Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Awal-awal lagi, adakan perbincangan secara terbuka

Apabila Orang yang Tersayang Sakit Tenat

Apabila Orang yang Tersayang Sakit Tenat

SEMASA diberitahu bahawa suaminya Wesley yang baru berusia 54 tahun menghidap ketumbuhan otak yang teruk, dan hanya dapat hidup beberapa bulan lagi, Doreen hampir tidak mempercayainya. * Dia berkata, “Kejutan itu berlanjutan selama berminggu-minggu. Saya rasa seperti hal itu terjadi kepada orang lain, bukan kepada kami. Saya tidak bersedia.”

Apa yang berlaku kepada Doreen dapat berlaku kepada sesiapa pun. Ramai yang rela menjaga orang tersayang yang sakit tenat. Namun, tugas itu amat mencabar. Apakah yang dapat dilakukan oleh ahli-ahli keluarga untuk menjaga dan melegakan orang tersayang? Apakah caranya untuk menangani pergolakan emosi semasa memberikan jagaan? Apakah yang dapat dijangkakan apabila waktu kematian semakin dekat? Sebelum itu, mari kita lihat sebabnya menjaga orang yang sakit tenat merupakan cabaran zaman moden.

CABARAN ZAMAN MODEN

Hampir seratus tahun lalu, jangka hayat manusia biasanya lebih pendek, bahkan di negara yang lebih maju. Penyakit atau kemalangan meragut nyawa dengan cepat. Rawatan di hospital tidak mudah diperoleh, maka kebanyakan orang dijaga oleh ahli keluarga dan meninggal di rumah.

Hari ini, kemajuan dalam bidang perubatan telah membantu para doktor untuk melawan penyakit dan melanjutkan nyawa pesakit. Namun, meskipun seorang pesakit dapat melawan penyakit untuk masa yang lebih panjang berbanding dahulu, kemampuannya untuk menjaga diri akan menjadi sangat terhad. Maka, orang yang menjaga mereka menghadapi cabaran yang jauh lebih besar dan rumit.

Oleh yang demikian, semakin banyak pesakit dijaga di hospital sehingga mereka meninggal. Hari ini, kebanyakan orang kurang mengetahui proses kematian dan tidak pernah melihat seseorang meninggal. Oleh itu, mereka berasa takut untuk menjaga ahli keluarga yang sakit. Apakah yang dapat membantu mereka?

PERANCANGAN AWAL

Seperti Doreen, ramai orang berasa hancur hati, risau, dan takut apabila diberitahu bahawa orang yang tersayang menghidap penyakit yang tidak dapat diubati. Apakah persiapan yang dapat dilakukan? Seorang hamba Tuhan yang setia berdoa, “Ajarlah kami menghitung hari kehidupan kami, supaya hati kami bijaksana.” (Mazmur 90:12, Alkitab Versi Borneo) Ya, mohonlah bantuan Tuhan Yehuwa supaya anda dapat ‘menghitung hari kehidupan anda’ dengan bijak. Dengan itu, anda dapat menggunakan masa yang tinggal bersama orang tersayang dalam cara yang terbaik.

Maka perancangan yang baik amat penting. Jika orang tersayang anda masih dapat berkomunikasi dan rela membincangkan hal itu, tanyalah dia siapa yang patut membuat keputusan bagi pihaknya apabila dia tidak dapat berbuat demikian lagi. Awal-awal lagi, bincanglah secara terus terang hal seperti: Apakah yang harus dilakukan apabila dia tidak sedar diri? Inginkah dia dimasukkan ke dalam hospital atau menerima rawatan tertentu? Perbincangan sedemikian dapat mengurangkan salah faham dan perasaan serba salah bagi ahli keluarga yang terpaksa membuat keputusan baginya kelak, dan membolehkan mereka berfokus kepada usaha memberikan jagaan. Bible menyatakan, “Rancangan gagal jika tidak disertai pertimbangan.”​—Amsal 15:22.

CARA MEMBANTU

Peranan utama penjaga adalah untuk memberikan kelegaan kepada pesakit. Pada akhir hayatnya, seorang pesakit perlu diyakinkan bahawa dia dikasihi dan tidak keseorangan. Semasa menemaninya, anda dapat membacakan bahan yang menggalakkan atau menyanyikan lagu yang disukainya. Ramai pesakit berasa lebih tenang apabila ahli keluarga memegang tangan mereka sambil bercakap dalam nada yang lembut.

Beritahulah pesakit siapa yang sedang melawatnya. Satu laporan menyatakan, “Nampaknya pendengaran ialah deria terakhir yang hilang dari tubuh kita. Walaupun [pesakit] itu kelihatan sedang tidur, pendengarannya masih peka. Jadi janganlah ucapkan perkara yang negatif semasa bersamanya.”

Jika boleh, berdoalah bersama pesakit itu. Pernah sekali, semasa Rasul Paulus dan rakan-rakannya sangat tertekan dan tidak pasti sama ada mereka akan hidup atau mati, Paulus memberitahu sahabat-sahabatnya, “Doa kamu yang sungguh-sungguh juga dapat membantu kami.” (2 Korintus 1:8-11) Ya, doa yang ikhlas sangat bermanfaat untuk pesakit yang tertekan dan menderita.

MENERIMA HAKIKAT

Kita biasanya tidak sanggup berfikir tentang kematian seseorang yang tersayang. Hal itu tidak menghairankan, kerana kita tidak diciptakan untuk menerima kematian sebagai lumrah hidup atau sesuatu yang semula jadi. (Roma 5:12) Firman Tuhan juga menggambarkan kematian sebagai “musuh.” (1 Korintus 15:26) Maka keengganan untuk berfikir tentang kematian orang tersayang merupakan reaksi yang biasa.

Namun, dengan memikirkan apa yang mungkin berlaku pada akhir hayat pesakit, rasa takut ahli keluarga dapat dikurangkan, dan mereka dapat berusaha membuat pesakit lebih selesa pada minggu-minggu terakhirnya. Meskipun situasi setiap pesakit adalah berbeza, maklumat dalam kotak “ Minggu-Minggu Terakhir” akan membantu ahli keluarga mengenali perubahan yang dialami kebanyakan orang pada akhir hayat mereka.

Selepas kematian orang tersayang, anda boleh menghubungi sahabat karib yang pernah menawarkan bantuan. Penjaga dan ahli keluarga mungkin perlu diyakinkan bahawa orang tersayang mereka tidak lagi menderita. Pencipta kita yang pengasih menyatakan dengan jelas bahawa “orang yang telah mati tidak tahu apa-apa pun.”​—Pengkhutbah 9:5.

PENJAGA YANG TERBAIK

Belajarlah agar tidak menolak bantuan sesiapa pun

Kita perlu bergantung pada Tuhan, bukan sahaja semasa menjaga ahli keluarga yang sakit tenat, tetapi juga semasa kita meratapi kehilangannya. Tuhan dapat membantu anda melalui kata-kata dan tindakan orang lain. Doreen berkata, “Saya belajar agar tidak menolak bantuan sesiapa pun. Saya dan suami telah menerima banyak bantuan, dan kami sedar bahawa itulah caranya Yehuwa berkata, ‘Saya berada di sisimu dan akan membantu kamu mengharunginya.’ Perasaan itu susah dilupakan.”

Ya, Tuhan Yehuwa ialah Penjaga yang terbaik. Dia bukan sahaja memahami kesedihan kita, malah rela dan mampu membantu kita mengatasinya. Tidak lama lagi, Dia akan melenyapkan kematian buat selama-lamanya dan membangkitkan berbilion-bilion orang yang diingati-Nya. (Yohanes 5:28, 29; Wahyu 21:3, 4) Pada masa itu, semua orang akan berkata seperti Rasul Paulus, “Hai maut, di manakah kemenanganmu? Hai maut, di manakah sengatmu?”​—1 Korintus 15:55.

^ per. 2 Nama-nama telah diubah.