebaliknya dia bangga kerana dia masih murni. Hari ini, ramai pemuda-pemudi bersedia menyerahkan keperawanan mereka tanpa berfikir panjang dan suka mengejek orang yang menghargai kemurniannya. Sesungguhnya dunia sudah berubah. Namun, Yehuwa tidak berubah. (Mal. 3:6) Yehuwa tetap menghargai orang yang berusaha untuk mengikut piawaian moral-Nya.​—Baca Ibrani 13:4.

8. Bagaimanakah Maria dapat melahirkan keturunan yang sempurna?

8 Meskipun Maria ialah penyembah Tuhan yang setia, dia masih seorang wanita yang tidak sempurna. Maka bagaimanakah dia dapat melahirkan seorang anak yang sempurna? Gabriel menjelaskan kepadanya, “Kuasa suci Tuhan akan datang ke atasmu, dan kekuatan daripada Tuhan Yang Maha Tinggi akan menaungimu. Itulah sebabnya anak yang bakal dilahirkan itu akan disebut suci, Anak Tuhan.” (Luk. 1:35) Suci bermaksud “bersih,” “murni,” dan “kudus.” Biasanya manusia yang tidak sempurna mewariskan ketidaksempurnaan kepada keturunan mereka. Tetapi Yehuwa akan melakukan suatu mukjizat. Dia akan memindahkan nyawa Anak-Nya dari syurga ke dalam rahim Maria. Kemudian Dia akan menggunakan kuasa suci-Nya untuk ‘menaungi’ Maria agar anak di dalam rahimnya tidak dicemari ketidaksempurnaan. Adakah Maria mempercayai janji malaikat itu?

Reaksi Maria

9. (a) Mengapakah kita tidak patut meragui kisah Maria? (b) Bagaimanakah Gabriel menguatkan iman Maria?

9 Sesetengah orang yang terpelajar berasa bahawa mustahil bagi seorang anak dara untuk melahirkan anak. Meskipun mereka berpendidikan, mereka tidak sedar akan hakikat penting ini: “Tiada apa-apa yang mustahil bagi Tuhan.” (Luk. 1:37, nota kaki) Maria mempercayai kata-kata Gabriel kerana dia beriman kepada Tuhan. Tetapi Maria masih memerlukan bukti untuk dasar imannya. Maka Gabriel memberitahu Maria tentang Elisabet, salah seorang sanak saudaranya yang lebih tua dan yang sudah lama mandul. Tuhan telah melakukan satu mukjizat dan kini dia sudah mengandung.

10. Apakah cabaran yang mungkin perlu dihadapi oleh Maria?

10 Sekarang Maria pasti berasa lega kerana Gabriel telah menguatkan imannya. Meskipun Maria diberi penghormatan yang besar, dia juga akan menghadapi banyak cabaran. Dia mungkin risau sama ada Yusuf masih mahu berkahwin dengannya selepas Yusuf mengetahui bahawa dia sedang hamil. Lagipun Maria perlu memikul tanggungjawab yang berat kerana dia perlu mengandungkan, melahirkan, dan mengasuh serta melindungi bayi itu yang merupakan anak kesayangan Tuhan. Sememangnya dia diberikan tugasan yang sangat mencabar!

11, 12. (a) Apakah reaksi sesetengah penyembah Tuhan apabila diberikan tugasan oleh Tuhan? (b) Apakah yang dapat kita pelajari daripada kata-kata Maria?

11 Dalam Bible, terdapat beberapa kisah tentang penyembah Tuhan yang teragak-agak untuk menerima tugasan daripada Tuhan. Contohnya, Musa teragak-agak untuk menjadi jurucakap Tuhan kerana menganggap dirinya tidak pandai berucap. (Kel. 4:10) Yeremia pula berkata bahawa dia “masih sangat muda” dan tidak dapat melaksanakan tugasan yang diberikan oleh Tuhan. (Yer. 1:6) Yunus bahkan terus melarikan diri daripada tugasannya! (Yun. 1:3) Bagaimana pula dengan Maria?

12 Kata-katanya yang berikut mencerminkan kepatuhan dan kerendahan hatinya. Dia berkata kepada Gabriel, “Aku hamba perempuan Yehuwa! Semoga apa yang kamu isytiharkan berlaku atas diriku.” (Luk. 1:38) Hamba perempuan ialah hamba yang mempunyai kedudukan yang terendah, dan hidupnya berada dalam tangan tuannya. Bagi Maria, Yehuwa ialah Tuannya. Maka dia berasa selamat kerana dia tahu bahawa Tuhan setia kepada orang yang setia kepada-Nya, dan Tuhan akan memberkatinya seraya dia berusaha untuk melaksanakan tugasan yang telah diberikan kepadanya.​—Mzm. 18:25.

Maria tahu bahawa dia selamat di bawah jagaan Yehuwa

13. Jika kita berasa bahawa Tuhan meminta kita untuk melakukan sesuatu yang mustahil, bagaimanakah teladan Maria dapat membantu kita?

13 Kadangkala Tuhan akan meminta kita untuk melakukan sesuatu yang nampaknya susah atau mustahil di mata kita. Tetapi kita digalakkan untuk bergantung sepenuhnya pada Yehuwa, seperti yang dilakukan oleh Maria. (Ams. 3:5, 6) Jika kita berbuat demikian, Tuhan akan memberkati usaha kita, dan iman kita terhadap-Nya akan bertambah kukuh.

Maria Melawat Elisabet

14, 15. (a) Bagaimanakah Yehuwa meneguhkan iman Maria apabila Maria melawat Elisabet dan Zakharia? (b) Apakah yang dapat kita pelajari daripada kata-kata Maria di Lukas 1:46-55?

14 Kata-kata Gabriel tentang Elisabet menggalakkan Maria. Dia tahu bahawa hanya Elisabet yang dapat memahami perasaannya. Maka Maria segera bertolak lalu pergi ke Yehuda. Perjalanannya mungkin memakan masa tiga atau empat hari. Apabila dia tiba di rumah Elisabet dan Zakharia, Yehuwa sekali lagi membantu Maria dengan menguatkan imannya. Sebaik sahaja Elisabet mendengar suara Maria, bayi di dalam rahimnya melonjak dengan riang. Elisabet dipenuhi dengan kuasa suci Tuhan dan dia memanggil Maria “ibu Tuanku.” Tuhan telah memberitahu Elisabet bahawa anak Maria akan menjadi Tuannya kerana anak itu ialah Mesias. Elisabet juga diilhami oleh Tuhan untuk memuji iman dan kepatuhan Maria dengan berkata, “Berbahagialah wanita yang percaya.” (Luk. 1:39-45) Ya, Yehuwa akan melaksanakan segala yang difirmankan-Nya kepada Maria!

Iman Maria dan Elisabet dikuatkan kerana persahabatan mereka

15 Kemudian Maria mula bercakap. Kata-katanya itu merupakan ucapannya yang paling panjang yang dicatatkan dalam Bible. (Baca Lukas 1:46-55.) Dia bersyukur kepada Yehuwa dan memuji-Nya kerana memberinya peluang untuk menjadi ibu Mesias. Seraya dia bercakap tentang bagaimana Yehuwa merendahkan orang yang angkuh dan membantu orang yang rendah hati dan miskin, kita dapat melihat imannya yang teguh. Kata-katanya juga menunjukkan bahawa dia mempunyai banyak pengetahuan. Nampaknya dia merujuk kepada Kitab Ibrani lebih daripada 20 kali! *

16, 17. (a) Apakah sikap baik Maria dan anaknya yang patut kita contohi? (b) Kunjungan Maria ke rumah Elisabet mengingatkan kita tentang apa?

16 Meskipun Maria tekun merenungkan Firman Tuhan, dia tetap rendah hati. Dia lebih suka memetik ayat Bible daripada menggunakan kata-kata sendiri. Anak di dalam rahimnya juga memperlihatkan sikap yang sama pada kemudian hari dengan berkata, “Apa yang aku ajarkan bukanlah ajaranku, tetapi ajaran Dia yang mengutus aku.” (Yoh. 7:16) Ya, Maria dan anaknya mempunyai sikap yang terpuji. Bagaimana pula dengan kita? Adakah kita menghormati Firman Tuhan, atau adakah kita lebih suka idea dan ajaran sendiri?

17 Maria tinggal bersama Elisabet sekitar tiga bulan dan dia pasti menerima banyak galakan. (Luk. 1:56) Kisah ini mengingatkan kita tentang pentingnya persahabatan. Jika kita mencari sahabat yang mengasihi Yehuwa, kita akan bertumbuh secara rohani dan menjadi lebih akrab dengan Tuhan. (Ams. 13:20) Tetapi sekarang, Maria perlu pulang. Apakah yang akan dikatakan oleh Yusuf apabila dia mendapat tahu bahawa Maria hamil?

Maria dan Yusuf

18. Maria memberitahu Yusuf apa? Apakah reaksi Yusuf?

18 Nampaknya Maria memberitahu Yusuf tentang kehamilannya sebelum diketahui orang lain. Dia pasti risau tentang reaksi Yusuf kerana dia tahu bahawa Yusuf ialah seorang lelaki yang baik dan takut akan Tuhan. Namun begitu, Maria tetap memberitahunya segala sesuatu yang berlaku. Yusuf pasti sangat susah hati. Meskipun dia mahu mempercayai tunangnya yang dikasihi itu, dari sudut pandangan manusia, nampaknya Maria tidak setia kepadanya. Bible tidak memberitahu kita apa yang terlintas dalam fikiran Yusuf. Namun dia membuat keputusan untuk menceraikan Maria kerana pada zaman itu, orang yang bertunang dianggap sudah berkahwin. Tetapi dia tidak mahu Maria dimalukan di hadapan umum. Maka dia berniat menceraikan Maria secara diam-diam. (Mat. 1:18, 19) Maria pasti sedih melihat Yusuf terseksa dengan situasi itu. Namun dia tidak menyalahkan Yusuf kerana tidak mempercayainya.

19. Bagaimanakah Yehuwa membantu Yusuf untuk melakukan apa yang betul?

19 Yehuwa membantu Yusuf untuk melakukan apa yang betul. Dalam sebuah mimpi, malaikat Tuhan memberitahunya bahawa Maria hamil kerana kuasa suci Tuhan. Sudah pasti hal itu melegakan hati Yusuf. Sejak masa itu, seperti Maria, Yusuf bertindak selaras dengan bimbingan Tuhan. Dia mengahwini Maria dan mempersiapkan hatinya untuk memikul tanggungjawab sebagai bapa angkat Anak Yehuwa.—Mat. 1:20-24.

20, 21. Apakah pengajaran yang dapat kita raih daripada teladan Maria dan Yusuf?

20 Orang yang sudah berkahwin​—dan mereka yang merancang untuk berkahwin—harus belajar daripada teladan pasangan yang muda ini. Ketika Yusuf melihat isterinya yang masih muda itu menjalankan tanggungjawabnya sebagai ibu, dia pasti senang hati kerana dia telah mengikut bimbingan daripada malaikat Yehuwa. Yusuf tentu mempelajari pentingnya bergantung pada Yehuwa semasa membuat keputusan yang penting. (Mzm. 37:5; Ams. 18:13) Semenjak masa itu, sudah pasti dia membuat keputusan dengan cermat dan baik hati sebagai ketua keluarga.

21 Apakah yang dapat kita pelajari daripada Maria? Meskipun pada mulanya Yusuf tidak mempercayai cerita Maria, Maria tetap menunggu Yusuf untuk membuat keputusan kerana Yusuf akan menjadi ketua keluarganya. Hal itu pasti mengajar Maria tentang pentingnya ketundukan. Wanita Kristian dewasa ini juga patut meneladaninya. Selain itu, semua peristiwa yang berlaku barangkali mengajar Yusuf dan Maria tentang pentingnya komunikasi yang jujur dan terbuka.​—Baca Amsal 15:22.

22. Apakah asas perkahwinan Yusuf dan Maria? Apakah penghormatan yang diberikan kepada mereka?

22 Maria dan Yusuf melangkah masuk ke alam perkahwinan dengan asas yang terbaik. Mereka berdua mengasihi Yehuwa dan ingin menyenangkan hati-Nya dengan menjadi ibu bapa yang bertanggungjawab dan penyayang. Ya, mereka diberi penghormatan yang besar kerana mereka akan membesarkan Yesus, yang kemudiannya akan menjadi tokoh terpenting yang pernah hidup di bumi. Tetapi cabaran yang lebih besar menanti mereka.

^ per. 15 Maria juga mungkin telah memetik kata-kata Hana. Hana juga mendapat anak secara mukjizat.​—Lihat kotak “Dua Doa yang Istimewa,” di Bab 6.