Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Mereka Rela Berkhidmat—Di New York

Mereka Rela Berkhidmat—Di New York

BEBERAPA tahun yang lalu, Cesar dan isterinya Rocio, hidup selesa di California. Cesar bekerja sepenuh masa dalam bidang pemanasan, pengudaraan, dan penyejukan. Rocio pula bekerja separuh masa di pejabat doktor. Mereka memiliki sebuah rumah dan mereka tiada anak. Namun, sesuatu telah mengubah kehidupan mereka.

Pada Oktober 2009, pejabat cawangan Amerika Syarikat menghantar surat kepada semua sidang di seluruh negara. Surat itu menjemput sesiapa yang berpengalaman untuk memohon khidmat sementara di Bethel untuk kerja naik taraf pejabat cawangan di Wallkill, New York. Malah mereka yang telah melepasi had umur khidmat Bethel juga dialu-alukan. Cesar dan Rocio berkata, “Kami sudah berusia. Kami tahu ini mungkin peluang terakhir bagi kami untuk berkhidmat di Bethel. Kami tidak ingin melepaskan peluang ini!” Mereka segera menghantar borang permohonan.

Sukarela yang bekerja di Warwick

Lebih dari setahun berlalu, namun Cesar dan Rocio belum dijemput ke Bethel. Walaupun demikian, mereka mencuba mencapai matlamat mereka dengan menyederhanakan hidup mereka. Cesar berkata, “Kami mengubah suai garaj kami untuk menjadi sebuah tempat kediaman yang kecil (270 kaki persegi). Kemudian kami berpindah ke sana dan menyewakan rumah impian kami (2,200 kaki persegi) yang dibina kira-kira dua tahun sebelumnya.” Cesar menambah, “Perubahan ini memudahkan kami untuk menerima tugas Bethel jika kami dijemput.” Apakah yang berlaku seterusnya? Rocio berkata, “Sebulan selepas kami berpindah, . . . kami menerima jemputan untuk berkhidmat sebagai ahli sukarela sementara di Wallkill. Yehuwa dapat memberkati kami kerana kami menyederhanakan hidup.”

Jason, Cesar dan William

SEMANGAT RELA BERKORBAN MEREKA DIBERKATI

Seperti Cesar dan Rocio, ratusan saudara saudari kita juga telah membuat pengorbanan supaya dapat mengambil bahagian dalam kerja pembinaan yang sedang berlangsung di New York. Kebanyakan daripada mereka menyokong kerja naik taraf di Wallkill. Yang lain pula membantu dalam kerja pembinaan ibu pejabat sedunia di Warwick. * Ramai pasangan meninggalkan rumah yang selesa, kerjaya, serta haiwan kesayangan untuk berkhidmat kepada Yehuwa dengan lebih giat. Adakah Yehuwa memberkati semangat rela berkorban mereka? Sudah tentu!

Way

Sebagai contoh, seorang juruelektrik yang bernama Way, dan isterinya Debra, berusia 50-an. Mereka telah menjual rumah dan harta benda mereka di Kansas lalu berpindah ke Wallkill untuk berkhidmat sebagai pekerja ulang-alik Bethel. * Biarpun mereka perlu membuat pengorbanan, mereka berkata bahawa hal ini amatlah berbaloi. Mengenai tugas Debra di Bethel, dia berkata: “Kadangkala saya berasa bahawa saya seakan-akan berada di tapak pembinaan Firdaus yang sering dipaparkan dalam bahan bacaan kita!”

Melvin dan Sharon menjual rumah dan segala harta mereka di Carolina Selatan supaya mereka dapat membantu kerja pembinaan di Warwick. Biarpun keputusan ini tidak mudah, mereka menganggapnya suatu penghormatan untuk terlibat dalam projek yang bersejarah ini. Mereka berkata, “Melakukan sesuatu yang bermanfaat untuk organisasi sedunia membawa sukacita yang tidak dapat digambarkan.”

Kenneth

Kenneth, seorang jurubina yang telah bersara, dan isterinya Maureen, berusia dalam lingkungan 50-an. Mereka berpindah dari California supaya dapat mengambil bahagian dalam projek Warwick. Sebelum berpindah, mereka meminta seorang saudari untuk menjaga rumah mereka. Mereka juga meminta bantuan ahli keluarga untuk menjaga bapa Kenneth yang lanjut usia. Adakah mereka menyesal atas keputusan ini? Tidak! “Kami memperoleh manfaat yang berlimpah,” kata Kenneth. Walaupun mereka menghadapi cabaran, kehidupan mereka memuaskan dan mereka menggalakkan orang lain untuk menceburi khidmat ini.

MENANGANI CABARAN

Ramai yang telah merelakan diri perlu menangani cabaran tertentu. Misalnya, William dan Sandra, yang berusia awal 60-an, hidup selesa di Pennsylvania. Mereka memiliki syarikat pembuatan alat-alat mesin dan 17 orang pekerja. Mereka berada di dalam sidang yang sama sejak kecil. Kebanyakan saudara-mara mereka tinggal berdekatan. Jadi, apabila mereka dijemput untuk berkhidmat sebagai pekerja ulang-alik di Wallkill, mereka tahu bahawa mereka perlu mengucapkan selamat tinggal kepada ramai orang. Mereka berat hati untuk meninggalkan tempat itu. Namun, selepas berdoa dengan tekun, mereka memutuskan untuk berpindah dan mereka tidak menyesal atas keputusan itu. William menambah, “Sukacita yang diterima kerana bekerja bersama ahli keluarga Bethel memang tiada bandingan. Saya dan Sandra berasa lebih bahagia!”

Pasangan-pasangan yang bekerja di Wallkill

Ricky, seorang pengurus projek pembinaan di Hawaii, dijemput untuk berkhidmat sebagai pekerja ulang-alik Bethel di Warwick. Isterinya, Kendra, ingin suaminya menerima jemputan itu. Namun, mereka risau tentang Jacob, anak lelaki mereka yang berumur 11 tahun. Mereka tertanya-tanya jika mereka patut berpindah ke New York, dan sama ada anak mereka dapat menyesuaikan diri di sana atau tidak.

Ricky berkata, “Salah satu keutamaan kami adalah mencari sidang yang mempunyai kaum muda yang matang secara rohani. Kami ingin Jacob mempunyai pergaulan yang baik.” Tetapi sidang yang dihadiri oleh mereka hanya mempunyai sedikit kaum muda dan beberapa ahli Bethel. “Selepas perjumpaan pertama di sana, saya bertanya kepada Jacob apa perasaannya tentang sidang baru,” kata Ricky. “Dia memberitahu, ‘Jangan risau ayah. Ahli Bethel yang muda akan menjadi kawan saya.’”

Jacob dan ibu bapanya menikmati pergaulan dengan ahli-ahli Bethel di sidang mereka

Itulah yang terjadi. Maka, apakah kesannya? Ricky berkata, “Pada suatu malam, saya nampak lampu bilik Jacob masih menyala. Saya menyangka dia sedang bermain permainan video. Tapi dia sedang membaca Bible! Apabila saya bertanya apa yang sedang dia buat, Jacob berkata, ‘Saya mahu menjadi seperti ahli Bethel yang muda. Jadi saya akan membaca Bible dalam masa setahun.’” Ricky dan Kendra sangat kagum. Perpindahan mereka bukan sahaja membolehkan Ricky menyertai projek Warwick, tetapi hal itu juga menyumbang kepada kemajuan rohani anak mereka.—Ams. 22:6.

TIDAK RISAU AKAN MASA DEPAN

Luis dan Dale

Projek-projek pembinaan di Wallkill dan Warwick akhirnya akan tamat. Jadi mereka yang telah dijemput untuk berkhidmat di sana sedar bahawa khidmat mereka adalah sementara sahaja. Adakah saudara saudari terlalu khuatir tentang apa yang akan terjadi kepada mereka? Tidak! Ramai mempunyai perasaan yang sama seperti dua pasangan yang berumur 50-an dari Florida. John, seorang pengurus pembinaan, serta isterinya Carmen, yang bertugas sementara di Warwick berkata, “Kami telah melihat dengan jelas bagaimana Yehuwa menjaga keperluan kami sehingga hari ini. Sudah tentu, Dia tidak akan membawa kami ke sini dan kemudian mengabaikan kami.” (Mzm. 119:116) Luis, seorang pereka sistem pemadam kebakaran, dan isterinya Quenia, yang berkhidmat di Wallkill berkata, “Kami telah melihat betapa besarnya kemurahan hati Yehuwa dalam membekalkan segala keperluan kami. Walaupun kami tidak tahu bagaimana Yehuwa akan memberikan bantuan, kami yakin bahawa Dia pasti akan menjaga keperluan kami.”—Mzm. 34:11; 37:25.

BERKAT YANG MELIMPAH

John dan Melvin

Ramai saudara saudari boleh mencari alasan untuk tidak terlibat dalam projek pembinaan di New York. Namun, mereka menerima jemputan Yehuwa untuk menguji-Nya: “Ujilah Aku, maka kamu akan nampak Aku membuka tingkap-tingkap syurga dan melimpahi kamu dengan segala yang baik.”—Mal. 3:10.

Adakah anda ingin menguji Yehuwa dan menikmati berkat-Nya yang melimpah? Berdoalah dan nilailah keadaan anda, sama ada anda dapat menyertai kerja pembinaan di New York atau projek pembinaan yang lain. Kemudian, anda akan melihat berkat Yehuwa.—Mrk. 10:29, 30.

Gary

Dale, seorang jurutera awam, dan Cathy berasal dari Alabama. Mereka menggalakkan orang lain untuk menyertai kerja ini. Mereka berkata, “Jika anda sanggup meninggalkan kehidupan yang selesa, anda berpeluang menyaksikan kuasa Tuhan.” Apakah yang harus anda lakukan? Dale berkata, “Sederhanakan, sederhanakan, dan sederhanakan lagi kehidupan anda. Anda pasti tidak akan menyesal!” Gary dari Carolina Utara, berpengalaman dalam bidang pengurusan pembinaan selama 30 tahun. Dia dan isterinya Maureen, mengatakan bahawa salah satu berkat yang dinikmati adalah “berjumpa dan berganding bahu dengan saudara saudari yang telah lama berkhidmat di Bethel.” Gary menambah, “Untuk berkhidmat di Bethel, anda perlu hidup sederhana. Kehidupan inilah yang terbaik untuk mengharungi akhir sistem dunia ini.” Jason dan Jennifer berasal dari Illinois. Jason pernah bekerja untuk seorang kontraktor elektrik. Mereka mengatakan bahawa bekerja dalam projek Bethel di Wallkill adalah bagaikan bekerja di dunia baru. Jennifer berasa amat teruja kerana kerja yang dilakukannya dihargai oleh Yehuwa dan membawa manfaat yang berkekalan. Dia menambah, “Yehuwa akan memastikan bahawa anda diberkati dengan berlimpah-limpah.”

^ per. 6 Sila lihat Yearbook of Jehovah’s Witnesses bagi tahun 2014 muka surat 12-13.

^ per. 7 Pekerja ulang-alik Bethel yang berkhidmat separuh masa membiayai perbelanjaan sendiri termasuk tempat tinggal. Mereka bekerja satu atau beberapa hari seminggu di Bethel.