Lompat ke kandungan

Apakah Caranya untuk Berdoa—Adakah Doa Bapa Kami Cara yang Terbaik?

Apakah Caranya untuk Berdoa—Adakah Doa Bapa Kami Cara yang Terbaik?

Jawapan Bible

 Doa Bapa Kami memberikan bimbingan tentang apa yang harus kita doakan dan bagaimana kita harus berdoa. Yesus memberikan bimbingan ini kerana murid-muridnya telah memohon kepadanya, “Tuan, ajarlah kami cara untuk berdoa.” (Lukas 11:1) Namun, Doa Bapa Kami bukanlah satu-satunya doa yang Tuhan terima. a Sebaliknya, Yesus memberikan doa ini sebagai contoh doa yang Tuhan terima.

Dalam rencana ini

 Apakah yang terkandung dalam Doa Bapa Kami?

 Dalam pelbagai terjemahan, Doa Bapa Kami yang tercatat di Matius 6:9-13, diterjemahkan dalam cara yang berbeza. Berikut merupakan dua contoh.

 Terjemahan Dunia Baharu: “Bapa kami yang di syurga, semoga nama-Mu disucikan. Datanglah Kerajaan-Mu. Semoga kehendak-Mu terlaksana di bumi seperti di syurga. Berilah kami makanan yang kami perlukan untuk hari ini. Ampunkanlah dosa kami sebagaimana kami mengampuni orang yang berdosa terhadap kami. Janganlah biarkan kami terjerat oleh godaan, tetapi selamatkanlah kami daripada Si Jahat.”

 Alkitab Berita Baik: ‘Ya Bapa kami yang di syurga, Engkaulah Tuhan yang Esa, semoga Engkau disembah dan dihormati. Engkaulah Raja kami. Semoga Engkau memerintah di bumi, dan seperti di syurga, kehendak-Mu ditaati. Berilah kami makanan yang kami perlukan pada hari ini. Ampunkanlah kesalahan kami, seperti kami mengampuni orang yang bersalah terhadap kami. Janganlah biarkan kami kehilangan iman ketika dicubai, tetapi selamatkanlah kami daripada kuasa Si Jahat.’ b

 Apakah maksud Doa Bapa Kami?

 Ajaran Yesus selaras dengan semua ajaran Bible yang lain. Jadi, bahagian-bahagian lain dalam Bible dapat membantu kita memahami maksud Doa Bapa Kami.

“Bapa kami yang di syurga”

 Memang sesuai untuk memanggil Tuhan sebagai “Bapa kami” kerana Dia menciptakan kita dan memberikan kita hidup.—Yesaya 64:8.

“Semoga nama-Mu disucikan”

 Nama Tuhan, iaitu Yehuwa, harus dihormati dan dipandang suci. Manusia menyucikan nama Tuhan apabila mereka bercakap tentang sifat-sifat-Nya dan memberitahu orang lain tentang tujuan-Nya.—Mazmur 83:18; Yesaya 6:3.

“Datanglah Kerajaan-Mu”

 Kerajaan Tuhan ialah sebuah kerajaan yang terletak di syurga. Yesus ialah Raja kerajaan itu. Yesus mengajar kita untuk berdoa agar kerajaan ini memerintah seluruh bumi.—Daniel 2:44; Wahyu 11:15.

“Semoga kehendak-Mu terlaksana di bumi seperti di syurga”

 Sama seperti tiada kematian atau kejahatan di syurga, kehendak Tuhan bagi bumi adalah supaya manusia hidup selama-lamanya dengan aman dan damai.—Mazmur 37:11, 29.

“Berilah kami makanan yang kami perlukan untuk hari ini”

 Kita harus ingat bahawa kita bergantung pada Pencipta kita untuk menyediakan makanan dan perkara-perkara lain yang kita perlu untuk hidup.—Kisah 17:24, 25.

“Ampunkanlah dosa kami sebagaimana kami mengampuni orang yang berdosa terhadap kami”

 Semua manusia berdosa dan memerlukan pengampunan. Namun, jika kita ingin Tuhan mengampuni dosa kita, kita harus rela mengampuni dosa orang lain terhadap kita.—Matius 6:14, 15.

“Janganlah biarkan kami terjerat oleh godaan, tetapi selamatkanlah kami daripada Si Jahat”

 Tuhan Yehuwa tidak pernah menggoda kita untuk melakukan dosa. (Yakobus 1:13) Namun, kita digoda oleh “Si Jahat”, iaitu Syaitan Si Iblis, yang juga dipanggil “Si Penggoda.” (1 Yohanes 5:19; Matius 4:1-4) Kita memohon bantuan Yehuwa agar tetap taat kepada-Nya semasa kita digoda untuk melakukan perkara yang jahat.

 Adakah mengucap Doa Bapa Kami satu-satunya cara untuk berdoa?

 Yesus memberikan Doa Bapa Kami sebagai sebuah doa contoh. Doa contoh ini bukanlah susunan kata yang harus diulangi secara bulat-bulat. Sebelum menyampaikan Doa Bapa Kami, Yesus memberikan amaran ini, “Semasa kamu berdoa, jangan asyik mengulangi kata-kata yang sama.” (Matius 6:7) Sewaktu Yesus menyampaikan contoh doa pada masa yang lain, dia menggunakan kata-kata yang berbeza.—Lukas 11:2-4.

 Cara terbaik untuk berdoa adalah dengan memberitahu Tuhan fikiran dan perasaan kita secara ikhlas dari lubuk hati kita.—Mazmur 62:8.

 Bagaimanakah seharusnya kita berdoa?

 Doa Bapa Kami memberi contoh yang baik tentang bagaimana seseorang dapat mengucapkan doa yang didengari Tuhan. Perhatikan bagaimana doa itu selaras dengan ayat-ayat Bible lain mengenai doa.

  •   Berdoa hanya kepada Tuhan

     Ayat Bible: “Dalam segala hal, nyatakanlah permohonan kamu kepada Tuhan melalui doa dan rayuan yang disertai ucapan syukur.”—Filipi 4:6.

     Maksud: Kita harus berdoa kepada Tuhan, bukan kepada Yesus, Maria, atau santo-santo. Kata-kata pembukaan “Bapa kami,” dalam Doa Bapa Kami, mengajar kita bahawa kita harus berdoa kepada Tuhan Yehuwa sahaja.

  •   Berdoa untuk hal-hal yang selaras dengan kehendak Tuhan

     Ayat Bible: “Jika kita memohon apa sahaja yang selaras dengan kehendak-Nya, Dia mendengarkan kita.”—1 Yohanes 5:14.

     Maksud: Kita boleh berdoa tentang apa sahaja yang selaras dengan kehendak Tuhan. Yesus mengajar kita tentang kepentingan kehendak Tuhan apabila dia mengucapkan kata-kata, “semoga kehendak-Mu terlaksana,” dalam Doa Bapa Kami. Kita dapat belajar tentang kehendak Tuhan bagi bumi dan manusia dengan mempelajari Bible.

  •   Berdoa tentang masalah peribadi

     Ayat Bible: “Serahkanlah bebanmu kepada Yehuwa, dan Dia akan memeliharamu.”—Mazmur 55:22.

     Maksud: Tuhan mengambil berat tentang masalah kita. Dalam Doa Bapa Kami, Yesus menyebut tentang beberapa permohonan peribadi. Sama seperti Yesus, kita juga boleh berdoa untuk keperluan harian kita, untuk bimbingan semasa buat keputusan penting, untuk bantuan apabila kita hadapi cabaran, dan untuk pengampunan dosa kita. c

a Contohnya, Yesus dan murid-muridnya telah mengucapkan doa-doa lain tanpa mengulangi kata-kata dalam doa contoh ini secara bulat-bulat.—Lukas 23:34; Filipi 1:9.

b Terjemahan Alkitab Berita Baik mengakhiri Doa Bapa Kami dengan, “Engkaulah Raja yang berkuasa dan mulia untuk selama-lamanya. Amin.” Sesetengah terjemahan Bible mengandungi kata-kata pujian ini kepada Tuhan, yang dikenali sebagai doksologi. Namun, The Jerome Biblical Commentary, menyatakan bahawa, “Manuskrip-manuskrip yang paling dipercayai tidak mengandungi doksologi ini.”

c Bagi sesetengah orang yang sedar bahawa mereka memerlukan pengampunan Tuhan, perasaan bersalah yang melampau mungkin membuat mereka berasa bahawa mereka tidak dapat berdoa. Tetapi Yehuwa merayu kepada mereka, “Marilah kita selesaikan perkara ini.” (Yesaya 1:18) Dia akan mengampuni semua orang yang memohon pengampunannya dengan ikhlas.