Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB LIMA BELAS

Dia Membela Umat Tuhan

Dia Membela Umat Tuhan

1-3. (a) Mengapakah Ester berasa takut untuk berjumpa dengan suaminya? (b) Apakah soalan-soalan yang akan kita bincang dalam bab ini?

ESTER mencuba menenangkan perasaannya seraya dia berjalan ke arah halaman istana di Susan. Istana Susan dibina di atas sebuah dataran tinggi berdekatan Pergunungan Zagros yang puncaknya diliputi salji. Istana itu terletak berdekatan Sungai Khoaspes yang jernih. Tembok dan dinding istana itu dihiasi dengan ukiran lembu yang bersayap, pemanah, dan singa. Tiang-tiang yang menyokong bangunan istana besar dan tinggi. Terdapat juga patung-patung arca yang besar di merata-rata. Istana yang indah dan megah ini direka untuk mengingatkan para pelawat tentang kekuasaan dan keagungan raja yang ingin ditemui oleh Ester.

2 Sebenarnya Raja Ahasweros * ialah suami Ester. Raja itu bukanlah suami yang didambakan oleh mana-mana gadis Yahudi kerana raja itu tidak mengenal Yehuwa dan hukum-Nya. Maka sudah tentu dia tidak akan mengikut teladan hamba Tuhan yang setia seperti Abraham, yang rendah hati dan sudi mendengar cakap isterinya Sara. (Kej. 21:12) Tetapi raja itu pasti tahu tentang hukum Persia, yang menyatakan bahawa sesiapa yang memasuki halaman dalam istana tanpa dijemput akan dihukum mati kecuali jika raja mengampuninya. Maka Ester pasti sangat takut seraya dia berjalan masuk ke halaman istana.​—Baca Ester 4:11; 5:1.

3 Mengapakah Ester mengambil risiko yang begitu besar? Apakah yang dapat kita pelajari daripada iman wanita yang berani dan yang setia ini? Sebelum kita membincangkan soalan-soalan ini, marilah kita melihat bagaimana Ester menjadi permaisuri Persia.

Latar Belakang Ester

4. Apakah latar belakang Ester? Mengapakah dia tinggal bersama sepupunya Mordekhai?

4 Ester ialah seorang anak yatim piatu. Ibu bapanya telah menamakannya Hadasa, iaitu perkataan Ibrani untuk “mirtel,” sejenis pokok renek yang mempunyai bunga berwarna putih. Apabila mereka meninggal, salah seorang saudaranya, iaitu Mordekhai, telah mengambilnya sebagai anak angkat. Mordekhai ialah sepupu Ester, tetapi dia jauh lebih tua daripada Ester.​—Est. 2:5-7, 15.

Mordekhai mempunyai banyak sebab untuk berasa bangga terhadap Ester

5, 6. (a) Bagaimanakah Mordekhai membesarkan Ester? (b) Gambarkan kehidupan Ester dan Mordekhai di Susan.

5 Mordekhai dan Ester hidup sebagai orang asing di ibu kota Persia. Orang Persia di situ mungkin membenci mereka kerana mereka menyembah Yehuwa dan mematuhi Hukum Tuhan. Tetapi Mordekhai selalu mengajar Ester tentang Yehuwa, yang telah menyelamatkan umat-Nya berkali-kali. (Im. 26:44, 45) Oleh itu, Ester dan Mordekhai pasti mempunyai ikatan kekeluargaan yang erat.

6 Nampaknya Mordekhai ialah seorang pegawai di istana Susan, dan dia selalu duduk di pintu gerbang istana bersama hamba-hamba raja yang lain. (Est. 2:19, 21; 3:3) Bible tidak memberi kita banyak maklumat tentang zaman kanak-kanak Ester. Barangkali Ester perlu membantu sepupunya untuk membuat kerja rumah kerana Mordekhai bukanlah orang kaya. Dia mungkin suka berjalan-jalan di pasar di Susan dan melihat pelbagai barangan yang dijual oleh tukang emas, tukang perak, dan penjual yang lain. Pastinya Ester tidak menjangkakan bahawa dia akan memiliki barang-barang mewah sebegitu pada masa depan. Apakah yang bakal berlaku kepada Ester?

“Seorang Gadis yang Cantik”

7. Mengapakah Wasti digantikan dengan permaisuri yang baharu?

7 Pada suatu hari, seluruh kota Susan heboh dengan masalah yang menimpa keluarga diraja. Apakah yang telah berlaku? Semasa Raja Ahasweros sedang mengadakan jamuan untuk golongan bangsawan, dia telah memanggil permaisurinya yang cantik, iaitu Wasti, untuk menghadapnya. Tetapi Wasti enggan menghadap raja dan hal itu membuat raja berasa terhina dan sangat marah. Maka raja memanggil para penasihatnya dan menanya mereka tentang hukuman yang harus dijatuhkan atas Wasti. Mereka menasihati raja supaya menggantikan Wasti dengan permaisuri yang baharu. Raja bersetuju dengan cadangan itu dan dia mengutus wakil-wakilnya ke seluruh negara untuk membawa semua anak dara yang muda dan cantik ke istana. Kemudian raja akan memilih gadis yang paling disukainya untuk menjadi permaisuri baharu.​—Est. 1:1–2:4.

8. (a) Mengapakah Mordekhai mungkin berasa khuatir tentang Ester? (b) Apakah pandangan Bible tentang kecantikan fizikal? (Lihat juga Amsal 31:30.)

8 Mordekhai pasti amat menyayangi Ester dan bangga terhadapnya, tetapi dia juga berasa khuatir kerana seraya Ester membesar, dia menjadi “seorang gadis yang cantik.” (Est. 2:7) Adakah kecantikan Ester akan menjadikannya orang yang lebih baik atau lebih jahat? Bible membantu kita untuk mempunyai pandangan yang seimbang tentang kecantikan fizikal. Kecantikan fizikal haruslah disertai kebijaksanaan dan kerendahan hati. Jika tidak, orang itu akan menjadi angkuh, terlalu berfokus kepada paras rupanya, dan menunjukkan sifat-sifat buruk yang lain. (Baca Amsal 11:22.) Pernahkah anda bertemu dengan orang sedemikian?

9. (a) Apakah yang berlaku kepada Ester? Mengapakah dia sangat sedih? (b) Mengapakah Mordekhai membiarkan Ester untuk berkahwin dengan orang yang tidak menyembah Tuhan? (Lihat juga kotak.)

9 Wakil-wakil raja nampak bahawa Ester sangat cantik lalu mereka membawanya ke istana. (Est. 2:8) Ester pasti sangat sedih kerana dia harus berpisah daripada Mordekhai yang bagaikan bapanya yang tersayang. Mordekhai juga tidak ingin anak angkatnya berkahwin dengan orang yang tidak menyembah Tuhan, tetapi dia tidak dapat melakukan apa-apa kerana orang itu ialah raja Persia. * Sebelum Ester dibawa ke istana, dia pasti mendengar nasihat Mordekhai dengan teliti. Seraya dia dalam perjalanan ke Susan, mindanya sarat dengan seribu satu pertanyaan. Bagaimanakah keadaan hidupnya pada kemudian hari?

“Ester Disenangi oleh Semua Orang”

10, 11. (a) Gambarkan persekitaran baharu Ester. (b) Bagaimanakah Mordekhai menunjukkan bahawa dia amat risau tentang Ester?

10 Ester telah dibawa ke dalam dunia yang asing dan baharu baginya. Dia dan ramai gadis dari seluruh Empayar Persia telah dibawa ke istana. Pastinya mereka mempunyai budaya, bahasa, dan keperibadian yang berbeza-beza. Mereka semua diserahkan ke bawah jagaan Hegai, dan mereka diwajibkan untuk menerima rawatan kecantikan yang intensif. Rawatan itu mengambil masa setahun dan merangkumi urutan dengan pelbagai minyak wangi. (Est. 2:8, 12) Gaya hidup dan persekitaran sedemikian pasti menggalakkan gadis-gadis itu untuk bertumpu kepada kecantikan fizikal mereka dan memupuk sikap persaingan. Adakah Ester terpengaruh dengan semua ini?

11 Sudah pasti Mordekhai amat risau tentang Ester. Bible menyatakan bahawa setiap hari, dia berjalan-jalan dekat rumah wanita untuk mengetahui keadaan Ester. (Est. 2:11) Dia mungkin mendapat berita tentang Ester melalui hamba-hamba yang bekerja di rumah itu. Setelah dia mendengar khabar tentang Ester, hatinya pasti melimpah dengan rasa gembira dan bangga. Mengapa?

12, 13. (a) Apakah pandangan orang terhadap Ester? (b) Apakah yang membuat Mordekhai sangat gembira?

12 Hegai sangat mengagumi Ester, maka dia melayan Ester dengan baik dan memberinya tujuh orang dayang dan tempat yang terbaik di dalam rumah wanita. Bible bahkan menulis, “Sepanjang masa itu, Ester disenangi oleh semua orang yang memandangnya.” (Est. 2:9, 15) Adakah orang tertarik kepada Ester semata-mata kerana kecantikannya? Tidak. Ester juga menunjukkan sifat-sifat yang baik.

Ester tahu bahawa kerendahan hati dan kebijaksanaan lebih penting daripada kecantikan fizikal

13 Contohnya, Bible menyatakan, “Dia menurut nasihat Mordekhai.” (Est. 2:10) Mordekhai tahu bahawa golongan diraja Persia amat berprasangka terhadap orang Yahudi. Oleh itu, atas nasihat Mordekhai, Ester telah merahsiakan identitinya sebagai orang Yahudi. Ya, Ester tetap bertindak dengan bijak dan mentaati Mordekhai meskipun Mordekhai tidak ada bersamanya. Hal ini pasti membuat Mordekhai sangat gembira.

14. Bagaimanakah orang muda pada hari ini dapat meniru teladan Ester?

14 Orang muda pada hari ini juga boleh menggembirakan hati ibu bapa dan penjaga mereka. Biarpun ibu bapa mereka tidak ada bersama mereka, dan mereka dikelilingi orang yang ganas, tidak bermoral, dan berfikiran cetek, mereka masih dapat menolak pengaruh buruk dan berpaut pada apa yang benar. Apabila mereka berbuat demikian, mereka sedang meniru Ester dan menggembirakan hati Bapa kita yang di syurga.​—Baca Amsal 27:11.

15, 16. (a) Apakah sikap Ester yang telah menawan hati raja? (b) Mengapakah tidak mudah bagi Ester untuk menyesuaikan diri dengan kehidupan baharunya?

15 Apabila tiba masanya bagi Ester untuk menghadap raja, dia diberi peluang untuk memilih apa-apa sahaja untuk menghias dirinya. Tetapi dia hanya meminta apa yang telah dicadangkan oleh Hegai. (Est. 2:15) Barangkali dia sedar bahawa sikap rendah hati lebih bernilai dalam istana Persia berbanding kecantikan seseorang. Adakah sangkaannya itu betul?

16 Bible menyatakan, “Raja mengasihi Ester lebih daripada semua wanita yang lain. Ester mendapat lebih banyak kasih sayang dan perkenan raja berbanding anak-anak dara yang lain. Maka raja mengenakan mahkota diraja pada kepala Ester dan menjadikannya permaisuri untuk menggantikan Wasti.” (Est. 2:17) Pastinya tidak mudah bagi gadis Yahudi yang rendah hati ini untuk menyesuaikan diri dengan kehidupan baharunya, kerana sekarang dia ialah seorang permaisuri. Ya, dia merupakan isteri kepada pemerintah yang paling berkuasa pada zaman itu! Tetapi adakah hal ini membuatnya menjadi angkuh? Tidak sama sekali!

17. (a) Bagaimanakah Ester menunjukkan bahawa dia terus mentaati Mordekhai? (b) Mengapakah kita patut meniru teladan Ester dewasa ini?

17 Selepas Ester menjadi permaisuri, dia terus mentaati bapa angkatnya Mordekhai. Dia tetap merahsiakan identitinya sebagai orang Yahudi. Tambahan lagi, apabila Mordekhai mendapat tahu tentang komplot untuk membunuh Ahasweros, Ester memberitahukan hal itu kepada raja bagi pihak Mordekhai, dan komplot itu berjaya dihalang. (Est. 2:20-23) Ya, Ester tetap beriman kepada Tuhan dan terus menunjukkan kepatuhan dan kerendahan hati. Meskipun dewasa ini banyak orang suka memberontak, orang yang mempunyai iman sejati akan meniru Ester dan berusaha memupuk kepatuhan.

Iman Ester Diuji

18. (a) Mengapakah Mordekhai enggan bersujud kepada Haman? (Lihat juga nota kaki.) (b) Bagaimanakah penyembah Tuhan yang setia dapat meniru teladan Mordekhai?

18 Di istana Persia, terdapat seorang lelaki yang bernama Haman. Pada suatu hari, Raja Ahasweros telah melantiknya menjadi perdana menteri. Oleh itu, dia menjadi penasihat diraja, dan orang yang kedua berkuasa dalam Empayar Persia. Raja bahkan memerintahkan semua pegawainya untuk bersujud kepada Haman. (Est. 3:1-4) Perintah ini membawa masalah bagi Mordekhai kerana jika dia mematuhi perintah raja ini, dia akan mengingkari perintah Tuhan. Haman ialah keturunan Agag, dan Agag ialah raja orang Amalek yang telah dihukum mati oleh Nabi Samuel. (1 Sam. 15:33) Orang Amalek sangat jahat sehingga mereka menjadi musuh Yehuwa dan bangsa Israel. Tuhan juga telah menjatuhkan hukuman atas seluruh bangsa Amalek. * (Ul. 25:19) Oleh itu, Mordekhai tidak mahu bersujud kepada Haman. Seperti Mordekhai, para penyembah Tuhan yang setia hari ini juga sanggup menggadaikan nyawa demi menjunjung prinsip berikut: ‘Kita mesti patuh kepada Tuhan sebagai pemerintah dan bukannya kepada manusia.’​—Kis. 5:29.

19. Apakah rancangan Haman? Bagaimanakah dia mempengaruhi raja agar bersetuju dengan rancangannya?

19 Maka Haman naik berang. Dia bukan sahaja ingin membunuh Mordekhai, dia bahkan juga ingin membunuh semua orang yang sebangsa dengan Mordekhai! Untuk menunjukkan bahawa bangsa Mordekhai tidak penting, Haman memberitahu raja bahawa mereka merupakan bangsa yang tercerai-berai dan “hidup dalam kalangan bangsa-bangsa lain.” Lebih teruk lagi, dia mengatakan bahawa mereka suka memberontak dan tidak mematuhi hukum raja. Dia bahkan menyatakan kerelaannya untuk menderma sejumlah besar wang untuk membasmi orang Yahudi. * Ahasweros pun memberi Haman cincin mohornya untuk memeterai apa-apa sahaja perintah yang diingininya.​—Est. 3:5-10.

20, 21. (a) Apakah reaksi Mordekhai dan orang yang sebangsa dengannya terhadap perintah yang dikeluarkan oleh Haman? (b) Mordekhai meminta Ester untuk melakukan apa?

20 Tidak lama kemudian, utusan-utusan diraja pergi ke seluruh pelosok Empayar Persia untuk menyampaikan perintah raja bahawa semua orang Yahudi harus dibunuh. Bayangkanlah perasaan orang Yahudi di Yerusalem apabila mereka mendengar tentangnya. Mereka pasti tawar hati kerana mereka baru kembali daripada pembuangan di Babilon dan tembok Yerusalem belum dibina semula. Apabila Mordekhai mendengar tentang berita buruk itu, dia mungkin terfikir tentang mereka, dan juga sahabat dan sanak saudaranya di Susan. Dia begitu sedih sehingga dia mengoyakkan jubahnya dan memakai kain guni lalu menaburkan abu di atas kepalanya dan menangis dengan kuat di tengah kota. Tetapi sementara itu, Haman sedang minum-minum dengan raja dan langsung tidak mempedulikan apa yang sedang berlaku.​—Baca Ester 3:12–4:1.

21 Mordekhai tahu bahawa dia tidak boleh berpeluk tubuh. Tetapi apakah yang dapat dilakukannya? Ester telah mendapat khabar tentang Mordekhai dan menghantar pakaian kepadanya, tetapi Mordekhai menolak pemberiannya. Sebelum ini, Mordekhai mungkin tidak memahami mengapa Yehuwa membiarkan Ester menjadi isteri kepada seorang raja yang tidak menyembah-Nya, tetapi sekarang dia mula faham. Maka dia menghantar utusan kepada Ester dan memintanya agar merayu raja untuk “menunjukkan belas kasihan kepada bangsanya.”​—Est. 4:4-8.

22. Mengapakah Ester takut untuk menghadap suaminya? (Lihat juga nota kaki.)

22 Ester pasti sangat risau setelah mendengar mesej Mordekhai. Inilah masanya iman Ester diuji. Dalam jawapannya kepada Mordekhai, Ester menunjukkan bahawa dia sangat takut. Dia mengingatkan Mordekhai tentang hukum raja yang menyatakan bahawa sesiapa yang menghadap raja tanpa dijemput akan dihukum mati, kecuali jika raja menghulurkan tongkat emasnya kepada orang itu. Tambahan lagi, Wasti telah dihukum setelah dia mengingkari perintah raja. Jadi adakah Ester mempunyai alasan untuk mengharap belas kasihan raja? Kemudian Ester juga memberitahu Mordekhai bahawa sudah 30 hari raja tidak memanggilnya. Adakah raja yang mudah berubah sikap itu mula tidak menyukainya? *​—Est. 4:9-11.

23. (a) Apakah yang dikatakan oleh Mordekhai untuk mendorong Ester agar bertindak? (b) Mengapakah kita patut meniru teladan Mordekhai?

23 Jawapan Mordekhai telah mendorong Ester untuk bertindak. Dia berkata, “Jangan fikir bahawa kamu lebih selamat daripada orang Yahudi yang lain hanya kerana kamu tinggal di istana. Jika kamu berdiam diri pada masa ini, orang Yahudi tetap ditolong dan dibebaskan dengan cara yang lain.” Kata-kata Mordekhai menunjukkan bahawa dia beriman kepada Yehuwa. Dia yakin bahawa Tuhan akan mengotakan janji-Nya, dan tidak akan membiarkan umat-Nya dilenyapkan. (Yos. 23:14) Kemudian Mordekhai menanya Ester, “Siapa tahu, mungkin kamu telah dipilih menjadi permaisuri untuk membantu bangsamu pada saat-saat seperti ini”? (Est. 4:12-14) Ya, dia yakin sepenuhnya kepada Yehuwa. Bukankah kita patut meniru teladannya?​—Ams. 3:5, 6.

Iman yang Kuat Dapat Mengalahkan Rasa Takut

24. Bagaimanakah Ester menunjukkan iman dan keberanian?

24 Ester menyuruh Mordekhai untuk mengumpulkan orang Yahudi dan berpuasa selama tiga hari. Kemudian dia menunjukkan iman dan keberaniannya dengan berkata, “Jika saya harus mati, biarlah saya mati.” (Est. 4:15-17) Ester pasti telah berdoa dengan bersungguh-sungguh dalam masa tiga hari itu. Sekarang tiba masanya bagi Ester untuk membuat keputusan. Dia mengenakan pakaian dirajanya yang paling cantik dan pergi untuk menghadap raja.

Ester mempertaruhkan nyawanya untuk melindungi umat Tuhan

25. Gambarkan apa yang berlaku seraya Ester pergi menghadap suaminya.

25 Seperti yang digambarkan pada permulaan bab ini, Ester sedang berjalan ke halaman istana. Fikirannya pasti berserabut dan hatinya pasti cemas, dan dia mungkin telah berdoa dengan bersungguh-sungguh. Seraya dia memasuki halaman istana, dia nampak Ahasweros duduk di atas takhtanya. Barangkali dia mencuba mengetahui suasana hati suaminya dengan melihat air mukanya. Akhirnya Ahasweros menyedari kehadirannya. Meskipun Ahasweros hairan melihat Ester berdiri di situ, dia menghulurkan tongkat emasnya kepada Ester.​—Est. 5:1, 2.

26. Mengapakah orang Kristian sejati perlu berani seperti Ester? Mengapakah perjuangannya baru bermula?

26 Ya, keberanian Ester telah membuahkan hasil yang baik, kerana raja sudi berjumpa dengannya dan mendengar permintaannya. Dewasa ini, orang Kristian perlu berani seperti Ester kerana Yesus mengatakan bahawa para pengikutnya yang sejati harus menunjukkan kasih dan sikap rela berkorban. (Baca Yohanes 13:34, 35.) Tetapi perjuangan Ester baru bermula. Bagaimanakah dia akan meyakinkan raja bahawa Haman sebenarnya berniat jahat? Bagaimanakah dia akan menyelamatkan bangsanya? Kita akan belajar tentang semua ini dalam bab yang berikutnya.

^ per. 2 Ahasweros mungkin ialah Xerxes I, yang memerintah Empayar Persia pada awal abad kelima SM.

^ per. 9 Lihat kotak “Soalan-Soalan tentang Ester” di Bab 16.

^ per. 18 Haman mungkin ialah salah seorang keturunan Amalek yang terakhir kerana kebanyakan orang Amalek dibunuh pada zaman pemerintahan Hizkia.​—1 Taw. 4:43.

^ per. 19 Haman menderma 342,000 kilogram perak, yang bernilai ratusan juta dolar pada hari ini. Jika Ahasweros ialah Xerxes I, wang itu mungkin amat penting baginya. Xerxes memerlukan banyak wang untuk membiayai kempen perangnya terhadap orang Yunani.

^ per. 22 Xerxes I ialah raja yang panas baran. Menurut seorang sejarawan, semasa kempen perang Xerxes terhadap orang Yunani, raja itu mengarahkan agar jambatan terapung dibina dengan menderetkan kapal-kapal melintasi Selat Hellespont. Apabila jambatan itu rosak dipukul ribut, Xerxes mengarahkan agar juruteranya dipancung. Dia juga memerintahkan pegawainya untuk “menghukum” Hellespont dengan mencambuk air di selat itu sambil meneriakkan kata-kata hinaan. Selain itu, apabila seorang lelaki kaya merayu agar anaknya dikecualikan daripada khidmat tentera, Xerxes memerintahkan agar anak itu dibelah lalu mayatnya dipamerkan sebagai amaran kepada semua orang.