Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Ketika Orang Tersayang Meninggal

Ketika Orang Tersayang Meninggal

“Semasa abang saya tiba-tiba meninggal, saya berasa tidak berdaya. Beberapa bulan kemudian, saya akan teringatkan dia lalu berasa seperti ditusuk pisau. Ada masanya, saya marah dan fikir, ‘Kenapa dia harus mati?’ Saya juga berasa bersalah kerana tidak menghabiskan lebih banyak masa bersamanya.”​—Vanessa, Australia.

SEMASA orang tersayang anda meninggal, hati anda mungkin dibanjiri pelbagai perasaan, seperti sedih, sunyi, dan tidak berdaya. Anda juga mungkin berasa marah, bersalah, dan takut. Anda bahkan mungkin berfikir, “Apa gunanya saya terus hidup?”

Jika anda bersedih, biarpun untuk masa yang agak lama, ingatlah bahawa reaksi itu memang biasa. Kesedihan anda menunjukkan bahawa anda sangat menyayangi orang yang meninggal itu. Namun, bagaimanakah anda dapat mengurangkan kesedihan itu?

CARA SESETENGAH ORANG MENANGANINYA

Jika kepedihan anda nampaknya berterusan, cadangan berikut dapat membantu anda:

JANGAN MEMENDAMKAN KESEDIHAN DALAM HATI ANDA

Setiap orang mempunyai cara tersendiri untuk meluahkan kesedihan, dan jangka masa setiap orang berkabung pun berbeza-beza. Namun, menangis dapat membantu mengurangkan kesedihan anda. Vanessa yang disebut tadi berkata, “Saya akan menangis untuk melepaskan kesakitan dalam hati.” Sofía, yang adik perempuannya telah meninggal secara tiba-tiba, berkata, “Bagi saya, berdepan dengan perasaan dan fikiran sendiri sangat susah, kerana hal itu seperti membersihkan luka yang bernanah. Rasanya pedih sekali, tetapi apabila saya melakukannya, luka di hati saya dapat beransur-ansur pulih.”

LUAHKAN FIKIRAN DAN PERASAAN ANDA

Memang benar, ada kalanya anda ingin bersendirian, tetapi usahlah menanggung kesedihan anda seorang diri. Jared yang berumur 17 tahun telah kehilangan ayahnya. Dia berkata, “Saya memberitahu orang lain tentang perasaan saya. Kata-kata saya mungkin tidak masuk akal, tetapi saya berasa lega setelah meluahkan isi hati saya.” Janice, yang disebut di rencana pertama, berkata, “Selepas bercakap dengan orang lain, saya rasa mereka memahami perasaan saya, dan saya tidak begitu sunyi lagi. Hal itu sangat melegakan.”

TERIMA BANTUAN

Seorang doktor berkata, “Jika orang yang berkabung rela menerima bantuan daripada sahabat dan saudara-mara sejurus selepas kematian orang yang tersayang, mereka akan berasa lebih mudah untuk menghadapi kehilangan itu dan mengatasi kesedihan sendiri.” Maka, beritahulah kawan-kawan anda bagaimana mereka dapat membantu anda. Mungkin mereka ingin menolong anda tetapi tidak tahu caranya.​—Amsal 17:17.

HAMPIRI TUHAN

Tina berkata, “Apabila suami saya tiba-tiba meninggal kerana kanser, saya kehilangan tempat mengadu. Jadi, saya akan memberitahu Tuhan segala-galanya! Hal pertama yang akan saya lakukan setiap hari ialah meminta bantuan-Nya untuk mengharungi cabaran hari ini. Tuhan telah memberi saya banyak bantuan.” Tarsha, yang berumur 22 tahun semasa ibunya meninggal, berkata, “Saya mendapat kelegaan dengan membaca Bible setiap hari. Melalui Bible, saya dapat fikirkan sesuatu yang positif.”

BAYANGKAN MASA PEMBANGKITAN

Tina menambah, “Mula-mulanya, harapan pembangkitan tidak begitu melegakan, kerana saya masih kehilangan suami dan anak-anak saya masih kehilangan ayah. Tetapi sekarang, empat tahun kemudian, harapan ini sangat berharga bagi saya dan membantu saya agar tidak putus asa. Apabila saya membayangkan masanya saya akan berjumpa dengannya lagi, saya berasa tenang dan gembira!”

Kesedihan anda mungkin tidak segera hilang. Namun, ingatlah kata-kata Vanessa: “Kamu mungkin fikir kamu akan terus bersedih, tetapi keperitan itu akan beransur-ansur pudar.”

Meskipun kekosongan dalam hati anda tidak dapat diisi sekarang, anda masih ada sebab untuk terus hidup. Dengan adanya kasih dan bantuan Tuhan, anda dapat memiliki sahabat yang penyayang dan menikmati kehidupan yang bermakna. Tidak lama lagi, Tuhan akan membangkitkan orang mati, dan orang tersayang anda akan kembali dalam dakapan anda. Ketika itu, luka di hati anda akan disembuhkan buat selama-lamanya!