Satu Petrus 2:1-25

  • Pupuk keinginan akan firman Tuhan (1-3)

  • Batu hidup dibina menjadi rumah rohani (4-10)

  • Hidup sebagai orang asing di dalam dunia (11, 12)

  • Ketaatan yang wajar (13-25)

    • Kristus, teladan kita (21)

2  Oleh itu, buanglah segala kejahatan,+ penipuan, kemunafikan,* perasaan iri hati, dan semua kata hinaan, daripada diri kamu.  Seperti bayi yang baru lahir,+ pupuklah keinginan akan susu yang murni* yang terkandung dalam firman Tuhan, supaya dengannya kamu dapat membesar lalu mendapat penyelamatan.+  Hal ini demikian kerana kamu sudah merasakan* bahawa Tuan kita baik hati.  Dia ialah batu yang hidup, yang dibuang oleh manusia,+ tetapi dia dipilih oleh Tuhan dan berharga bagi-Nya.+ Semasa kamu datang kepadanya,  kamu yang merupakan batu-batu hidup sedang dibina untuk menjadi sebuah rumah rohani,+ supaya kamu menjadi imam-imam yang suci. Dengan demikian kamu dapat mempersembahkan korban rohani+ yang diperkenankan Tuhan melalui Yesus Kristus.+  Ada tertulis dalam Ayat-Ayat Suci, “Lihatlah! Aku meletakkan sebuah batu yang terpilih di Sion. Batu itu ialah batu penjuru utama yang berharga. Sesiapa yang menaruh iman kepadanya tidak akan kecewa* sama sekali.”+  Oleh itu, dia berharga bagi kamu kerana kamu percaya. Tetapi bagi mereka yang tidak percaya, “batu yang dibuang oleh para pembina bangunan+ telah menjadi batu penjuru yang utama”+  dan “batu sandungan dan batu yang menyebabkan orang terjatuh.”+ Mereka tersandung kerana mereka tidak mematuhi firman Tuhan. Itulah kesudahan yang menantikan mereka.  Tetapi kamu ialah “bangsa yang terpilih, imam-imam yang berkhidmat sebagai raja, bangsa yang suci,+ dan umat yang dijadikan milik Tuhan,+ supaya kamu mengisytiharkan kemuliaan”*+ Dia yang telah memanggil kamu keluar daripada kegelapan untuk masuk ke dalam cahaya-Nya yang menakjubkan.+ 10  Dahulu kamu bukan umat Tuhan, tetapi sekarang kamu ialah umat Tuhan.+ Dahulu kamu tidak menerima belas kasihan, tetapi sekarang kamu menerima belas kasihan.+ 11  Saudara-saudara yang dikasihi, aku menggesa kamu yang merupakan orang asing dan penduduk sementara+ supaya terus menjauhi keinginan berdosa+ yang berperang melawan kamu.+ 12  Hendaklah tingkah laku kamu sentiasa baik dalam kalangan bangsa-bangsa lain.+ Dengan demikian, walaupun mereka menuduh kamu berbuat salah, mereka akan menyaksikan perbuatan kamu yang baik.+ Hasilnya, mereka akan memuliakan Tuhan pada hari Dia membuat pemeriksaan. 13  Demi Tuan, tunduklah kepada semua orang yang berkuasa,*+ baik kepada raja+ sebagai orang yang lebih tinggi kedudukannya, 14  mahupun kepada gabenor yang diutus oleh raja untuk menghukum orang yang berbuat salah dan untuk memuji orang yang berbuat baik.+ 15  Hal ini demikian kerana Tuhan menghendaki kamu berbuat baik agar kamu dapat menutup mulut* orang yang tidak munasabah yang mengucapkan kata-kata bodoh.+ 16  Hiduplah sebagai umat yang bebas,+ tetapi gunakanlah kebebasan kamu untuk menjadi hamba Tuhan+ dan bukannya sebagai alasan* untuk berbuat salah.+ 17  Hormatilah segala macam orang,+ kasihilah semua saudara seiman,*+ takutlah akan Tuhan,+ dan hormatilah raja.+ 18  Hendaklah para hamba taat dan mempunyai rasa takut yang sepatutnya terhadap tuan mereka,+ bukan hanya terhadap tuan yang baik dan munasabah, tetapi juga terhadap tuan yang susah untuk disenangkan. 19  Tuhan berasa senang hati jika seseorang tabah menanggung kesusahan* dan mengalami ketidakadilan kerana ingin mempunyai hati nurani yang bersih di hadapan Tuhan.+ 20  Apakah kebaikannya jika kamu dipukul kerana kamu berdosa dan kamu tabah menanggungnya?+ Tetapi jika kamu tabah menanggung penderitaan kerana melakukan apa yang baik, hal ini menyenangkan hati Tuhan.+ 21  Sebenarnya kamu dipanggil untuk menempuh haluan ini, kerana Kristus sendiri sudah menderita bagi kamu+ dan memberi kamu teladan agar kamu mengikut jejaknya dengan teliti.+ 22  Dia tidak melakukan dosa,+ dan mulutnya tidak mengucapkan kata-kata dusta.+ 23  Semasa dia dihina,+ dia tidak membalas dengan hinaan.+ Semasa dia menderita,+ dia tidak mengancam orang, tetapi dia mempercayakan dirinya kepada Dia yang menghakimi+ dengan adil. 24  Dengan tubuhnya sendiri, dia menanggung dosa kita+ semasa dia dipakukan pada tiang,*+ supaya kita dibebaskan daripada dosa* dan hidup untuk melakukan apa yang benar. “Melalui lukanya, kamu disembuhkan.”+ 25  Dahulu kamu seperti biri-biri yang sesat,+ tetapi sekarang kamu telah kembali kepada gembala+ dan penyelia jiwa* kamu.

Nota Kaki

Atau “sifat bermuka dua.”
Atau “tidak bercampur.”
Atau “mengalami.”
Harfiah, “dimalukan.”
Harfiah, “kebaikan,” iaitu sifat dan perbuatan-Nya yang terpuji.
Atau “semua institusi manusia.”
Harfiah, “memberangus.”
Atau “penutup.”
Atau “kasihilah persaudaraan.”
Atau “kesedihan; kesakitan.”
Atau “pokok.”
Atau “supaya perbuatan dosa kita dimatikan.”
Atau “nyawa.”