Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Pertanyaan Pembaca

Pertanyaan Pembaca

Siapakah “wanita” yang disebut di Yesaya 60:​1, dan bagaimanakah dia ‘bangkit’ dan ‘bersinar’?

Yesaya 60:1 kata, “Hai wanita, bangkitlah dan bersinarlah, kerana cahayamu sudah datang! Kemuliaan Aku, Yehuwa, menyinarimu.” Konteks ayat ini menunjukkan bahawa “wanita” itu ialah Sion, atau Yerusalem, iaitu ibu kota negeri Yehuda. a (Yes. 60:14; 62:​1, 2) Kota itu melambangkan seluruh bangsa Israel. Kata-kata Yesaya menimbulkan dua soalan berikut: Pertama, bilakah dan bagaimanakah Yerusalem ‘bangkit’ dan memancarkan cahaya rohani? Kedua, adakah nubuat Yesaya menjadi kenyataan dalam skala yang lebih besar pada zaman kita?

Bilakah dan bagaimanakah Yerusalem ‘bangkit’ dan memancarkan cahaya rohani? Semasa orang Yahudi menjadi tawanan di Babilon selama 70 tahun, Yerusalem dan Rumah Tuhan berada dalam keadaan terbiar. Namun selepas Babilon ditawan oleh Media dan Persia, orang Israel di seluruh Empayar Babilon dibenarkan kembali ke tanah air mereka dan memulihkan ibadat sejati. (Ezr. 1:​1-4) Itulah yang berlaku bermula tahun 537 SM. Orang Israel daripada semua suku telah kembali ke Yerusalem, mempersembahkan korban kepada Yehuwa, menyambut perayaan-perayaan, dan membina semula Rumah Tuhan. (Ezr. 3:​1-4, 7-11; 6:​16-22; Yes. 60:4) Cahaya kemuliaan Yehuwa mula bersinar lagi ke atas Yerusalem, iaitu umat-Nya, dan umat-Nya telah menyinari bangsa-bangsa lain yang berada dalam kegelapan rohani.

Namun, nubuat Yesaya hanya menjadi kenyataan dalam skala yang kecil pada masa itu. Kebanyakan orang Israel masih tidak mematuhi Tuhan. (Neh. 13:27; Mal. 1:​6-8; 2:​13, 14; Mat. 15:​7-9) Ratusan tahun kemudian, mereka bahkan menolak Yesus Kristus sebagai Mesias. (Mat. 27:​1, 2) Pada tahun 70 M, Yerusalem dan Rumah Tuhan dibinasakan sekali lagi.

Memandangkan Yehuwa telah menubuatkan bahawa hal ini akan berlaku, jelaslah bahawa hanya sebahagian daripada nubuat di Yesaya bab 60 yang akan menjadi kenyataan di Yerusalem di bumi.​—Dan. 9:​24-27.

Adakah nubuat Yesaya menjadi kenyataan dalam skala yang lebih besar pada zaman kita? Ya, tetapi kepada seorang lagi wanita simbolik, iaitu “Yerusalem di syurga.” Rasul Paulus menulis tentang wanita itu, “Dia ialah ibu kita.” (Gal. 4:26) Yerusalem itu ialah bahagian organisasi Tuhan di syurga, yang terdiri daripada makhluk-makhluk roh yang setia. Anaknya ialah Yesus dan 144,000 orang Kristian terurap, yang memiliki harapan untuk tinggal di syurga seperti Paulus. Orang Kristian terurap membentuk satu “bangsa yang suci,” iaitu “Israel milik Tuhan.”​—1 Ptr. 2:9; Gal. 6:16.

Bagaimanakah Yerusalem yang di syurga ‘bangkit’ dan ‘bersinar’? Melalui anak-anaknya yang terurap di bumi. Bandingkan apa yang berlaku kepada mereka dengan nubuat di Yesaya bab 60.

Orang Kristian terurap perlu ‘bangkit’ kerana mereka sudah jatuh ke dalam kegelapan rohani. Hal ini berlaku pada abad kedua Masihi semasa pengaruh murtad tersebar luas seperti lalang. (Mat. 13:​37-43) Sejak itu, mereka ditawan oleh Babilon Besar, iaitu empayar agama palsu sedunia. Mereka terus menjadi tawanan sehingga “penghujung sistem dunia,” yang bermula pada tahun 1914. (Mat. 13:​39, 40) Tidak lama kemudian, mereka dibebaskan pada tahun 1919 dan segera memancarkan cahaya rohani melalui kerja penyebaran. b Hasilnya, orang daripada pelbagai bangsa telah disinari cahaya rohani, termasuk mereka yang bakal menganggotai Israel milik Tuhan, iaitu “raja-raja” yang disebut di Yesaya 60:3.​—Why. 5:​9, 10.

Pada masa depan, orang Kristian terurap akan bersinar dengan lebih terang lagi. Bagaimana? Selepas mereka mati, mereka akan naik ke syurga dan menjadi sebahagian daripada “Yerusalem Baharu,” iaitu pengantin Kristus yang terdiri daripada 144,000 raja dan imam.​—Why. 14:1; 21:​1, 2, 24; 22:​3-5.

Yerusalem Baharu akan memainkan peranan penting dalam nubuat di Yesaya 60:1. (Bandingkan Yesaya 60:​1, 3, 5, 11, 19, 20 dengan Wahyu 21:​2, 9-11, 22-26.) Sepertimana Yerusalem di bumi ialah pusat pemerintahan Israel kuno, Yerusalem Baharu dan Kristus akan menjadi pusat pemerintahan bagi dunia baharu. Bagaimanakah Yerusalem Baharu “turun dari syurga daripada Tuhan”? Dengan membantu umat manusia di bumi. Yerusalem Baharu “akan menerangi jalan yang ditempuh” oleh semua bangsa yang taat dan bahkan membebaskan mereka daripada dosa dan kematian. (Why. 21:​3, 4, 24) Akhirnya, semua perkara akan dipulihkan, seperti yang dinubuatkan oleh Yesaya dan nabi-nabi lain. (Kis. 3:21) Pemulihan itu bermula semasa Kristus menjadi Raja dan akan berakhir pada hujung Pemerintahan Seribu Tahun Kristus.

a Dalam Terjemahan Dunia Baharu, Yesaya 60:1 menggunakan istilah “wanita” dan bukannya “Sion” atau “Yerusalem” seperti yang dilakukan dalam terjemahan lain, kerana dalam bahasa Ibrani asal, kata kerja “bangkitlah” dan “bersinarlah,” serta kata ganti nama diri “mu,” dikhaskan untuk wanita. Maka, perkataan “wanita” digunakan untuk membantu pembaca faham bahawa ayat itu ditujukan kepada seorang wanita simbolik.

b Pemulihan rohani yang berlaku pada tahun 1919 juga digambarkan di Yehezkiel 37:​1-14 dan Wahyu 11:​7-12. Nubuat Yehezkiel menggambarkan apa yang berlaku kepada semua orang Kristian terurap. Mereka pulih secara rohani selepas menjadi tawanan untuk masa yang sangat lama. Nubuat di Wahyu pula menggambarkan apa yang berlaku kepada sekumpulan kecil saudara terurap yang mengambil pimpinan. Mereka dipenjarakan secara tidak adil dan menjadi tidak aktif. Namun setelah dikurung untuk masa yang pendek, mereka dibebaskan dan seolah-olah bangkit semula. Pada tahun 1919, mereka dilantik sebagai “hamba yang setia dan bijaksana.”​—Mat. 24:45; lihat Ibadat Sejati kepada Yehuwa Akhirnya Dipulihkan!, ms. 118.