Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Cara untuk Menyesuaikan Diri dalam Sidang yang Baharu

Cara untuk Menyesuaikan Diri dalam Sidang yang Baharu

JIKA anda pernah berpindah sidang, anda mungkin setuju dengan Jean-Charles, yang berkata, “Bukan senang untuk membiasakan diri dengan sidang baru dan pada masa yang sama memastikan semua ahli keluarga tetap sihat secara rohani.” Selain perlu mencari kerja, tempat tinggal, atau sekolah, orang yang berpindah juga mungkin perlu membiasakan diri dengan cuaca, budaya, dan kawasan penyebaran yang berbeza.

Nicolas dan Céline menghadapi cabaran lain. Pejabat cawangan Perancis telah menugaskan mereka ke sidang yang baharu. Mereka berkata, “Pada mulanya, kami sangat gembira. Tetapi selepas itu kami mula merindui kawan-kawan kami kerana kami belum cukup rapat dengan saudara saudari di sidang baru.” a Jadi, bagaimanakah anda dapat menyesuaikan diri dalam sidang baharu? Bagaimanakah orang lain dapat membantu? Bagaimanakah anda dapat memberikan dan menerima galakan di sidang baharu?

EMPAT PRINSIP YANG BERGUNA

Bergantunglah pada Yehuwa

1. Bergantunglah pada Yehuwa. (Mzm. 37:5) Setelah berada dalam sebuah sidang selama 20 tahun, Kazumi, yang tinggal di Jepun, berpindah sidang kerana suaminya perlu bekerja di tempat baharu. Bagaimanakah dia ‘menyerahkan hidupnya kepada Yehuwa’? Dia berkata, “Saya curahkan segala isi hati saya kepada Yehuwa semasa saya rasa panik, keseorangan, dan khuatir. Setiap kali saya berbuat demikian, saya mendapat kekuatan yang diperlukan.”

Bagaimanakah anda dapat bergantung pada Yehuwa dengan lebih sepenuhnya? Sebagaimana tanaman memerlukan air dan zat dalam tanah untuk bertumbuh, iman kita perlu dipelihara agar dapat bertambah kukuh. Nicolas, yang disebut tadi, merenungkan watak Bible yang membuat banyak pengorbanan untuk melakukan kehendak Tuhan seperti Abraham, Yesus, dan Paulus. Hasilnya, dia lebih yakin akan sokongan Yehuwa. Dengan melakukan pembelajaran peribadi secara tetap, anda bukan sahaja dapat menghadapi apa-apa perubahan dalam kehidupan, tetapi juga dapat memberikan galakan kepada mereka di sidang baharu.

Janganlah membuat perbandingan

2. Janganlah membuat perbandingan. (Pkh. 7:10) Saudara Jules menghadapi perbezaan budaya yang besar semasa berpindah dari Benin ke Amerika Syarikat. Dia berkata, “Saya fikir saya perlu menceritakan kisah hidup saya kepada setiap orang yang saya temui.” Disebabkan perbezaan ini, dia mula mengasingkan diri daripada sidang. Tetapi pandangannya berubah selepas dia lebih mengenali saudara saudari di sidang baharunya. Dia menyambung, “Saya percaya, tidak kira di mana kita tinggal, semua manusia sama sahaja. Bezanya ialah cara kita berkomunikasi. Jadi adalah penting untuk terima orang seadanya.” Maka, janganlah membandingkan sidang baharu anda dengan sidang lama anda. Seorang perintis yang bernama Anne-Lise berkata, “Saya berpindah untuk belajar hal yang baru, bukannya untuk merindui hal yang lama.”

Seorang penatua juga tidak patut membandingkan sidang baharunya dengan sidang lamanya. Ingatlah, cara yang berbeza tidak semestinya cara yang salah. Jadi adalah bijak untuk mengenali situasi tempatan terlebih dahulu sebelum memberikan cadangan. (Pkh. 3:​1, 7b) Daripada memaksa saudara saudari untuk mengikut pandangan anda, berusahalah untuk menjadi teladan yang baik.—2 Kor. 1:24.

Bergiatlah dalam aktiviti sidang

3. Bergiatlah dalam aktiviti sidang. (Flp. 1:27) Berpindah memang memakan banyak masa dan tenaga. Namun sebaik sahaja anda tiba di tempat baharu, berusahalah untuk menghadiri perjumpaan secara bersemuka. Hal ini penting kerana jika saudara saudari di sidang baharu anda jarang atau tidak pernah melihat anda, mereka pun susah untuk membantu anda. Lucinda dan dua orang anak perempuannya telah berpindah ke sebuah bandar yang besar di Afrika Selatan. Dia berkata, “Saya dinasihati untuk bergiat sepenuhnya dalam aktiviti sidang, seperti menginjil bersama orang lain dan memberikan komen di perjumpaan. Kami juga memberitahu para penatua bahawa rumah kami boleh digunakan untuk perjumpaan sebelum kerja penyebaran.”

Dengan bergiat dalam aktiviti rohani bersama saudara saudari di sidang baharu, anda akan menguatkan mereka dan diri sendiri. Anne-Lise, yang disebut sebelum ini, digalakkan oleh para penatuanya untuk menginjil bersama semua orang di sidang. Hasilnya? Anne-Lise berkata, “Saya mula sedar bahawa ini ialah cara terbaik untuk membiasakan diri di sidang baharu.” Selain itu, tawarkanlah diri untuk mengikut aktiviti seperti membersihkan dan menyelenggarakan Dewan Perjumpaan. Hal ini akan menunjukkan bahawa anda menganggap sidang baharu ini sebagai sidang anda. Semakin kerap anda terlibat dalam aktiviti sidang, semakin cepat saudara saudari akan berasa selesa dengan anda, dan anda akan rasa mereka ialah keluarga rohani baharu anda.

Binalah persahabatan yang baharu

4. Binalah persahabatan yang baharu. (2 Kor. 6:​11-13) Menunjukkan keprihatinan ialah jambatan kepada persahabatan yang baharu. Maka, luangkanlah masa sebelum dan selepas perjumpaan untuk mengenali saudara saudari. Cubalah ingat nama mereka. Jika anda ingat nama orang dan bersikap ramah, mereka akan menyukai anda dan ingin bersahabat dengan anda.

Daripada risau jika orang akan menyukai anda atau tidak, berilah saudara saudari peluang untuk mengenali diri anda yang sebenar. Cubalah apa yang dilakukan oleh Lucinda. Dia berkata, “Sekarang, kami ada kawan yang rapat kerana kami mengambil inisiatif untuk menjemput orang lain ke rumah kami.”

“SAMBUTLAH SATU SAMA LAIN”

Sesetengah orang takut untuk memasuki Dewan Perjumpaan yang penuh dengan orang yang tidak dikenali. Jadi, bagaimanakah anda dapat membuat orang yang baru pindah ke sidang anda untuk berasa selesa? Rasul Paulus berkata, “Sambutlah satu sama lain sebagaimana Kristus telah menyambut kamu.” (Rm. 15:7) Dengan meniru teladan Kristus, para penatua dapat membuat orang baharu berasa dialu-alukan. (Lihat kotak “ Cara Memastikan Perpindahan Anda Berjalan Lancar.”) Namun, semua orang dalam sidang, termasuk kanak-kanak, juga boleh menyambut orang baharu dengan mesra.

Kita bukan sahaja mahu menyambut orang baharu dengan mesra, tetapi juga ingin memberi mereka bantuan praktikal. Seorang saudari telah meluangkan masa untuk membawa seorang lagi saudari yang baru berpindah ke sidangnya untuk berjalan-jalan di bandar dan mengajarnya cara menggunakan pengangkutan awam. Saudari baharu itu sangat tersentuh dan berasa lebih mudah untuk menyesuaikan diri di tempat yang baharu.

PELUANG UNTUK MEMBUAT KEMAJUAN ROHANI

Sepertimana seekor belalang perlu menanggalkan kulitnya beberapa kali sebelum dapat terbang, anda juga perlu “menanggalkan” rasa takut semasa berpindah ke sidang baharu. Dengan itu, anda dapat “mengembangkan sayap anda” dalam khidmat kepada Yehuwa. Nicolas dan Céline berkata, “Berpindah ialah latihan yang bagus. Kami perlu belajar untuk memupuk sifat-sifat yang baru supaya dapat membiasakan diri dengan orang dan persekitaran yang berbeza.” Jean-Charles, yang disebut di awal rencana, menceritakan berkat yang diraih keluarganya. Dia berkata, “Anak-anak kami maju secara rohani di sidang baru. Beberapa bulan selepas berpindah, anak perempuan kami mula melakukan tugasan dalam perjumpaan pertengahan minggu, dan anak lelaki kami pula telah menjadi penyiar yang belum dibaptis.”

Bagaimana pula jika anda tidak dapat berpindah ke tempat yang memerlukan lebih banyak bantuan? Cubalah cadangan-cadangan dalam rencana ini di sidang anda sekarang. Bergantunglah pada Yehuwa, dan pada masa yang sama, bergiatlah dalam aktiviti di sidang dengan membuat aturan untuk menginjil bersama saudara saudari lain. Cubalah membina persahabatan yang baharu dan menguatkan persahabatan yang sedia ada. Selain itu, tawarkanlah bantuan praktikal kepada orang baharu atau saudara saudari lain. Ingatlah, kasih ialah tanda pengenal orang Kristian sejati. Maka dengan menunjukkan kasih, anda dapat menguatkan kerohanian anda. (Yoh. 13:35) Yakinlah bahawa “korban-korban sebegitu menyenangkan hati Tuhan.”​—Ibr. 13:16.

Meskipun berpindah sidang memang mencabar, ramai orang Kristian telah berjaya meraih sukacita dalam sidang baharu. Anda juga dapat melakukannya! Anne-Lise berkata, “Saya belajar untuk membuka hati lebar-lebar.” Kazumi pula berkata bahawa selepas berpindah, dia “merasai sokongan Yehuwa dalam cara yang luar biasa.” Bagaimana pula dengan Jules? Dia berkata, “Setelah mendapat sahabat, saya rasa sidang adalah seperti keluarga saya. Sekarang, saya begitu rapat dengan sidang baharu saya dan tidak mahu meninggalkannya.”

a Untuk nasihat tentang cara mengatasi rasa rindu akan kampung halaman, lihat rencana yang bermula pada muka surat 28 dalam Menara Pengawal bahasa Indonesia, terbitan 15 Mei 1994.