Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Bantuan untuk Mangsa Penderaan dan Keganasan Rumah Tangga

Bantuan untuk Mangsa Penderaan dan Keganasan Rumah Tangga

 “Di serata dunia, masalah keganasan terhadap wanita sangat berleluasa. Masalah ini harus ditangani dengan segera,” kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Menurut WHO, sekitar 30 peratus “wanita telah didera secara fizikal dan/atau seksual oleh pasangan mereka.” Menurut anggaran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, secara purata dalam setahun, 137 wanita dibunuh setiap hari oleh pasangan atau ahli keluarga mereka. a

 Apabila melihat statistik bagi kes penderaan, memang jelas bahawa masalah ini amatlah membimbangkan. Namun, angka-angka ini tidak dapat menggambarkan keperitan yang dilalui mangsa dari segi emosi dan fizikal.

 Adakah anda juga seorang mangsa dera? Atau adakah anda mengenali seseorang yang didera? Jika ya, nasihat Bible berikut dapat membantu anda.

  Anda tidak bersalah

  Bantuan tersedia

  Anda tidak keseorangan

  Penderaan akan berakhir

  Cara untuk membantu mangsa dera

 Anda tidak bersalah

 Nasihat Bible: “Kita bertanggungjawab kepada Tuhan atas perbuatan kita masing-masing.”—Roma 14:12.

 Ingatlah hal ini: Si pendera harus bertanggungjawab atas perbuatannya.

 Pasangan anda tidak patut menyalahkan anda atas perbuatannya. Para isteri harus dikasihi, bukan didera.—Kolose 3:19.

 Ada kalanya, si pendera bertindak sedemikian kerana latar belakangnya, masalah mental dan emosi, atau penyalahgunaan alkohol. Namun, dia tetap bertanggungjawab kepada Tuhan atas cara dia melayan anda. Dia juga harus mengambil langkah untuk mengubah sikap dan perbuatannya.

 Bantuan tersedia

 Nasihat Bible: “Rancangan berjaya jika disertai banyak penasihat.”—Amsal 15:22.

 Ingatlah hal ini: Jika keselamatan anda terancam dan anda tidak tahu apa yang harus dilakukan, mintalah bantuan orang lain.

 Mengapakah ini penting? Masalah penderaan rumah tangga merupakan masalah yang sangat rumit. Sebelum mengambil sebarang tindakan, anda mungkin perlu mempertimbangkan beberapa faktor seperti:

  •   Keselamatan diri

  •   Kesejahteraan anak-anak anda

  •   Keadaan kewangan anda

  •   Kasih anda terhadap pasangan anda

  •   Keinginan untuk membaiki hubungan dengan pasangan jika dia berubah

 Barangkali anda berasa bingung dan tidak tahu apa yang harus dilakukan. Siapakah yang dapat membantu anda?

 Seorang kawan atau ahli keluarga yang dapat dipercayai dapat memberikan bantuan praktikal dan sokongan emosi. Apabila anda meluahkan perasaan anda kepada seseorang yang mengasihi anda, hal itu dapat meringankan beban anda.

 Talian bantuan mangsa dera dapat memberikan bantuan segera. Mereka dapat membantu anda mengambil langkah untuk melindungi diri. Jika pasangan anda mengakui kesilapannya dan ingin berubah, talian bantuan sedemikian dapat memberinya cadangan yang sesuai.

 Bantuan kecemasan lain dapat memberikan bantuan segera jika nyawa anda terancam. Bantuan sedemikian merangkumi para doktor, jururawat, atau ahli perubatan lain.

 Anda tidak keseorangan

 Nasihat Bible: “Yehuwa b dekat dengan orang yang remuk hati; Dia menyelamatkan orang yang tawar hati.”—Mazmur 34:18.

 Ingatlah hal ini: Tuhan berjanji untuk membantu anda.

 Yehuwa sangat mengambil berat terhadap anda. (1 Petrus 5:7) Dia tahu perasaan dan fikiran anda yang terpendam. Dia dapat melegakan anda melalui Firman-Nya, Bible. Dia juga menjemput anda untuk berdoa kepada-Nya. Semasa berdoa, mohonlah kebijaksanaan dan kekuatan untuk menangani situasi anda.—Yesaya 41:10.

 Penderaan akan berakhir

 Nasihat Bible: “Setiap orang akan tinggal di bawah pokok anggur dan di bawah pokok ara masing-masing. Tidak ada sesiapa yang akan membuat mereka berasa takut.”—Mikha 4:4, nota kaki.

 Ingatlah hal ini: Bible menjanjikan bahawa rumah tangga setiap orang akan menjadi tempat naungan yang aman dan selamat.

 Hanya Tuhan Yehuwa yang dapat melenyapkan semua masalah kita buat selama-lamanya. Bible berjanji, “Dia akan menyapu semua air mata mereka, dan kematian tidak akan ada lagi. Ratapan, tangisan, dan kesakitan pun tidak akan ada lagi.” (Wahyu 21:4) Pada waktu itu, bahkan kenangan pahit akan digantikan dengan kenangan manis. (Yesaya 65:17) Inilah masa depan yang menakjubkan yang dijanjikan dalam Bible.

a Mangsa dera dalam rencana ini merujuk kepada para wanita, tetapi kebanyakan maklumatnya juga sesuai bagi para lelaki.

b Yehuwa ialah nama Tuhan seperti yang dinyatakan dalam Bible.