Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Bersama isteri saya, Tabitha, semasa kesaksian awam

BIBLE MENGUBAH HIDUP

Bagi Saya, Tuhan Tidak Wujud

Bagi Saya, Tuhan Tidak Wujud
  • TAHUN LAHIR: 1974

  • NEGARA ASAL: REPUBLIK DEMOKRATIK JERMAN

  • LATAR BELAKANG: ATEIS

KISAH SILAM SAYA

Saya dilahirkan di sebuah kampung di Sachsen, dalam kawasan yang dahulunya dikenali sebagai Republik Demokratik Jerman (RDJ). Saya membesar dalam keluarga yang penyayang, dan ibu bapa saya mengajar saya nilai moral yang baik. RDJ merupakan negara Komunis, maka kebanyakan penduduk Sachsen tidak mementingkan agama. Bagi saya, Tuhan tidak wujud. Lapan belas tahun pertama kehidupan saya dibentuk oleh dua fahaman: Ateisme dan Komunisme.

Saya suka fahaman Komunisme yang menganggap semua orang sama rata. Saya juga percaya bahawa semua harta harus diagihkan dengan sekata, supaya tiada orang yang akan menjadi terlampau kaya atau miskin. Oleh itu, saya sibuk menyertai kegiatan dalam pertubuhan Komunis untuk orang muda. Semasa berumur 14 tahun, saya bekerja keras dalam sebuah projek kitar semula dan diberi anugerah penghargaan daripada pihak berkuasa pekan Aue. Pada usia itu, saya sudah kenal beberapa ahli politik terkemuka di RDJ. Saya berasa bahawa hala tuju saya akan membawa masa depan yang cerah.

Namun, dunia saya tiba-tiba hancur berantakan. Pada tahun 1989, Tembok Berlin roboh ekoran kejatuhan negara-negara blok Komunis di Eropah Timur. Banyak lagi kejutan menyusul. Saya mendapati bahawa kerajaan RDJ juga tidak adil. Contohnya, orang yang tidak menyokong Komunisme dilayan sebagai warganegara bertaraf rendah. Bukankah Komunis selalu percaya bahawa semua orang adalah setaraf? Adakah Komunisme hanyalah khayalan? Rasa khuatir menenggelami saya.

Saya mengalihkan tumpuan saya kepada muzik dan kesenian. Saya belajar di akademi muzik dan berpeluang melanjutkan pelajaran. Jadi impian saya adalah untuk menjadi ahli seni dan muzik. Saya membuang nilai-nilai moral yang saya pelajari semasa kecil. Keutamaan saya ialah keseronokan, dan saya ada beberapa teman wanita pada masa yang sama. Tetapi muzik, kesenian, dan gaya hidup bebas tidak mengubati keresahan saya. Lukisan-lukisan saya juga mengisahkan rasa takut. Apakah masa depan saya? Apakah tujuan hidup saya?

Jawapan yang saya temui membuat saya kagum. Pada suatu petang semasa di akademi, saya duduk bersama sekumpulan pelajar yang sedang membincangkan masa depan. Mandy, * salah seorang pelajar yang merupakan Saksi-Saksi Yehuwa, telah memberi saya nasihat yang bagus. “Andreas,” katanya, “jika kamu mahu dapat jawapan kepada soalan tentang kehidupan dan masa depan, bacalah Bible dengan teliti.”

Saya ragu-ragu tetapi saya masih ingin tahu jawapannya. Mandy menyuruh saya membaca Daniel bab 2, dan saya terpegun setelah membacanya. Nubuat di ayat itu menggambarkan turutan kuasa besar yang akan mempengaruhi dunia sampai hari ini. Kemudian Mandy menunjukkan nubuat-nubuat lain tentang masa depan. Akhirnya, soalan-soalan saya terjawab! Tetapi siapakah yang menuliskan semua nubuat itu, dan siapakah yang dapat meramalkan masa depan dengan begitu tepat? Adakah Tuhan sebenarnya wujud?

BAGAIMANA BIBLE MENGUBAH HIDUP SAYA

Mandy memperkenalkan saya kepada Horst dan Angelika, pasangan Saksi-Saksi Yehuwa yang membantu saya memahami Firman Tuhan. Saya mendapati bahawa hanya Saksi-Saksi Yehuwa yang sentiasa menggunakan nama Tuhan, iaitu Yehuwa, dan memberitahu orang lain tentangnya. (Kejadian 2:4, nota kaki; Matius 6:9) Saya belajar bahawa Tuhan Yehuwa memberi manusia harapan untuk hidup selama-lamanya di bumi firdaus. Mazmur 37:9 menyatakan bahawa orang yang berharap kepada Yehuwa akan mewarisi bumi. Saya tertarik kepada harapan ini yang terbuka kepada sesiapa sahaja yang berusaha hidup menurut perintah Tuhan.

Namun saya berasa susah untuk hidup selaras dengan ajaran Bible. Kejayaan dalam bidang muzik dan seni lukis membuat saya sombong, maka saya perlu memupuk sikap rendah hati. Tambahan lagi, saya perlu berusaha keras untuk meninggalkan gaya hidup yang tidak bermoral. Betapa bersyukurnya saya kerana Yehuwa sabar, berbelas kasihan, dan bertimbang rasa terhadap mereka yang berusaha sedaya upaya mengamalkan ajaran Bible!

Lapan belas tahun pertama kehidupan saya dibentuk oleh ateisme dan komunisme, tetapi Bible mengubah kehidupan saya sampai hari ini. Ajaran Bible telah menghilangkan kerisauan saya tentang masa depan dan memberi saya kehidupan yang bermakna. Pada tahun 1993, saya dibaptis sebagai Saksi-Saksi Yehuwa, dan pada tahun 2000, saya mengahwini Tabitha, seorang saudari yang bersemangat. Kami meluangkan banyak masa untuk membantu orang belajar Bible. Banyak orang yang kami temui juga dibesarkan mengikut fahaman ateisme dan komunisme. Saya sangat puas kerana dapat membantu mereka mengenali Yehuwa.

MANFAAT YANG SAYA TERIMA

Semasa saya mula bergaul dengan Saksi-Saksi Yehuwa, ibu bapa saya sangat risau. Tetapi setelah melihat perubahan baik saya, mereka juga mula membaca Bible dan menghadiri perjumpaan Saksi-Saksi Yehuwa.

Saya dan Tabitha menikmati hubungan perkahwinan kami kerana kami berusaha menerapkan nasihat Bible. Contohnya, dengan mengikut nasihat Bible untuk setia kepada satu sama lain, hubungan kami tetap kukuh.​—Ibrani 13:4.

Saya tidak lagi takut akan kehidupan atau masa depan. Kini, saya memiliki keluarga antarabangsa yang terdiri daripada rakan seiman saya. Keluarga ini benar-benar hidup damai dan bersatu, dan semua orang dilayan dengan sama rata. Itulah pegangan yang hendak saya capai seumur hidup saya.

^ per. 12 Nama telah diubah.