Lompat ke kandungan

AYAT BIBLE DIJELASKAN

Yesaya 26:3—“Engkau Akan Menjaga Orang yang Tekadnya Teguh dengan Damai yang Sempurna”

Yesaya 26:3—“Engkau Akan Menjaga Orang yang Tekadnya Teguh dengan Damai yang Sempurna”

 “Engkau melindungi orang yang bergantung sepenuhnya pada-Mu; Engkau mengurniai mereka kedamaian yang berkekalan, kerana mereka yakin kepada-Mu.”—Yesaya 26:3, Terjemahan Dunia Baharu.

 “Engkau akan menjaga orang yang tekadnya teguh dengan damai yang sempurna kerana dia percaya kepada-Mu.”—Yesaya 26:3, Alkitab Versi Borneo.

Maksud Yesaya 26:3

 Melalui kata-kata yang menggalakkan ini, Nabi Yesaya menyatakan bahawa Tuhan akan melindungi mereka yang percaya sepenuhnya kepada-Nya. Tuhan melindungi mereka dengan membantu mereka berasa selamat dan tenang.

 “Engkau melindungi orang yang bergantung sepenuhnya pada-Mu.” Ayat ini menggambarkan orang yang bertekad untuk sentiasa berharap kepada Tuhan Yehuwa. a Orang sebegini sedar bahawa mereka perlu bergantung pada Tuhan. Contohnya, semasa mereka perlu membuat keputusan yang penting, mereka tidak bergantung pada kebijaksanaan sendiri. Sebaliknya, tidak kira apa sahaja yang mereka lakukan, mereka mengambil kira pandangan Tuhan. (Amsal 3:5, 6) Untuk mengetahui pandangan Tuhan, mereka membaca Firman-Nya dengan teliti dan merenungkan apa yang mereka baca. (Mazmur 1:2; 119:15) Semasa menghadapi masalah, mereka berdoa dengan bersungguh-sungguh untuk meminta bantuan Yehuwa. (Mazmur 37:5; 55:22) Dengan melakukan hal-hal ini, mereka menunjukkan bahawa mereka bergantung pada Tuhan. Hasilnya, Tuhan memberi mereka kedamaian.

 “Engkau mengurniai mereka kedamaian yang berkekalan.” Dalam teks bahasa Ibrani asal, perkataan “kedamaian” muncul dua kali sebagai penekanan. Perkataan ini juga boleh diterjemahkan sebagai “kedamaian yang berkekalan” atau “kedamaian yang sempurna.” Dalam erti kata lain, orang yang percaya sepenuhnya kepada Yehuwa menikmati kedamaian, atau ketenangan, dalam semua keadaan. (Mazmur 112:7; 119:165) Mereka menikmati kedamaian ini kerana mempunyai hubungan yang rapat dengan Yehuwa dan berusaha untuk melakukan apa yang betul di mata-Nya.—Amsal 3:32; Yesaya 48:18.

 Ungkapan “kedamaian yang berkekalan” tidak bermaksud Tuhan akan menghilangkan semua masalah dan kerisauan penyembah-Nya. (1 Samuel 1:6, 7; Ayub 6:1, 2; Mazmur 31:9) Sebaliknya, Dia membantu mereka menghadapi cubaan dengan tabah. (Yesaya 41:10, 13) Dia menjawab doa mereka dan memberi mereka kebijaksanaan, kekuatan, dan kelegaan. (Mazmur 94:19; Amsal 2:6; Yesaya 40:29) Dengan itu, mereka dapat tetap tenang bahkan semasa menghadapi situasi yang susah.—Filipi 4:6, 7.

Konteks Yesaya 26:3

 Nabi Yesaya hidup pada abad kelapan SM. Banyak penduduk Yehuda pada zamannya dan selepas itu tidak menyembah Yehuwa dengan setia. Akibatnya, Yehuwa membiarkan kota Yerusalem, iaitu ibu kota mereka, dimusnahkan pada tahun 607 SM.

 Namun, lebih daripada seratus tahun sebelum kemusnahan Yerusalem, Yesaya diilhami untuk menulis Yesaya bab 26 yang mengandungi lagu pujian kepada Yehuwa. (Yesaya 26:1-6) Dalam lagu itu, Yesaya menyebut tentang masanya sebuah kota di Yehuda, yang nampaknya merujuk kepada Yerusalem, akan dipulihkan.

 Kerja membina semula Yerusalem telah bermula pada tahun 537 SM. Setelah kota itu siap dibina, orang Yahudi yang kembali ke situ dapat berasa selamat dan berkata, “Kota kita kuat.” (Yesaya 26:1) Namun, yang menjadikan kota itu kuat bukanlah temboknya yang kukuh, tetapi berkat dan perlindungan daripada Yehuwa.—Yesaya 26:2.

 Begitu juga, orang yang percaya sepenuhnya kepada Yehuwa hari ini dapat berasa selamat kerana mereka menjadikan-Nya “Gunung Batu,” atau tempat perlindungan mereka.—Yesaya 26:4.

 Tontonlah video pendek ini untuk mendapatkan gambaran keseluruhan tentang buku Yesaya.

a Yehuwa ialah nama peribadi Tuhan. (Mazmur 83:18) Lihat rencana “Siapakah Yehuwa?