Lompat ke kandungan

Bagaimanakah Anda Dapat Hidup Selama-lamanya?

Bagaimanakah Anda Dapat Hidup Selama-lamanya?

Jawapan Bible

 Bible berjanji bahawa “orang yang melakukan kehendak Tuhan akan hidup selama-lamanya.” (1 Yohanes 2:​17) Apakah yang Tuhan ingin anda lakukan?

  •   Belajar tentang Tuhan dan Anak-Nya, Yesus. Semasa Yesus berdoa kepada Tuhan, dia berkata, “Jika orang mengenal Engkau, satu-satunya Tuhan yang benar, dan mengenal Yesus Kristus yang Engkau utus, maka mereka mendapat kehidupan kekal.” (Yohanes 17:3) Bagaimanakah kita dapat “mengenal” Tuhan dan Yesus? Kita mengenal mereka dengan mempelajari Bible dan menerapkan nasihatnya dalam kehidupan kita. a Bible menyatakan fikiran Pencipta kita, Tuhan Yehuwa, yang merupakan sumber kehidupan kita. (Kisah 17:24, 25) Bible juga mengajar kita tentang Anak-Nya Yesus, yang telah menyampaikan ‘kata-kata yang membawa kehidupan kekal.’​—Yohanes 6:​67-​69.

  •   Beriman kepada korban tebusan Yesus. Yesus datang ke bumi “untuk melayani dan menyerahkan nyawanya sebagai tebusan.” (Matius 20:28) Korban tebusan Yesus telah membuka jalan bagi manusia untuk hidup selama-lamanya di bumi Firdaus. b (Mazmur 37:29) Yesus berkata, “Tuhan begitu mengasihi dunia ini sehingga Dia memberikan Anak tunggal-Nya, supaya setiap orang yang beriman kepadanya tidak dibinasakan tetapi mendapat kehidupan kekal.” (Yohanes 3:​16) Kita menunjukkan bahawa kita “beriman kepadanya” jika kita hidup selaras dengan ajaran Yesus dan kehendak Bapanya.​—Matius 7:​21; Yakobus 2:​17.

  •   Membina persahabatan yang akrab dengan Tuhan. Tuhan ingin kita menghampiri-Nya dan menjadi sahabat-Nya. (Yakobus 2:​23; 4:8) Tuhan itu abadi. Dia tidak akan mati, dan Dia mahu sahabat-sahabat-Nya hidup kekal juga. Kehendak Tuhan bagi orang yang mencari-Nya disingkapkan menerusi kata-kata ini: “Semoga mereka menikmati kehidupan buat selama-lamanya!”​—Mazmur 22:26.

Tanggapan yang Salah Mengenai Kehidupan Kekal

 Tanggapan yang salah: Kehidupan kekal akan tercapai melalui usaha manusia.

 Kebenaran: Walaupun sesetengah kemajuan dalam bidang perubatan memberi harapan bahawa jangka hayat manusia dapat dipanjangkan, usaha sebegini tidak akan membawa kehidupan kekal. Hanya Tuhan sahaja yang dapat memberikan kita kehidupan kekal, kerana Dialah satu-satunya “sumber segala kehidupan.” (Mazmur 36:9) Tuhan berjanji untuk “melenyapkan kematian buat selama-lamanya” dan mengurniakan kehidupan kekal kepada semua orang yang setia.​—Yesaya 25:8; 1 Yohanes 2:​25.

 Tanggapan yang salah: Hanya orang daripada bangsa tertentu akan hidup selama-lamanya.

 Kebenaran: Tuhan tidak berat sebelah. Sebaliknya, “orang daripada bangsa apa pun yang takut kepada-Nya dan berbuat benar diperkenankan-Nya.” (Kisah 10:34, 35) Manusia dari semua bangsa dan budaya dapat hidup selama-lamanya jika mereka mentaati Tuhan.

 Tanggapan yang salah: Hidup selama-lamanya membosankan.

 Kebenaran: Kurniaan kehidupan kekal ini berasal daripada Tuhan yang mengasihi kita dan ingin kita hidup bahagia. (Yakobus 1:​17; 1 Yohanes 4:8) Dia tahu bahawa kita akan bersukacita dengan melakukan kerja yang bermakna. (Pengkhutbah 3:​12) Tuhan berjanji bahawa orang yang hidup selama-lamanya di bumi akan menikmati kerja yang bermakna dan yang memuaskan. Hasil kerja mereka akan membawa manfaat kepada diri mereka dan juga orang yang mereka sayangi.​—Yesaya 65:22, 23.

 Selain itu, orang yang hidup selama-lamanya akan terus mempelajari perkara-perkara yang baharu tentang Pencipta mereka dan hasil ciptaan-Nya yang berlimpah. Tuhan menciptakan manusia dengan keinginan untuk hidup selama-lamanya dan mempelajari tentang-Nya. Meskipun demikian, mereka “tidak dapat memahami perbuatan Tuhan yang benar dengan sepenuhnya.” (Pengkhutbah 3:​10, 11) Oleh itu, orang yang hidup selama-lamanya akan sentiasa mempelajari dan melakukan perkara-perkara yang menarik.

a Saksi-Saksi Yehuwa menawarkan program pembelajaran Bible yang percuma. Tontonlah video Apakah yang Berlaku semasa Pembelajaran Bible? untuk maklumat lanjut.