Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB TUJUH

Dia “Terus Membesar dan Mendapat Perkenan Yehuwa”

Dia “Terus Membesar dan Mendapat Perkenan Yehuwa”

1, 2. Bilakah Samuel mengumpulkan bangsa Israel di Gilgal? Mengapakah dia perlu menggerakkan mereka untuk bertaubat?

SAMUEL menyuruh bangsa Israel untuk berkumpul di kota Gilgal. Menurut kalendar moden, masa itu sekitar bulan Mei atau Jun, dan musim kering sudah bermula. Ladang-ladang gandum di kawasan itu sudah menguning dan siap untuk dituai. Samuel telah berkhidmat sebagai nabi dan hakim mereka selama berdekad-dekad. Sekarang mereka semua menunggu Samuel untuk menyampaikan firman Tuhan. Bagaimanakah dia dapat menyentuh hati mereka?

2 Bangsa Israel tidak sedar betapa seriusnya dosa mereka. Mereka meminta Samuel untuk melantik seorang manusia untuk menjadi raja mereka. Tindakan mereka menunjukkan bahawa mereka menolak Yehuwa sebagai Raja mereka. Ya, mereka telah menghina Yehuwa dan nabi-Nya! Bagaimanakah Samuel dapat menggerakkan mereka untuk bertaubat?

Seperti Samuel, kita mahu tetap beriman kepada Yehuwa meskipun orang di sekeliling kita jahat

3, 4. (a) Mengapakah Samuel menyebut tentang zaman mudanya? (b) Mengapakah iman Samuel dapat membantu kita pada hari ini?

3 ‘Aku sudah tua dan beruban,’ kata Samuel kepada mereka. Ya, memandangkan dia sudah tua, orang lebih menghormatinya. Kemudian dia menambah, “Aku telah memimpin kamu sejak zaman mudaku sehingga hari ini.” (1 Sam. 11:14, 15; 12:2) Meskipun Samuel sudah tua, memori zaman mudanya masih segar dalam ingatannya. Keputusan yang dibuatnya semasa muda membantunya mengabdikan diri kepada Yehuwa dan membina iman yang teguh.

4 Sejak kecil lagi, Samuel dikelilingi orang yang tidak beriman dan tidak setia. Maka tidak mudah bagi Samuel untuk membina dan memelihara imannya. Dewasa ini, kita juga dikelilingi orang yang jahat dan tidak beriman. Seperti Samuel, kita harus berusaha dengan gigih untuk membina iman kita. (Baca Lukas 18:8.) Marilah kita belajar tentang kisah Samuel dan melihat bagaimana kita dapat meniru imannya.

Samuel yang Masih Kecil Berkhidmat kepada Yehuwa

5, 6. Mengapakah zaman kanak-kanak Samuel amat istimewa? Mengapakah ibu bapanya yakin bahawa dia akan dijaga dengan baik?

5 Zaman kanak-kanak Samuel amat istimewa. Selepas dia bercerai susu, iaitu sewaktu dia berusia sekitar tiga tahun, dia mula berkhidmat di khemah suci Yehuwa di Silo, yang terletak kira-kira 30 kilometer dari rumahnya di Rama. Ibu bapanya, iaitu Elkana dan Hana, telah menghantarnya ke situ untuk menjadi orang Nazir * buat seumur hidupnya. Adakah hal ini bererti bahawa mereka tidak menyayangi Samuel?

6 Tidak! Mereka yakin bahawa anak mereka akan dijaga dengan baik. Samuel selalu berada di sisi Imam Agung Eli. Selain itu, terdapat para wanita yang ditugaskan untuk berkhidmat di khemah suci. Mereka mungkin turut menjaga Samuel.​—Kel. 38:8; Hak. 11:34-40.

7, 8. (a) Bagaimanakah ibu bapa Samuel menggalakkannya setiap tahun? (b) Bagaimanakah ibu bapa pada hari ini dapat meniru teladan ibu bapa Samuel?

7 Hana dan Elkana tidak pernah melupakan anak sulung mereka yang dikurniakan oleh Tuhan. Setiap tahun, mereka melawat Samuel di khemah suci Tuhan dan menasihatinya serta menggalakkannya untuk menghargai khidmatnya kepada Yehuwa. Pada masa itu, Hana akan memberinya sehelai jubah yang tidak berlengan. Samuel pasti gembira apabila ibu bapanya datang melawatnya.

8 Ibu bapa dapat mengambil iktibar daripada teladan Hana dan Elkana. Dewasa ini, ramai ibu bapa hanya menjaga keperluan fizikal anak mereka. Tetapi ibu bapa Samuel mengutamakan hal-hal rohani, dan usaha mereka membantu Samuel untuk menjadi insan yang beriman.​—Baca Amsal 22:6.

9, 10. (a) Apakah perasaan Samuel terhadap khemah suci Tuhan? Gambarkan struktur khemah suci itu. (Lihat juga nota kaki.) (b) Apakah tugas-tugas Samuel? Pada pendapat anda, bagaimanakah orang muda pada hari ini dapat meniru teladannya?

9 Semasa Samuel masih muda, dia mungkin suka menjelajahi bukit bukau di sekitar Silo. Seraya dia memandang ke arah khemah suci Yehuwa, * hatinya pasti melimpah dengan sukacita dan rasa bangga. Khemah suci itu telah dibina hampir 400 tahun dahulu di bawah arahan Musa, dan merupakan pusat ibadat sejati di seluruh bumi.

10 Samuel mengasihi khemah suci Tuhan. Bible juga menyatakan, ‘Samuel berkhidmat kepada Yehuwa, dan dia memakai efod yang diperbuat daripada kain linen.’ (1 Sam. 2:18) Efod ialah sehelai jubah tidak berlengan, dan jubah itu menunjukkan bahawa Samuel membantu para imam yang bertugas di khemah suci. Meskipun Samuel bukan daripada keturunan imam, dia diberi tugas untuk membuka pintu-pintu di halaman khemah suci pada waktu pagi, dan membantu Eli yang sudah tua. Dia pasti amat menghargai tugas-tugas ini. Tetapi pada kemudian hari, sesuatu yang buruk telah berlaku, dan hal itu membuat Samuel sangat susah hati.

Samuel Tetap Murni

11, 12. (a) Mengapakah Hofni dan Pinehas dikatakan “sangat jahat”? (b) Apakah perbuatan jahat yang dilakukan oleh Hofni dan Pinehas di khemah suci? (Lihat juga nota kaki.)

11 Sejak muda lagi, Samuel melihat hal-hal yang buruk berlaku. Eli mempunyai dua orang anak yang bernama Hofni dan Pinehas. Samuel menulis, “Anak-anak lelaki Eli sangat jahat; mereka tidak menghormati Yehuwa.” (1 Sam. 2:12) Ya, mereka dikatakan “sangat jahat” kerana mereka tidak mempedulikan kehendak dan piawaian Tuhan. Oleh itu, mereka terjerumus ke dalam kancah dosa yang lebih serius.

12 Hukum Tuhan menyatakan dengan jelas tugas para imam dan cara mereka harus mempersembahkan korban. Hukum-hukum itu penting kerana korban yang dipersembahkan melambangkan aturan Tuhan untuk mengampunkan dosa manusia agar mereka menjadi suci di mata-Nya dan layak menerima berkat dan bimbingan-Nya. Tetapi Hofni dan Pinehas langsung tidak menghormati hukum-hukum itu, * dan mereka juga mempengaruhi imam-imam lain untuk berbuat demikian.

13, 14. (a) Bagaimanakah tindakan anak-anak Eli mempengaruhi orang yang berhati jujur? (b) Mengapakah Eli gagal melaksanakan tanggungjawabnya sebagai bapa dan imam agung?

13 Samuel pasti terkejut melihat perbuatan yang buruk ini berlanjutan. Dia nampak orang yang miskin dan ditindas datang ke khemah suci untuk mendapatkan ketenangan hati dan kekuatan daripada Tuhan, tetapi hanya menemui kekecewaan dan hinaan. Dia juga mendapat tahu bahawa Hofni dan Pinehas melanggar hukum moral Yehuwa dengan meniduri para wanita yang berkhidmat di khemah suci. (1 Sam. 2:22) Dia mungkin berharap agar Eli akan bertindak untuk membetulkan semua masalah ini.

Samuel pasti amat susah hati melihat perbuatan jahat anak-anak Eli

14 Eli ialah orang yang paling layak untuk membetulkan masalah ini. Selaku imam agung, dia bertanggungjawab atas apa yang berlaku di khemah suci. Selaku seorang bapa, dia wajib mendisiplinkan anak-anaknya. Lagipun, tindakan anak-anaknya menyakiti diri mereka sendiri dan juga seluruh bangsa Israel. Sememangnya Eli gagal melaksanakan tanggungjawabnya sebagai bapa dan imam agung. Anak-anaknya telah melakukan dosa yang besar dan sepatutnya dihukum mati, tetapi Eli hanya menegur mereka.​—Baca 1 Samuel 2:23-25.

15. Apakah amaran yang diberikan oleh Yehuwa kepada Eli? Apakah reaksi Eli dan anak-anaknya terhadap amaran itu?

15 Keadaan menjadi begitu buruk sehingga Yehuwa menghantar seorang nabi untuk menyampaikan mesej penghakiman kepada Eli. Yehuwa memberitahu Eli, “Mengapakah engkau lebih menghormati anak-anakmu daripada-Ku?” Kemudian Tuhan menubuatkan bahawa anak-anak Eli akan mati pada hari yang sama. Selain itu, keturunan Eli akan hidup melarat dan bahkan kehilangan hak istimewa untuk menjadi imam. Adakah Eli dan anak-anaknya bertaubat setelah mendengar amaran ini? Nampaknya tidak.​—1 Sam. 2:27–3:1.

16. (a) Apakah yang dicatatkan dalam Bible tentang perkembangan rohani Samuel? (b) Adakah hati anda tersentuh dengan catatan-catatan itu? Mengapa?

16 Adakah Samuel terikut-ikut dengan teladan buruk mereka? Tidak. Bible mengandungi catatan yang positif tentang Samuel. Misalnya, 1 Samuel 2:18 menyatakan bahawa “Samuel yang masih seorang budak kecil berkhidmat kepada Yehuwa.” Biarpun dia masih muda, dia bertumpu kepada hal-hal rohani. Kemudian, di ayat 21, kita membaca bahawa Samuel “terus membesar dan mendapat perkenan Yehuwa.” Seraya dia meningkat dewasa, persahabatannya dengan Yehuwa bertambah kukuh. Sesungguhnya persahabatannya dengan Tuhan memberinya kekuatan untuk melawan pengaruh-pengaruh yang jahat.

17, 18. (a) Bagaimanakah orang Kristian yang muda dapat meniru teladan Samuel? (b) Bagaimanakah kita tahu bahawa Samuel memilih haluan yang betul?

17 Samuel boleh berfikir, “Imam agung dan anak-anaknya berbuat sesuka hati. Jadi apa salahnya jika saya pun berbuat sesuka hati?” Tetapi dia tidak berfikir sedemikian. Dia sedar bahawa hal itu bukanlah alasan baginya untuk berbuat jahat juga. Dewasa ini, ramai orang Kristian yang muda meniru teladan Samuel. Mereka berusaha untuk “mendapat perkenan Yehuwa” meskipun orang di sekeliling mereka tidak menetapkan teladan yang baik.

18 Apakah hasil yang diraih oleh Samuel? Bible menyatakan, “Sementara itu, Samuel terus membesar dan semakin disenangi oleh Yehuwa dan manusia.” (1 Sam. 2:26) Samuel disenangi oleh banyak orang, dan Yehuwa mengasihinya kerana dia setia. Samuel tahu bahawa Yehuwa akan membetulkan semua kejahatan yang berlaku di Silo, tetapi dia tidak tahu bila hal itu akan berlaku. Pada suatu malam, apa yang berlegar dalam mindanya dijawab dengan jelas sekali.

“Berfirmanlah, kerana Hamba-Mu Sedang Mendengar”

19, 20. (a) Apakah yang berlaku kepada Samuel semasa dia sedang tidur? (b) Bagaimanakah Samuel melayan Eli? (c) Bagaimanakah Samuel tahu bahawa Yehuwalah yang sedang memanggilnya?

19 Pagi hampir menjelang, tetapi hari masih gelap dan pelita besar di khemah suci masih bernyala. Dalam kesunyian malam, Samuel mendengar suara yang memanggil namanya. Dia menyangka itu suara Eli, yang sudah sangat tua dan hampir buta. Bayangkanlah Samuel bangun dari katilnya dan bergegas ke sisi Eli tanpa memakai kasut. Meskipun dosa Eli banyak, dia masih imam agung Yehuwa, dan Samuel tetap melayan Eli dengan baik dan hormat.​—1 Sam. 3:2-5.

20 Samuel membangunkan Eli dan bertanya, “Tuan panggil aku?” Tetapi Eli berkata bahawa dia tidak memanggil Samuel dan menyuruhnya pergi tidur semula. Hal yang sama berlaku sebanyak dua kali lagi! Akhirnya Eli sedar apa yang sedang berlaku. Sudah lama Yehuwa tidak memberikan penglihatan atau perkhabaran kepada umat-Nya, tetapi sekarang Eli tahu bahawa Yehuwa telah berfirman kepada Samuel. Maka Eli mengajar Samuel cara untuk menjawab apabila Yehuwa memanggilnya sekali lagi dan menyuruhnya untuk pergi tidur semula. Samuel pun berbuat demikian. Tidak lama kemudian, dia mendengar suara yang sama memanggilnya, “Samuel, Samuel!” Jadi dia menjawab, “Berfirmanlah, kerana hamba-Mu sedang mendengar.”​—1 Sam. 3:1, 5-10.

21. Bagaimanakah kita dapat mendengar Yehuwa berfirman kepada kita? Mengapakah kita patut mematuhi-Nya?

21 Akhirnya Yehuwa mempunyai seorang hamba yang sudi mendengarkan firman-Nya. Samuel mendengarkan firman Tuhan seumur hidupnya, bagaimana pula dengan anda? Kini Tuhan berfirman kepada kita menerusi Bible. Seperti Samuel, jika kita selalu mendengarkan firman Tuhan, iman kita terhadap-Nya akan bertambah kuat.

Biarpun Samuel takut, dia masih menyampaikan mesej penghakiman Yehuwa kepada Eli

22, 23. (a) Bagaimanakah perkhabaran pertama yang disampaikan oleh Samuel menjadi kenyataan? (b) Mengapakah reputasi Samuel sebagai seorang nabi yang setia tersebar luas?

22 Malam itu merupakan malam yang bersejarah dalam hidup Samuel. Sejak hari itu, dia mempunyai hubungan yang istimewa dengan Tuhan, kerana dia menjadi nabi dan wakil-Nya. Yehuwa menyuruh Samuel untuk menyampaikan mesej penghakiman-Nya kepada Eli. Pada mulanya, Samuel takut untuk mengingatkan Eli bahawa tidak lama lagi, nubuat tentang keluarganya akan menjadi kenyataan. Tetapi akhirnya dia mengerahkan keberanian untuk berbuat demikian, dan Eli menerima penghakiman Tuhan dengan rendah hati. Ya, semua firman Yehuwa menjadi kenyataan: Orang Israel berperang dengan orang Filistin, Hofni dan Pinehas dibunuh pada hari yang sama, dan Eli mati apabila dia mendapat tahu bahawa tabut perjanjian Tuhan dirampas.​—1 Sam. 3:10-18; 4:1-18.

23 Reputasi Samuel sebagai seorang nabi yang setia tersebar luas. Bible menyatakan, ‘Yehuwa menyertainya dan memastikan segala nubuat yang dikatakan olehnya benar-benar berlaku.’​—Baca 1 Samuel 3:19.

“Samuel Berseru kepada Yehuwa”

24. Apakah yang diinginkan oleh orang Israel? Mengapakah hal itu merupakan dosa yang serius?

24 Adakah orang Israel mengikut teladan Samuel untuk tetap setia kepada Yehuwa? Tidak. Pada kemudian hari, mereka tidak mahu dihakimi oleh seorang nabi. Sebaliknya mereka mahu diperintah oleh seorang raja, seperti bangsa-bangsa yang lain. Atas arahan Yehuwa, Samuel menunaikan permintaan mereka. Tetapi dia perlu menyedarkan mereka bahawa mereka telah melakukan dosa yang serius, kerana yang ditolak oleh mereka bukan dia, tetapi Yehuwa! Itulah sebabnya Samuel menyuruh mereka berkumpul di Gilgal.

Samuel berdoa, dan Yehuwa mendatangkan hujan badai

25, 26. Bagaimanakah Samuel menyedarkan bangsa Israel tentang betapa seriusnya dosa mereka terhadap Yehuwa?

25 Marilah kita kembali kepada peristiwa yang digambarkan pada permulaan bab ini. Samuel mengingatkan bangsa Israel tentang kesetiaannya kepada Yehuwa. Kemudian dia “berseru kepada Yehuwa” dan meminta-Nya mendatangkan guruh dan hujan.​—1 Sam. 12:17, 18.

26 Waktu itu ialah musim kering. Tetapi, tiba-tiba awan yang gelap meliputi langit, dan angin kencang mula bertiup. Guruh mengguntur dengan kuat, dan hujan mulai turun sehingga “semua orang sangat takut akan Yehuwa dan Samuel.” Jika ada orang yang ragu-ragu atau mentertawakan Samuel, keraguan mereka hilang dalam sekelip mata. Akhirnya mereka sedar betapa seriusnya dosa mereka.​—1 Sam. 12:18, 19.

27. Apakah perasaan Yehuwa terhadap orang yang meniru iman Samuel?

27 Sebenarnya Yehuwalah yang telah menyedarkan bangsa Israel tentang betapa seriusnya dosa mereka. Samuel tetap beriman kepada Yehuwa sepanjang hidupnya, dan Yehuwa telah memberkatinya. Sesungguhnya Yehuwa tidak pernah berubah. Sampai hari ini, Dia tetap menyokong orang yang berusaha meniru iman Samuel.

^ per. 5 Orang Nazir membuat ikrar yang khas kepada Yehuwa dan harus mematuhi syarat-syarat tertentu. Contohnya, mereka dilarang minum alkohol dan memotong rambut. Ramai orang membuat ikrar ini buat suatu jangka waktu, tetapi sebilangan orang seperti Simson, Samuel, dan Yohanes Pembaptis, menjadi orang Nazir sepanjang hayat mereka.

^ per. 9 Khemah suci terdiri daripada rangka-rangka kayu yang ditutupi kain khemah. Khemah ini berbentuk segi empat tepat, dan diperbuat daripada bahan-bahan yang terbaik seperti kulit anjing laut, kain yang disulam, dan kayu yang disalut dengan emas dan perak. Di sekeliling khemah ini, terdapat sebuah halaman yang berbentuk segi empat. Di halaman ini, terdapat sebuah mazbah yang besar. Pada kemudian hari, bilik-bilik lain telah dibina di tepi khemah suci untuk kegunaan para imam. Nampaknya Samuel tidur di dalam salah sebuah bilik ini.

^ per. 12 Bible menyatakan dua cara Hofni dan Pinehas tidak menghormati hukum-hukum itu. Pertama, Hukum Tuhan menyatakan secara spesifik bahagian korban yang harus diberikan kepada para imam. (Ul. 18:3) Tetapi mereka bertindak sesuka hati. Semasa daging korban direbus, mereka menyuruh pembantu mereka untuk memasukkan sebatang garpu yang besar ke dalam periuk dan mengambil apa sahaja yang tertancap pada garpu itu. Kedua, Hukum Tuhan juga menyatakan bahawa lemak binatang harus dibakar terlebih dahulu. Tetapi apabila orang membawa korban untuk dibakar, mereka akan menyuruh pembantu mereka untuk memaksa orang itu memberi mereka daging yang masih mentah itu bersama lemaknya.​—Im. 3:3-5; 1 Sam. 2:13-17.