Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Betul atau Salah? Apakah Pilihan Anda?

Betul atau Salah? Apakah Pilihan Anda?

Standard moral yang kita pilih akan menentukan sama ada kehidupan kita bahagia atau tidak. Tuhan Yehuwa tahu akan hal itu, maka Dia mahu kita hidup menurut standard-Nya.

Yehuwa mahu kita menikmati kehidupan yang damai dan bahagia.

“Aku, Yehuwa, ialah Tuhan kamu. Aku mengajar kamu apa yang bermanfaat bagi kamu. Aku memimpin kamu di jalan yang harus kamu tempuh. Alangkah baiknya jika kamu memperhatikan perintah-Ku! Jika demikian, kedamaian kamu akan menjadi seperti sungai, dan perbuatan baik kamu akan menjadi seperti ombak laut.”​—Yesaya 48:​17, 18.

Sebagai Pencipta kita, Tuhan tahu cara hidup yang terbaik untuk kita. Oleh itu, Dia menjemput kita untuk mengikut nasihat-Nya. Jika kita memilih untuk mengikut perintah Tuhan, kita tidak perlu ragu-ragu jika pilihan kita betul atau tidak. Kita sedang membuat pilihan yang paling bijak dan pasti meraih kedamaian dan kebahagiaan.

Standard moral Yehuwa tidak terlalu susah.

“Perintah yang aku sampaikan kepada kamu pada hari ini tidak terlalu susah untuk difahami dan tidak mustahil untuk dipatuhi.”​—Ulangan 30:11.

Untuk mematuhi standard moral Yehuwa, kita mungkin perlu mengubah fikiran dan kelakuan kita. Namun, hal ini tidak terlalu susah. Sebagai Pencipta kita, Yehuwa tahu keterbatasan kita. Selain itu, apabila kita semakin mengenali Yehuwa, kita akan sedar bahawa “perintah-Nya pun tidak membebankan.”​—1 Yohanes 5:3.

Yehuwa berjanji untuk membantu mereka yang mahu mengikut standard-Nya.

“Kerana Aku, Yehuwa, Tuhanmu, memegang tangan kananmu dan berfirman kepadamu, ‘Janganlah takut. Aku akan menolongmu.’”​—Yesaya 41:13.

Kita dapat hidup selaras dengan standard moral Tuhan kerana Dia akan membantu kita dengan memberi kita galakan dan harapan menerusi Firman-Nya, iaitu Bible.

Jutaan orang di serata dunia hidup lebih bahagia kerana mengikut standard Bible. Adakah anda ingin lebih mengenali nasihat dalam Bible? Cubalah menggunakan brosur Nikmati Hidup Selama-Lamanya! Brosur ini terdapat secara percuma di jw.org dan mengandungi pelajaran-pelajaran berikut:

  • Bagaimanakah Bible Dapat Membantu Anda?

  • Bible Memberi Kita Harapan

  • Dapatkah Anda Percaya Bible?

Semasa anda mengkaji Bible, anda akan mendapati bahawa nasihatnya tidak ketinggalan zaman. Standard Bible “selalu dapat dipercayai, baik sekarang mahupun untuk selama-lamanya.” (Mazmur 111:8) Dengan mengikut standard moral Bible, kita sedang mengikut cara hidup yang terbaik. Namun, Tuhan tidak memaksa kita untuk berbuat demikian. (Ulangan 30:​19, 20; Yosua 24:15) Kita masing-masing harus memilih sama ada kita mahu mematuhi standard Bible atau tidak.