Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BIBLE MENGUBAH HIDUP

Saya Dahulunya Panas Baran dan Ganas

Saya Dahulunya Panas Baran dan Ganas
  • TAHUN LAHIR: 1974

  • NEGARA ASAL: MEXICO

  • LATAR BELAKANG: REMAJA YANG GANAS, SAMSENG JALANAN

MASA LALU SAYA:

Saya dilahirkan di Ciudad Mante, Tamaulipas, Mexico. Secara umum, penduduk di situ sangat murah hati dan baik. Sedihnya, kawasan itu sangat berbahaya kerana banyak jenayah.

Saya merupakan anak kedua daripada empat orang anak lelaki. Saya dibaptis di gereja Katolik. Saya juga menyertai koir gereja. Saya ingin menyenangkan Tuhan kerana takut dihukum dan dibakar di api neraka selama-lamanya.

Semasa saya berumur lima tahun, bapa meninggalkan kami. Hal itu membuat saya sedih dan pilu. Saya tidak faham mengapa dia meninggalkan kami sedangkan kami menyayanginya. Ibu sering tiada di rumah kerana terpaksa bekerja untuk menyara kami.

Oleh sebab keadaan keluarga, saya sering ponteng sekolah dan bergaul dengan budak yang lebih tua. Mereka mengajar saya memaki, merokok, mencuri, dan bergaduh. Oleh sebab saya suka membuli, saya belajar tinju, gusti, dan seni mempertahankan diri bahkan cara menggunakan senjata. Saya menjadi remaja yang ganas. Saya sering terlibat dalam kejadian tembak-menembak. Akibatnya, saya tercedera dan berlumuran darah serta dibiarkan terbaring di jalanan. Betapa sedihnya ibu saya apabila dia melihat keadaan saya dan harus menghantar saya ke hospital!

Semasa berumur 16 tahun, seorang kawan saya yang bernama Jorge melawat kami. Dia memberitahu kami bahawa dia ialah seorang Saksi-Saksi Yehuwa dan ingin berkongsi satu mesej yang penting. Dia menjelaskan kepercayaannya dengan menggunakan Bible. Saya tidak pernah membaca Bible dan sangat gembira apabila mengetahui nama Tuhan dan tujuan-Nya. Jorge menawarkan pembelajaran Bible kepada kami dan kami menerimanya.

BAGAIMANA BIBLE MENGUBAH HIDUP SAYA:

Saya berasa sangat lega untuk mempelajari bahawa api neraka bukanlah ajaran Bible. (Mazmur 146:4; Pengkhutbah 9:5) Setelah itu, saya tidak lagi takut dihukum Tuhan. Sebaliknya, saya mula memandang-Nya sebagai Bapa pengasih yang menginginkan apa yang terbaik bagi anak-anak-Nya.

Seraya saya membuat kemajuan rohani, saya sedar bahawa saya perlu mengubah keperibadian saya. Saya perlu rendah hati dan tidak melakukan keganasan. Nasihat di 1 Korintus 15:33 membantu saya: “Pergaulan yang buruk merosakkan akhlak yang baik.” Saya sedar bahawa jika saya ingin mengubah keperibadian saya, saya perlu berhenti bergaul dengan orang yang boleh mempengaruhi saya secara negatif. Maka, saya tidak lagi bergaul dengan kawan lama tetapi bergaul dengan saudara saudari kerana mereka menyelesaikan perselisihan dengan menerapkan prinsip Bible, dan bukannya dengan keganasan.

Satu lagi nasihat Bible yang membantu saya ialah ayat di Roma 12:17-19. Ayat itu berkata, “Janganlah membalas kejahatan dengan kejahatan. . . . Selagi kamu dapat melakukannya, berusahalah sedaya upaya untuk berdamai dengan semua orang. . . . Janganlah membalas dendam . . . kerana ada tertulis, ‘Yehuwa berfirman, “Akulah yang akan membalas dendam, dan Akulah yang akan membalas kejahatan.”’” Saya pelajari bahawa Yehuwa akan menegakkan keadilan mengikut cara dan masa-Nya. Secara beransur-ansur, saya mengatasi gaya hidup yang ganas itu.

Saya tidak akan lupa apa yang berlaku pada suatu malam semasa dalam perjalanan pulang ke rumah. Sekumpulan orang muda daripada bekas geng musuh menyerang saya, dan ketua geng itu memukul saya dari belakang dan teriak, “Lawan baliklah!” Pada saat itu, saya mengucapkan doa yang ringkas kepada Yehuwa untuk meminta-Nya membantu saya bertahan semasa diserang. Walaupun saya mempunyai keinginan yang kuat untuk membalas, saya akhirnya melarikan diri. Pada keesokan hari, saya terserempak dengan ketua geng itu yang sedang bersendirian. Saya berasa panas hati dan ingin membalas dendam. Sekali lagi, saya merayu kepada Yehuwa untuk membantu saya mengawal diri. Saya terperanjat kerana ketua geng itu datang dan berkata, “Maafkan saya atas apa yang berlaku semalam. Sebenarnya, saya ingin menjadi seperti kamu. Saya ingin belajar Bible.” Betapa gembiranya saya kerana dapat mengawal kemarahan! Syukurlah, dia telah mula mempelajari Bible.

Sedihnya, ahli-ahli keluarga saya yang lain berhenti belajar Bible pada masa itu. Namun, saya bertekad untuk meneruskan pembelajaran dan tidak membiarkan sesiapa atau apa-apa pun untuk menghalang saya. Oleh sebab umat Tuhan dapat menjadi seperti keluarga saya dan membantu menyembuhkan luka emosi saya, saya membuat kemajuan dan dibaptis sebagai Saksi-Saksi Yehuwa pada tahun 1991.

MANFAAT YANG SAYA TERIMA:

Saya dahulunya panas baran, suka membuli, dan ganas. Namun, Firman Tuhan telah mengubah kehidupan saya. Kini, saya mengongsi mesej kedamaian yang terkandung dalam Bible dengan orang. Selama 23 tahun, saya berpeluang menjadi penginjil sepenuh masa.

Pada suatu ketika, saya melakukan kerja sukarela di pejabat cawangan Saksi-Saksi Yehuwa di Mexico. Di sana, saya terjumpa dengan Claudia, seorang saudari yang bersemangat. Kami berkahwin pada tahun 1999. Saya sangat bersyukur kepada Yehuwa kerana mengurniai saya seorang teman yang setia!

Kami berkhidmat di sidang bahasa isyarat Mexico dan membantu orang pekak belajar tentang Yehuwa. Kemudian, kami dijemput untuk berkhidmat di Belize. Walaupun kehidupan kami lebih sederhana di Belize, kami mempunyai segala yang diperlukan. Kebahagiaan yang kami nikmati di sini memang tiada tolok bandingnya.

Lama-kelamaan, ibu saya menyambung semula pembelajaran Bible dan dibaptis. Selain itu, abang sulung saya dan isterinya serta anak-anak mereka menjadi Saksi-Saksi Yehuwa. Saya juga pernah mengongsi mesej Bible dengan beberapa kawan dan mereka kini menyembah kepada Yehuwa.

Sedihnya, sesetengah ahli keluarga saya telah meninggal kerana tidak mengubah sikap ganas mereka. Jika saya memilih haluan yang sama, saya mungkin menjadi seperti mereka. Saya sangat bersyukur kepada Yehuwa kerana telah memimpin saya kepada-Nya dan penyembah-Nya. Yehuwa yang sabar dan baik hati telah mengajar saya cara menerapkan prinsip Bible dalam kehidupan saya.