Lompat ke kandungan

AYAT BIBLE DIJELASKAN

Amsal 16:3—“Serahkanlah Segala Usahamu kepada TUHAN”

Amsal 16:3—“Serahkanlah Segala Usahamu kepada TUHAN”

 “Serahkanlah segala usahamu kepada Yehuwa, maka rancanganmu akan berjaya.”—Amsal 16:3, Terjemahan Dunia Baharu.

 “Serahkanlah segala usahamu kepada TUHAN, maka rancanganmu akan berjaya.”—Amsal 16:3, Alkitab Berita Baik.

Maksud Amsal 16:3

 Amsal ini meyakinkan para penyembah Tuhan bahawa rancangan mereka akan berjaya jika mereka bergantung pada-Nya dengan mencari dan mengikut bimbingan-Nya.

 “Serahkanlah segala usahamu kepada Yehuwa.” Sebelum membuat keputusan, orang yang menyembah Yehuwa a akan meminta bimbingan-Nya. (Yakobus 1:5) Mengapa? Manusia tidak dapat mengawal segala sesuatu yang terjadi dalam kehidupan mereka. (Pengkhutbah 9:11; Yakobus 4:13-15) Selain itu, mereka mungkin tidak cukup bijaksana untuk melaksanakan rancangan mereka. Oleh itu, ramai orang menyerahkan rancangan mereka kepada Tuhan. Mereka berbuat demikian dengan berdoa meminta bimbingan-Nya dan bertindak selaras dengan kehendak-Nya yang dinyatakan dalam Bible.—Amsal 3:5, 6; 2 Timotius 3:16, 17.

 Ungkapan “serahkanlah segala usahamu kepada TUHAN b” secara harfiah berbunyi “pindahkanlah kerjamu kepada TUHAN.” Menurut satu rujukan, ungkapan ini menggambarkan “seorang lelaki yang memindahkan beban yang dipikulnya kepada seorang yang lebih kuat, yang mampu menanggungnya.” Orang yang bergantung pada Tuhan dengan rendah hati dapat yakin bahawa Dia akan membantu dan menjaga mereka.—Mazmur 37:5; 55:22.

 Ungkapan “segala usahamu” tidak bermaksud Tuhan akan menyetujui atau memberkati apa sahaja rancangan kita. Untuk mendapat berkat Yehuwa, seseorang perlu memastikan agar rancangannya memenuhi standard Tuhan dan selaras dengan kehendak-Nya. (Mazmur 127:1; 1 Yohanes 5:14) Jika dia melanggar perintah Tuhan, dia tidak akan diberkati. Sebaliknya, Tuhan akan “merosakkan rancangan orang jahat.” (Mazmur 146:9) Namun, jika seseorang taat kepada Tuhan dan menghormati standard-Nya yang dinyatakan dalam Bible, Tuhan akan menyokong rancangannya.—Mazmur 37:23.

 “Maka rancanganmu akan berjaya.” Dalam sesetengah terjemahan Bible, ungkapan ini berbunyi, “Rancanganmu akan terlaksana.” Dalam Kitab Ibrani, yang sering dikenali sebagai Perjanjian Lama, perkataan Ibrani yang diterjemahkan sebagai “terlaksana” membawa maksud meletakkan asas, dan sering digunakan untuk menggambarkan ciptaan Tuhan yang stabil dan kekal. (Amsal 3:19; Mazmur 104:5) Maksudnya, jika orang yang berbuat benar merancang sesuatu, Tuhan akan membantu menyediakan asas yang kukuh bagi rancangan mereka, supaya hidup mereka lebih aman, stabil, dan bahagia.—Mazmur 20:4; Amsal 12:3.

Konteks Amsal 16:3

 Amsal bab 16 ditulis oleh Raja Salomo, dan kebanyakan buku Amsal juga ditulis oleh Salomo. Dia dapat mengarang beribu-ribu peribahasa dan kata-kata hikmat kerana kebijaksanaan daripada Tuhan.—1 Raja-Raja 4:29, 32; 10:23, 24.

 Di permulaan bab 16, Salomo memuji Tuhan atas kebijaksanaan-Nya dan menyatakan bahawa Tuhan membenci orang yang sombong. (Amsal 16:1-5) Kemudian, bab itu membantu pembaca memahami satu kebenaran penting yang ditegaskan berulang kali dalam buku Amsal, iaitu: Manusia dapat menjadi bijak dan berjaya hanya jika mereka bersikap rendah hati dan hidup mengikut bimbingan Tuhan. (Amsal 16:3, 6-8, 18-23) Kebenaran yang penting ini juga sering ditonjolkan dalam buku Bible yang lain.—Mazmur 1:1-3; Yesaya 26:3; Yeremia 17:7, 8; 1 Yohanes 3:22.

 Tontonlah video pendek ini untuk mendapatkan gambaran keseluruhan tentang buku Amsal.

a Yehuwa ialah nama peribadi Tuhan. (Mazmur 83:18) Lihat rencana “Siapakah Yehuwa?

b Nota kaki bagi perkataan “TUHAN” di Kejadian 2:4, Alkitab Berita Baik, menyatakan bahawa dalam terjemahan itu, perkataan “TUHAN” telah digunakan untuk menggantikan nama Yehuwa. Banyak terjemahan Bible melakukan hal yang sama, tetapi perbuatan ini dapat mengelirukan pembaca Bible. Untuk memahami sebabnya, bacalah rencana dalam siri ini “Yesaya 42:8—‘Akulah TUHAN.’