Kisah Para Rasul 5:1-42

  • Ananias dan Safira (1-11)

  • Para rasul melakukan banyak mukjizat (12-16)

  • Dipenjarakan dan dibebaskan (17-21a)

  • Dibawa kepada Majlis Orang Yahudi sekali lagi (21b-32)

    • ‘Patuh kepada Tuhan, bukan manusia’ (29)

  • Nasihat Gamaliel (33-40)

  • Menginjil dari rumah ke rumah (41, 42)

5  Ada seorang lelaki yang bernama Ananias. Dia dan isterinya Safira telah menjual tanah mereka.  Tanpa diketahui orang lain kecuali isterinya, dia menyimpan sebahagian daripada hasil penjualan itu. Wang yang selebihnya pula diserahkan kepada rasul-rasul.+  Petrus berkata, “Ananias, adakah Syaitan mempengaruhi kamu sehingga kamu berani berbohong+ kepada kuasa suci Tuhan+ dan menyimpan sebahagian daripada wang penjualan tanah itu secara diam-diam?  Bukankah tanah itu milikmu? Setelah kamu menjualnya, kamu boleh menggunakan wang yang diperoleh dengan sesuka hati. Mengapakah kamu merancang perbuatan sebegini dalam hatimu? Kamu tidak berdusta kepada manusia, tetapi kepada Tuhan.”  Sebaik sahaja Ananias mendengar kata-kata itu, dia rebah lalu mati. Semua orang yang mendengar peristiwa itu menjadi sangat takut.  Beberapa orang muda di situ bangun dan membalutnya dengan kain, lalu membawanya keluar dan mengebumikannya.  Kira-kira tiga jam kemudian, isteri Ananias masuk. Dia tidak tahu apa yang berlaku.  Petrus berkata kepadanya, “Beritahulah aku, adakah wang ini seluruh hasil penjualan tanah yang kamu berdua peroleh?” Dia menjawab, “Ya, itulah semua wang yang kami peroleh.”  Maka Petrus berkata kepadanya, “Mengapakah kamu berdua berpakat untuk menguji kuasa suci Yehuwa?* Lihatlah! Orang yang mengebumikan suamimu sudah berdiri di pintu, dan mereka akan membawamu keluar.” 10  Pada detik itu juga, isteri Ananias rebah dan mati dekat kaki Petrus. Apabila beberapa orang muda itu masuk dan mendapati bahawa dia sudah mati, mereka membawanya keluar lalu mengebumikannya di sebelah suaminya. 11  Akibatnya, seluruh sidang dan semua orang yang mendengar peristiwa itu berasa sangat takut. 12  Tambahan lagi, para rasul terus melakukan banyak mukjizat dan keajaiban dalam kalangan orang ramai.+ Murid-murid Yesus berkumpul di Serambi* Salomo.+ 13  Walaupun orang lain tidak berani menyertai mereka, mereka dipuji oleh orang ramai. 14  Namun, bilangan mereka semakin bertambah kerana ramai lelaki dan wanita percaya kepada Tuan Yesus.+ 15  Ada yang bahkan membawa orang yang sakit ke jalan utama dan membaringkan mereka di atas katil kecil dan tikar, supaya sekurang-kurangnya sebilangan orang sakit terkena bayang-bayang Petrus semasa dia lalu di situ.+ 16  Ada juga orang dari kota-kota di sekitar Yerusalem yang berduyun-duyun ke situ. Mereka membawa orang sakit dan orang yang dirasuk roh-roh jahat, dan semua orang itu disembuhkan. 17  Namun, imam agung dan semua pengikutnya daripada golongan* Saduki sangat cemburu. Mereka berdiri 18  lalu menangkap para rasul dan memasukkan mereka ke dalam penjara awam.+ 19  Tetapi pada malam itu, malaikat Yehuwa* membuka pintu penjara+ dan membawa para rasul keluar. Malaikat itu berkata kepada mereka, 20  “Pergilah, berdirilah di Rumah Tuhan, dan teruslah beritahu orang ramai segala-gala tentang hidup yang bakal tiba.” 21  Selepas mendengar kata-kata malaikat itu, mereka masuk ke dalam Rumah Tuhan pada waktu fajar dan mula mengajar. Semasa imam agung dan para pengikutnya tiba, mereka mengumpulkan ahli Majlis Orang Yahudi dan semua pemimpin orang Israel. Kemudian mereka memberikan perintah supaya para rasul dibawa dari penjara untuk menghadap mereka. 22  Tetapi apabila pengawal-pengawal tiba di penjara, mereka tidak menjumpai para rasul. Jadi mereka kembali dan melaporkan hal itu. 23  Mereka berkata, “Kami mendapati penjara masih terkunci dengan rapi, dan pengawal juga berjaga di pintu. Tetapi semasa pintu dibuka, kami tidak menjumpai seorang pun di dalam.” 24  Apabila ketua pengawal Rumah Tuhan dan ketua-ketua imam mendengarnya, mereka berasa bingung dan tidak tahu apa yang akan terjadi nanti. 25  Kemudian, ada orang datang dan memberitahu mereka, “Lihatlah! Orang yang telah tuan-tuan penjarakan sedang berdiri di Rumah Tuhan dan mengajar orang ramai.” 26  Oleh itu, ketua pengawal Rumah Tuhan pergi bersama pengawal-pengawalnya dan membawa para rasul kembali. Namun, mereka tidak menggunakan kekerasan kerana takut direjam oleh orang ramai.+ 27  Kemudian, mereka membawa para rasul dan menyuruh mereka berdiri di hadapan Majlis Orang Yahudi. Lalu imam agung berkata kepada mereka, 28  “Dengan tegas kami sudah melarang kamu mengajar orang menurut nama lelaki itu.+ Tetapi lihatlah! Kamu sudah menyebarkan ajaran kamu ke seluruh Yerusalem, dan kamu ingin kami bertanggungjawab atas penumpahan darah lelaki itu.”+ 29  Petrus dan rasul-rasul lain menjawab, “Kami mesti patuh kepada Tuhan sebagai pemerintah dan bukannya kepada manusia.+ 30  Tuan-tuan telah membunuh Yesus dengan menggantungkannya pada tiang,* tetapi Tuhan nenek moyang kita telah membangkitkannya.+ 31  Tuhan telah meninggikannya ke sebelah kanan-Nya,+ sebagai Pemimpin Utama+ dan Penyelamat,+ supaya umat Israel bertaubat dan dosa mereka diampunkan.+ 32  Kamilah saksi kepada hal-hal ini,+ begitu juga dengan kuasa suci,+ yang dikurniakan oleh Tuhan kepada mereka yang mematuhi-Nya sebagai pemerintah.” 33  Apabila mereka mendengar kata-kata itu, mereka sangat marah sehingga ingin membunuh para rasul. 34  Dalam Majlis Orang Yahudi itu, ada seorang Farisi yang bernama Gamaliel.+ Dia merupakan seorang guru Hukum yang disegani semua orang. Dia berdiri lalu menyuruh orang membawa rasul-rasul itu keluar untuk sebentar. 35  Kemudian, dia berkata kepada semua orang di situ, “Orang Israel sekalian, berwaspadalah tentang tindakan yang hendak kamu ambil terhadap mereka. 36  Sebagai contoh, suatu ketika dahulu muncul seorang lelaki yang bernama Teudas, yang mendakwa dirinya orang yang penting. Ada kira-kira 400 orang yang menjadi pengikutnya, tetapi apabila dia dibunuh, semua pengikutnya itu tercerai-berai dan akhirnya lenyap sama sekali. 37  Selepas itu, Yudas dari Galilea muncul pada masa pendaftaran dijalankan, dan ada orang yang mengikutnya. Lelaki itu juga lenyap, dan semua pengikutnya pun tercerai-berai. 38  Maka, menurut keadaan sekarang, aku berkata kepada kamu semua: Janganlah mencampuri urusan semua orang itu, dan biarkanlah mereka. Jika apa yang dirancang dan dilakukan oleh mereka itu berasal daripada manusia, semua itu akan gagal. 39  Tetapi jika semua itu berasal daripada Tuhan, kamu pasti tidak dapat mengalahkan mereka.+ Jangan-jangan kamu melawan Tuhan pula.”+ 40  Mereka menerima nasihatnya lalu memanggil para rasul, mencambuk* mereka,+ dan melarang mereka bercakap atas nama Yesus. Setelah itu, para rasul dibebaskan. 41  Selepas para rasul meninggalkan Majlis Orang Yahudi, mereka bersukacita+ kerana Tuhan menganggap mereka layak dihina demi nama Yesus. 42  Setiap hari, baik di Rumah Tuhan mahupun dari rumah ke rumah,+ mereka tidak henti-henti mengajarkan dan mengumumkan berita baik tentang Yesus, iaitu Kristus.+

Nota Kaki

Laluan berbumbung yang mempunyai banyak tiang.
Atau “kumpulan agama.” Lihat Kamus.
Atau “pokok.”
Atau “memukul.”