Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB DUA PULUH TIGA

Dia Belajar Pengampunan daripada Tuannya

Dia Belajar Pengampunan daripada Tuannya

1. Apakah saat yang paling buruk dalam hidup Petrus?

PETRUS tidak akan melupakan saat Yesus melihat ke arahnya. Adakah Yesus kecewa dengan Petrus? Kita tidak tahu. Bible hanya memberitahu kita bahawa “Tuan Yesus berpaling dan memandang Petrus.” (Luk. 22:61) Daripada pandangan Yesus itu, Petrus sedar betapa besarnya kesilapannya. Dia sedar bahawa dia baru melakukan hal yang dikatakan oleh Yesus meskipun dia telah berkeras bahawa dia tidak akan melakukannya. Ya, dia telah menyangkal tuannya yang dikasihi. Petrus berasa remuk hati dan itulah saat yang paling buruk dalam hidupnya.

2. Petrus perlu belajar tentang apa? Apakah yang akan kita pelajari dalam bab ini?

2 Namun ini bukanlah akhir segala-galanya bagi Petrus kerana dia masih dapat bangkit daripada kegagalannya. Yesus akan menggunakan peluang ini untuk mengajar Petrus tentang sesuatu yang amat penting, iaitu tentang pengampunan. Sebenarnya kita masing-masing perlu belajar tentang pengampunan. Maka marilah kita melihat apa yang dipelajari oleh Petrus daripada pengalaman pahitnya.

Petrus Ditegur Berulang Kali

3, 4. (a) Apakah soalan yang ditanyakan oleh Petrus, dan apakah yang mungkin difikirkannya? (b) Bagaimanakah Yesus menunjukkan bahawa Petrus dipengaruhi oleh sikap orang pada zaman itu?

3 Kira-kira enam bulan sebelumnya, Petrus bertanya kepada Yesus, “Tuan, jika saudaraku berdosa terhadapku, berapa kalikah aku harus mengampuninya? Sehingga tujuh kalikah?” Guru agama pada zaman itu mengajar orang bahawa mereka hanya perlu mengampuni seseorang sebanyak tiga kali. Maka Petrus mungkin menganggap dirinya murah hati. Tetapi Yesus menjawab, “Bukan 7 kali tetapi sehingga 77 kali.”​—Mat. 18:21, 22.

4 Adakah Yesus memaksudkan bahawa Petrus harus menghitung bilangan kesilapan orang lain? Tidak. Dengan menggantikan angka 7 yang disebutkan oleh Petrus dengan angka 77, Yesus sedang menunjukkan bahawa pengampunan tidak ada batasnya. (1 Kor. 13:4, 5) Sebenarnya Petrus dipengaruhi oleh sikap orang pada zaman itu yang tidak suka mengampuni. Tetapi jika kita ingin mendapat perkenan Tuhan, kita harus belajar untuk mengampuni orang lain tidak kira berapa kali mereka berbuat salah.​Baca  1 Yohanes 1:7-9.

5. Biasanya, bilakah seseorang akan mempelajari pentingnya pengampunan?

5 Petrus menerima teguran Yesus. Tetapi adakah pengajaran Yesus menyentuh hati Petrus? Kadangkala kita hanya akan memahami pentingnya pengampunan semasa kita sendiri sangat memerlukan pengampunan. Sekarang, mari kita kembali kepada peristiwa yang berlaku sebelum kematian Yesus. Pada waktu itu, Petrus melakukan banyak kesilapan, dan dia pasti amat menginginkan pengampunan Yesus.

Yesus Mengampuni Petrus Berkali-kali

6. Apakah reaksi Petrus semasa Yesus mahu mencuci kakinya? Bagaimanakah Yesus melayannya?

6 Malam itu ialah malam terakhir Yesus di bumi. Masih ada banyak yang ingin disampaikan oleh Yesus kepada para rasul, contohnya tentang kerendahan hati. Yesus menetapkan teladan yang baik dengan mencuci kaki mereka. Kerja itu biasanya dilakukan oleh hamba yang paling rendah tarafnya. Pada mulanya Petrus tidak mahu Yesus mencuci kakinya. Namun sejurus selepas itu, dia meminta Yesus mencuci kaki, tangan, dan bahkan kepalanya! Adakah Yesus hilang sabar terhadap Petrus? Tidak. Sebaliknya, dia menjelaskan erti di sebalik tindakannya.​—Yoh. 13:1-17.

7, 8. (a) Bagaimanakah Petrus menguji kesabaran Yesus? (b) Bagaimanakah Yesus menunjukkan bahawa dia rela mengampuni Petrus?

7 Tidak lama kemudian, Petrus sekali lagi menguji kesabaran Yesus. Dia dan rasul-rasul yang lain bertengkar tentang siapa dalam kalangan mereka yang terbesar. Tetapi Yesus membetulkan pandangan mereka dan bahkan memuji mereka atas hal-hal baik yang dilakukan oleh mereka. Misalnya, Yesus memuji kesetiaan mereka. Namun Yesus menubuatkan bahawa mereka semua akan meninggalkannya, tetapi Petrus berkata bahawa walaupun dia terpaksa mati, dia tidak akan sekali-kali meninggalkan Yesus. Meskipun demikian, Yesus berkata bahawa sebelum ayam jantan berkokok dua kali, Petrus akan menyangkalnya sebanyak tiga kali. Sekali lagi, Petrus membantah apa yang dikatakan oleh Yesus, dan bahkan berkeras bahawa meskipun semua rasul yang lain tersandung, dia tidak akan tersandung.​—Mat. 26:31-35; Mrk. 14:27-31; Luk. 22:24-28; Yoh. 13:36-38.

8 Pada masa itu, Yesus tetap mencari hal-hal baik dalam diri para rasulnya yang tidak sempurna. Meskipun dia tahu bahawa Petrus akan mengecewakannya, dia masih berkata, “Aku telah merayu kepada Tuhan bagi pihakmu agar kamu tidak kehilangan iman. Sebaik sahaja kamu bertaubat, teguhkanlah iman saudara-saudaramu.” (Luk. 22:32) Ya, Yesus yakin bahawa Petrus akan bertaubat lalu menyembah Tuhan dengan setia, dan dia rela mengampuni Petrus.

9, 10. (a) Mengapakah Yesus menegur Petrus di Taman Getsemani? (b) Pengalaman Petrus mengingatkan kita tentang apa?

9 Kemudian, di Taman Getsemani, Petrus perlu ditegur sekali lagi. Yesus meminta Petrus, Yakobus, dan Yohanes, untuk tetap berjaga-jaga semasa dia berdoa kerana dia sangat tertekan dan memerlukan sokongan mereka. Tetapi mereka asyik tertidur. Namun Yesus sedia memaafkan mereka dan berkata, “Sememangnya, hati ingin membuat apa yang benar tetapi tubuh lemah.”​—Mrk. 14:32-41.

10 Tidak lama kemudian, ramai orang yang bersenjatakan pedang dan belantan datang ke situ. Pada saat genting sebegitu, orang sepatutnya bertindak dengan cermat dan bijaksana, tetapi Petrus pula bertindak secara terburu-buru. Dia menghunus pedang lalu menyerang hamba imam agung dan mengerat telinganya. Dengan tenang, Yesus menegur Petrus dan menyembuhkan luka lelaki itu. Kemudian dia menjelaskan mengapa para pengikutnya tidak boleh menggunakan kekerasan. (Mat. 26:47-55; Luk. 22:47-51; Yoh. 18:10, 11) Ya, Petrus telah melakukan banyak kesilapan. Pengalamannya mengingatkan kita bahawa kita semua sering berbuat silap dan memerlukan pengampunan Tuhan setiap hari. (Baca Yakobus 3:2.) Namun sebelum malam itu berlalu, Petrus bakal melakukan dosa yang lebih besar.

Kesilapan Petrus yang Terbesar

11, 12. (a) Bagaimanakah Petrus menunjukkan keberanian selepas Yesus ditangkap? (b) Adakah Petrus melakukan apa yang dikatakannya sebelum ini? Jelaskan.

11 Yesus memberitahu orang yang datang untuk menangkapnya agar membiarkan para rasul pergi. Petrus tidak dapat melakukan apa-apa semasa mereka mengikat Yesus. Maka dia dan rasul-rasul yang lain melarikan diri.

12 Barangkali dia dan Yohanes berhenti berdekatan rumah Hanas, iaitu tempat Yesus dibawa untuk disoal siasat. Seraya Yesus dibawa keluar dari situ, Petrus dan Yohanes mengikutnya “dari jauh.” (Mat. 26:58; Yoh. 18:12, 13) Petrus pasti memerlukan keberanian untuk berbuat demikian kerana orang ramai membawa senjata, dan dia telah mencederakan salah seorang daripada mereka. Biarpun begitu, Petrus masih gagal melakukan apa yang dikatakannya sebelum ini, iaitu bahawa dia akan setia kepada Yesus dan sudi mati bersama tuannya itu.​—Mrk. 14:31.

13. Apakah yang harus kita lakukan jika kita ingin menjadi pengikut Kristus yang sejati?

13 Seperti Petrus, banyak orang dewasa ini mengikut Yesus “dari jauh” kerana mereka tidak mahu orang lain menyedari bahawa mereka ialah pengikutnya. Tetapi seperti yang ditulis oleh Petrus sendiri pada kemudian hari, orang yang ingin menjadi pengikut Kristus yang sejati haruslah berani mengikutnya “dari dekat” dan berusaha meniru teladannya dalam semua perkara.​—Baca 1 Petrus 2:21.

14. Apakah yang dilakukan oleh Petrus semasa perbicaraan Yesus sedang berlangsung?

14 Akhirnya Petrus mengekori orang ramai ke pintu masuk halaman rumah Imam Agung Kayafas, tetapi para pengawal tidak membenarkannya masuk. Yohanes, yang dikenali oleh imam agung, sudah berada di dalam rumah, maka dia keluar untuk bercakap dengan hamba perempuan yang menjaga pintu agar membenarkan Petrus masuk. Tetapi nampaknya Petrus tidak mengikut Yohanes masuk ke dalam rumah untuk mendengar perbicaraan Yesus, sebaliknya dia menunggu di halaman rumah. Dia memanaskan badan di depan unggun api bersama beberapa orang hamba dan para pekerja sambil memerhatikan saksi-saksi palsu yang dibawa masuk untuk menuduh Yesus.​—Mrk. 14:54-57; Yoh. 18:15, 16, 18.

15, 16. Jelaskan bagaimana nubuat Yesus tentang Petrus menjadi kenyataan.

15 Petrus berdiri dekat unggun api, dan hamba perempuan yang telah membenarkannya masuk dapat melihat mukanya dengan lebih jelas. Maka hamba itu berkata kepadanya, “Kamu juga bersama dengan Yesus, orang Galilea itu!” Petrus terkejut lalu menafikan hal itu. Kemudian dia pergi berdiri dekat pagar supaya tidak diperhatikan oleh sesiapa. Tetapi seorang lagi hamba nampak dia lalu berkata, “Lelaki ini bersama dengan Yesus, orang Nasaret itu.” Petrus menafikannya sekali lagi dan bersumpah, “Aku tidak kenal lelaki itu!” (Mat. 26:69-72; Mrk. 14:66-68) Barangkali pada waktu itulah dia terdengar ayam jantan berkokok. Tetapi oleh sebab dia terlalu cemas, dia terlupa tentang apa yang dinubuatkan oleh Yesus beberapa jam sebelum itu.

16 Beberapa waktu kemudian, sekumpulan orang menghampiri Petrus, dan salah seorang daripada mereka berkata kepadanya, “Bukankah kamu yang aku nampak di taman itu bersamanya?” Petrus mencuba menafikan hal itu sekali lagi dan bersumpah, “Terkutuklah aku jika aku berdusta.” Itulah kali ketiga Petrus menafikan hal itu. Sebaik sahaja Petrus habis berkata-kata, dia mendengar ayam jantan berkokok buat kali kedua.​—Yoh. 18:26, 27; Mrk. 14:71, 72.

“Tuan Yesus berpaling dan memandang Petrus”

17, 18. (a) Apakah reaksi Petrus apabila dia sedar bahawa dia telah mengecewakan Yesus? (b) Apakah yang mungkin terlintas dalam fikirannya?

17 Yesus baru sahaja dibawa keluar dan dia memandang Petrus. Pada waktu itu, barulah Petrus sedar bahawa dia telah mengecewakan Yesus. Hatinya remuk dan dia dibebani rasa bersalah lalu dia pun berlari meninggalkan halaman itu sambil menahan sebak di dada. Air matanya bercucuran seraya dia menyusuri jalan-jalan Yerusalem yang kosong dan suram.​—Mrk. 14:72; Luk. 22:61, 62.

18 Barangkali Petrus berfikir bahawa dia telah melakukan dosa yang tidak boleh diampunkan. Adakah hal itu benar?

Adakah Dosa Petrus Tidak Boleh Diampunkan?

19. Gambarkan perasaan Petrus. Adakah dia berputus asa?

19 Kita tidak dapat membayangkan kesedihan yang dirasai oleh Petrus pada waktu itu. Dia pasti menyalahkan dirinya apabila Yesus mati pada hari itu setelah diseksa selama berjam-jam! Barangkali hati Petrus bagai dihiris sembilu sewaktu dia terfikir tentang bagaimana dia telah menambah penderitaan yang dirasai oleh Yesus. Meskipun dia dirundung kesedihan, dia masih tidak berputus asa. Bible menyatakan bahawa tidak lama kemudian, dia berkumpul bersama saudara-saudara seimannya. (Luk. 24:33) Pastinya setiap rasul menyesali tindakan mereka pada malam itu dan mereka telah berkumpul untuk menggalakkan satu sama lain.

20. Apakah pengajaran yang dapat kita peroleh daripada teladan Petrus?

20 Petrus tidak membiarkan kesalahannya membuatnya berputus asa. Apabila seseorang penyembah Tuhan berbuat salah, hal yang terpenting bukanlah seberapa berat kesalahannya, tetapi seberapa kuat azamnya untuk bertaubat dan bangun semula. (Baca Amsal 24:16.) Petrus menunjukkan iman yang sejati kerana meskipun dia amat sedih, dia masih berkumpul dengan saudara-saudara seimannya. (Ams. 18:1) Ya, teladan Petrus mengajar kita bahawa apabila kita dibebani kesedihan atau rasa bersalah, kita tidak patut mengasingkan diri, kerana hal ini akan membahayakan kerohanian kita. Sebaliknya kita patut bergaul rapat dengan rakan-rakan seiman agar dikuatkan semula secara rohani.​—Ibr. 10:24, 25.

21. Apakah berita yang didengar oleh Petrus apabila dia berkumpul bersama rakan seimannya?

21 Oleh sebab Petrus ada bersama rakan seimannya, dia berpeluang mendengar berita bahawa mayat Yesus tidak lagi berada di dalam makamnya. Dia dan Yohanes berlari ke tempat Yesus dimakamkan. Yohanes tiba di situ terlebih dahulu, tetapi dia tidak masuk ke dalam makam. Petrus yang tiba kemudian pula terus masuk ke dalam makam dan mendapati bahawa makam itu kosong!​—Yoh. 20:3-9.

22. Apakah yang melenyapkan segala keraguan dan kesedihan yang dirasai Petrus?

22 Adakah Petrus percaya bahawa Yesus telah dibangkitkan? Pada mulanya dia tidak percaya. (Luk. 23:55–24:11) Tetapi peristiwa yang seterusnya telah melenyapkan segala keraguan dan kesedihan yang dirasai Petrus. Ya, sekarang Yesus hidup semula sebagai makhluk roh yang perkasa! Bible memberitahu kita bahawa ‘Yesus telah menampakkan diri kepada Simon.’ (Luk. 24:34) Paulus juga menulis bahawa Yesus “menampakkan diri kepada Kefas, dan kemudian kepada 12 orang rasul.” (1 Kor. 15:5) Kefas dan Simon ialah nama lain Petrus. Nampaknya Yesus telah menampakkan diri kepada Petrus apabila Petrus sedang bersendirian.

Petrus memerlukan pengampunan Yesus. Bukankah kita juga memerlukan pengampunan Tuhan setiap hari?

23. Mengapakah orang Kristian yang berdosa patut mengingat kisah Petrus?

23 Kita hanya dapat membayangkan betapa gembiranya Petrus semasa melihat Tuannya yang tersayang hidup kembali. Dia pasti sangat menyesali perbuatannya dan ingin memohon pengampunan Yesus, dan Yesus pula pasti bersedia untuk mengampuninya. Hari ini, orang Kristian yang berdosa patut ingat akan kisah Petrus. Kita tidak patut berasa bahawa kita tidak layak mendapat pengampunan Tuhan. Yesus mencerminkan sifat Bapanya dengan sempurna, maka kita boleh yakin bahawa Yehuwa akan ‘mengampuni kita dengan rela hati.’​—Yes. 55:7.

Lebih Banyak Bukti tentang Pengampunan

24, 25. (a) Apakah yang dilakukan oleh Petrus apabila dia tiba di Galilea? (b) Apakah reaksi Petrus setelah dia menyaksikan mukjizat yang dilakukan oleh Yesus?

24 Yesus menyuruh para rasul untuk pergi ke Galilea, dan berjanji bahawa dia akan berjumpa dengan mereka di situ. Apabila mereka tiba di situ, Petrus pergi menangkap ikan di Tasik Galilea, barangkali untuk menenangkan hatinya. Beberapa orang murid yang lain juga mengikutnya. Namun mereka tidak dapat menangkap apa-apa pun sepanjang malam itu.​—Mat. 26:32; Yoh. 21:1-3.

Petrus terjun ke dalam tasik dan berenang ke darat

25 Semasa hari hampir pagi, seorang lelaki di tepi tasik menyuruh mereka menebarkan jala ke sebelah kanan perahu. Mereka berbuat demikian dan menangkap sebanyak 153 ekor ikan! Pada waktu itu, Petrus sedar bahawa lelaki itu ialah Yesus. Maka dia berenang ke darat. Di situ, Yesus telah menyediakan makanan untuk mereka. Kemudian dia menumpukan perhatiannya kepada Petrus.​—Yoh. 21:4-14.

26, 27. (a) Yesus memberi Petrus tiga peluang untuk melakukan apa? (b) Bagaimanakah Yesus menunjukkan bahawa dia telah mengampuni Petrus?

26 Sambil menunjuk ke arah hasil tangkapan ikan, Yesus menanya Petrus, “Adakah kamu mengasihi aku lebih daripada semua ini?” Yesus ingin tahu sama ada Petrus lebih mengasihinya atau lebih mengasihi kerja menangkap ikan. Sebelum ini, Petrus telah menyangkalnya sebanyak tiga kali. Maka sekarang dia memberi Petrus tiga peluang untuk menyatakan kasihnya di hadapan para rasul yang lain. Setelah itu, Yesus memberitahunya cara menunjukkan kasih itu, iaitu dengan mengutamakan khidmat suci lebih daripada segala-galanya. Ya, Petrus perlu menggembala, menguatkan, dan memberikan makanan rohani kepada pengikut Kristus yang setia.​—Yoh. 21:15-17; Luk. 22:32.

27 Dengan berbuat demikian, Yesus menunjukkan bahawa Petrus masih berguna baginya dan bagi Bapanya. Petrus akan memainkan peranan yang penting dalam sidang yang dipimpin oleh Kristus. Hal ini membuktikan bahawa Yesus telah mengampuni Petrus dengan sepenuhnya. Petrus pasti tersentuh dengan belas kasihan yang ditunjukkan oleh Yesus.

28. Bagaimanakah Petrus hidup selaras dengan erti nama yang diberikan oleh Yesus kepadanya?

28 Selama bertahun-tahun, Petrus menjalankan tugasnya dengan setia. Dia mematuhi arahan Yesus dan menguatkan rakan seimannya. Dengan baik hati dan sabar, dia menggembala dan memberikan makanan rohani kepada pengikut Kristus. Petrus hidup selaras dengan erti nama yang diberikan oleh Yesus kepadanya. Ya, dia stabil, boleh diharap, dan mempunyai keteguhan seperti batu. Hal ini dapat dilihat daripada dua pucuk surat yang ditulisnya, yang kemudiannya dimuatkan ke dalam Bible. Surat-surat itu juga menunjukkan bahawa Petrus tidak pernah melupakan pengajaran penting yang diperolehnya daripada Yesus, iaitu sifat sudi mengampuni.​—Baca 1 Petrus 3:8, 9; 4:8.

29. Bagaimanakah kita meniru iman Petrus dan sikap Yesus yang suka mengampuni?

29 Semoga kita juga ingat akan pengajaran yang penting ini. Adakah kita berdoa memohon Tuhan untuk mengampuni kita setiap hari? Setelah berdoa, adakah kita yakin bahawa Dia akan melenyapkan dosa kita? Adakah kita sudi mengampuni orang lain juga? Jika kita berbuat demikian, kita sedang meniru iman Petrus dan sikap Yesus yang suka mengampuni.