Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

SOALAN 9

Haruskah Saya Mempercayai Teori Evolusi?

Haruskah Saya Mempercayai Teori Evolusi?

MENGAPA PENTING

Jika teori evolusi benar, itu bermaksud bahawa kehidupan kita tidak bermakna. Tetapi jika Pencipta benar-benar wujud, kita dapat mencari jawapan yang memuaskan bagi soalan-soalan tentang kehidupan dan masa depan.

APAKAH YANG AKAN ANDA LAKUKAN?

Bayangkan situasi ini: Alex keliru. Sejak dulu lagi, dia percaya akan Tuhan dan penciptaan. Tetapi hari ini, guru biologinya menyatakan dengan tegas bahawa teori evolusi ialah fakta yang didasarkan pada kajian sains yang boleh dipercayai. Alex tidak mahu dianggap bodoh. Dia berkata kepada dirinya sendiri: “Jika saintis sudah membuktikan teori evolusi memang benar, siapakah saya untuk persoalkan mereka?”

Jika anda ialah Alex, adakah anda akan menerima teori evolusi semata-mata kerana buku teks menyatakannya sebagai suatu fakta?

FIKIRLAH SEJENAK!

Biasanya, mereka yang menyokong atau menolak teori evolusi cepat membuat kesimpulan tentang apa yang dipercayai mereka. Tetapi, mereka mungkin tidak mengetahui mengapa mereka mempercayai hal itu.

  • Sesetengah orang mempercayai penciptaan kerana itulah yang diajar oleh agama mereka.

  • Yang lain pula mempercayai evolusi semata-mata kerana mereka diajar sedemikian di sekolah.

ENAM SOALAN UNTUK DIFIKIRKAN

Bible berkata, “Setiap rumah dibina oleh seseorang, tetapi Tuhanlah yang membina segala sesuatu.” (Ibrani 3:4) Adakah masuk akal untuk mempercayai hal ini?

Orang yang mengatakan bahawa Pencipta tidak wujud sebenarnya sedang berkata bahawa rumah itu tidak dibina oleh sesiapa pun

ORANG BERKATA: Segala sesuatu di alam semesta wujud hasil daripada suatu letupan yang besar.

1. Siapakah atau apakah yang menyebabkan letupan besar itu?

2. Manakah yang lebih masuk akal: Segala sesuatu wujud secara kebetulan atau wujud kerana adanya Pencipta?

ORANG BERKATA: Manusia berasal daripada binatang.

3. Jika manusia berasal daripada binatang, misalnya orang utan, mengapakah terdapat perbezaan yang begitu besar antara manusia dengan orang utan dari segi keupayaan berfikir?

4. Mengapakah benda hidup yang terkecil pun, seperti mikroorganisma, juga begitu unik?

ORANG BERKATA: Teori evolusi ialah fakta yang sudah dibuktikan.

5. Adakah orang yang mempercayai evolusi mengkaji bukti-bukti yang menyokong teori itu?

6. Berapa banyakkah orang yang mempercayai teori evolusi semata-mata kerana mereka diberitahu bahawa semua orang yang bijak pandai mempercayai teori ini?

“Jika kamu nampak sebuah rumah yang cantik di dalam hutan, adakah kamu akan berfikir, ‘Wah, hebatnya! Pokok-pokok itu pasti telah tumbang dan tersusun dengan sendiri sehingga rumah ini terbina.’ Sudah tentu tidak! Mustahil hal ini berlaku. Jadi, mengapakah kita patut percaya bahawa segala sesuatu di alam semesta wujud secara kebetulan?”​—Julia.

“Katakan ada orang memberitahu kamu bahawa satu letupan telah berlaku di sebuah kilang percetakan. Letupan itu menyebabkan dakwat terpercik ke siling dan dinding lalu sebuah kamus yang lengkap terbentuk. Adakah kamu akan percaya?”​—Gwen.

MENGAPAKAH ANDA MEMPERCAYAI KEWUJUDAN TUHAN?

Bible menggalakkan anda untuk “menggunakan daya pemikiran.” (Roma 12:1) Maksudnya anda tidak sepatutnya mempercayai kewujudan Tuhan semata-mata kerana

  • PERASAAN ANDA (Saya rasa bahawa mesti ada kuasa yang lebih tinggi)

  • PENGARUH ORANG (Semua orang di sekeliling saya kuat beragama)

  • APA YANG DIAJARKAN (Ibu bapa saya mengajar saya bahawa Tuhan memang wujud. Saya tiada pilihan)

Sebaliknya, anda mesti mempercayai sesuatu atas alasan yang kukuh.

“Di dalam kelas, semasa saya mendengar cikgu menjelaskan bagaimana tubuh badan kita berfungsi, saya tidak ragu-ragu lagi bahawa Tuhan memang wujud. Setiap bahagian tubuh kita mempunyai peranan tersendiri dan berfungsi dengan begitu baik tanpa kita sedari. Tubuh manusia memang sangat menakjubkan!”​—Teresa.

“Semasa saya melihat bangunan yang tinggi, kapal persiaran, atau kereta, saya akan fikir, ‘Siapa yang membinanya?’ Sebagai contoh, sebuah kereta ada banyak bahagian yang harus dipasang dengan betul supaya semuanya dapat berfungsi. Sudah tentu, kereta dicipta oleh orang yang sangat bijak. Jika kereta ada pencipta, manusia juga pasti ada Pencipta.”​—Richard.

“Semakin saya belajar tentang sains, semakin jelas bagi saya bahawa teori evolusi tidak berasas. . . . Bagi saya, lebih banyak ‘iman’ diperlukan untuk mempercayai evolusi berbanding dengan mempercayai kewujudan Pencipta.”​—Anthony.

FIKIRKANLAH

Walaupun kajian sudah dilakukan selama puluhan tahun, penjelasan tentang evolusi yang disetujui oleh semua saintis masih belum diperoleh. Jika mereka pun tidak dapat mencapai kata sepakat, anda memang patut memikirkan secara mendalam sebelum mempercayai teori itu.