Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Adakah perasaan kita selalu boleh dipercayai?

Betul atau Salah? Cara Banyak Orang Membuat Keputusan

Betul atau Salah? Cara Banyak Orang Membuat Keputusan

Hampir semua orang setuju bahawa ada sesetengah perbuatan yang terang-terang betul, dan ada juga perbuatan yang terang-terang salah. Contohnya, mereka mengutuk perbuatan membunuh, merogol, dan penderaan seksual kanak-kanak. Mereka juga mengagungkan sifat seperti keadilan, kebaikan hati, dan empati. Namun dalam sesetengah hal, bahkan hal yang melibatkan seks, kejujuran, atau cara membesarkan anak, ramai orang percaya bahawa apa sahaja keputusan yang dibuat pun boleh diterima. Jadi semasa membuat keputusan, mereka selalunya mengikut perasaan sendiri atau orang di sekeliling mereka. Adakah cara itu bijak?

PERASAAN KITA

Kita selalu membuat keputusan berdasarkan apa yang kita rasa betul atau salah. Perasaan ini dipanggil hati nurani. (Roma 2:​14, 15) Budak kecil pun dapat membezakan apa yang adil daripada apa yang tidak adil, dan bahkan tahu berasa bersalah. Semasa membesar, hati nurani kita dibentuk oleh ahli keluarga, rakan sebaya, cikgu, masyarakat, agama, dan budaya. Semasa membuat keputusan, hati nurani akan memberitahu kita jika pilihan kita selaras dengan apa yang sudah kita belajar.

Perasaan kita tentang apa yang betul dan salah dapat menggerakkan kita untuk menunjukkan empati, penghargaan, belas kasihan, dan bersikap adil. Perasaan itu juga dapat mencegah kita daripada melakukan sesuatu yang akan menyakiti orang tersayang kita atau yang akan membuat kita berasa malu dan bersalah.

Adakah perasaan kita selalu boleh dipercayai? Mengenang kembali masa mudanya, Garrick berkata, “Saya melakukan apa sahaja yang saya ingini.” Namun, dia mendapati bahawa apabila dia melakukan apa yang dianggapnya betul, dia tidak mendapat hasil baik. Kemudian, dia menjalani kehidupan yang digambarkannya sebagai “jalan hidup yang sangat gelap.” Dia hidup tidak bermoral, mengambil dadah, mabuk, dan sering terlibat dalam keganasan.

PERASAAN ORANG LAIN

Selain mengikut perasaan diri sendiri, kita juga sering membuat keputusan berdasarkan perasaan orang lain. Apabila kita mengambil kira pandangan dan perasaan orang lain tentang apa yang betul dan salah, kita dapat meraih manfaat daripada pengalaman dan kebijaksanaan mereka. Keluarga kita, sahabat kita, dan masyarakat setempat juga akan menghormati kita.

Adakah perasaan orang lain selalu boleh dipercayai? Semasa muda, Priscila melakukan apa yang sering dilakukan oleh rakan sebayanya dan sering melakukan hubungan seks sebelum berkahwin. Namun, dia berasa bahawa melakukan sesuatu yang orang lain anggap betul tidak membuatnya berasa gembira. Dia berkata, “Semasa saya terikut-ikut dengan perbuatan orang lain, saya tidak rasa gembira. Saya malah membuat keputusan yang bodoh dan mengambil risiko yang tidak perlu.”

ADAKAH TERDAPAT CARA YANG LEBIH BAIK?

Semasa memutuskan apa yang betul dan apa yang salah, memang penting untuk mengambil kira perasaan diri sendiri dan perasaan orang lain. Namun cara ini tidak selalunya membawa kesudahan yang baik. Kita mungkin tidak cukup berpandangan jauh dan tidak dapat mengetahui kesan buruk keputusan kita terhadap diri sendiri atau orang lain. (Amsal 14:12) Selain itu, pandangan kita atau pandangan orang di sekeliling kita mungkin perlu diubah dan tidak semestinya bermanfaat. Fikirkan, sesetengah kelakuan yang dahulunya dianggap salah kini terima umum. Manakala sesetengah kelakuan yang dahulunya boleh diterima kini dianggap tidak sesuai.

Adakah perasaan orang lain selalu boleh dipercayai?

Adakah terdapat cara yang lebih baik untuk menentukan apa yang betul dan apa yang salah? Adakah terdapat standard moral yang dapat kita ikut hari ini dan yang tidak akan membuat kita menyesal pada kemudian hari?

Sebenarnya, terdapat nasihat yang konsisten dan yang boleh dipercayai tentang hal-hal ini. Nasihat ini berkesan untuk sesiapa sahaja tidak kira di mana mereka tinggal. Dalam rencana seterusnya, kita akan membincangkan dari mana kita dapat mencari nasihat ini.