Lompat ke kandungan

Apakah Itu Nubuat?

Apakah Itu Nubuat?

Jawapan Bible

 Nubuat merupakan mesej daripada Tuhan, atau perkara yang diilhami-Nya. Bible menyatakan bahawa para nabi “mengatakan apa yang berasal daripada Tuhan seraya mereka didorong oleh daya aktif-Nya.” (2 Petrus 1:​20, 21) Jadi, seorang nabi yang menerima mesej daripada Tuhan akan menyampaikannya kepada orang lain.​—Kisah 3:​18.

Bagaimanakah para nabi menerima pesanan daripada Tuhan?

 Tuhan menggunakan beberapa cara untuk menyampaikan pemikiran-Nya kepada para nabi:

  •   Menerusi tulisan. Pernah sekali, Tuhan menggunakan cara ini semasa memberikan Sepuluh Hukum kepada Musa.​—Keluaran 31:18.

  •   Menerusi malaikat secara lisan. Contohnya, Tuhan menggunakan malaikat untuk menyuruh Musa menyampaikan mesej kepada Firaun di Mesir. (Keluaran 3:​2-4, 10) Jika Tuhan ingin memberikan pesanan yang penting, Dia akan mengutus malaikat untuk menyampaikan setiap kata-kata-Nya kepada para nabi. Sebagai contoh, Tuhan berkata kepada Musa, “Tulislah firman ini, kerana berdasarkan firman ini Aku membuat perjanjian dengan engkau dan dengan Israel.”​—Keluaran 34:27. a

  •   Menerusi penglihatan. Ada kalanya, seorang nabi mendapat penglihatan semasa dia sedar atau terjaga. (Yesaya 1:1; Habakuk 1:1) Sesetengah penglihatan sangat nyata, sehingga orang yang menerimanya berasa seolah-olah hal itu benar-benar berlaku di depan mata mereka. (Lukas 9:​28-​36; Wahyu 1:​10-​17) Ada kalanya, mereka yang mendapat penglihatan berada dalam keadaan yang tidak sedar. (Kisah 10:10, 11; 22:17-​21) Tuhan juga menyampaikan penglihatan melalui mimpi semasa para nabi sedang tidur.​—Daniel 7:1; Kisah 16:​9, 10.

  •   Menerusi ilham. Tuhan membimbing pemikiran para nabi supaya mereka dapat menyampaikan mesej-Nya. Bible menyatakan, “Segenap Ayat-Ayat Suci diilhami oleh Tuhan.” Frasa “diilhami oleh Tuhan” juga diterjemahkan sebagai “hembusan nafas daripada Tuhan.” (2 Timotius 3:​16; The Emphasised Bible) Tuhan menggunakan kuasa suci atau daya aktif untuk “menghembuskan” atau menyampaikan idea-Nya ke dalam minda hamba-hamba-Nya. Mesej yang disampaikan adalah daripada Tuhan, tetapi para nabi boleh memilih kata-kata sendiri semasa menyampaikannya.​—2 Samuel 23:​1, 2.

Adakah nubuat selalu berkait dengan masa depan?

 Tidak, nubuat Bible tidak selalunya meramalkan masa depan. Namun, kebanyakan mesej daripada Tuhan berkait dengan masa depan seseorang. Contohnya, nabi Tuhan berulang kali memberikan amaran kepada orang Israel mengenai perbuatan jahat mereka. Amaran itu menjelaskan berkat yang akan dinikmati jika mereka mentaati Tuhan atau malapetaka yang dialami jika mereka enggan mentaati Tuhan. (Yeremia 25:​4-6) Jadi, masa depan orang Israel bergantung pada pilihan mereka sendiri.​—Ulangan 30:19, 20.

Beberapa contoh nubuat Bible yang tidak melibatkan masa depan

  •   Pernah sekali, semasa umat Israel meminta pertolongan Tuhan, Dia mengutus seorang nabi untuk menyampaikan pesanan bahawa Dia tidak mahu memberikan pertolongan disebabkan orang Israel tidak taat.​—Hakim-Hakim 6:​6-​10.

  •   Apabila Yesus bercakap dengan seorang wanita Samaria, dia menyatakan kisah silam wanita itu, bukannya nubuat tentang masa depannya. Yesus dapat berbuat demikian kerana Tuhan telah mengilhaminya. Wanita itu sedar bahawa Yesus ialah seorang nabi.​—Yohanes 4:​17-​19.

  •   Semasa Yesus dibicarakan, musuh-musuhnya menutupi mukanya dan memukulnya lalu berkata, “Wahai nabi, beritahulah kami siapa yang memukulmu.” Mereka bukannya meminta Yesus meramalkan masa depan tetapi mahu Yesus menggunakan kuasa daripada Tuhan untuk memberitahu mereka siapa yang telah memukulnya.​—Lukas 22:63, 64.

a Walaupun nampaknya seperti Tuhan terus bercakap kepada Musa, Bible menunjukkan bahawa Tuhan menggunakan malaikat untuk menyampaikan perjanjian Hukum Musa.​—Kisah 7:​53; Galatia 3:​19.