Keluaran 3:1-22

  • Musa dan pokok kecil yang bernyala (1-12)

  • Yehuwa menjelaskan makna nama-Nya (13-15)

  • Yehuwa memberikan arahan kepada Musa (16-22)

3  Musa menggembala ternakan bapa mentuanya, Yitro,+ imam Midian. Dia menggiring ternakan ke sebelah barat padang belantara, dan tiba di Horeb, iaitu gunung Tuhan yang benar.+  Kemudian malaikat Yehuwa menampakkan diri kepadanya di dalam nyala api yang keluar dari pokok kecil.+ Musa memperhatikan pokok kecil itu bernyala, tetapi pokok itu tidak terbakar.  Jadi dia berkata, “Mengapakah pokok kecil ini tidak terbakar? Hal ini sangat luar biasa! Baik aku pergi memeriksanya.”  Yehuwa nampak dia mendekati pokok itu lalu memanggilnya dari tengah-tengah pokok itu, “Musa! Musa!” Dia menjawab, “Ya, aku di sini.”  Tuhan berfirman, “Jangan datang dekat-dekat. Tanggalkanlah kasutmu kerana engkau sedang berdiri di atas tanah yang suci.”  Kemudian Tuhan berfirman, “Akulah Tuhan nenek moyangmu. Aku Tuhan Abraham,+ Tuhan Ishak,+ dan Tuhan Yakub.”+ Lalu Musa menutup mukanya kerana dia takut memandang Tuhan yang benar.  Yehuwa menyambung, “Aku memang sudah melihat penderitaan umat-Ku di Mesir, dan Aku mendengar rintihan mereka kerana ditindas oleh pengawas abdi. Aku tahu benar kesakitan mereka.+  Aku akan turun untuk menyelamatkan mereka daripada tangan orang Mesir+ dan memimpin mereka ke tanah yang subur dan luas, ke tanah yang melimpah dengan susu dan madu.+ Aku akan membawa mereka ke negeri orang Kanaan, Het, Amori, Feris, Hewi, dan Yebus.+  Sesungguhnya rintihan orang Israel telah sampai kepada-Ku. Aku juga telah melihat bagaimana orang Mesir menindas mereka dengan kejam.+ 10  Sekarang marilah, Aku akan mengutus engkau kepada Firaun, dan engkau akan memimpin umat-Ku, orang Israel, keluar dari Mesir.”+ 11  Namun Musa berkata kepada Tuhan yang benar, “Siapakah aku ini? Bagaimana mungkin aku dapat menghadap Firaun dan membawa orang Israel keluar dari Mesir?” 12  Tuhan menjawab, “Aku akan menyertai engkau.+ Inilah buktinya bahawa Aku telah mengutus engkau: Selepas engkau membawa orang Israel keluar dari Mesir, kamu semua akan beribadat kepada-Ku, Tuhan yang benar, di atas gunung ini.”+ 13  Tetapi Musa berkata kepada Tuhan yang benar, “Jika aku pergi kepada orang Israel dan berkata kepada mereka, ‘Tuhan nenek moyang kamu telah mengutus aku kepada kamu,’ dan mereka bertanya, ‘Siapakah nama-Nya?’+ apakah yang harus aku katakan kepada mereka?” 14  Tuhan menjawab, “Aku Akan Menjadi Apa Pun Yang Aku Inginkan.”*+ Tuhan menyambung, “Inilah yang harus engkau katakan kepada orang Israel, ‘Tuhan yang nama-Nya bermaksud, “Aku Akan Menjadi Apa Pun Yang Aku Inginkan,” telah mengutus aku kepada kamu.’”+ 15  Sekali lagi, Tuhan berfirman, “Inilah yang harus engkau katakan kepada orang Israel, ‘Yehuwa, Tuhan nenek moyang kamu, Tuhan Abraham,+ Tuhan Ishak,+ dan Tuhan Yakub,+ telah mengutus aku kepada kamu.’ Itulah nama-Ku untuk selama-lamanya.+ Dengan nama inilah Aku harus diingati dari generasi ke generasi. 16  Sekarang pergilah dan kumpulkanlah para pemimpin orang Israel dan beritahulah mereka, ‘Yehuwa, Tuhan nenek moyang kamu, Tuhan Abraham, Ishak, dan Yakub, telah menampakkan diri kepadaku. Dia berfirman, “Aku pasti akan menolong dan menyelamatkan kamu+ daripada penderitaan di Mesir. 17  Aku berjanji untuk membebaskan kamu daripada penindasan+ orang Mesir. Aku akan membawa kamu ke negeri orang Kanaan, Het, Amori,+ Feris, Hewi, dan Yebus,+ ke tanah yang melimpah dengan susu dan madu.”’+ 18  “Mereka pasti akan mendengarkan kata-katamu.+ Kemudian bersama para pemimpin Israel, engkau harus menghadap raja Mesir dan berkata kepadanya, ‘Yehuwa, Tuhan orang Ibrani,+ telah menampakkan diri kepada kami. Oleh itu, izinkanlah kami pergi sejauh tiga hari perjalanan ke padang belantara untuk mempersembahkan korban kepada Yehuwa, Tuhan kami.’+ 19  Namun, Aku sendiri tahu bahawa raja Mesir tidak akan mengizinkan kamu pergi, kecuali dia dipaksa berbuat demikian.+ 20  Maka Aku akan menghulurkan tangan-Ku untuk menghukum Mesir dengan pelbagai perkara yang menakjubkan. Setelah itu dia akan menyuruh kamu pergi.+ 21  Aku akan menyebabkan umat-Ku dihormati oleh orang Mesir, sehingga kamu tidak akan meninggalkan Mesir dengan tangan kosong.+ 22  Setiap wanita mesti meminta barang perak dan emas serta pakaian daripada jiran dan wanita asing yang tinggal di rumahnya. Kamu akan mengenakan semua itu pada anak-anak kamu. Demikianlah kamu akan menjarah harta orang Mesir.”+

Nota Kaki