Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

SOALAN 1

Siapakah Diriku?

Siapakah Diriku?

MENGAPA PENTING

Jika anda tahu siapa diri anda dan apa pendirian anda, anda dapat membuat keputusan yang bijak semasa di bawah tekanan.

APAKAH YANG AKAN ANDA LAKUKAN?

Bayangkan situasi ini: Karen baru sampai di parti kawannya. Tidak sampai 10 minit kemudian, satu suara yang dikenalinya menegurnya dari belakang.

“Buat apa kamu berdiri di situ saja?”

Karen berpaling lalu nampak kawannya, Jessica, yang sedang memegang dua botol minuman. Karen tahu itu ialah minuman beralkohol. Jessica menggoyang-goyangkan botol itu di depan Karen dan berkata, “Kamu bukan budak-budak lagi. Marilah enjoy!”

Karen mahu menolak, tetapi Jessica itu kawannya. Dia tidak mahu Jessica menganggapnya seorang yang membosankan. Lagipun Jessica gadis yang baik. Jika dia boleh minum, tentu itu tidak salah. “Itu minuman saja. Saya bukannya ambil dadah,” bisik Karen dalam hati.

Jika anda ialah Karen, apakah yang akan anda lakukan?

FIKIRLAH SEJENAK!

Untuk membuat keputusan yang bijak dalam situasi sebegini, anda perlu mempunyai identiti diri atau jati diri. Barulah anda akan tahu siapa diri anda dan apa pendirian anda. Pengetahuan itu akan membolehkan anda menguasai kehidupan sendiri, dan bukannya dikawal oleh orang lain.​—1 Korintus 9:26, 27.

Bagaimanakah anda dapat memupuk keyakinan untuk berbuat demikian? Sebagai permulaan, cubalah jawab soalan-soalan berikut.

1 APAKAH KEKUATAN SAYA?

Anda akan bertambah yakin jika anda tahu kebolehan dan sifat-sifat baik anda.

TELADAN WATAK BIBLE: Rasul Paulus menulis, “Biarpun aku tidak mahir bercakap, tetapi aku memang mempunyai pengetahuan.” (2 Korintus 11:6) Oleh sebab Paulus memahami Ayat-Ayat Suci dengan mendalam, dia tidak goyah semasa dicabar oleh orang lain. Dia tidak membiarkan kata-kata negatif mereka melemahkan keyakinannya.​—2 Korintus 10:10; 11:5.

PERIKSALAH DIRI: Tuliskan satu bakat atau kemahiran yang anda miliki.

Sekarang, huraikan satu sifat baik yang anda miliki. (Contohnya, adakah anda seorang yang prihatin? murah hati? boleh dipercayai? menepati masa?)

2 APAKAH KELEMAHAN SAYA?

Kelemahan anda bagaikan rekahan dalam identiti anda. Jika anda membiarkannya menguasai kehidupan anda, identiti anda akan hancur.

TELADAN WATAK BIBLE: Paulus sedar akan kelemahan dirinya. Dia menulis, “Di dalam hatiku, aku sangat menyukai hukum Tuhan. Tetapi aku mendapati bahawa terdapat hukum lain yang berperang melawan hukum akal fikiranku, dan hukum itu ialah dosa dalam tubuhku yang menguasai aku.”​—Roma 7:22, 23.

PERIKSALAH DIRI: Apakah kelemahan-kelemahan yang perlu anda atasi?

3 APAKAH MATLAMAT SAYA?

Adakah anda akan menaiki teksi dan meminta pemandu itu untuk mengelilingi kawasan perumahan anda sehingga kehabisan minyak? Tindakan itu tidak bijak dan hanya membazirkan wang!

Apakah pengajarannya? Dengan adanya matlamat, anda tidak akan merayau-rayau tanpa hala tuju dalam kehidupan. Sebaliknya, anda mempunyai suatu tujuan dan rancangan untuk mencapainya.

TELADAN WATAK BIBLE: Paulus menulis, “Cara aku berlari bukanlah dengan tidak menentu.” (1 Korintus 9:26) Dia tidak membiarkan dirinya hanyut dibawa arus kehidupan. Sebaliknya, dia menetapkan matlamat dan membuat rancangan agar dapat mencapai matlamat itu.​—Filipi 3:12-14.

PERIKSALAH DIRI: Tuliskan tiga matlamat yang ingin anda capai dalam masa setahun.

4 APAKAH PEGANGAN HIDUP SAYA?

Jika anda mempunyai identiti yang kukuh, anda bagaikan pokok yang akarnya kuat sehingga dapat berdiri teguh meskipun dilanda ribut badai

Tanpa pegangan hidup, pendirian anda juga tidak tetap. Seperti seekor kameleon, anda akan “bertukar warna” supaya kelihatan seperti rakan sebaya anda. Itulah tanda yang jelas bahawa anda tidak mempunyai identiti sendiri.

Sebaliknya, jika anda bertindak berdasarkan pegangan hidup anda, identiti anda akan terpelihara tidak kira apa yang dilakukan oleh orang lain.

TELADAN WATAK BIBLE: Sejak muda lagi, Nabi Daniel “bertekad” untuk mentaati hukum Tuhan, walaupun dia berjauhan daripada keluarganya. (Daniel 1:8) Dengan itu, Daniel berpaut pada pegangan hidupnya dan melindungi identitinya.

PERIKSALAH DIRI: Apakah pegangan hidup anda? Contohnya: Adakah anda percaya kepada Tuhan? Jika ya, mengapa? Apakah bukti yang meyakinkan anda bahawa Dia wujud?

Adakah anda percaya bahawa standard moral Tuhan bermanfaat untuk anda? Jika ya, mengapa?

Jadi, apakah pilihan anda? Menjadi sehelai daun yang terbang ke sana ke mari ketika bayu menghembus, atau menjadi sebatang pokok yang tetap teguh meskipun dilanda ribut kencang? Teguhkanlah identiti anda, lalu anda akan menjadi seperti pokok itu. Anda juga akan dapat menjawab soalan, Siapakah diriku?