Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Betul atau Salah? Bimbingan yang Berkesan

Betul atau Salah? Bimbingan yang Berkesan

Bible telah membantu jutaan orang dalam empat aspek kehidupan berikut.

1. Perkahwinan

Orang mempunyai pandangan yang berbeza tentang perkahwinan dan cara untuk menikmati perkahwinan yang bahagia.

BIBLE KATA: “Setiap suami dalam kalangan kamu mesti mengasihi isterinya sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri, dan isteri pula harus menghormati suaminya dengan mendalam.”—Efesus 5:33.

MAKSUDNYA: Perkahwinan diasaskan oleh Tuhan, jadi Dia tahu apa yang perlu dilakukan oleh setiap pasangan supaya dapat hidup bahagia. (Markus 10:​6-9) Suami isteri akan bahagia jika mereka bertumpu kepada apa yang dapat mereka lakukan untuk menguatkan perkahwinan mereka dan bukannya mengutamakan keinginan sendiri. Suami yang mengasihi isterinya akan melayannya dan menjaganya dengan baik. Isteri yang menghormati suaminya pula akan menyokongnya dan bercakap kepadanya dengan hormat.

BIMBINGAN BIBLE MEMANG BERKESAN: Quang dan Thi, dari Vietnam, berasa bahawa perkahwinan mereka tidak bahagia. Quang sering melayan isterinya dengan buruk. Dia berkata, “Saya tidak kisah tentang perasaan Thi dan sering menghinanya.” Thi pula ingin bercerai. Dia berkata, “Saya rasa saya tidak boleh percaya dan menghormati suami saya lagi.”

Akhirnya, Quang dan Thi belajar Bible dan menerapkan prinsip di Efesus 5:33 dalam perkahwinan mereka. Quang berkata, “Ayat ini ajar saya bahawa saya harus bersikap baik hati terhadap isteri saya. Saya harus membuat Thi rasa dikasihi, dan menjaga keperluannya dari segi kebendaan, fizikal, dan emosi. Apabila saya berbuat demikian, isteri saya terdorong untuk mengasihi dan menghormati saya.” Thi berkata, “Semakin saya berusaha untuk mengikut nasihat di Efesus 5:33 dan menghormati suami saya, dia semakin membuat saya rasa dikasihi, damai, dan dilindungi.”

Untuk maklumat lanjut tentang perkahwinan, baca Sedarlah! No. 2 2018, yang bertajuk “12 Rahsia Keluarga yang Bahagia” di jw.org.

2. Cara Melayan Orang Lain

Orang sering melayan satu sama lain dengan buruk kerana bangsa, kaum, paras rupa, agama, atau orientasi seksual.

BIBLE KATA: “Hormatilah segala macam orang.”​—1 Petrus 2:17.

MAKSUDNYA: Bible tidak mengajar kita untuk membenci golongan homoseksual atau orang yang berlainan bangsa atau kaum. Sebaliknya, Bible menggalakkan kita untuk menghormati semua orang tidak kira kaum, bangsa, atau kedudukan mereka. (Kisah 10:34) Biarpun kita tidak setuju dengan kepercayaan atau perbuatan orang lain, kita masih patut menghormati dan bersikap baik hati terhadap mereka.​—Matius 7:12.

BIMBINGAN BIBLE MEMANG BERKESAN: Daniel diajar untuk menganggap orang Asia sebagai ancaman kepada negaranya. Akibatnya, dia membenci sesiapa sahaja yang berasal dari Asia dan sering menghina mereka di hadapan umum. Daniel berkata, “Saya fikir saya bersikap patriotik. Saya tidak pernah rasa bahawa pandangan atau kelakuan saya itu salah.”

Namun setelah belajar Bible, Daniel berkata, “Saya perlu ubah fikiran saya dengan sepenuhnya dan cuba memandang orang lain sepertimana Tuhan memandang mereka. Dalam mata Tuhan, kita semua sama sahaja tidak kira kita berasal dari mana.” Daniel menggambarkan perasaannya sekarang semasa dia berjumpa dengan pelbagai jenis orang. Dia berkata, “Saya bahkan tidak berfikir mereka berasal dari mana. Saya mengasihi mereka semua dan saya ada kawan rapat di serata dunia.”

Untuk maklumat lanjut, baca Sedarlah! No. 3 2020, yang bertajuk “Dapatkah Prasangka Dilenyapkan?” di jw.org.

3. Duit

Banyak orang rasa bahawa untuk hidup bahagia dan memiliki masa depan yang cerah, mereka mesti kaya.

BIBLE KATA: “Kebijaksanaan dapat melindungi seseorang, sebagaimana duit dapat melindungi seseorang, tetapi inilah kelebihan pengetahuan: Kebijaksanaan memelihara hidup orang yang memilikinya.”​—Pengkhutbah 7:12.

MAKSUDNYA: Wang memang penting, namun wang tidak dapat menjamin kebahagiaan atau masa depan yang baik. (Amsal 18:11; 23:​4, 5) Sebaliknya, untuk mendapat kebahagiaan yang sejati dan masa depan yang terjamin, kita perlu menerapkan nasihat Tuhan yang bijak yang terkandung dalam Bible.​—1 Timotius 6:​17-19.

BIMBINGAN BIBLE MEMANG BERKESAN: Cardo, seorang lelaki dari Indonesia, sibuk mengejar kekayaan. Dia berkata, “Saya menikmati apa yang diimpikan oleh kebanyakan orang. Saya pergi makan angin, dan saya beli banyak barang, kereta, dan rumah yang mewah.” Namun kekayaannya tidak tahan lama. “Saya ditipu, dan semua duit yang saya kumpulkan selama ini hilang dalam sekelip mata,” kata Cardo. “Saya mengejar kekayaan seumur hidup saya. Tetapi akhirnya saya hanya rasa kecewa, kosong, dan tak berguna.”

Kemudian, Cardo mula menerapkan nasihat Bible tentang wang. Dia tidak lagi menghabiskan tenaganya untuk mengumpulkan kekayaan, tetapi memilih hidup yang sederhana. Dia berkata, “Harta yang kekal dan yang benar-benar bernilai ialah hubungan kita dengan Tuhan. Sekarang, saya dapat tidur nyenyak setiap malam, dan saya betul-betul bahagia.”

Untuk mengetahui pandangan Bible tentang wang, baca rencana “Dapatkah Pendidikan dan Wang Menjamin Masa Depan yang Lebih Baik?” dalam Menara Pengawal No. 3 2021 di jw.org.

4. Seks

Orang mempunyai pandangan yang berbeza tentang apa yang boleh atau tidak boleh dilakukan.

BIBLE KATA: ‘Jauhilah perbuatan seks yang tidak bermoral. Kamu masing-masing harus tahu bagaimana mengawal tubuh sendiri supaya kamu tetap suci dan diperkenankan Tuhan. Kamu tidak patut mengikut bangsa-bangsa yang tidak mengenal Tuhan.’​—1 Tesalonika 4:​3-5.

MAKSUDNYA: Bible memberitahu kita bahawa terdapat cara yang betul dan cara yang salah untuk memenuhi keinginan seks. Ungkapan “perbuatan seks yang tidak bermoral” termasuk berzina, pelacuran, hubungan seks antara individu yang belum berkahwin, hubungan sejenis (atau homoseksual), dan hubungan seks dengan binatang. (1 Korintus 6:​9, 10) Hubungan seks merupakan kurniaan Tuhan yang dikhaskan untuk seorang lelaki dan seorang wanita yang sudah berkahwin.​—Amsal 5:​18, 19.

BIMBINGAN BIBLE MEMANG BERKESAN: Kylie, seorang wanita dari Australia, berkata, “Semasa bujang, saya fikir bahawa jika saya mengadakan hubungan seks, saya akan rasa dikasihi dan selamat. Namun hal yang sebaliknya pula berlaku. Saya rasa tidak selamat dan tidak dikasihi.”

Kemudian, Kylie belajar dan menerapkan nasihat Bible tentang seks. Kylie berkata, “Saya sedar bahawa standard Tuhan diberikan untuk melindungi kita daripada disakiti. Jadi saya berusaha melakukan apa yang Yehuwa suka. Sekarang, saya sudah bersuami, dan dia membuat saya rasa selamat dan dikasihi. Menerapkan nasihat Bible telah melindungi saya daripada sakit hati!”

Untuk maklumat lanjut, baca rencana “Apakah Ajaran Bible tentang Tinggal Bersama Tanpa Berkahwin?” di jw.org

Pencipta kita membantu kita mengetahui apa yang betul atau salah. Walaupun mematuhi bimbingan moral Tuhan tidak selalunya mudah, usaha kita untuk mematuhinya sentiasa membawa manfaat dalam jangka masa yang panjang.