Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Ketika Anda Menghidap Penyakit yang Serius

Ketika Anda Menghidap Penyakit yang Serius

“Semasa doktor kata paru-paru dan usus saya dijangkiti kanser, saya berasa seperti dijatuhkan hukuman mati. Tetapi selepas pulang, saya berfikir, ‘Ya, hal ini memang di luar jangkaan, tapi saya perlu cari jalan untuk menghadapinya.’”​—Linda, 71 tahun.

“Bahagian kiri muka saya diserang penyakit saraf yang menyakitkan. Ada kalanya, saya rasa begitu sakit sehingga menjadi murung. Banyak kali, saya berasa tiada orang yang peduli tentang saya, dan saya bahkan terfikir untuk bunuh diri.”​—Elise, 49 tahun.

JIKA anda atau orang tersayang didapati menghidap penyakit yang dapat membawa maut, hal itu merupakan tamparan yang besar. Anda bukan sahaja perlu berdepan dengan penyakit itu, malah perlu menangani emosi yang bercelaru. Perasaan takut dan risau, janji temu doktor, cabaran untuk mendapat rawatan yang sesuai, bayaran untuk rawatan, atau kesan sampingan ubat, semuanya dapat merumitkan situasi dan membuat penderitaan anda bertambah berat.

Dari manakah kita dapat mencari bantuan? Ramai orang mendapati bahawa berdoa kepada Tuhan dan membaca ayat-ayat Bible yang melegakan telah mengubati keresahan mereka. Selain itu, kasih dan sokongan daripada keluarga dan sahabat juga amat berguna.

CARA SESETENGAH ORANG MENANGANINYA

“Berimanlah kepada Tuhan, dan Dia akan bantu kamu bertahan,” kata Robert yang berumur 58 tahun. “Berdoalah kepada Yehuwa dan beritahulah Dia perasaan kamu. Mohonlah kuasa suci, dan mintalah kekuatan supaya kamu dapat bersikap positif demi keluarga, dan supaya kamu tetap tenang semasa bertarung dengan penyakit.

“Apabila keluarga kamu berada di sisi kamu dan bersedia memberikan sokongan, hal itu sangat membantu. Setiap hari, satu atau dua orang akan telefon saya dan bertanya khabar. Kawan-kawan dari merata-rata tempat juga menggalakkan saya dan menguatkan semangat saya. Itu juga bantu saya agar tidak putus asa.”

Jika anda bercadang untuk melawat seorang kawan yang sakit, perhatikan kata-kata Linda: “Pesakit itu pun mahu menjalani kehidupan yang normal. Dia mungkin tidak suka asyik bercakap tentang penyakitnya, jadi berbuallah tentang hal-hal yang biasa.”

Dengan adanya kekuatan daripada Tuhan, kelegaan daripada Bible, dan sokongan serta kasih daripada sahabat dan keluarga, kita dapat tetap yakin bahawa hidup kita masih bermakna, meskipun kita menghidap penyakit yang serius.