Berita Baik yang Disampaikan oleh Yohanes 8:12-59

  • Kesaksian Bapa tentang Yesus (12-30)

    • Yesus, “cahaya dunia” (12)

  • Anak-anak Abraham (31-41)

    • ‘Kebenaran membebaskan kamu’ (32)

  • Anak-anak Iblis (42-47)

  • Yesus dan Abraham (48-59)

8  12  Kemudian Yesus berkata lagi kepada mereka, “Akulah cahaya dunia.+ Sesiapa yang mengikut aku tidak akan berjalan dalam kegelapan sama sekali, tetapi akan mendapat cahaya+ yang memberikan kehidupan.” 13  Maka orang Farisi berkata kepadanya, “Kamu memberikan kesaksian tentang dirimu sendiri. Jadi kesaksianmu tidak benar.” 14  Yesus menjawab, “Meskipun aku memberikan kesaksian tentang diriku sendiri, kesaksianku benar, kerana aku tahu dari mana aku datang dan ke mana aku akan pergi.+ Namun kamu tidak tahu dari mana aku datang dan ke mana aku akan pergi. 15  Kamu menghakimi orang menurut piawaian manusia+ tetapi aku tidak menghakimi sesiapa pun. 16  Namun biarpun aku menghakimi seseorang, penghakimanku benar, kerana aku tidak melakukannya seorang diri. Bapa yang mengutus aku menyertai aku.+ 17  Lagipun ada tertulis dalam Hukum kamu, ‘Jika dua orang memberikan kesaksian, kesaksian itu benar.’+ 18  Aku memberikan kesaksian tentang diriku, dan Bapa yang mengutus aku juga memberikan kesaksian tentang diriku.”+ 19  Kemudian mereka berkata, “Di manakah Bapamu?” Yesus menjawab, “Kamu tidak mengenal aku ataupun Bapaku.+ Jika kamu mengenal aku, kamu akan mengenal Bapaku juga.”+ 20  Dia berkata demikian semasa dia mengajar di Rumah Tuhan, berdekatan peti-peti sumbangan.+ Tetapi tiada seorang pun yang menangkap dia, kerana saatnya belum tiba.+ 21  Maka dia berkata lagi kepada mereka, “Aku akan pergi, dan kamu akan mencari aku. Namun, kamu akan mati dalam dosa kamu.+ Kamu tidak boleh datang ke tempat yang akan aku pergi.”+ 22  Orang Yahudi berkata, “Dia berkata, ‘Kamu tidak boleh datang ke tempat yang akan aku pergi.’ Adakah dia ingin membunuh diri?” 23  Maka dia berkata, “Kamu berasal dari bawah tetapi aku berasal dari atas.+ Kamu berasal dari dunia ini tetapi aku tidak berasal dari dunia ini. 24  Itulah sebabnya aku berkata kepada kamu: Kamu akan mati dalam dosa kamu. Jika kamu tidak percaya bahawa akulah dia, kamu akan mati dalam dosa kamu.” 25  Mereka pun bertanya, “Siapakah kamu?” Yesus berkata, “Buat apa aku bercakap dengan kamu? 26  Ada banyak perkara yang harus aku katakan tentang kamu, dan ada banyak perkara yang harus aku hakimi. Sebenarnya, apa sahaja yang aku katakan merupakan apa yang aku dengar daripada Dia yang mengutus aku ke dunia, dan firman-Nya sentiasa benar.”+ 27  Mereka tidak faham bahawa dia sedang bercakap tentang Bapa. 28  Kemudian Yesus berkata, “Setelah kamu menggantungkan* Anak Manusia,+ kamu akan tahu bahawa akulah dia,+ dan aku tidak melakukan apa-apa mengikut kehendakku sendiri.+ Sebaliknya, apa yang aku katakan semuanya diajar oleh Bapa. 29  Dia yang mengutus aku menyertai aku. Dia tidak membiarkan aku sendirian, kerana aku selalu melakukan apa yang menyenangkan hati-Nya.”+ 30  Semasa dia mengatakan semua ini, banyak orang beriman kepadanya. 31  Kemudian Yesus berkata kepada orang Yahudi yang percaya kepadanya, “Jika kamu sentiasa mematuhi ajaranku, kamu benar-benar ialah muridku. 32  Kamu akan mengetahui kebenaran,+ dan kebenaran itu akan membebaskan kamu.”+ 33  Mereka berkata, “Kami keturunan Abraham. Kami tidak pernah menjadi hamba sesiapa pun. Mengapakah Guru berkata, ‘Kamu akan dibebaskan’?” 34  Yesus menjawab, “Sesungguhnya aku berkata kepada kamu: Setiap orang yang berbuat dosa ialah hamba dosa.+ 35  Lagipun, seorang hamba tidak berada dalam rumah tangga tuannya buat selama-lamanya, tetapi anak akan berada dalam rumah tangga buat selama-lamanya. 36  Oleh itu, jika Anak membebaskan kamu, kamu benar-benar bebas. 37  Aku tahu bahawa kamu keturunan Abraham, tetapi kamu hendak membunuh aku kerana kamu tidak menerima ajaranku. 38  Aku mengatakan apa yang aku lihat semasa aku bersama Bapaku.+ Tetapi kamu pula melakukan apa yang kamu dengar daripada bapa kamu.” 39  Mereka berkata kepadanya, “Bapa kami Abraham.” Yesus berkata, “Jika kamu ialah anak-anak Abraham,+ lakukanlah apa yang dilakukan oleh Abraham. 40  Aku memberitahu kamu kebenaran yang aku dengar daripada Tuhan,+ tetapi kamu mahu membunuh aku. Abraham tidak berbuat demikian. 41  Kamu melakukan apa yang dilakukan oleh bapa kamu.” Mereka berkata, “Kami bukanlah anak haram.* Bapa kami hanya satu, iaitu Tuhan.” 42  Yesus berkata kepada mereka, “Jika Tuhan ialah Bapa kamu, kamu akan mengasihi aku,+ kerana aku diutus oleh Tuhan ke sini. Aku tidak datang dengan kehendakku sendiri, tetapi Dialah yang mengutus aku.+ 43  Kamu tidak memahami apa yang aku katakan kerana kamu enggan menerima kata-kataku. 44  Kamu berasal daripada bapa kamu, Si Iblis, dan kamu ingin melakukan kehendak bapa kamu.+ Dia itu pembunuh sejak dia berdusta tentang Tuhan.*+ Dia tidak berpegang teguh pada kebenaran kerana kebenaran tidak ada dalam dirinya. Dia berdusta menurut sifatnya sendiri kerana dia ialah pendusta dan bapa segala dusta.+ 45  Tetapi aku bercakap benar, oleh itu kamu tidak percaya kepadaku. 46  Siapakah antara kamu yang dapat membuktikan bahawa aku berdosa? Jika aku mengatakan apa yang benar, mengapakah kamu tidak percaya kepadaku? 47  Orang yang berasal daripada Tuhan mendengar firman Tuhan.+ Kamu tidak mendengar, kerana kamu tidak berasal daripada Tuhan.”+ 48  Maka orang Yahudi berkata kepadanya, “Memang betul apa yang kami katakan: Kamu ini orang Samaria+ dan dirasuk roh jahat.”+ 49  Yesus menjawab, “Aku tidak dirasuk roh jahat. Aku menghormati Bapaku, tetapi kamu menghina aku. 50  Aku tidak mahu memuliakan diriku.+ Namun, Dia yang sedang menghakimi mahu memuliakan aku. 51  Sesungguhnya aku berkata kepada kamu: Jika sesiapa mematuhi ajaranku, dia pasti tidak akan mati.”+ 52  Orang Yahudi berkata kepadanya, “Sekarang kami tahu bahawa kamu benar-benar dirasuk roh jahat. Abraham sudah mati, begitu juga dengan nabi-nabi. Tetapi kamu berkata, ‘Jika sesiapa mematuhi ajaranku, dia pasti tidak akan mati.’ 53  Adakah kamu lebih besar daripada bapa kami Abraham? Dia sudah mati, para nabi juga sudah mati. Kamu anggap diri kamu siapa?” 54  Yesus menjawab, “Jika aku memuliakan diriku, kemuliaanku tidak berguna. Yang memuliakan aku ialah Bapaku+ yang kamu anggap sebagai Tuhan kamu. 55  Kamu tidak mengenal-Nya,+ tetapi aku mengenal-Nya.+ Sekiranya aku mengatakan bahawa aku tidak mengenal-Nya, aku seorang pendusta seperti kamu. Tetapi aku memang mengenal-Nya dan mematuhi firman-Nya. 56  Bapa kamu Abraham sangat bersukacita kerana dia mempunyai harapan untuk melihat zamanku. Dia sudah melihatnya dan dia bersukacita.”+ 57  Maka orang Yahudi berkata kepadanya, “Umur kamu belum lagi 50 tahun, tetapi kamu sudah melihat Abraham?” 58  Yesus berkata kepada mereka, “Ketahuilah: Sebelum Abraham dilahirkan, aku sudah ada.”+ 59  Maka mereka memungut batu untuk merejamnya, tetapi Yesus menyembunyikan diri. Kemudian dia meninggalkan Rumah Tuhan.

Nota Kaki

Harfiah, “meninggikan.”
Atau “anak yang dilahirkan akibat perbuatan seks yang tidak bermoral.” Yunani, por·neiʹa. Lihat Kamus.
Atau “sejak mula lagi.”