Kisah Para Rasul 10:1-48

  • Penglihatan Kornelius (1-8)

  • Penglihatan Petrus tentang binatang yang disucikan (9-16)

  • Petrus melawat Kornelius (17-33)

  • Petrus menginjil kepada orang bukan Yahudi (34-43)

    • “Tuhan tidak berat sebelah” (34, 35)

  • Orang bukan Yahudi menerima kuasa suci Tuhan dan dibaptis (44-48)

10  Di Kaisarea ada seorang pegawai tentera pasukan Italia* yang bernama Kornelius.  Dia takut akan Tuhan dan menyembah Tuhan bersama seluruh keluarganya. Dia sering menolong orang yang miskin, dan sentiasa berdoa dengan bersungguh-sungguh kepada Tuhan.  Pada suatu hari, kira-kira jam tiga petang,*+ Kornelius mendapat suatu penglihatan. Dengan jelas, dia melihat malaikat Tuhan datang kepadanya dan berkata, “Kornelius!”  Kornelius memandang malaikat itu dengan takut lalu bertanya, “Ada apa, Tuan?” Malaikat itu menjawab, “Tuhan telah mendengar doamu+ dan Dia berkenan kepadamu. Dia sudah melihat bagaimana kamu membantu orang miskin.  Sekarang utuslah orang ke Yope untuk memanggil Simon yang juga dikenali sebagai Petrus.  Dia sedang menumpang di rumah seorang penyamak kulit yang bernama Simon. Rumahnya terletak di tepi laut.”  Setelah berkata demikian, malaikat itu pun beredar. Lalu Kornelius memanggil dua orang hamba dan seorang askar yang takut akan Tuhan daripada kalangan orang yang melayaninya.  Kornelius menceritakan kepada mereka segala yang telah berlaku lalu mengutus mereka ke Yope.  Keesokan harinya, ketika mereka masih dalam perjalanan dan hampir tiba di Yope, Petrus naik ke atas bumbung rumah* untuk berdoa. Masa itu kira-kira jam 12 tengah hari.* 10  Dia berasa sangat lapar dan hendak makan. Sementara menunggu makanan disediakan, dia mendapat suatu penglihatan.+ 11  Dia melihat langit terbuka dan sesuatu seperti kain linen yang besar turun ke bumi. Kain itu diturunkan pada keempat-empat penjurunya. 12  Di dalamnya terdapat segala macam binatang berkaki empat dan reptilia* di bumi serta burung-burung di langit. 13  Lalu ada suara yang berkata kepadanya, “Petrus, bangunlah! Sembelihlah dan makanlah binatang-binatang itu!” 14  Tetapi Petrus menjawab, “Sama sekali tidak, Tuan! Aku tidak pernah makan apa-apa yang kotor atau najis.”+ 15  Namun suara itu berkata buat kali kedua, “Jangan lagi anggap najis apa yang sudah disucikan oleh Tuhan.” 16  Suara tersebut kedengaran buat kali yang ketiga, lalu kain itu terangkat kembali ke langit dengan serta-merta. 17  Petrus tidak tahu makna penglihatan itu dan berasa sangat bingung. Pada masa itu, orang yang diutus oleh Kornelius sudah berdiri di luar pintu setelah bertanya tentang tempat letaknya rumah Simon.+ 18  Mereka memanggil tuan rumah dan bertanya sama ada seseorang yang bernama Simon Petrus sedang menumpang di situ atau tidak. 19  Semasa Petrus masih berfikir tentang penglihatan itu, kuasa suci Tuhan+ berkata, “Lihatlah! Ada tiga orang yang sedang mencari kamu. 20  Jadi bangunlah, turunlah ke bawah dan ikutlah mereka tanpa sebarang keraguan, kerana akulah yang mengutus mereka.” 21  Maka Petrus turun ke bawah dan berkata kepada mereka, “Akulah orang yang sedang kamu cari. Mengapakah kamu datang?” 22  Mereka menjawab, “Melalui malaikat suci-Nya, Tuhan telah menyuruh Kornelius+ untuk menjemput tuan ke rumahnya supaya dia dapat mendengar apa yang akan tuan katakan. Kornelius ialah seorang pegawai tentera yang melakukan apa yang benar, takut akan Tuhan, dan dia dipuji oleh semua orang Yahudi.” 23  Maka Petrus menjemput mereka untuk masuk dan menginap di situ. Keesokan harinya, Petrus bangun dan pergi bersama mereka. Beberapa orang saudara dari Yope juga pergi bersama dia. 24  Pada hari berikutnya, dia tiba di Kaisarea. Kornelius sedang menunggu mereka bersama sanak saudara dan sahabat-sahabat karib yang telah dijemputnya. 25  Apabila Petrus tiba, Kornelius menyambut dia. Dia berlutut lalu bersujud di depan kakinya. 26  Tetapi Petrus membantunya berdiri sambil berkata, “Bangunlah, aku sendiri pun manusia.”+ 27  Sambil bercakap dengan Kornelius, Petrus masuk dan mendapati banyak orang sudah berkumpul di situ. 28  Petrus berkata kepada mereka, “Kamu tahu benar bahawa orang Yahudi yang melawat atau bergaul dengan orang daripada bangsa lain melanggar hukum.+ Tetapi Tuhan sudah menunjukkan bahawa aku tidak boleh menganggap sesiapa pun kotor atau najis.+ 29  Oleh itu, aku tidak keberatan untuk datang ketika dipanggil. Maka, aku ingin tahu mengapakah kamu meminta aku datang?” 30  Kornelius menjawab, “Empat hari yang lalu, aku sedang berdoa di rumah kira-kira pada jam tiga petang.* Ketika itu, seorang lelaki yang pakaiannya bersinar-sinar muncul di hadapan aku. 31  Dia berkata, ‘Kornelius, Tuhan telah mendengar doamu dan Dia berkenan kepadamu. Dia sudah melihat bagaimana kamu membantu orang miskin. 32  Utuslah beberapa orang ke Yope untuk memanggil Simon yang juga dipanggil Petrus. Dia sedang menumpang di rumah seorang penyamak kulit yang bernama Simon. Rumahnya terletak di tepi laut.’+ 33  Itulah sebabnya aku segera mengutus orang untuk memanggil kamu, dan kamu sungguh baik hati kerana sudi datang. Sekarang kami semua berkumpul di hadapan Tuhan untuk mendengar apa sahaja yang diperintahkan oleh Yehuwa* kepadamu untuk dikatakan.” 34  Lalu Petrus berkata, “Sekarang barulah aku benar-benar faham bahawa Tuhan tidak berat sebelah.+ 35  Orang daripada bangsa apa pun yang takut kepada-Nya dan berbuat benar diperkenankan-Nya.+ 36  Tuhan telah menyampaikan berita baik tentang kedamaian+ kepada orang Israel melalui Yesus Kristus, Tuan semua orang.+ 37  Kamu semua tahu bahawa selepas pembaptisan yang dikhabarkan oleh Yohanes, bermula dari Galilea+ hingga seluruh Yudea, ada suatu perkara yang menjadi buah mulut orang ramai, 38  iaitu perkara tentang Yesus yang berasal dari Nasaret. Tuhan telah mengurapi Yesus dengan kuasa suci-Nya+ dan memberinya kekuatan. Oleh sebab Tuhan menyertainya,+ dia dapat pergi ke serata tempat untuk berbuat baik dan menyembuhkan semua orang yang ditindas oleh Iblis.+ 39  Kami ialah saksi kepada segala yang telah dilakukannya di negeri orang Yahudi dan di Yerusalem. Tetapi mereka membunuhnya dengan menggantungkannya pada tiang.* 40  Namun begitu, Tuhan membangkitkan dia pada hari ketiga+ supaya orang lain dapat melihatnya. 41  Tetapi bukan semua orang dapat melihatnya. Hanya kami, iaitu saksi-saksi yang telah dilantik terlebih dahulu oleh Tuhan, telah melihatnya. Kamilah yang telah makan dan minum bersamanya setelah dia dibangkitkan daripada kematian.+ 42  Yesus juga mengarahkan kami untuk memberikan kesaksian yang menyeluruh+ dan mengkhabarkan kepada bangsa kami bahawa dialah yang dilantik oleh Tuhan untuk menghakimi orang hidup dan orang mati.+ 43  Semua nabi memberikan kesaksian tentangnya,+ supaya semua orang yang beriman kepadanya memperoleh pengampunan dosa melalui namanya.”+ 44  Semasa Petrus masih bercakap tentang perkara-perkara itu, kuasa suci Tuhan dicurahkan ke atas semua orang di situ yang mendengar firman Tuhan.+ 45  Murid-murid Yesus yang bersunat, yang datang bersama Petrus, berasa hairan kerana kurniaan percuma Tuhan, iaitu kuasa suci-Nya, juga dicurahkan ke atas orang daripada bangsa lain. 46  Mereka mendengar semua orang itu bercakap dalam bahasa-bahasa lain dan mengagungkan Tuhan.+ Lalu Petrus berkata, 47  “Semua orang ini sudah menerima kuasa suci Tuhan seperti kita. Bolehkah sesiapa menghalang mereka daripada dibaptis dengan air?”+ 48  Maka Petrus menyuruh mereka dibaptis atas nama Yesus Kristus.+ Kemudian mereka meminta Petrus tinggal dengan mereka untuk beberapa hari.

Nota Kaki

Pasukan tentera Roma yang terdiri daripada 600 orang askar.
Harfiah, “jam yang ke-9.”
Pada masa itu, kebanyakan rumah mempunyai bumbung yang rata. Orang boleh berjalan, tidur, atau menyambut tetamu, di situ.
Harfiah, “jam yang ke-6.”
Atau “dan binatang menjalar.”
Harfiah, “jam yang ke-9.”
Atau “pokok.”