Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Burnett, Simone, Eston, dan Caleb

Mereka Rela Berkhidmat—Di Oseania

Mereka Rela Berkhidmat—Di Oseania

SAUDARI Reneé yang berusia pertengahan 30-an dibesarkan dalam keluarga Saksi di Australia. Dia berkata, “Sudah banyak kali kami berpindah ke tempat yang memerlukan bantuan. Ibu dan Ayah menjadikan hidup kami menarik dan seronok! Apabila saya mempunyai dua orang anak, saya juga inginkan kehidupan begitu bagi mereka.”

Suami Reneé, Shane, berumur lewat 30-an mempunyai matlamat rohani yang sama. Dia berkata, “Selepas kelahiran anak kedua, kami membaca rencana Menara Pengawal mengenai keluarga Saksi yang belayar ke Kepulauan Tonga untuk menginjil. * Rencana itu mendorong kami untuk menulis surat ke pejabat cawangan Australia dan New Zealand untuk menanya tentang kawasan yang memerlukan bantuan. * Mereka menjemput kami untuk berkhidmat di Tonga!”

Jacob, Reneé, Skye, dan Shane

Selepas Shane, Reneé, dan anak mereka, Jacob dan Skye, tinggal di Tonga selama setahun, rusuhan-rusuhan bermula di sana. Maka mereka pulang ke Australia, tetapi mereka masih ingin meluaskan khidmat mereka. Pada tahun 2011, mereka berpindah ke Pulau Norfolk, sebuah pulau kecil di lautan Pasifik yang terletak 1,500 km dari Australia. Apakah yang terjadi? Sekarang, Jacob yang berumur 14 tahun berkata, “Yehuwa menjaga kami serta menjadikan kerja menginjil sangat menyeronokkan!”

MELUASKAN KHIDMAT BERSAMA KELUARGA

Seperti Shane, Reneé, anak mereka, serta banyak keluarga Saksi yang lain, mereka rela meluaskan khidmat mereka. Apakah yang mendorong mereka?

“Banyak orang berminat terhadap berita baik. Kami ingin memberi mereka peluang untuk belajar Bible secara tetap.”—Burnett

Burnett dan Simone, pasangan dalam pertengahan 30-an, serta anak mereka, Eston dan Caleb yang berumur 12 dan 9 tahun, telah berpindah ke Burketown, sebuah bandar terpencil di Queensland, Australia. Burnett berkata, “Para Saksi hanya menginjil di sana setiap tiga atau empat tahun. Banyak orang berminat terhadap berita baik. Kami ingin memberi mereka peluang untuk belajar Bible secara tetap.”

Jim, Jack, Mark, dan Karen

Mark dan Karen yang berumur awal 50-an berkhidmat di beberapa sidang berdekatan Sydney, Australia. Kemudian, mereka dan tiga orang anak, iaitu Jessica, Jim, dan Jack berpindah ke Nhulunbuy, sebuah tempat perlombongan yang terpencil di Wilayah Utara, Australia. Mark berkata, “Saya mengasihi orang lain. Maka saya ingin berkhidmat di sidang dan kawasan penyebaran yang memerlukan bantuan.” Namun, Karen teragak-agak untuk berpindah. Dia berkata, “Selepas Mark dan saudara saudari menggalakkan saya, saya ingin mencubanya. Sekarang saya gembira kerana melakukannya!”

Benjamin, Jade, Bria, dan Carolyn

Pada tahun 2011, Benjamin, Carolyn, dan dua anak kecil mereka, iaitu Jade dan Bria, berpindah dari Queensland, Australia ke Timor-Leste. Ben berkata, “Saya dan Carolyn pernah berkhidmat di Timor-Leste sebagai perintis khas. Kerja menginjil sangat bagus. Para Saksi di situ sangat baik dan menggalakkan. Kami sedih apabila meninggalkan tempat itu. Namun kami bertekad untuk kembali. Apabila anak kami lahir, kami tidak mengubah rancangan itu tetapi hanya menangguhkannya.” Carolyn berkata, “Kami ingin anak kami dikelilingi mubaligh, ahli Bethel, dan perintis khas supaya mereka menerima pengalaman rohani yang terbaik.”

BERSEDIA UNTUK BERPINDAH

Yesus memberitahu pengikutnya, “Siapakah antara kamu yang ingin membina sebuah menara, tetapi tidak duduk dan mengira perbelanjaannya terlebih dahulu?” (Luk. 14:28) Begitu juga, apabila sebuah keluarga berpindah, mereka perlu membuat perancangan teliti. Apakah yang perlu dipertimbangkan?

ROHANI: Ben berkata, “Kami ingin membantu orang, bukannya membebankan mereka. Jadi sebelum berpindah, kami meningkatkan kerohanian serta bergiat dalam kerja penyebaran dan aktiviti sidang.”

Jacob yang disebut tadi berkata, “Sebelum berpindah ke Pulau Norfolk, kami membaca banyak kisah hidup dalam majalah The Watchtower dan Awake! mengenai keluarga yang meluaskan khidmat mereka. Kami membincangkan cabaran yang dihadapi dan cara Yehuwa membantu mereka.” Adiknya, Skye, yang berumur 11 tahun berkata, “Saya selalu berdoa. Sama ada doa sendiri atau dengan ibu bapa!”

EMOSI: Reneé berkata, “Kami tinggal berdekatan keluarga dan sahabat karib di kawasan yang saya suka. Memang senang bagi saya untuk terus hidup di sana. Tetapi saya tidak berfokus kepada pengorbanan, sebaliknya bertumpu kepada manfaat yang diraih selepas berpindah.”

BUDAYA: Banyak keluarga membuat kajian sebelum berpindah. Mark berkata, “Kami membaca banyak maklumat tentang Nhulunbuy. Saudara saudari yang tinggal di sana menghantar surat khabar tempatan kepada kami. Hal ini membantu kami memahami orang tempatan dan budaya mereka.”

Shane yang berpindah ke Pulau Norfolk berkata, “Yang paling penting ialah sifat-sifat Kristian. Saya tahu jika saya ikhlas, lemah lembut, jujur, dan rajin, saya boleh sesuaikan diri di mana sahaja.”

MENGHADAPI CABARAN

Untuk berjaya berkhidmat di tempat yang memerlukan bantuan, kita perlu menyesuaikan diri dan bersikap positif semasa perkara yang tidak terduga berlaku. Fikirkan beberapa contoh:

Reneé menceritakan, “Saya sedar bahawa terdapat pelbagai cara untuk melakukan sesuatu. Contohnya, semasa laut di Pulau Norfolk bergelora, kapal yang membawa bekalan tidak dapat berlabuh. Jadi barang-barang susah didapati dan mahal. Saya belajar untuk memilih bahan masakan dengan bijak.” Suaminya, Shane, berkata, “Kami memastikan perbelanjaan mingguan tidak melebihi jumlah yang ditetapkan.”

Anak mereka, Jacob berkata, “Sidang baru kami hanya ada tujuh ahli lain dan mereka merupakan orang dewasa. Jadi saya tidak ada rakan sebaya! Namun apabila menginjil bersama orang yang lebih tua, kami menjadi sahabat.”

Jim yang berumur 21 tahun menghadapi cabaran yang sama. Dia berkata, “Sidang yang terdekat dengan Nhulunbuy terletak lebih daripada 725 km. Jadi kami menggunakan masa perhimpunan dan konvensyen dengan sebaik mungkin. Kami tiba awal supaya dapat bergaul bersama saudara saudari. Ini merupakan acara tahunan yang terpenting bagi kami!”

“SAYA GEMBIRA KERANA BERPINDAH KE SINI!”

Bible menyatakan, ‘Berkat Yehuwa sahajalah yang menjadikan orang kaya.’ (Ams. 10:22) Di serata dunia, ramai orang yang meluaskan khidmat mereka setuju dengan ayat tersebut.

Mark berkata, “Selepas berpindah, berkat yang terbesar ialah pandangan anak kami. Dua orang anak kami yang lebih tua yakin sepenuhnya bahawa Yehuwa akan menjaga orang yang mengutamakan Kerajaan-Nya. Keyakinan sebegini tidak boleh dibeli.”

Shane berkata, “Saya lebih akrab dengan isteri dan anak-anak. Apabila mereka menceritakan bagaimana Yehuwa membantu mereka, saya berasa sangat gembira.” Anaknya Jacob berkata, “Kami sangat seronok. Saya gembira kerana berpindah ke sini!”

^ per. 3 Lihat rencana pada muka surat 8-11 dalam Menara Pengawal 15 Disember 2004 dalam bahasa Indonesia.

^ per. 3 Pada tahun 2012, pejabat cawangan Australia dan New Zealand digabungkan menjadi pejabat cawangan Australasia.