Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB SEMBILAN BELAS

Dia Bertanggungjawab dan Setia

Dia Bertanggungjawab dan Setia

1, 2. (a) Apakah cabaran-cabaran yang akan dihadapi oleh Yusuf dan keluarganya? (b) Apakah berita buruk yang harus disampaikan oleh Yusuf kepada isterinya?

YUSUF menaikkan satu lagi bungkusan ke atas keldainya sambil memerhatikan kawasan di sekelilingnya yang masih gelap. Dia dan keluarganya akan meninggalkan Betlehem untuk pergi ke Mesir. Dia pasti risau kerana mereka perlu membiasakan diri dengan kehidupan, budaya, dan bahasa yang asing. Dapatkah mereka menghadapi semua cabaran itu?

2 Dalam mimpi Yusuf, Tuhan menyuruhnya untuk melarikan diri ke Mesir bersama anak dan isterinya kerana Raja Herodes ingin membunuh anaknya itu. (Baca Matius 2:13, 14.) Pastinya tidak mudah bagi Yusuf untuk memberitahu isterinya tentang hal itu, tetapi dia telah berbuat demikian. Setelah Maria mendengar berita buruk itu, dia pasti berasa risau dan bingung. Meskipun demikian, Yusuf dan Maria tetap memperlihatkan iman kepada Yehuwa dan membuat persediaan untuk berangkat dengan segera.

3. Gambarkan bagaimana Yusuf dan keluarganya meninggalkan Betlehem. (Lihat juga gambar.)

3 Tatkala penduduk Betlehem masih tidur nyenyak, mereka meninggalkan kota itu. Seraya matahari mula terbit, fikiran Yusuf pasti diselubungi dengan banyak persoalan. Bagaimanakah dia dapat melindungi keluarganya daripada ancaman musuh yang begitu berkuasa? Bagaimanakah dia dapat menampung kehidupan mereka di Mesir? Bagaimanakah dia dapat menjaga dan membesarkan Yesus dalam cara yang diperkenankan oleh Yehuwa? Ya, Yusuf perlu menghadapi banyak cabaran. Seraya kita melihat bagaimana dia mengatasi semua cabaran ini, kita juga akan mempelajari bagaimana kita, terutamanya para bapa, dapat meniru iman Yusuf.

Yusuf Melindungi Keluarganya

4, 5. (a) Mengapakah hidup Yusuf berubah? (b) Bagaimanakah malaikat Yehuwa menenangkan hati Yusuf?

4 Sebelum ini, Yusuf telah bertunang dengan Maria anak Heli, seorang gadis yang berhati murni. Tetapi Yusuf mendapat tahu bahawa Maria sudah hamil lalu dia berniat untuk menceraikan Maria secara diam-diam kerana dia tidak mahu memalukan Maria. * Tetapi malaikat Yehuwa muncul dalam mimpinya dan memberitahunya bahawa Maria hamil kerana kuasa suci Tuhan. Malaikat itu juga berkata bahawa anak yang bakal dilahirkan itu “akan menyelamatkan bangsanya daripada dosa mereka.” Kemudian malaikat itu menenangkan hatinya dengan berkata, “Janganlah takut untuk mengahwini Maria.”​—Mat. 1:18-21.

5 Yusuf ialah lelaki yang baik, maka dia mentaati perintah Tuhan dan mengahwini Maria. Dia juga sudi memikul tanggungjawab yang terpenting, iaitu membesarkan dan menjaga Anak Tuhan. Beberapa bulan kemudian, Yusuf juga mematuhi perintah raja dan pergi ke kota kelahirannya bersama isterinya yang hamil untuk mendaftarkan diri. Di situlah Yesus dilahirkan.

6-8. (a) Apakah peristiwa yang mengubah kehidupan keluarga Yusuf sekali lagi? (b) Apakah yang membuktikan bahawa Syaitanlah dalang di sebalik “bintang” itu? (Lihat juga nota kaki.)

6 Yusuf tidak membawa keluarganya balik ke Nasaret. Sebaliknya mereka menetap di Betlehem, yang terletak tidak jauh dari Yerusalem. Meskipun mereka miskin, Yusuf tetap bekerja keras untuk menampung keperluan keluarganya. Maka tidak lama kemudian, mereka tinggal di dalam sebuah rumah yang sederhana. Apabila Yesus berusia kira-kira setahun, kehidupan mereka berubah sekali lagi.

7 Beberapa orang ahli nujum dari Timur, yang kemungkinannya dari Babilon, telah mengikut sebutir “bintang” dan sampai ke rumah Yusuf dan Maria. Mereka mencari anak yang bakal menjadi raja orang Yahudi untuk menunjukkan hormat kepadanya.

8 Barangkali mereka tidak sedar bahawa mereka telah membahayakan nyawa Yesus. “Bintang” itu memimpin mereka ke Yerusalem terlebih dahulu. * Apabila mereka tiba di Yerusalem, mereka memberitahu Raja Herodes bahawa mereka sedang mencari anak kecil yang bakal menjadi raja orang Yahudi. Hal itu membuat raja yang jahat itu menjadi cemburu dan marah.

9-11. (a) Bagaimanakah muslihat Syaitan dan Herodes digagalkan? (b) Apakah yang dicatatkan oleh mitos dan cerita legenda tentang perjalanan keluarga Yusuf ke Mesir?

9 Tetapi muslihat jahat Herodes dan Syaitan tidak berjaya kerana Tuhan telah campur tangan. Apabila ahli-ahli nujum itu tiba di rumah Yesus, mereka memberinya “emas, kemenyan putih, dan mur.” Kemudian mereka bercadang untuk kembali kepada Raja Herodes dan memberitahunya bahawa mereka telah menjumpai anak itu. Tetapi Yehuwa memberikan amaran kepada mereka menerusi mimpi agar pulang ke tanah air mereka melalui jalan lain.​—Baca Matius 2:1-12.

10 Setelah mereka berangkat, Yusuf menerima amaran berikut daripada malaikat Yehuwa: “Cepatlah bangun dan bawa anak kecil itu dengan ibunya ke Mesir. Tinggallah di situ sehingga aku memberimu arahan selanjutnya, kerana Herodes ingin mencari anak kecil itu untuk membunuhnya.” (Mat. 2:13) Sekali lagi, Yusuf mematuhi Tuhan tanpa berlengah-lengah. Dia mengutamakan keselamatan Yesus, maka dia membawa keluarganya ke Mesir. Oleh sebab para ahli nujum itu memberi mereka hadiah-hadiah yang bernilai, kini Yusuf mempunyai wang untuk menampung keperluan mereka di Mesir.

Yusuf bertindak dengan segera untuk melindungi keluarganya

11 Pada kemudian hari, pelbagai mitos dan cerita legenda menokok tambah butiran tentang perjalanan mereka ke Mesir. Ada yang mendakwa bahawa Yesus telah melakukan mukjizat, seperti memendekkan masa perjalanan mereka, menyelamatkan mereka daripada para perompak, dan bahkan membuat dahan pokok palma melengkung ke bawah agar ibunya dapat memetik buah palma itu. * Hakikatnya, perjalanan mereka sangat jauh, memenatkan, dan penuh dengan ketidakpastian.

Yusuf mengetepikan kepentingan diri demi keluarganya

12. Apakah yang dapat dipelajari oleh ibu bapa daripada Yusuf?

12 Ibu bapa dapat memperoleh banyak pengajaran daripada Yusuf. Yusuf memandang keluarganya sebagai amanah daripada Yehuwa. Maka dia sudi meninggalkan perniagaannya dan mengetepikan kepentingan sendiri demi keselamatan keluarganya. Dewasa ini, ibu bapa perlu membesarkan anak-anak mereka dalam dunia yang berbahaya dan sarat dengan pengaruh buruk. Oleh itu, para ibu bapa haruslah meniru teladan Yusuf dan berusaha gigih untuk melindungi anak-anak mereka daripada anasir yang jahat.

Yusuf Menampung Keperluan Keluarganya

13, 14. Mengapakah Yusuf dan Maria memilih untuk menetap di Nasaret?

13 Nampaknya Yusuf dan keluarganya tidak tinggal lama di Mesir, kerana tidak lama kemudian, malaikat Tuhan memberitahu Yusuf bahawa Herodes sudah mati. Maka Yusuf membawa keluarganya balik ke negeri asal mereka. Hal ini terjadi tepat seperti yang dinubuatkan: “Aku akan memanggil anak-Ku keluar dari Mesir.” (Mat. 2:15) Di manakah mereka menetap selepas mereka keluar dari Mesir?

14 Yusuf bertindak dengan cermat. Dia tahu bahawa pengganti Herodes, iaitu Arkelaus, juga kejam dan suka membunuh. Atas bimbingan Tuhan, Yusuf membawa keluarganya jauh dari Yerusalem, dan kembali ke kota asalnya, iaitu Nasaret.​—Baca Matius 2:19-23.

15, 16. Gambarkan kerja yang perlu dilakukan oleh Yusuf. Apakah peralatan yang mungkin digunakannya?

15 Hidup mereka sederhana, dan kerja Yusuf sebagai tukang kayu agak mencabar. Dia perlu menebang pokok, mengangkutnya, dan memotong-motongnya, agar dapat digunakan untuk membina rumah, perahu, jambatan kecil, roda, kuk, dan segala macam alat pertanian. (Mat. 13:55) Pada zaman Bible, seorang tukang kayu sering kali bekerja di depan atau dekat dengan rumahnya.

16 Yusuf menggunakan pelbagai alat semasa melakukan kerja pertukangan. Kemungkinan besar sesetengah alat itu diwariskan oleh bapanya. Antara alat yang mungkin digunakannya termasuk sesiku, tali unting, alat penanda, kapak, gergaji, tukul, pahat, gerudi, pelbagai jenis gam, dan mungkin paku meskipun harganya mahal.

17, 18. (a) Apakah yang dipelajari oleh Yesus daripada bapa angkatnya? (b) Mengapakah Yusuf perlu bekerja keras?

17 Bayangkanlah Yesus yang masih kecil memerhatikan bapa angkatnya yang sedang bekerja. Matanya berfokus kepada setiap pergerakan Yusuf, dan dia pasti kagum dengan kekuatan, kemahiran, dan kepakaran Yusuf. Barangkali Yusuf mula mengajar Yesus cara untuk melakukan kerja-kerja yang mudah, seperti menggunakan kulit ikan yang kering untuk meratakan bahagian kayu yang kasar. Dia juga mungkin mengajar Yesus tentang ciri-ciri pelbagai jenis kayu yang digunakannya.

Yusuf melatih anaknya untuk menjadi tukang kayu

18 Yusuf bukan sekadar menjaga keperluan fizikal keluarganya, dia juga menjaga keperluan emosi mereka dengan penuh kasih sayang. Sebenarnya dia dan Maria mempunyai sekurang-kurangnya enam orang anak lagi selepas Yesus. (Mat. 13:55, 56) Sememangnya Yusuf perlu memerah keringat untuk menyara keluarganya yang besar itu.

Yusuf mengutamakan keperluan rohani keluarganya

19. Bagaimanakah Yusuf menjaga keperluan rohani keluarganya?

19 Namun Yusuf sedar bahawa keperluan rohani keluarganya ialah perkara yang terpenting. Maka dia meluangkan masa untuk mengajar anak-anaknya tentang Yehuwa dan Hukum-Nya. Dia dan Maria selalu membawa mereka ke rumah ibadat untuk mendengar pembacaan Hukum Tuhan dan penjelasannya. Selepas Yesus mendengar pembacaan itu, dia mungkin mengajukan banyak soalan, dan Yusuf pula akan berusaha untuk menjawabnya. Yusuf juga membawa keluarganya ke Yerusalem untuk menyambut perayaan-perayaan rohani. Hal itu pasti tidak senang bagi Yusuf kerana Yerusalem terletak kira-kira 120 kilometer dari Nasaret, dan untuk menyambut Perayaan Paska tahunan sahaja, perjalanan ulang-alik mereka mengambil masa sekitar dua minggu.

Yusuf selalu membawa keluarganya ke Rumah Tuhan di Yerusalem

20. Bagaimanakah ketua keluarga Kristian meniru teladan Yusuf?

20 Hari ini, ketua keluarga Kristian juga meniru teladan Yusuf. Mereka bekerja keras untuk menjaga keperluan fizikal keluarga mereka. Tetapi seperti Yusuf, mereka mengutamakan hal-hal rohani. Mereka berusaha sedaya upaya untuk mengadakan penyembahan keluarga di rumah dan membawa anak-anak untuk menghadiri semua perhimpunan dan perjumpaan Kristian. Seperti Yusuf, mereka tahu bahawa tanggungjawab utama ibu bapa ialah mengajar anak mereka tentang Yehuwa.

“Cemas Hati Emak dan Ayah”

21. Gambarkan perjalanan Yusuf dan keluarganya ke Yerusalem untuk menyambut Perayaan Paska. Bilakah mereka sedar bahawa Yesus tidak ada bersama mereka?

21 Sewaktu Yesus berusia 12 tahun, Yusuf membawa keluarganya ke Yerusalem seperti biasa untuk menyambut Perayaan Paska. Ramai orang juga membuat perjalanan itu, dan seraya mereka mendekati kawasan pergunungan kota itu, banyak orang dalam kalangan mereka menyanyikan lagu mazmur. (Mzm. 120-134) Kota itu pasti sesak dengan orang. Sehabisnya perayaan itu, mereka semua pulang. Yusuf dan Maria menyangka bahawa Yesus sedang mengikut orang lain yang berjalan bersama mereka. Setelah berjalan sehari suntuk, barulah mereka mencari-cari dia antara sanak saudara dan kenalan mereka, tetapi mereka tidak menjumpai Yesus.​—Luk. 2:41-44.

22, 23. Apakah yang dilakukan oleh Yusuf dan Maria apabila mereka mendapati bahawa Yesus sudah hilang? Apakah yang dikatakan oleh Maria apabila mereka menjumpainya?

22 Dengan cemas, mereka kembali ke Yerusalem untuk mencarinya. Bayangkanlah Yusuf dan Maria memanggil-manggil nama Yesus seraya mereka menyusuri jalan-jalan di kota itu yang kini sunyi sepi. Pada hari ketiga, mereka masih tidak menjumpainya. Pada waktu itu, Yusuf mungkin mula berfikir bahawa dia gagal menjalankan tugas suci yang diberikan Yehuwa. Kemudian mereka pergi ke Rumah Tuhan dan mula mencarinya di situ. Akhirnya, mereka menjumpai Yesus di salah sebuah bilik di situ. Yusuf dan Maria pasti sangat lega!​—Luk. 2:45, 46.

23 Maria dan Yusuf melihat Yesus sedang duduk bersama guru-guru agama sambil mendengar dan mengajukan soalan kepada mereka. Guru-guru itu kagum dengan daya pemahaman Yesus dan jawapannya. Menurut catatan Bible, Yusuf tidak mengatakan apa-apa. Namun kata-kata Maria mewakili perasaan mereka berdua. Maria berkata, “Nak, mengapakah kamu berbuat seperti ini terhadap kami? Cemas hati emak dan ayah mencarimu.”​—Luk. 2:47, 48.

24. Bagaimanakah Bible memberi kita gambaran yang realistik tentang cabaran membesarkan anak-anak?

24 Melalui kata-kata Maria itu, Firman Tuhan memberi kita gambaran yang realistik tentang cabaran yang dihadapi oleh para ibu bapa. Tugas membesarkan anak tidak mudah, biarpun anak itu sempurna. Para ibu bapa hari ini pasti tertekan kerana mereka perlu membesarkan anak-anak mereka dalam dunia yang jahat ini. Meskipun demikian, Tuhan meyakinkan mereka bahawa Dia sedar akan cabaran yang dihadapi oleh mereka.

25, 26. Bagaimanakah Yesus menjawab pertanyaan ibu bapanya? Apakah perasaan Yusuf terhadap jawapan Yesus itu?

25 Yesus berada di Rumah Tuhan kerana tiada tempat lain di dunia ini yang membuatnya berasa begitu dekat dengan Bapanya yang di syurga. Lagipun dia dapat mempelajari banyak hal tentang Bapanya di situ. Maka dengan tulus, dia berkata kepada Yusuf dan Maria, “Mengapakah emak dan ayah mencari saya? Tidakkah emak dan ayah tahu bahawa saya pasti berada di rumah Bapaku?”​—Luk. 2:49.

26 Barangkali Yusuf telah merenungkan kata-kata itu berkali-kali. Dia mungkin berasa bangga terhadap Yesus kerana selama ini, dia telah berusaha keras untuk menyemai benih kasih akan Yehuwa dalam diri Yesus. Jadi meskipun Yesus masih muda, dia sudah mempunyai pandangan bahawa Yehuwa ialah Bapa yang baik dan pengasih. Yesus mempunyai pandangan sedemikian kerana dia dan Yusuf mempunyai hubungan yang rapat.

27. Apakah penghormatan yang diberikan kepada para bapa? Bagaimanakah mereka dapat meniru teladan Yusuf?

27 Jika anda ialah seorang bapa, adakah anda sedar bahawa anda diberi penghormatan untuk membantu anak-anak anda membina hubungan yang rapat dengan Yehuwa? Jika anda mempunyai anak angkat atau anak tiri, tirulah teladan Yusuf dengan menghargai mereka. Bantulah mereka untuk menghampiri Yehuwa, Bapa kita yang di syurga.​Baca  Efesus 6:4.

Yusuf Tetap Setia kepada Tuhan

28, 29. (a) Apakah yang dapat kita pelajari tentang Yusuf daripada Lukas 2:51, 52? (b) Bagaimanakah Yusuf membantu anaknya menjadi orang yang bijaksana?

28 Selepas kejadian itu, Bible tidak mencatatkan banyak maklumat tentang Yusuf. Tetapi Bible menyatakan bahawa Yesus ‘terus taat kepada ibu bapanya,’ dan “kebijaksanaannya kian bertambah. Dia semakin disenangi oleh Tuhan dan manusia.” (Baca Lukas 2:51, 52.) Melalui ayat-ayat ini, kita dapat mengetahui bahawa Yusuf terus mengambil pimpinan dalam keluarganya kerana Yesus menghormatinya dan mentaatinya.

29 Bible juga menyatakan bahawa kebijaksanaan Yesus kian bertambah. Sudah pasti, Yusuflah yang membantu Yesus dalam hal ini. Pada zaman Yesus, banyak orang percaya bahawa hanya orang yang kaya dapat menjadi bijaksana kerana mereka mempunyai banyak masa lapang dan tidak perlu bekerja. Mereka juga percaya bahawa orang biasa, seperti pedagang, petani, tukang kayu, dan tukang besi, tidak dapat memahami hal-hal yang mendalam. Tetapi Yusuf membuktikan bahawa pandangan itu salah. Meskipun dia seorang tukang kayu, dia sering mengajar keluarganya tentang Yehuwa.

30. Bagaimanakah ketua keluarga dapat meniru Yusuf?

30 Yusuf juga menjaga Yesus dengan baik sehingga Yesus dapat membesar menjadi seorang lelaki yang kuat dan sihat. Selain itu, dia mengajar dan melatih Yesus untuk melakukan kerja pertukangan. Pada kemudian hari, Yesus sendiri dipanggil seorang tukang kayu, dan bukan hanya anak tukang kayu. (Mrk. 6:3) Hal ini menunjukkan bahawa Yusuf berjaya melatih anaknya itu. Ketua keluarga patut meniru Yusuf dengan menjaga keperluan fizikal anak-anak dan memastikan bahawa mereka dapat menampung hidup sendiri pada kemudian hari.

31. (a) Bilakah Yusuf mati? (Lihat juga  kotak.) (b) Apakah teladan baik yang diberikan oleh Yusuf?

31 Sewaktu Yesus dibaptis sekitar usia 30 tahun, Bible tidak mencatatkan apa-apa tentang Yusuf. Maka kita boleh menyimpulkan bahawa Maria ialah seorang balu ketika Yesus memulakan kerja penyebarannya. (Lihat kotak “ Bilakah Yusuf Mati?”) Biarpun begitu, Yusuf telah memberikan suri teladan yang baik kepada kita. Dia tetap setia kepada Tuhan, dan berusaha untuk melindungi keluarganya dan menjaga keperluan mereka. Semoga kita semua meniru iman Yusuf.

^ per. 4 Pada zaman itu, orang yang bertunang dianggap sudah berkahwin.

^ per. 8 “Bintang” itu bukanlah bintang biasa dan tidak berasal daripada Tuhan. Sebenarnya Syaitan menggunakan “bintang” itu agar dia dapat membunuh Yesus.

^ per. 11 Bible menunjukkan bahawa Yesus melakukan ‘mukjizatnya yang pertama’ setelah dia dibaptis.​—Yoh. 2:1-11.