Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB TIGA

“Bapa kepada Orang yang Beriman”

“Bapa kepada Orang yang Beriman”

1, 2. Apakah perubahan yang berlaku di bumi? Bagaimanakah hal ini mempengaruhi Abram?

ABRAM memandang ke arah sebuah zigurat yang besar di kota Ur, * tempat tinggalnya. Kedengaran suara riuh-rendah dari atas zigurat itu. Asap naik berkepul-kepul dari situ kerana para pendeta sedang mempersembahkan korban kepada dewa bulan. Dengan sedih, Abram mengorak langkah untuk pulang sambil menggelengkan kepalanya. Seraya dia menyusuri jalan yang sesak dengan orang, dia berfikir tentang kota ini yang sarat dengan penyembah berhala. Ya, keadaan di bumi kini sangat berbeza kerana agama palsu berkembang dengan cepat di merata-rata!

2 Nuh meninggal dua tahun sebelum Abram dilahirkan. Apabila Nuh dan keluarganya keluar dari bahtera, dia mempersembahkan korban kepada Yehuwa, dan Yehuwa menempatkan pelangi di awan. (Kej. 8:20; 9:12-14) Pada waktu itu, orang di bumi hanya menyembah Yehuwa. Tetapi sekarang, seraya generasi Nuh yang ke-10 meliputi bumi, mereka tidak lagi menyembah Tuhan yang benar. Mereka menyembah tuhan-tuhan palsu. Bahkan bapa Abram, iaitu Terah, turut terlibat dalam penyembahan berhala, mungkin dengan membuat patung berhala.​—Yos. 24:2.

Mengapakah Abram dipanggil “bapa kepada orang yang beriman”?

3. Mengapakah Abram berbeza daripada orang yang sezaman dengannya? Apakah yang akan kita pelajari dalam bab ini?

3 Abram berbeza daripada orang yang sezaman dengannya. Seraya masa berlalu, imannya terhadap Tuhan bertambah kuat. Pada kemudian hari, Paulus bahkan memanggilnya “bapa kepada orang yang beriman.” (Baca Roma 4:11.) Marilah kita lihat bagaimana kita dapat meniru Abram untuk membina iman yang kuat.

Menyembah Yehuwa selepas Banjir

4, 5. Siapakah yang mungkin telah mengajar Abram tentang Yehuwa? Jelaskan.

4 Siapakah yang mengajar Abram tentang Tuhan Yehuwa? Pada waktu itu, masih ada penyembah Yehuwa yang setia di bumi, dan Sem ialah salah seorang daripada mereka. Meskipun dia bukanlah anak sulung Nuh, Bible selalu menyebut namanya terlebih dahulu. Hal ini demikian kerana Sem mempunyai iman yang kuat. * Selepas Banjir, Nuh pernah berkata bahawa Yehuwa ialah “Tuhan Sem.” (Kej. 9:26) Sem menghormati Yehuwa dan menyokong ibadat sejati.

5 Abram mungkin telah belajar tentang Yehuwa melalui moyangnya Sem, yang telah hidup lebih daripada 400 tahun. Abram mempunyai banyak peluang untuk bergaul dengan Sem. Dia pasti mengagumi Sem kerana Sem pernah hidup dalam dunia jahat sebelum Banjir, dan Sem telah melihat bagaimana Tuhan membersihkan bumi dengan mendatangkan Banjir. Kemudian Sem juga menyaksikan bangsa-bangsa yang terbentuk selepas Banjir itu, dan pemberontakan yang dicetuskan oleh Nimrod di Menara Babel. Sudah pasti Sem telah menjauhi pemberontakan itu, kerana apabila Yehuwa mengelirukan bahasa manusia, dia dan keluarganya masih menuturkan bahasa asal manusia.

Meskipun orang di sekeliling Abram menyembah berhala, dia enggan berbuat demikian

6. (a) Bagaimanakah Banjir yang berlaku pada zaman Nuh membantu Abram untuk membina imannya? (b) Gambarkan kehidupan Abram dan Sarai.

6 Banjir yang berlaku pada zaman Nuh membantu Abram untuk membina imannya. Dia meniru Nuh dan berusaha untuk hidup akrab dengan Tuhan. Itulah sebabnya Abram enggan menyembah berhala. Hal itu tidak mudah baginya kerana orang di sekelilingnya, bahkan ahli keluarganya sendiri, menyembah berhala. Meskipun begitu, dia berjaya menemui seorang teman hidup yang baik, iaitu Sarai. Sarai bukan sahaja jelita, dia bahkan juga mempunyai iman yang kukuh. * Meskipun mereka tidak mempunyai cahaya mata, mereka masih bersukacita kerana dapat menyembah Yehuwa bersama-sama. Mereka menjadikan anak saudara Abram, iaitu Lot, sebagai anak angkat.

7. Bagaimanakah pengikut Yesus dapat meniru Abram?

7 Abram tidak pernah meninggalkan Yehuwa untuk menyembah berhala. Dia dan Sarai memiliki iman yang sejati. Mereka tidak terikut-ikut dengan amalan masyarakat setempat. Jika kita ingin memupuk iman yang sejati, kita patut meniru keberanian mereka. Yesus pernah berkata bahawa dunia akan membenci pengikutnya kerana mereka “bukan sebahagian daripada dunia.” (Baca Yohanes 15:19.) Jadi kita tidak patut berasa hairan jika kita dibenci oleh ahli keluarga atau masyarakat setempat kerana bertekad untuk menyembah Yehuwa. Ingatlah bahawa Yehuwa sentiasa berada di samping kita. Seperti Abram dan Sarai, kita dapat hidup akrab dengan-Nya.

“Tinggalkanlah Negerimu”

8, 9. (a) Apakah perkara menarik yang telah dialami Abram? (b) Apakah perkhabaran yang disampaikan oleh Yehuwa kepada Abram?

8 Pada suatu hari, Abram menerima perkhabaran daripada Yehuwa. Dia pasti sangat teruja kerana Tuhan telah menampakkan diri kepadanya, mungkin menerusi satu malaikat. (Baca Kisah 7:2, 3.) Abram pasti sangat gembira kerana dia dapat melihat cahaya kemuliaan Tuhan. Dengan mata sendiri, dia dapat melihat perbezaan antara Tuhan yang hidup dengan patung-patung berhala yang tidak bernyawa.

9 Apakah perkhabaran yang disampaikan oleh Yehuwa kepada Abram? Yehuwa berfirman, “Tinggalkanlah negerimu dan sanak saudaramu lalu pergilah ke negeri yang akan Aku tunjukkan kepadamu.” Tetapi Yehuwa tidak menyatakan ke mana dia harus pergi. Adakah mudah bagi Abram untuk meninggalkan kampung halamannya dan sanak saudaranya? Tidak, kerana masyarakat Timur Tengah amat mementingkan hubungan pertalian darah. Dalam pandangan segelintir orang, lebih baik jika seseorang mati daripada meninggalkan saudara-maranya dan berpindah ke suatu tempat yang jauh!

10. Mengapakah Abram dan Sarai perlu melakukan pengorbanan yang besar untuk meninggalkan kota Ur?

10 Untuk meninggalkan kota Ur, Abram dan Sarai perlu melakukan pengorbanan yang besar. Ur ialah sebuah kota yang makmur. (Lihat kotak “ Kota yang Ditinggalkan oleh Abram dan Sarai.”) Ahli kaji purba mendapati bahawa Ur mempunyai banyak rumah yang mewah dan selesa. Sesetengah rumah di situ mempunyai lebih daripada 12 buah bilik, yang dibina di sekeliling sebuah halaman yang cantik. Setiap rumah juga dilengkapi dengan kemudahan seperti air yang bersih, tandas, dan sistem kumbahan. Selain itu, Abram dan Sarai juga tidak muda; Abram berusia sekitar 70 tahun, manakala Sarai berusia sekitar 60 tahun. Abram ialah seorang suami yang baik, maka dia pasti ingin menyediakan tempat tinggal yang selesa bagi isterinya. Semasa mereka membincangkan perintah Tuhan, pasti banyak persoalan dan kekhuatiran yang timbul dalam minda mereka. Abram pasti sangat gembira apabila Sarai sudi menyahut cabaran ini! Seperti Abram, Sarai rela meninggalkan kehidupannya yang selesa di Ur.

11, 12. (a) Apakah persiapan yang perlu dilakukan sebelum meninggalkan Ur? (b) Gambarkan suasana apabila tiba masanya untuk meninggalkan Ur.

11 Selepas Abram dan Sarai mencapai kata putus, mereka perlu melakukan banyak persiapan. Apakah barangan yang perlu dibawa, dan apakah yang patut ditinggalkan? Lagipun bapa Abram, iaitu Terah, sudah lanjut usia. Adakah dia sudi pergi bersama mereka? Ya! Nampaknya dia telah meninggalkan penyembahan berhala dan mengikut Abram dan Sarai dengan gembira. Bible menyatakan bahawa Terah membawa keluarganya lalu meninggalkan Ur. Lot juga turut mengikut mereka.​—Kej. 11:31.

12 Akhirnya, masanya tiba bagi rombongan mereka untuk bertolak dari Ur. Semua barang mereka telah dimuatkan ke atas unta dan keldai. Kawanan binatang telah dikumpulkan, dan orang gaji serta ahli keluarga sudah berkumpul. * Bayangkan suasana pada masa itu: Semua orang tidak sabar-sabar untuk bertolak dan memandang Abram untuk menunggu isyaratnya. Sebaik sahaja Abram memberikan isyarat, mereka berangkat dan meninggalkan Ur buat selama-lamanya.

13. Bagaimanakah hamba-hamba Yehuwa pada hari ini meniru semangat rela berkorban yang ditunjukkan oleh Abram dan Sarai?

13 Hari ini, banyak hamba Yehuwa memilih untuk berpindah ke kawasan yang memerlukan lebih banyak penyiar. Ada pula yang mempelajari bahasa yang baharu atau meluaskan khidmat mereka dalam cara yang lain. Mereka perlu membuat pengorbanan untuk berbuat demikian, tetapi Yehuwa pasti akan memberkati mereka. Yehuwa juga akan memberkati pengorbanan kita dengan melimpah jika kita meniru iman Abram dan Sarai. Ya, Dia tidak akan melupakan iman yang kita perlihatkan. (Ibr. 6:10; 11:6) Bagaimanakah Yehuwa memberkati Abram?

Menyeberangi Sungai Efrat

14, 15. Gambarkan pengalaman Abram dan rombongannya semasa perjalanan dari Ur ke Haran. Mengapakah Abram membuat keputusan untuk tinggal di Haran untuk suatu jangka waktu?

14 Hari demi hari berlalu dan musim silih berganti. Secara beransur-ansur, Abram dan keluarganya membiasakan diri dengan kehidupan nomad. Mereka kian pandai memasang khemah dan semakin cekap membantu Terah yang lanjut usia untuk turun naik dari keldai atau unta. Mereka menyusuri Sungai Efrat dan menuju ke arah barat laut. Ada masanya mereka menunggang keldai, dan ada masanya mereka berjalan kaki. Seraya rombongan itu meneruskan perjalanan ke destinasi yang ditentukan oleh Tuhan, mereka pasti berbual-bual dengan gembira.

15 Setelah membuat perjalanan sejauh kira-kira 960 kilometer, mereka sampai di Haran, sebuah kota yang makmur. Kota itu terletak di jalan yang sering dilalui oleh pedagang dari Timur dan Barat. Pada waktu itu, Terah mungkin terlalu lemah untuk meneruskan perjalanan, maka mereka tinggal di kota itu untuk suatu jangka waktu.

16, 17. (a) Apakah janji Yehuwa yang telah melegakan hati Abram? (b) Bagaimanakah Yehuwa memberkati Abram sewaktu dia tinggal di Haran?

16 Tidak lama kemudian, Terah meninggal pada usia 205 tahun. (Kej. 11:32) Pastinya Abram berasa sangat sedih, tetapi dia mendapat kelegaan hati apabila Yehuwa berfirman kepadanya sekali lagi. Tuhan mengulangi arahan yang diberikan-Nya kepada Abram di Ur, kemudian Dia memberikan lebih banyak maklumat tentang janji-Nya. Yehuwa berjanji bahawa ‘keturunan Abram akan menjadi bangsa yang besar,’ dan ‘melaluinya, semua bangsa di bumi akan diberkati.’ (Baca Kejadian 12:2, 3.) Setelah mendengar hal ini, Abram sedar bahawa masanya sudah tiba untuk meninggalkan Haran.

17 Sewaktu Abram tinggal di Haran, Yehuwa telah memberkatinya dengan banyak harta dan hamba. (Kej. 12:5) Adakah Yehuwa selalu melimpahkan kekayaan kepada penyembah-Nya? Tidak. Tetapi Dia akan memberi mereka apa yang diperlukan untuk melaksanakan kehendak-Nya. Memandangkan Tuhan mahu Abram menjadi sebuah bangsa yang besar, Dia telah memberkati Abram dengan banyak harta dan hamba. Setelah iman Abram dikuatkan, dia dan rombongannya yang semakin besar memulakan perjalanan.

Tidak mudah bagi Abram dan Sarai untuk meninggalkan kehidupan yang selesa di Ur

18. (a) Bilakah Abram menyeberangi Sungai Efrat? (b) Pada kemudian hari, apakah peristiwa-peristiwa penting yang berlaku pada 14 Nisan? (Lihat kotak “ Tarikh yang Penting dalam Sejarah Bible.”)

18 Setelah beberapa hari, mereka tiba di Karkemis. Karkemis ialah tempat penyeberangan Sungai Efrat. Tanah yang dijanjikan oleh Yehuwa kepada Abram terletak di seberang Sungai Efrat. Maka Abram memimpin rombongannya menyeberangi sungai itu. (Kel. 12:40-43) Peristiwa yang bersejarah itu berlaku pada hari ke-14 dalam bulan Abib (yang kemudiannya dikenali sebagai bulan Nisan), tahun 1943 SM, dan pada hari itulah perjanjian antara Tuhan dengan Abram mula berkuat kuasa.

19. Semasa Yehuwa berfirman kepada Abram sekali lagi, apakah yang dijanjikan-Nya? Hal ini mungkin mengingatkan Abram tentang apa?

19 Abram meneruskan perjalanannya ke arah selatan negeri itu dan tiba berhampiran pokok-pokok besar di More, yang berdekatan Sikhem. Di situ, Yehuwa berfirman kepada Abram sekali lagi. Kali ini, Tuhan berjanji bahawa Dia akan memberikan negeri itu kepada keturunan Abram. Setelah mendengar hal ini, Abram mungkin teringat akan nubuat Yehuwa di Taman Eden yang menyebut tentang keturunan yang akan menyelamatkan umat manusia. (Kej. 3:15; 12:7) Dia mungkin mula sedar akan peranannya dalam pelaksanaan kehendak Yehuwa.

20. Bagaimanakah Abram menunjukkan bahawa dia menghargai penghormatan yang diberikan oleh Yehuwa kepadanya?

20 Abram amat menghargai penghormatan yang diberikan oleh Yehuwa kepadanya. Seraya dia menjelajahi negeri itu, dia membina mazbah-mazbah untuk memuji nama Yehuwa dan mengungkapkan rasa syukur kepada-Nya. Dia mungkin berbuat demikian secara waswas kerana negeri itu masih diduduki oleh orang Kanaan. Abram telah membina sebuah mazbah berhampiran pokok-pokok besar di More, kemudian dia membina sebuah lagi berdekatan Bethel. Selain itu, dia juga mungkin menginjil kepada orang Kanaan. (Baca Kejadian 12:7, 8.) Abram pasti akan menghadapi cabaran yang lebih besar pada kemudian hari. Dengan bijak, dia terus memandang ke depan dan bukannya asyik memikirkan kehidupannya yang selesa di Ur. Ibrani 11:10 menyatakan bahawa Abram “menantikan kota yang mempunyai asas yang kukuh, iaitu kota yang direka dan dibina oleh Tuhan.”

21. Apakah yang kita tahu tentang Kerajaan Tuhan? Pengetahuan ini menggerakkan anda untuk melakukan apa?

21 Berbanding Abram, kita mempunyai lebih banyak pengetahuan tentang “kota” itu, iaitu Kerajaan Tuhan. Kita tahu bahawa kerajaan itu sedang memerintah di syurga dan akan melenyapkan sistem dunia ini tidak lama lagi. Kita juga tahu bahawa keturunan Abram, iaitu Yesus Kristus, sedang memerintah sebagai raja kerajaan itu. Apabila Abram dibangkitkan kelak, dia pasti berpeluang untuk memahami kehendak Tuhan dengan sepenuhnya. Jika anda ingin melihat Yehuwa mengotakan setiap janji-Nya, anda harus berusaha meniru iman Abram. Tunjukkanlah semangat rela berkorban, patuhilah Yehuwa, dan tunjukkanlah penghargaan atas semua penghormatan yang diberikan oleh Yehuwa. Semoga kita semua berusaha meniru iman Abram, “bapa kepada orang yang beriman”!

^ per. 1 Pada kemudian hari, Tuhan menukar nama Abram kepada Abraham, yang bererti “Bapa kepada Banyak Orang.”​—Kej. 17:5.

^ per. 4 Meskipun Abram bukanlah anak sulung Terah, Bible juga selalu menyebut namanya terlebih dahulu.

^ per. 6 Pada kemudian hari, Tuhan menukar nama Sarai kepada Sara, yang bererti “Puteri.”​—Kej. 17:15.

^ per. 12 Sesetengah cendekiawan berkata bahawa orang tidak menternak unta pada zaman Abram. Tetapi dakwaan mereka itu tidak berasas. Bible menyatakan beberapa kali bahawa unta merupakan salah satu binatang yang diternak oleh Abram.​—Kej. 12:16; 24:35.